Anjing lembu Flandre

baka anjing dari Belgium

Anjing lembu Flandre[a] ialah satu baka anjing gembala yang berasal dari Flandre, Belgium. Ia pada asalnya digunakan untuk kerja ladang umum termasuk penggiringan lembu, penggembalaan biri-biri, dan penarikan kereta, dan kini sebagai anjing pengawal dan anjing polis, serta dibela sebagai haiwan peliharaan.

Anjing lembu Flandre
Seekor anjing lembu Flandre
Negara asalBelgium
Perancis
Trait
Berat Jantan 35–55 kg (77–121 lb)
Betina 27–35 kg (60–77 lb)
Tinggi Jantan 62–68 cm (24–27 in)
Betina 59–65 cm (23–26 in)
Bulu Lapis bulu ganda dengan lapis bulu luar yang kelihatan kasar
Warna Perang kekuning-kuningan, brindle, hitam, kelabu, atau perang muda
Saiz perinduk 5–10 ekor, purata 8 ekor
Jangka hayat 11.3 tahun
Anjing (Canis lupus familiaris)

Nama baka ini merujuk asal usul baka ini, iaitu dari Flandre/Flanders. Nama lain untuk baka ini ialah toucheur de bœuf (penggiring lembu) dan vuilbaard (janggut kotor).

Sejarah sunting

 
Seekor anjing lembu Flandre dewasa

Para rahib di biara Ter Duinen merupakan antara pembiak baka anjing terawal yang diketahui di Flandre. Bouvier yang dibiakbakakan oleh mereka dicatatkan sebagai anjing yang dibiakbakakan daripada import seperti anjing pemburu serigala Ireland dan anjing pemburu rusa Scotland dengan anjing ladang tempatan, sehingga baka yang dianggap sebagai pendahulu kepada anjing lembu Flandre moden diperoleh. Ini menjadi anjing pekerja dengan kekuatan dan perangai untuk melaksanakan penggembalaan, penjagaan lembu, dan juga penarikan kereta kargo, dan pengharungan keadaan cuaca tempatan kerana lapis bulu tebalnya.[1] Penggunaan amali baka ini menjadi usang selepas penciptaan automobil, apabila lembu lebih praktikal diangkut dengan trak.[2]

Dari segi sejarah, pemotongan telinga dan ekor dapat dilakukan atas sebab-sebab praktikal, iaitu untuk mengelakkan amputasi tidak sengaja semasa kerja atau untuk menunjukkan bahawa anjing berkenaan merupakan ternakan pekerja dan bukan anjing peliharaan yang dikenakan cukai.[1]

 
Tangkapan dekat anjing lembu Flandre

Sehingga awal abad ke-20, baka ini tidak ditakrifkan sepenuhnya, dengan tiga varian: Paret, Moerman atau Roeselare, dan Briard. Perselisihan sesama penyokong ketiga-tiga varian ini mengekang perkembangan baka ini kembali. Pada tahun 1912 dan tahun 1913, beberapa buah kelab kenel tempatan mengiktiraf piawaian untuk bouvier; walau bagaimanapun, kelab-kelab ini biasanya mempunyai piawaian berlainan untuk Roeselare dan varian-varian lain.[1]

Perang Dunia Pertama hampir menyebabkan baka ini lenyap akibat kemusnahan yang menimpa rantau asalnya dan hakikat bahawa anjing ini digunakan untuk tujuan ketenteraan. Sesungguhnya, Nic, seekor jantan yang dilatih sebagai anjing parit yang berkhidmat semasa peperangan dan merupakan pemenang malar dalam pertunjukan anjing selepas peperangan, dianggap sebagai pengasas baka anjing lembu Flandre awal.[1]

Piawaian bersatu anjing lembu Flandre telah dihasilkan pada tahun 1936 oleh sebuah jawatankuasa bersama Perancis-Belgium. Walau bagaimanapun, Perang Dunia Kedua sekali lagi membahayakan kewujudan baka ini. Oleh sebab kemunduran ini, kemajuan diperlahankan dan hanya mulai tahun 1965 piawaian baka Persekutuan Kinologi Antarabangsa (FCI), seperti yang dipersetujui oleh beberapa buah kelab kenel kecil, diterima pakai.[1]

