Anjing pemburu Afghan

baka anjing dari Afghanistan

Anjing pemburu Afghan[a] ialah satu baka hound yang dibezakan dengan lapis bulu tebal, halus, dan bak sutera dan ekor dengan gulungan di hujung. Baka ini berasal dari pergunungan sejuk di Afghanistan. Nama tempatannya ialah tāžī spay (Pashto: تاژي سپی) atau sag-e tāzi (Bahasa Parsi Dari: سگ تازی). Nama lain untuk baka ini merupakan tāzī, anjing pemburu Balkh, anjing pemburu Baluchi, dan anjing pemburu Barazkai.[1]

Anjing pemburu Afghan
Anjing pemburu Afghan dengan lapis bulu krim muda
Nama lain
  • Tazi
Negara asalAfghanistan
Trait
Berat 20–27 kg (44–60 lb)
Tinggi 61–73 cm (24–29 in)
Bulu Panjang dan halus
Warna
  • Perang kekuning-kuningan
  • Emas
  • Brindle
  • Putih
  • Merah
  • Krim
  • Biru
  • Kelabu
  • Triwarna
Saiz perinduk 6–8 ekor anak anjing
Jangka hayat 11.1 tahun
Anjing (Canis lupus familiaris)

American Kennel Club (AKC) memerihalkan baka ini sebagai antara baka paling menarik mata. Anjing pemburu Afghan ialah "bangsawan menyendiri dan bermaruah dengan kecantikan mengagumkan". Walaupun berpenampilan serba indah, anjing pemburu Afghan memiliki "unsur lucu tersayang dan kesetiaan mendalam".[2]

Lapis bulu distingtif anjing pemburu Afghan yang dikagumi sejak zaman purba kerana kecantikannya dikembangkan sebagai perlindungan daripada iklim pergunungan mencabar. Tapak kaki besarnya berguna sebagai penyerap hentakan di rupa bumi berbatu.[2]

Sejarah

sunting

Anjing pemburu Afghan telah dikenal pasti sebagai baka basal yang mendahului kemunculan baka moden pada abad ke-19. Ia paling berkait rapat dengan saluki.[3]

 
Anjing pemburu Afghan yang digambarkan pada sekeping setem pos dari Afghanistan (1962)

Sambungan dengan jenis-jenis dan baka-baka lain dari kawasan sama mungkin menyediakan petunjuk kepada sejarah. Nama untuk anjing pemburu Afghan coursing gurun, tazi (sag-e-tazi), mencadangkan keleluhuran berkongsi dengan baka tazy yang sangat serupa dari kawasan Laut Kaspia di Rusia dan di Turkmenistan. Jenis-jenis atau baka-baka lain dengan penampilan serupa merupakan taigan, dari rantau pergunungan Tian Shan di sempadan China dengan Afghanistan, dan barakzay, atau anjing pemburu Lembah Kurram.[4]

Sebaik keluar dari Afghanistan, sejarah baka anjing pemburu Afghan menjadi terjalin dengan sejarah pertunjukan anjing terawal dan sejarah The Kennel Club (United Kingdom). Pelbagai anjing pemburu penglihatan dibawa ke England pada tahun 1800-an oleh para pegawai tentera yang pulang dari India British dan dipamerkan dalam pertunjukan anjing yang ketika itu baru menjadi popular, atas pelbagai nama, seperti anjing pemburu Barukzy.[5] Ia juga dipanggil "grehaun Parsi" oleh orang Inggeris sebagai rujukan kepada anjing pemburu penglihatan peribumi mereka sendiri.[6]

Seekor anjing khususnya, Zardin, dibawa pada tahun 1907 dari India oleh Kapten John Barff.[7] Zardin menjadi ideal awal untuk jenis baka yang masih dirujuk sebagai grehaun Parsi. Zardin ialah asas bagi penulisan untuk piawaian baka pertama pada tahun 1912, tetapi kitaran pembiakbakaan ini dihentikan oleh Perang Dunia Pertama.[5]

 
Anjing muda. Banyak individu mempunyai topeng muka hitam.
 
