Anjing kapas Tuléar

baka anjing dari Madagaskar

Anjing kapas Tuléar atau coton de Tuléar[a] ialah satu baka anjing kecil yang dinamai sempena bandar raya Toliara atau Tuléar di Madagaskar. Baka ini dianggap telah berasal daripada sekumpulan anjing putih kecil yang berenang merentasi selat Malagasi ikutan nahas kapal.[1] Anjing kapas Tuléar yang terkenal kerana lapis bulu mirip kapas biasanya membesar sehingga tidak lebih daripada 18 paun (8.2 kg) dan berwarna putih, kadang-kadang dengan penandaan kelabu, sawo matang, hitam atau triwarna. Hari Coton de Tuléar dirayakan pada 26 November.[2]

Anjing kapas Tuléar
Seekor anak anjing kapas Tuléar
Nama lainCoton de Tuléar
Nama ringkasCoton
Negara asalMadagaskar
Trait
Berat Jantan 4–6 kg (8.8–13.2 lb)
Betina 3.5–5 kg (7.7–11.0 lb)
Tinggi Jantan 25–30 cm (9.8–11.8 in)
Betina 22–27 cm (8.7–10.6 in)
Bulu lapis bulu sederhana hingga panjang, gebu, mirip kapas
Warna putih; putih dan kelabu, sawo matang, hitam, atau triwarna
Anjing (Canis lupus familiaris)

Perihal sunting

Penampilan sunting

Berbilang pejabat pendaftaran dengan piawaian berlainan memerihalkan anjing kapas Tuléar, tetapi ia pada umumnya mempunyai rambut menyenangkan,[3] setanding dengan bebola kapas (yang mengilhamkan namanya dalam bahasa Perancis, coton yang memaksudkan "kapas"), hidung hitam menonjol, mata ekspresif besar (biasanya ditutup dengan jambul), dan tungkai agak pendek. Ekor anjing kapas Tuléar patut melingkar ke atas belakangnya.

Bulu dan warna sunting

 
Seekor anak anjing kapas

Anjing kapas Tuléar mempunyai lapis bulu sederhana hingga panjang, gebu, dan mirip kapas yang dianggap sebagai rambut dan bukannya bulu.[3] Ia merupakan baka tidak bersalin bulu dengan bulu tanggal rendah dan dianggap hipoalergenik. Semasa ia masih anak anjing, ia mungkin menggugurkan lapis bulu anak anjingnya. Seperti pudel, anjing Malta, atau bichon Havana, baka ini mempunyai kesan alahan sangat rendah. Rambut kusut adalah lazim untuk baka ini dan patut ditanggalkan melalui pemberusan dan penyikatan harian. Pendandanan anjing kapas Tuléar dapat menjadi cabaran.[4][5]

 
Bulu lembut anjing kapas sebanding dengan bebola kapas.

Anjing kapas Tuléar terdapat dengan tiga warna yang diterima: putih (kadang-kadang dengan tanda-tanda sawo matang; putih menyeluruh lebih diutamakan oleh pembiak baka anjing pertunjukan); hitam dan putih; dan triwarna. Walau bagaimanapun, anjing sawo matang dan putih mungkin menjadi putih menyeluruh, anjing hitam kerap akan memudar menjadi kelabu atau putih dan bulu berkemungkinan besar berubah sepanjang usia anak anjing. Baka ini malah mempunyai gen pudar yang menyebabkan warna, yang sangat gelap semasa anak anjing, memudar dan menjadi putih di pangkal bulu semakin bulu memanjang; atas sebab itu Champagne atau Champagne Teddy Bear Coton akhirnya berubah menjadi putih apabila bulu dewasa mulu tumbuh. Piawaian Persekutuan Kinologi Antarabangsa menetapkan bahawa lapis bulu anjing kapas patut berwarna putih tetapi mungkin juga mempunyai warna sawo matang atau "lemon" pada telinga dan tubuh. Walau bagaimanapun, lapis bulunya sebahagian besar mesti berwarna putih tanpa bulu hitam. Coton de Tuléar Club of America yang berpangkalan di Amerika Syarikat mengizinkan tiga pewarnaan berlainan tetapi semuanya setaraf: putih, hitam dan putih, dan triwarna, termasuk "beruang madu". Putih diperihalkan sebagai hampir semuanya putih, kadang-kadang dengan pewarnaan sawo matang atau champagne pada telinga, muka, atau belakang. Hitam dan putih ditakrifkan sebagai putih metah dengan tompok-tompok hitam menonjol pada kepala dan tubuh (tiada nisbah putih dengan hitam yang dinyatakan atau diutamakan). Triwarna diperihalkan sebagai kebanyakannya putih dengan sesetengah tanda perang dan kesan habuk hitam pada tubuh dan kepala. Anjing triwarna beruang madu mempunyai warna perang muda dengan hujung hitam yang beransur-ansur memudar kepada warna putih pudar atau lemon. Tritiga kehilangan warna paling banyak antara mana-mana keragaman warna, biasanya menjadi kebanyakannya putih dengan kemungkinan sesetengah tanda champagne dan kesan habuk bulu hitam pada telinga dan/atau tubuh.[6]