Perihal sunting

 
Dua ekor anjing lembu Flandre

Penampilan sunting

Anjing lembu Flandre ialah anjing berlapis bulu kasar dengan penampilan lasak. Ia memberi kesan saiz dan kekuatan tanpa kecemerkapan. Kepalanya diserlahkan oleh "janggut lebat" dan "misai". Walaupun amalan pemotongan telinga dan ekor kini kebanyakannya kosmetik, ekornya pada asalnya dipotong untuk mengelakkan kecederaan yang disebabkan oleh penggembalaan dan penarikan kereta. Amalan pemotongan ekor kosmetik buat masa ini ditentang oleh American Veterinary Medical Association..[3]

Di kawasan asal (Flandre, Belgium), pemotongan telinga diharamkan pada tahun 2006.[perlu rujukan] Berat jantan berkisar antara 80–120 paun atau 36–54 kilogram, lebih ringan sedikit secara purata untuk betina.[perlu rujukan] Ia mempunyai tubuh dengan lapis bulu ganda tebal yang mungkin berwarna perang kekuning-kuningan, hitam, brindle kelabu, atau "lada dan garam". Anjing lembu Flandre kadang-kadang dianggap tidak bersalin bulu, tetapi masih menggugurkan bulu, seperti semua anjing. Kebanyakan bulu yang gugur terperangkap di dalam lapis bulu ganda yang menyebabkan pengusutan. Ia memerlukan pemberusan dan penyikatan mingguan untuk menyelenggara lapis bulunya. Sebagai tambahan kepada pemberusan mingguan, lapis bulunya patut dipendekkan hampir-hampir setiap 3–5 minggu jika ia diniatkan sebagai anjing pertunjukan.

Perangai sunting

 
Seekor anjing lembu Flandre dewasa
 
Seekor anjing lembu Flandre berusia 3 bulan

Anjing lembu Flandre bersifat lemah lembut, rasional, sekata, setia, dan pelindung. Campuran ciri khusus baka ini menjadikannya anjing peliharaan keluarga baik, serta anjing pengawal berkesan. Anjing lembu Flandre merupakan anjing pemerhati yang mudah dilatih yang mempelajari arahan dengan agak cepat. Walau bagaimanapun, anjing lembu Flandre belajar dengan paling baik apabila pengulangan dibatasi. Kebosanan daripada pengulangan dapat menghalang pelatihan dan keupayaan pembelajarannya.

Anjing lembu Flandre mempunyai beberapa ciri sofistikated seperti kecerdasan dan kebertanggungjawaban kompleks.

Ia memerlukan latihan cukup seimbang yang kekal bersifat tekal. Tanpa kekasaran, ada kepentingan untuk sentiasa menyedarkan anjing berkenaan bahawa pemiliknya kekal sebagai "bos". Baka ini memerlukan pemilik berpengalaman untuk mengelakkan masalah kedominanan dan perlindungan berlebihan. Anjing yang terlatih dengan kurang baik dapat menjadi dominan secara tidak wajar terhadap manusia. Anjing lembu Flandre yang tidak tersosialisasi dapat menjadi takut dan bermasalah apabila diperkenalkan kepada situasi baharu dan tidak menyelesakan untuknya.

Anjing lembu Flandre patut tersosialisasi dengan baik, sebaik-baiknya bermula pada usia awal, untuk mengelakkan keseganan, kecurigaan, dan keterlaluan dalam menyendiri terhadap orang asing (walaupun baka ini secara semula jadi menyendiri terhadap orang asing). Perlindungan keluarga apabila dalam bahaya bukan sesuatu yang perlu diajarkan dan juga bukan sesuatu yang dapat dilatih untuk diabaikan. Ia dapat hidup bersama dengan baik dengan kanak-kanak. Pelatihan kepatuhan patut bermula sejak masih muda. Ia biasanya baik dengan anjing lain jika dibesarkan bersama-sama sejak usia anak anjing. Anjing lembu Flandre dapat menjadi agresif jika pemiliknya tidak jelas dan cukup tegas untuk menyampaikan hal bermasalah. Anjing lembu Flandre tidak matang sepenuhnya dari segi mental dan fizikal sehingga sekitar umur 2–3 tahun.