Anjing pemburu Afghan berlapis bulu krim cerah
 
Anjing pemburu Afghan dalam gelanggang

Daripada jenis-jenis anjing pemburu penglihatan berbulu panjang yang dikenali di Afghanistan, dua strain utama membentuk baka anjing pemburu Afghan moden. Yang pertama ialah sekumpulan anjing pemburu yang dibawa ke Scotland dari Balochistan oleh Mejar dan Pn. G. Bell-Murray dan Cik Jean C. Manson pada tahun 1920 dan anjing ini dikenali sebagai strain Bell-Murray.[8] Anjing ini daripada jenis "steppe" atau "gurun" dan berlapis bulu kurang lebat.[9]

Strain kedua ialah sekumpulan anjing dari sebuah kenel di Kabul yang dimiliki oleh Pn. Mary Amps, yang dihantar oleh beliau ke England pada tahun 1925. Beliau dan suami beliau datang ke Kabul selepas perang Afghanistan pada tahun 1919 dan bapa pengasa bagi kenel beliau (bernama Ghazni) di Kabul ialah seekor anjing yang hampir menyerupai Zardin. Strain Ghazni beliau ialah jenis gunung berlapis bulu lebih lebat. Kebanyakan anjing pemburu Afghan di Amerika Syarikat dikembangkan daripada strain Ghazni dari England. Anjing pemburu Afghan pertama di Australia diimport dari Amerika Syarikat pada tahun 1934, juga daripada strain Ghazni.[10] Strain gunung dan steppe menjadi bercampur menjadi baka anjing pemburu Afghan dan piawaian baharu ditulis pada tahun 1948 yang masih digunakan kini.[9]

Anjing pemburu Afghan juga terdapat dengan lapis bulu jauh lebih "bercorak". Ini diturunkan daripada susur galur Bell-Murray dan susur galur Ghazni dan dipaparkan dengan jumbai jauh lebih ringan pada lapis bulu, pelana lebih dalam (kerap terlihat seperti pelana), dan bulu jauh lebih pendek pada muka dan leher. Anjing pemburu Afghan khusus ini dipercayai merupakan hasil dari bahagian-bahagian lebih panas di negara itu.[11]

Kecantikan anjing pemburu Afghan menyebabkannya menjadi anjing pertunjukan dan anjing peliharaan yang sangat diingini dan ia diiktiraf oleh semua kelab kenel utama di dunia berbahasa Inggeris. Salah seekor anjing Ghazni Amps, Sirdar, memenangi best in show dalam Crufts pada tahun 1928 dan tahun 1930. Seekor anjing pemburu Afghan ditampilkan pada muka hadapan Life Magazine pada 26 November 1945. Anjing pemburu Afghan ialah baka paling popular di Australia pada tahun 1970-an dan memenangi kebanyakan rancangan utama.[10] Seekor anjing pemburu Afghan memenangi Best in Show (BIS) dalam Pertunjukan Anjing Sedunia 1996 di Budapest.[12] Anjing pemburu Afghan ialah BIS dalam Pertunjukan Anjing Westminster Kennel Club pada tahun 1957 dan sekali lagi pada tahun 1983.[13]

Baka anjing pemburu Afghan tidak lagi digunakan untuk perburuan, walaupun ia dapat terlihat dalam sukan lure coursing.[14]

Pada 3 Ogos 2005, ahli sains Korea Hwang Woo-Suk mengumumkan bahawa pasukan penyelidik beliau telah menjadi pasukan pertama yang berjaya mengklonkan seekor anjing, seekor anjing pemburu Afghan bernama Snuppy. Pada tahun 2006, Hwang Woo-Suk dipecat daripada jawatan universiti beliau kerana memalsukan data dalam penyelidikan beliau. Walau bagaimanapun, Snuppy ialah klon tulen dan dengan itu anjing klon pertama dalam sejarah.[15]

Perihal

sunting
 
Anjing pemburu Afghan ini adalah hitam dan brindle; walau bagaimanapun, foto ini menunjukkannya dengan sentuhan kemerah-merahan pada lapis bulunya, yang dapat hadir pada anjing berlapis bulu hitam.
 
