Anjing pemburu Småland

baka anjing dari Sweden

Anjing pemburu Småland[a] ialah satu baka anjing yang berasal dari Sweden pada abad ke-16. Sebagai baka yang disangkakan sebagai baka anjing pemburu bau tertua yang asli di Sweden, ia pertama kali diiktiraf oleh Kelab Kenel Sweden pada tahun 1921. Ia merupakan baka anjing pemburu Sweden terkecil dan mempunyai tanda-tanda hitam dan sawo matang serupa dengan anjing Rottweil. Di peringkat antarabangsa, ia diiktiraf oleh sebilangan kelab kenel dan pejabat pendaftaran termasuk Persekutuan Kinologi Antarabangsa dan United Kennel Club. Ia dianggap jarang termasuk di tanah airnya, Sweden, yang hanya mempunyai sekitar enam puluh ekor anak anjing yang didaftarkan pada setiap tahun.

Anjing pemburu Småland
Negara asalSweden
Trait
Tinggi Jantan 18–21 in (46–53 cm)
Betina 17–20 in (43–51 cm)
Warna Hitam dan sawo matang; tanda-tanda putih kecil di dada dan di jari kaki mungkin ada atau tidak
Anjing (Canis lupus familiaris)

Sejarah sunting

Baka ini telah wujud di Sweden sejak abad ke-16.[1] Namanya berasal daripada hubungan baka ini dengan Småland di Sweden selatan. Semasa zaman Empayar Sweden, sebilangan perang berlangsung dan para askar pulang ke tanah air mereka dan membawa beragam-ragam baka anjing pemburu sekali.[2] Anjing-anjing ini dibiakbakakan dengan anjing jenis spits tempatan, dan keturunannya menjadi baka pengasas bagi anjing pemburu Småland moden.[1]

Para peladang di Sweden lebih memilih anjing pemburu yang sentiasa siap siaga kerana mereka hanya mampu menanggung suapan untuk seekor anjing pemburu tunggal.[2] Maka, baka ini menjadi mahir dalam pemburuan sebilangan buruan seperti kelinci, tupai, dan rubah serta burung dan buruan lebih besar seperti elk. Semasa zaman awal ini, anjing pemburu Småland hadir dengan berbagai-bagai warna, saiz, dan panjang ekor oleh sebab ketiadaan amalan pembiakbakaan terpilih sehingga abad ke-19.[1] Dalam pertunjukan anjing pertama yang diadakan di Sweden, pada tahun 1889, 444 ekor anjing disertakan, yang terdiri daripada 189 ekor anjing jenis hound, termasuk sebilangan anjing pemburu Småland.[3] Pada awal abad ke-20, para pembiak baka berusaha untuk memulihkan baka ini kepada jenis lama, dengan ekor pendek semula jadinya.[4]

Baka ini pertama kali diiktiraf oleh Kelab Kenel Sweden pada tahun 1921,[2] tahun sama untuk penyusunan piawaian baka pertama.[1] Anjing pertama daripada baka ini yang didaftarkan ialah Skoj av Myren 789 V, yang dimiliki oleh Mary Stephens dari lembah Torne.[3] Pada masa piawaian pertama, kedua-dua ekor panjang dan pendek diizinkan di bawah peraturan.[4] Baron Frederik von Essen bertanggungjawab atas pembiakbakaan anjing pemburu Småland yang berekor pendek, yang kemudiannya menjadi trait bagi seluruh baka selepas perkembangan awalnya di Daerah Jönköping.[1] Piawaian paling terkini disusun pada tahun 1952, iaitu pada sekitar masa sama apabila anjing lain yang serupa jenis digunakan untuk menyuntik darah baharu ke dalam baka. Inilah waktu paling terkini anjing dengan latar belakang tidak diketahui diizinkan untuk didaftarkan sebagai anjing pemburu Småland.[4] Buat masa sekarang, pada angka purata, sekitar enam puluh ekor anak anjing setahun didaftarkan dengan Kelab Kenel Sweden,[2] dan oleh itu, baka ini dianggap jarang. Ia biasanya tidak terlihat di luar Sweden.[1]

Di luar Sweden, ia diiktiraf oleh Persatuan Baka Jarang Amerika,[5] Continental Kennel Club,[6] dan Persekutuan Kinologi Antarabangsa.[4] United Kennel Club mengiktiraf baka ini dengan nama Smaland Hound pada tahun 2006.[7]

Perihal sunting

Anjing pemburu Småland, yang kerap dikelirukan dengan anjing Rottweil oleh sebab pewarnaan bulu bersama, ialah baka anjing pemburu bau tertua yang asli di Sweden.[1] Ia memiliki lapis bulu atas sederhana panjang dengan lapis bulu bawah lebih pendek dan padat; bulu lebih panjang tumbuh pada ekor dan paha terumbai. Pewarnaan paling umum bagi baka ini ialah lapis bulu hitam hampir menyeluruh dengan tanda-tanda sawo matang, walaupun tanda-tandanya boleh berlainan warna antara warna ambar dengan perang kemerah-merahan.[1]