Kegiatan sunting

Anjing lembu Flandre dapat bersaing dalam ujian ketangkasan anjing, carting, kepatuhan, kemahiran persembahan, schutzhund, penjejakan, dan acara penggembalaan. Naluri dan kebolehlatihan penggembalaan dapat diukur dalam ujian penggembalaan tanpa persaingan. Anjing lembu Flandre yang menunjukkan naluri penggembalaan asasi dapat dilatih untuk bertanding dalam ujian penggembalaan.[4]

Kesihatan sunting

Sebuah kajian United Kingdom tahun 2024 mendapati jangka hayat sebanyak 11.3 tahun untuk baka ini berbanding dengan purata 12.7 tahun untuk baka tulen dan 12 tahun untuk baka silang.[5]

Anjing lembu Flandre terkenal sunting

 
Tangkapan dekat anjing lembu Flandre
  • Belco, anjing yang menemani Edmee Bowles ke Amerika ketika beliau melarikan diri dari Belgium yang diduduki dan yang merupakan bapa pengasas bagi kenel beliau Clos du Cereberes di Belco Farm di Pennsylvania.
  • Soprano de la Thudinie, bapa pengasas pascaperang bagi kenel de la Thudinie milik Justin Chastel di Belgium dan leluhur paling menonjol bagi jenis moden anjing lembu Flandre.
  • Lucky, yang dimiliki oleh Presiden Amerika Syarikat Ronald Reagan dan Wanita Pertama Nancy Reagan.
  • Patrasche, anjing yang ditemukan oleh seorang budak lelaki bernama Nello dalam A Dog of Flanders, kerap ditegaskan sebagai seekor anjing lembu Flandre.
  • Max dan pasangannya Madchen dan anak-anak anjing pasangan ini, watak-watak cereka yang dipaparkan dalam siri Presidential Agent karya W.E.B. Griffin.[6]
  • Isabelle du Monceau de Bergendal, watak dalam siri Strike Witches, mempunyai seekor anjing lembu Flandre sebagai haiwan kenalannya.
  • Gretel, seekor anjing lembu Flandre, ialah anjing milik Dr. Robert Romano dalam ER.
  • Kirie, seekor anjing lembu Flandre betina muda, dimiliki oleh pegawai polis jenayah Gereon Rath, protagonis bagi siri novel detektif karya Volker Kutscher yang berlatarkan tahun 1930-an di Berlin. Pada asalnya kepunyaan seorang pelakon Belgium yang dibunuh, Kirie diadopsi oleh Rath dalam The Silent Death, novel kedua dalam siri ini, dan kekal sebagai pendampingnya sehingga kematiannya dalam Olympia, judul kelapan dalam siri itu.[perlu rujukan]

Lihat juga sunting

Catatan sunting

  1. ^ Jawi: انجيڠ لمبو فلندر; Perancis: bouvier des Flandres; Belanda: Vlaamse koehond; bahasa Inggeris: Flanders cattle dog

Rujukan sunting

  1. ^ a b c d e Pollet, Robert (2003). Bouvier Des Flandres (Sepanyol). Editorial Hispano-Europea. ISBN 84-255-1470-3
  2. ^ Mehus-Roe, Kristin, Ed. (2009). The Original Dog Bible: The Definitive Source for All Things Dog (dalam bahasa Inggeris). I-5 Press, Irvine, California. m/s. 246. ISBN 978-1-933958-82-8.
  3. ^ American Veterinary Medical Association. "Ear Cropping and Tail Docking of Dogs" (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 30 Januari 2024.
  4. ^ Hartnagle-Taylor, Jeanne Joy; Taylor, Ty (2010). Stockdog Savvy (dalam bahasa Inggeris). Alpine Publications. ISBN 978-1-57779-106-5.
  5. ^ McMillan, Kirsten M.; Bielby, Jon; Williams, Carys L.; Upjohn, Melissa M.; Casey, Rachel A.; Christley, Robert M. (1 Februari 2024). "Longevity of companion dog breeds: those at risk from early death". Scientific Reports (dalam bahasa Inggeris). Springer Science and Business Media LLC. 14 (1). doi:10.1038/s41598-023-50458-w. ISSN 2045-2322. PMC 10834484 Check |pmc= value (bantuan).
  6. ^ "Book Signings and Frequently Asked Questions". W.E.B. Griffin (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 30 Januari 2024.

Pautan luar sunting