Seekor anjing pemburu Afghan berlapis bulu lengkap

Anjing baka ini terdapat dengan banyak warna lapis bulu berlainan. Sebuah kajian yang memetakan gen-gen anjing pemburu Afghan dan membincangkan kesan gen pada warna lapis bulu pada baka ini diterbitkan dalam Journal of Heredity pada tahun 2010.[16]

Anjing pemburu Afghan adalah tinggi dan berdiri setinggi 61–74 cm (24–29 in) dan berukuran seberat 20–27 kg (44–60 lb). Lapis bulunya mungkin memiliki sebarang warna, tetapi tanda-tanda putih, khususnya pada kepala, tidak digalakkan; banyak individu mempunyai topeng muka hitam.[17] Suatu spesimen mungkin mempunyai janggut pada rahang bawah, yang dikenali sebagai "mandarin".[18] Sesetengah anjing pemburu Afghan hampir putih, tetapi anjing berwarna-warni (putih dengan pulau-pulau merah atau hitam) dikenakan penalti dalam piawaian AKC tetapi tidak begitu menurut FCI.[19]

Lapis bulu panjang dan bertekstur halus memerlukan penjagaan dan pendandanan banyak.[20] Toncet panjang dan pelana berbulu lebih pendek pada belakang anjing ini merupakan ciri distingtif bagi lapis bulu anjing pemburu Afghan. Tulang pinggul tinggi dan gelang kecil unik di hujung ekor juga merupakan ciri baka ini.[21]

Perangai anjing pemburu Afghan tipikal mungkin merupakan perangai menyendiri dan bermaruah, tetapi gembira dan lucu apabila bermain.[22] Baka ini, sebagaimana kecenderungan anjing pemburu penglihatan, mempunyai dorongan pemangsa tinggi dan mungkin membunuh haiwan kecil dan haiwan ternakan.[23] Kajian genom telah menunjukkan anjing pemburu Afghan sebagai salah satu baka anjing tertua.[24]

Baka ini mempunyai reputasi sesama jurulatih anjing sebagai anjing yang mempunyai "kecerdasan kepatuhan" agak perlahan; Stanley Coren, dalam buku beliau The Intelligence of Dogs, meletakkan baka ini sebagai yang terakhir dalam kalangan 138 baka yang disebut dalam kebolehan untuk memahami dan mematuhi perintah, kerana memerlukan lebih daripada 80 ulangan untuk memahami perintah baharu dan mematuhi perintah pertama kurang daripada 25% masa. Coren memerhatiakn bahawa anjing pemburu Afghan dinilai secara tekal sesama baka anjing paling tidak patuh sesama semua jurulatih yang dirujuk oleh beliau, dengan majoriti (121 daripada 199) yang menempatkan anjing pemburu Afghan dalam sepuluh baka terendah daripada 133 yang tersenarai.[25]

Varian

sunting
 
Lapis bulu gelap anjing pemburu Afghan

Khalag tazi

sunting

Khalag tazi ialah satu keragaman anjing pemburu Afghan yang diperkenalkan ke Eropah pada tahun 1920, apabila seorang pegawai Tentera Darat India, Mejar G Bell-Murray, membawa beberapa ekor pulang dari Afghanistan.[26]

Bakhmull

sunting
 
Bakhmull

Bakhmull (juga bakhmull tazi atau tazi bakhmull, juga dipanggil anjing pemburu asli Afghan) ialah keragaman berbulu panjang bagi anjing pemburu penglihatan. Ia telah dibiakbakakan kebanyakannya di Rusia dan didakwa mewakili anjing pemburu Afghan yang asli di Afghanistan.[27] Dalam bahasa Pashto, perkataan bakhmull memaksudkan "baldu",[28] yang digunakan untuk merujuk lapis bulu sutera anjing ini, yang agak banyak dan panjang pada seluruh tubuh, kecuali "pelana" (tengah hingga bawah belakang), bahagian depan keempat-empat tungkai, dan muncung. Warnanya sentiasa perang kekuning-kuningan, gading, atau putih, dengan "pelana" lebih gelap, justeru menghasilkan kesan anjing (kekuning-kuningan) yang warna lapis bulunya memadani batu pasir khaki dan batu kapur di landskap gunung dan gurun Hindu Kush. Warna-warna berikut tidak diizinkan: merah, merah dengan tompok-tompok putih, hitam, dan hitam dengan tompok-tompok putih.[29]