Ia mempunyai tubuh tegar dan tegap yang padat dan hampir berbentuk segi empat. Ia merupakan anjing pemburu Sweden yang terkecil,[8] dengan purata ukuran tinggi 16–21 inci (41–53 cm) pada paras kelasa dengan jantan yang lebih besar sedikit berbanding dengan betina. Purata beratnya ialah sekitar 33–44 paun (15–20 kg) untuk kedua-dua jantina.[1] Anjing pemburu Småland mempunyai ekor kontot semula jadi oleh sebab pembiakbakaan khusus untuk ciri ini ke dalam baka dan anjing tipikal daripada baka ini patut cukup berotot dengan mengikut nisbah di seluruh badan.[1]

Ciri-ciri muka termasuklah lubang hidung lebar pada hidung hitam, rahang yang tertutup dalam gigitan gunting, dan mata yang berwarna perang gelap secara tipikal. Tengkoraknya sendiri patut langsing dengan stop yang jelas terlihat. Telinganya memiliki hujung membulat dan terletak agak tinggi pada tengkorak, lalu tergantung dengan rata ke bawah dari sisi.[1]

Perangai sunting

Sebagai baka anjing pemburu Sweden yang popular, anjing daripada baka ini dapat membentuk hubungan rapat yang kuat dengan tuan-tuannya; namun juga dipandang sebagai anjing peliharaan rumah oleh sebab sifat lembut dan kuat melindungi.[1] Dalam perburuan, ia digunakan untuk membuat buruan berlari ke arah pemburu.[8] Ia merupakan baka sangat cerdas dan memerlukan banyak senaman. Maka, ia tidak sesuai untuk tinggal di dalam pangsapuri kecil. Anjing pemburu Småland sangat berwaspada terhadap orang asing dan mungkin kuat mempertahankan wilayah, tetapi ini juga dapat menjadikan anjing pemburu Småland anjing penjaga yang baik.[1] Penyertaan dalam ujian lapangan untuk anjing pemburu Småland menjadi semakin umum.[3] Ia kekal giat sehingga usia dua belas tahun.[8]

Kesihatan sunting

Kelab baka Sweden untuk anjing pemburu Småland menempah ujian genetik terhadap sebilangan anjing pada antara tahun 1994 dengan tahun 2008. Ujian menunjukkan bahawa tidak ada isu kesihatan spesifik yang unik terhadap baka ini ataupun sebarang isu generik utama. Pihak mereka mengesyorkan bahawa jika isu kesihatan jarang muncul, anjing terlibat tidak patut dibiakbakakan untuk mengelakkan isu kesihatan itu daripada merebak ke seluruh baka.[9] Ia mempunyai purata kelanjutan usia sebanyak dua belas hingga lima belas tahun.[1]

Lihat juga sunting

Catatan sunting

  1. ^ Jawi: انجيڠ ڤمبورو سمولند; Svensk: smålandsstövare; bahasa Inggeris: Småland hound

Rujukan sunting

  1. ^ a b c d e f g h i j k l m n "Smålandsstövare Information" (dalam bahasa Inggeris). Sarah's Dogs. Dicapai pada 22 Disember 2023.
  2. ^ a b c d "Sveriges hundraser" (PDF) (dalam bahasa Sweden). Kelab Kenel Sweden. Dicapai pada 22 Disember 2023.
  3. ^ a b c "Historik över Smålandsstövaren" (dalam bahasa Sweden). Svenska Smålandsstövareföreningan. Diarkibkan daripada yang asal pada 18 April 2013. Dicapai pada 22 Disember 2023.
  4. ^ a b c d "FCI-Standard N° 129 SMÅLANDSSTÖVARE" [Piawaian FCI No. 129 Anjing Pemburu Småland] (pdf). Persekutuan Kinologi Antarabangsa (dalam bahasa Inggeris). Diterjemahkan oleh Renée Sporre-Willes. 2 Oktober 2017. Dicapai pada 22 Disember 2023.CS1 maint: others (link)
  5. ^ "Smålandsstövare" (dalam bahasa Inggeris). Persatuan Baka Jarang Amerika. Diarkibkan daripada yang asal pada 26 September 2011. Dicapai pada 22 Disember 2023.
  6. ^ "Smalandsstovare" (dalam bahasa Inggeris). Continental Kennel Club. Dicapai pada 22 Disember 2023.
  7. ^ "Smaland Hound (Revised July 1, 2009)". United Kennel Club. Diarkibkan daripada yang asal pada 4 Januari 2011. Dicapai pada 22 Disember 2023.
  8. ^ a b c "Smålandsstövare" (dalam bahasa Sweden). Svenska Jagareforbundet. Diarkibkan daripada yang asal pada 21 November 2011. Dicapai pada 22 Disember 2023.
  9. ^ "Avel med smålandsstövare åren 1994 - 2008" (dalam bahasa Sweden). Svenska Smålandsstövareföreningan. Diarkibkan daripada yang asal (DOC) pada 26 Ogos 2010. Dicapai pada 22 Disember 2023.