 
Seekor anjing kapas tinggi

Saiz sunting

Piawaian Persekutuan Kinologi Antarabangsa memberikan berat anjing kapas sebagai 6–8 kg (13–18 lb) untuk jantan dan 3.5–5 kg (7.7–11.0 lb) untuk betina. Ketinggian anjing kapas (termasuk toleransi) ialah 25–30 cm (9.8–11.8 in) untuk jantan dan 22–27 cm (8.7–10.6 in) untuk betina.[7][8]

Piawaian Coton de Tuléar Club of America menetapkan berat yang tidak lebih daripada 18 lb (8.2 kg) dengan purata dalam julat 11–15 lb (5.0–6.8 kg). Ketinggian piawai ialah 9–13 in (23–33 cm), kecuali untuk anjing kapas tinggi jarang yang setinggi 15–17 in (38–43 cm). Anjing kapas tinggi bertungkai panjang muncul dengan ketiga-tiga keragaman warna dan dapat lahir dalam perinduk dengan induk bersaiz normal yang membawa gen sewajarnya.[9]

Perihal terperinci sunting

Hidungnya berwarna hitam dalam piawaian Coton de Tuléar Club of America. Walau bagaimanapun, piawaian Persekutuan Kinologi Antarabangsa, yang juga memihak kepada hidung hitam, menyatakan bahawa perang juga dapat diterima. Hidung merah jambu atau separa merah jambu tidak diterima dalam mana-mana piawaian. Piawaian menyokong bahawa bibir sebaik-baiknya ketat dan sewarna dengan hidung, khususnya hitam dalam piawaian Coton de Tuléar Club of America. Gigi anjing kapas Tuléar sama ada dalam gigitan gunting atau gigitan penyepit. Matanya biasanya bulat, berwarna gelap, dan lebar. Secara tradisional, ekspresinya meriah, cerdas, pintar, dan riang. Biasanya, telinga anjing kapas Tuléar berbentuk segi tiga dan terletak tinggi-tinggi. Kulit telinganya kerap nipis dan lehernya kuat, digemari tanpa gelambir dan sedikit melengkung.

Dada biasanya cukup terbentuk dan mencecah paras siku. Kaki anjing kapas Tuléar adalah kecil dan melengkung dan belakangnya biasanya kuat dan sedikit melengkung. Tapak kaki biasanya berwarna hitam. Tubuhnya sederhana panjang dan biasanya mempunyai kelim sederhana. Secara tradisional, loinnya berotot dan tidak terlalu panjang. Tungkai belakang biasanya kuat dan lurus. Kaki belakang pula serupa dengan kaki hadapan. Sepanjang sejarah, kuku embun telah ditanggalkan; walau bagaimanapun, kini ramai orang menentang tatacara yang boleh dikatakan tidak perlu dan kejam.[10] Ekornya secara tradisional terletak rendah-rendah dan menirus, terangkat ke atas belakang apabila bergerak atau teruja, tetapi kendur jika sebaliknya.

Perangai sunting

Anjing kapas ialah baka suka bermain, penyayang, dan cerdas. Walaupun pada umumnya senyap, ia dapat menjadi sangat lantang—merengus, menyalak, dan membuat bunyi lain apabila berseronok. Anjing kapas diketahui mempunyai tabiat untuk melompat dan berjalan di atas tungkai belakangnya untuk menggembirakan orang ramai. Kebanyakan anjing kapas suka bertemu dengan orang baharu dan sangat ingin tahu tentang situasi baharu. Anjing kapas mudah dilatih kerana ia sangat ingin menyenangkan orang. Anjing kapas suka berenang, berlari, dan bermain. Ia menyesuaikan diri dengan baik terhadap sebarang jenis persekitaran hidup. Trait umum tingkah laku anjing kapas Tuléar ialah kecergasan pada waktu petang.