Sejak tahun 1980-an, pusat pembiakbakaan bakhmull ialah Rusia, bermula di Moscow, kemudian tersebar ke pelbagai tempat lain di CIS. Terkanan asasi dibawa ke Rusia pada tahun 1970-an oleh anggota tentera yang pulang dari Afghanistan. Natalia Gherasiova (seorang pembiak baka, dari kenel Blue Dale el Bark Bakhmull, dan hakim pertunjukan anjing) mengasaskan Kelab Bakhmull Kebangsaan,[27] yang bergabung dengan Persekutuan Rusia untuk Anjing Pemburu (RFOS) dan Persekutuan Kinologi Rusia (RKF). Piawaian baka pertama kali diterbitkan pada tahun 1985 dan semakan kongsi RFOS–RKF dihasilkan pada tahun 1997.[30]

Bakhmull berburu secara bersendirian dan secara berpasangan. Walaupun lapis bulunya panjang, lapis bulunya tidak memerlukan banyak penjagaan. Kakinya dilindungi dengan baik daripada kecederaan oleh "jumbai" (bulu kaki tambahan tebal). Lapis bulu baldu panjang dan staminanya menjadikannya lebih sesuai daripada banyak baka untuk cuaca mencabar. Piawaian baka mensyaratkan "gaya jalan bangsawan dan kepala cantik dengan ... mata mirip gazel". Mata patut besar, berwarna perang, condong ke atas, dan berbentuk badam, dengan pinggir bergaris luar hitam. Pewarnaan hitam diwajibkan pada hidung dan bibir untuk kedua-dua bakhmull putih dan perang kekuning-kuningan. Ketinggian jantan sepatutnya 68–73 sentimeter (27–29 in), 65–70 sentimeter (26–28 in) untuk betina. Ketinggian pada paras kelasa adalah lebih tinggi sebanyak 3–4 sentimeter (1.2–1.6 in) daripada ketinggian pada paras krup.[29]

Kesihatan

sunting

Jangka hayat

sunting

Sebuah kajian United Kingdom mendapati jangka hayat sebanyak 11.1 tahun untuk baka ini berbanding dengan purata 12.7 tahun untuk baka tulen dan 12 tahun untuk baka silang.[31]

Kebimbangan kesihatan

sunting

Isu kesihatan utama merupakan alahan, kanser, dan displasia pinggul. Seperti anjing pemburu penglihatan lain, anjing pemburu Afghan adalah peka terhadap anestesia, kerana anjing pemburu penglihatan mempunyai paras lemak badan agak rendah. Anjing pemburu Afghan juga merupakan antara baka anjing yang paling berkemungkinan untuk menghidap kilotoraks, iaitu keadaan jarang yang menyebabkan saluran toraks bocor, lalu membolehkan sejumlah besar bendalir kilus memasuki rongga dada anjing berkenaan.[32][33] Keadaan ini biasanya mengakibatkan kilasan cuping paru-paru (iaitu apabila paru-paru anjing berkenaan memintal di dalam rongga dada, lalu memerlukan pembedahan kecemasan), kerana dada berbentuk "tong" yang dalam secara tipikal pada baka ini. Jika tidak dibetulkan melalui pembedahan, kilotoraks akhirnya dapat menyebabkan pleuritis berfibrosis, atau pengerasan organ, kerana tisu parut yang terbentuk di sekeliling organ untuk melindunginya daripada bendalir kilus. Kilotoraks kerap membawa maut.[34]

Antara masalah kesihatan lain merupakan kelumpuhan larinks, kardiomiopati terdilat (yang dua kali lebih kerap pada jantan berbanding dengan betina), dan isu dermatologi seperti dermatosis responsif testosteron pada anjing jantan (yang kerap terlihat pada jantan terkembiri), penyahpigmenan hidung (yang juga dikenali sebagai hidung Dudley), dan tumor kulit. Anjing pemburu Afghan juga terdedah kepada diabetes insipidus pusat (CDI), hipotiroidisme, dan trikolemoma, iaitu keadaan jarang yang terutamanya menjejaskan anjing lebih tua pada Zaman Pertengahan.[35] Keadaan mata yang dapat berlaku termasuk sindrom poket kantal medial (predisposisi baka ini kerana rupa bentuk kepala), distrofi kornea, katarak, dan atrofi retina progresif menyeluruh (GPRA). Mielopati anjing pemburu Afghan (yang menyebabkan ataksia anggota pelvis) kadang-kadang dilaporkan.[35]

sunting
 
Chicago Picasso, 1967, oleh Pablo Picasso, mewakili kepala seekor anjing pemburu Afghan

Pablo Picasso berkata bahawa patung beliau pada tahun 1967 yang terletak di Daley Plaza di Chicago mewakili kepala seekor anjing pemburu Afghan bernama Kabul.[36]

Anjing pemburu Afghan telah diwakili dalam berbilang filem cereka dan rancangan televisyen animasi, termasuk terbitan Universal Pictures Balto (Sylvie), terbitan Disney Lady and the Tramp II: Scamp's Adventure (Ruby), terbitan Hasbro Studios Pound Puppies (Twiggy), dan terbitan ABC Kids Bluey (Indy). Seekor anjing pemburu Afghan juga muncul dalam filem One Hundred and One Dalmatians, 101 Dalmatians, 102 Dalmatians, dan 101 Dalmatians II: Patch's London Adventure. Contoh lain termasuk Putera Amir dari Kinjan daripada What-a-Mess, Persia daripada Road Rovers, Burt daripada Foofur, Laila daripada Roadside Romeo, dan Brainy Barker daripada Krypto the Superdog. Malory Archer dalam rancangan Archer juga mempunyai seekor anjing pemburu Afghan bernama Duchess pada satu ketika pada zaman kanak-kanaknya.[perlu rujukan]

Dalam novel tahun 1941 Between the Acts, Virginia Woolf menggunakan seekor anjing pe<buru Afghan bernama Sohrab untuk mewakili aspek-aspek daripada salah seorang watak manusia daripada buku itu.[37]

Anjing pemburu Afghan menampilkan dengan jelas dalam video muzik avant-garde daripada kugiran Perancis M83, "Set in Stone (M83 Remix)".[38]