 
Anjing kapas Tuléar berusia satu tahun yang bermain di kebun

Penjagaan sunting

Anjing kapas mempunyai lapis bulu yang memerlukan pemberusan dan penyikatan hampir harian dan mandi kira-kira sekali seminggu untuk mengekalkan kecantikannya. Anjing kapas suka berenang; pemilik yang mempunyai kolam disyorkan untuk membiarkan anjing kapas mereka bermain di kolam dengan pengawasan. Seperti pudel, ia tidak "bersalin bulu", yang bermakna bahawa ia tidak menggugurkan bulu besar-besaran pada perabot, permaidani, dll. Ia masih menggugurkan bulu; tekstur lapis bulunya menyebabkan bulu gugur terperangkap di dalam lapis bulu. Jika tidak diberus dan disikat setiap hari, bulu baka ini akan mengusut dengan cepat dan mungkin memerlukan pencukuran. Anjing kapas memerlukan sesi berjalan harian untuk senaman tetapi menghargai sesi permainan sekerap yang mungkin dan mempunyai daya ketahanan untuk menjalani pendakian lama. Anjing kapas suka bermain dengan anjing lain dan hebat dengan kanak-kanak.

Kesihatan sunting

 
Seekor anak anjing kapas triwarna

Anjing kapasa, pada umumnya, ialah baka sihat. Walau bagaimanapun, masih terdapat sesetengah isu kesihatan seperti yang terdapat pada semua baka. Isu paling serius merupakan masalah jantung, pirau hati, masalah belakang (cakera), dan masalah mata. Nasib baik, ini masih agak jarang pada baka ini. Takungan gen kecil baka ini disebabkan oleh kehampiran kepupusannya. Oleh sebab pembiakbakaan dalam oleh pembiak baka bereputasi buruk, terdapat peningkatan insiden penyakit. Semakin kecil takungan gen, semakin besar kemungkinan baka untuk mempunyai keabnormalan genetik.

Anjing kapas Tuléar mempunyai sedikit isu kesihatan berbanding dengan banyak baka lain kerana ia mempunyai jenis agak generik. Ia merupakan baka agak jarang dan baru sahaja diterima dan diiktiraf oleh AKC setakat tahun 2012. Hakikat bahawa ini merupakan baka yang sedang dihidupkan semula daripada kepupusan bermakna bahawa anjing kapas Tuléar agak mahal untuk dibeli dan harga mungkin mencecah $1,800.00–$3,500 setiap anjing. Purata jangka hayat anjing kapas Tuléar ialah 14 hingga 19 tahun.[11]

Sejarah sunting

 
Seekor anjing kapas putih dengan tanda-tanda hitam

Anjing kapas Tuléar dikembangkan di pulau Madagaskar dan masih anjing kebangsaan pulau itu. Anjing Tenerife dipercayai dibawa ke Madagaskar dan dikawankan dengan seekor anjing di pulau itu, lalu membuahkan hasil tidak terjangka. Leluhur anjing kapas barang kali dibawa ke Madagaskar pada abad ke-16 dan abad ke-17 di atas kapal lanun. Madagaskar merupakan syurga bagi lanun dan perkuburan lanun masih dapat dilihat di sana. Lanun mengasaskan pangkalan di Pulau Sainte-Marie, Madagaskar dan sesetengah lanun mengahwini isteri Malagasi. Sama ada anjing tersebut dibawa bersama untuk mengawal tikus di atas kapal, sebagai pendampingdalam pelayaran yang jauh, atau dirampas daripada kapal lain sebagai rampasan, tiada siapa yang tahu. Tuléar ialah sebuah pelabuhan yang kini juga dikenali sebagai Toliara. Anjing kapas ialah anjing daripada jenis anjing bichon yang dikaitkan paling rapat dengan bichon Tenerife dan terier Tenerife. Terdapat banyak cerita berpindah mulut tentang sejarah anjing kapas dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kebanyakannya tidak benar. Anjing kapas Tuléar tidak pernah jalang di Madagaskar. Ia tidak memburu babi hutan atau buaya kerana saiz, kekuatan, dan sikapnya dapat disangkal dengan mudah. Ia merupakan anjing pendamping orang Merina (suku memerintah) di Madagaskar. Ia mempunyai dorongan pemangsa sangat sedikit dan bukan anjing pemburu.

Lapis bulu mirip kapas mungkin terhasil daripada mutasi gen tunggal. Anjing kecil dan ramah ini menarik perhatian kerabat diraja Malagasi dan mereka menjadi satu-satunya kaum yang diizinkan untuk membela anjing kapas. Apabila Dr. Robert Jay Russell bersemuka dengan baka ini di Madagaskar pada tahun 1973 dan membawa anjing-anjing pertama ke Amerika, beliau mencipta frasa "Anjing Diraja Madagaskar" dan nama itu kekal. Ia juga diimport sekali-sekala ke Perancis dengan kolonis Perancis yang pulang tetapi tidak diimport secara rasmi ke Eropah sehingga tahun 1970-an. Pada tahun 1974, Madagaskar mengeluarkan setem dengan imej anjing kapas, lalu menegaskan statusnya sebagai "anjing diraja" bangsa itu.[12]

 
Lapis bulu bak kapas mungkin terhasil daripada satu mutasi gen tunggal.