Lihat juga

sunting

Catatan

sunting
  1. ^ Jawi: انجيڠ ڤمبورو افغان; bahasa Inggeris: Afghan hound

Rujukan

sunting
  1. ^ Brearley, Joan McDonald. This is the Afghan hounddate=1965 (dalam bahasa Inggeris). Diedarkan oleh Sterling Pub. Co., New York, Amerika Syarikat. Jersey City, Amerika Syarikat: T.F.H. Publications. m/s. 13–25. ISBN 978-0-87666-231-1. Dicapai pada 25 Januari 2024.
  2. ^ a b "Afghan Hound - Dog Breed Information". American Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 25 Januari 2024.
  3. ^ Parker, Heidi G.; dll. (2004). "Genetic structure of the purebred domestic dog". Science (dalam bahasa Inggeris). 304 (5674): 1160–1164, hlm. 1161 dan gambar rajah 2. Bibcode:2004Sci...304.1160P. doi:10.1126/science.1097406. PMID 15155949. S2CID 43772173.
  4. ^ Miller, Constance O. (1988). The new complete Afghan hound (dalam bahasa Inggeris). New York, New York, Amerika Syarikat: Howell Book House. m/s. 19–42. ISBN 978-0-87605-001-9. Dicapai pada 11 Mac 2024.
  5. ^ a b "Historie afgánského chrta" [Sejarah Anjing Pemburu Afghan] (dalam bahasa Czech). Diarkibkan daripada yang asal pada 4 Mac 2012. Dicapai pada 11 Mac 2024.
  6. ^ Brearley, Joan McDonald (1965). This is the Afghan hound (dalam bahasa Inggeris). Diedarkan oleh Sterling Pub. Co., New York, Amerika Syarikat. Jersey City, Amerika Syarikat: T.F.H. Publications. m/s. 22. ISBN 978-0-87666-231-1. Dicapai pada 11 Mac 2024.
  7. ^ "Afghan Hound Art and Antics". Afghan Hound Times (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 22 April 2021. Dicapai pada 11 Mac 2024.
  8. ^ "History | The Afghan Hound Association" (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 23 Julai 2014.
  9. ^ a b Flaim, Denise (19 Januari 2021). "Afghan Hound History: The Ancient Breed of Afghanistan". American Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 11 Mac 2024.
  10. ^ a b Haymann, Franck (5 Mei 2006). "Afghan Hound, From The Streets Of Kabul To The Main Rings Of The World". Chien (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 30 Ogos 2008.
  11. ^ Niblock, Margaret (1980). The Afghan hound : a definitive study (dalam bahasa Inggeris). Arco Pub. ISBN 0668049340.
  12. ^ "Facts About Afghan Hounds" (dalam bahasa Inggeris). Doglime. 5 Mac 2019.
  13. ^ "Best In Show Winners" (dalam bahasa Inggeris). Westminster Kennel Club. Diarkibkan daripada yang asal pada 25 Disember 2007. Dicapai pada 11 Mac 2024.
  14. ^ "Afghan Hound Lure Coursing" (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 12 November 2008. Dicapai pada 11 Mac 2024.
  15. ^ Palca, Joe (3 Ogos 2005). "Meet Snuppy, the World's First Cloned Dog" (dalam bahasa Inggeris). NPR. Diarkibkan daripada yang asal pada 11 Mei 2011. Dicapai pada 11 Mac 2024.
  16. ^ "Afghan Coat Color Genetics" (PDF) (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 11 Mac 2024.
  17. ^ "Afghan Hound - Dog Breed Information". American Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 11 Mac 2024.
  18. ^ "Breed Standards : Afghan Hound | United Kennel Club (UKC)". United Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 11 Mac 2024.
  19. ^ Miller, Constance O. (1988). The new complete Afghan hound (dalam bahasa Inggeris). New York, New York, Amerika Syarikat: Howell Book House. m/s. 183. ISBN 978-0-87605-001-9. Dicapai pada 11 Mac 2024.
  20. ^ Miller, Constance O. (1988). The new complete Afghan hound (dalam bahasa Inggeris). New York, New York, Amerika Syarikat: Howell Book House. m/s. 234–240. ISBN 978-0-87605-001-9. Dicapai pada 11 Mac 2024.
  21. ^ Harcourt-Brown, Bryony (2000). Afghan hound (dalam bahasa Inggeris). Dorking, United Kingdom: Interpet. m/s. 18–22. ISBN 978-1-902389-08-0. Dicapai pada 11 Mac 2024.
  22. ^ Miller, Constance O. (1988). The new complete Afghan hound (dalam bahasa Inggeris). New York, New York, Amerika Syarikat: Howell Book House. m/s. 189. ISBN 978-0-87605-001-9. Dicapai pada 11 Mac 2024.
  23. ^ Harrisson, Charles (1971). The Afghan hound (dalam bahasa Inggeris). London, United Kingdom: Popular Dogs Publishing Co. m/s. 104. ISBN 978-0-09-106930-8. Dicapai pada 11 Mac 2024.
  24. ^ Savolainen, P.; dll. (2002). "Genetic Evidence for an East Asian Origin of Domestic Dogs". Science (dalam bahasa Inggeris). 298 (5598): 1610–1613. Bibcode:2002Sci...298.1610S. doi:10.1126/science.1073906. PMID 12446907. S2CID 32583311.
  25. ^ Stanley Coren (15 Julai 2009). "Canine Intelligence—Breed Does Matter". Psychology Today (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 11 Mac 2024.
  26. ^ "Afghan Controversy: What is the correct type?" (Inggeris); Afghan Hound Times Diarkibkan 26 Julai 2014 di Wayback Machine
  27. ^ a b "Бакхмуль - Афганская Аборигенная Борзая". Bakhmull.com (dalam bahasa Rusia). Dicapai pada 11 Mac 2024.[sumber terbitan sendiri]
  28. ^ "Archive". www.davidhancockondogs.com (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 11 Mac 2024.
  29. ^ a b "Бакхмуль - Афганская Аборигенная Борзая". www.bakhmull.com (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 11 Mac 2024.
  30. ^ "Бакхмуль - Афганская Аборигенная Борзая" (dalam bahasa Inggeris). Persekutuan Rusia untuk Anjing Pemburu / Persekutuan Kinologi Rusia – melalui Bakhmull.com.
  31. ^ McMillan, Kirsten M.; Bielby, Jon; Williams, Carys L.; Upjohn, Melissa M.; Casey, Rachel A.; Christley, Robert M. (1 Februari 2024). "Longevity of companion dog breeds: those at risk from early death". Scientific Reports (dalam bahasa Inggeris). Springer Science and Business Media LLC. 14 (1). doi:10.1038/s41598-023-50458-w. ISSN 2045-2322. PMC 10834484 Check |pmc= value (bantuan).
  32. ^ Fossum, T.W.; Birchard, S.J.; Jacobs, R.M. (1986). "Chylothorax in 34 dogs". Journal of the American Veterinary Medical Association (dalam bahasa Inggeris). 188 (11): 1315–1318. PMID 3721989.
  33. ^ "Afghan Hound" (dalam bahasa Inggeris). Aubrey Animal Medical Center. Diarkibkan daripada yang asal pada 16 Ogos 2016.
  34. ^ Laudermilch, Eileen (1996). ""Chylo….What?" Chylothorax in the Afghan Hound". Afghan Hound Review (dalam bahasa Inggeris). No. September/Oktober.
  35. ^ a b Gough, Thomas (2008). Breed predispositions to disease in dogs and cats (dalam bahasa Inggeris). Oxford, Amerika Syarikat: Wiley. m/s. 11–12. ISBN 9780470690802. OCLC 232611746.
  36. ^ Coren, Stanley (15 Jun 2011). "Picasso's Dogs". Modern Dog (dalam bahasa Inggeris). Vancouver, Kanada. Diarkibkan daripada yang asal pada 3 Disember 2020. Dicapai pada 20 April 2024.
  37. ^ The Philosophy of Virginia Woolf: A Philosophical Reading of the Mature Novels (Inggeris) oleh A. O. Frank, diterbitkan oleh Akademiai Kiado, 2001, ISBN 963-05-7850-6, 978-963-05-7850-9, 165 halaman, hlm. 151
  38. ^ Lessner, Matthew (2010). "Fires of Rome - Set In Stone (M83 Remix)" (dalam bahasa Inggeris). Run Productions. Diarkibkan daripada yang asal pada 18 April 2013. Dicapai pada 11 Mac 2024.

Bacaan lanjut

sunting
  • Afghan Hounds (The World of Dogs) (Inggeris) Race L., penerbit Kingdom Books, PO Box 15, Waterlooville PO7 6BQ, 1999, England, United Kingdom, 240 halaman, bab 4, halaman 81–83, disumbangkan oleh Natalia Ghersiova, Rusia.
  • Ensiklopedia "Russian Hunting" (Inggeris). Edisi saintifik, penerbit "Big Russian Encyclopedia", 1998, hlm. 11–12, 187–188
  • Indigenous Lop Eared SightHounds From Central Africa To China (Inggeris) oleh Dr. Dominique de Caprona (C) de Caprona 2011
  • Pemulihan dan pembiakbakaan baka purba Akhmull dari Afghanistan di Rusia dihargai di Amerika Syarikat dan beberapa rencana masing-masing diterbitkan di dunia yang dikenali sebagaiThe Afghan Hound Review Keluaran Antarabangsa November–Disember 1992 hlm. 128
  • "Two Afghan Hound Breeds In Russia!" (Inggeris) The Afghan Hound Review Julai–Ogos 1995 hlm. 102, 104 "The Russian Scene" dan dalam The Afghan Hound Review Mei–Jun 2002 hlm. 22, 24, 26, 28 "Aboriginal Afghan Hounds".

Pautan luar

sunting