Coton de Tuléar pertama kali diiktiraf secara rasmi sebagai baka oleh Société Centrale Canine (kelab kenel kebangsaan Perancis) pada tahun 1970[13] dan diterima oleh Persekutuan Kinologi Antarabangsa yang menerbitkan piawaian baka pada tahun 1972.[7][8] Coton de Tuléar diiktiraf di peringkat antarabangsa melalui Persekutuan Kinologi Antarabangsa dan oleh kelab kenel utama (The Kennel Club (United Kingdom) dalam Kumpulan Mainan dan United Kennel Club (Amerika Syarikat) dalam Kumpulan Teman) dengan menggunakan piawaian berdasarkan piawaian Persekutuan Kinologi Antarabangsa. Baka ini tidak diiktiraf oleh New Zealand Kennel Club atau Australian Kennel Union. Ia juga mungkin diiktiraf dalam dunia berbahasa Inggeris oleh mana-mana pejabat pendaftaran kecil, kelab, dan perniagaan pejabat pendaftaran anjing berasaskan Internet yang sangat banyak.

Di Amerika Syarikat, satu lagi piawaian untuk coton de Tuléar dibangunkan berdasarkan baka ini di Madagaskar pada tahun 1974 oleh ahli biologi, Dr. Robert Jay Russell. Russell mengasaskan Coton de Tuléar Club of America pada tahun 1976 dan menentang pengiktirafan American Kennel Club. Coton de Tuléar memasuki Khidmat Ternakan Asasi Amercan Kennel Club (langkah pertama dalam pengiktirafan baka) pada tahun 1996 dan menjadi baka sepenuhnya beriktiraf pada 1 Julai 2014.[14] Kelab induk American Kennel Club untuk baka ini di Amerika Syarikat ialah Coton de Tuléar Club.[15]

Lihat juga sunting

Catatan sunting

  1. ^ Jawi: انجيڠ کاڤس توليار; کوتون د توليار; Perancis: coton de Tuléar, lit.'[anjing] kapas Tuléar'

Rujukan sunting

  1. ^ Lacoste, Kristine (27 Mei 2017). "5 Things to Know About the Coton de Tuléar". Petful (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 22 Januari 2024.
  2. ^ "Coton de Tulear Day" (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 22 Januari 2024.
  3. ^ a b Coton de Tulears (Inggeris) Diarkibkan 16 Julai 2010 di Wayback Machine di Canine Directory
  4. ^ "cotongrooming.com". www.cotongrooming.com (dalam bahasa Inggeris).
  5. ^ Dogs that do not shed (Inggeris) Diarkibkan 30 September 2018 di Wayback Machine di Go Pets America. Dicapai pada 8 Februari 2024.
  6. ^ "CTCA standard" (dalam bahasa Inggeris). CTCA. Diarkibkan daripada yang asal pada 5 November 2019. Dicapai pada 8 Februari 2024.
  7. ^ a b "Standard FCI N°283 COTON DE TULÉAR" [Piawaian FCI No. 283 Anjing Kapas Tuléar] (pdf). Persekutuan Kinologi Antarabangsa (dalam bahasa Perancis). 4 Februari 2000. Dicapai pada 8 Februari 2024.
  8. ^ a b "FCI-Standard N° 283 COTON DE TULEAR" [Piawaian FCI No. 283 Anjing Kapas Tuléar] (pdf). Persekutuan Kinologi Antarabangsa (dalam bahasa Inggeris). Diterjemahkan oleh Pamela Jeans-Brown, Renée Sporre-Willes, dan Raymond Triquet. 4 Februari 2000. Dicapai pada 8 Februari 2024.CS1 maint: others (link)
  9. ^ "The Official Coton de Tulear Book" (dalam bahasa Inggeris). The Coton de Tulear Club of America. Diarkibkan daripada yang asal pada 5 November 2019. Dicapai pada 8 Februari 2024.
  10. ^ Dublin Society for Prevention of Cruelty to Animals. "Tail Docking in Dogs and other Acts of Mutilation in Dogs & Cats" (PDF). Dublin Society for Prevention of Cruelty to Animals (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 4 Mac 2016. Dicapai pada 8 Februari 2024.
  11. ^ "About the Coton". USACTC, Inc. (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 16 April 2013. Dicapai pada 8 Februari 2024.
  12. ^ "Coton de Tulear History - American Coton Club". www.americancotonclub.com (dalam bahasa Inggeris).
  13. ^ "Accueil - Société Centrale Canine". www.scc.asso.fr (dalam bahasa Inggeris).
  14. ^ "The AKC Family Grows to 180 Breeds" (Inggeris) Diarkibkan 2 April 2015 di Wayback Machine American Kennel Club.
  15. ^ "The United States of America Coton de Tulear Club". www.usactc.org (dalam bahasa Inggeris).

Pautan luar sunting