Anjing pemburu Transilvania

baka anjing dari Hungary

Anjing pemburu Transilvania, anjing pemburu bau Transilvania,[a] atau anjing pemburu Hungary[b] ialah satu baka anjing yang berasal dari Hungary dan Transilvania (yang sebahagiannya merupakan bahagian di dalam Kerajaan Hungary-kini Romania) dan dalam sejarahnya digunakan terutamanya untik perburuan. Ia merupakan anjing pemburu bau kuat dan bersaiz sederhana, yang bercirikan tubuh hitam, dengan tanda-tanda sawo matang dan kadang-kadang putih di muncung, di dada, dan di hujung-hujung, dan tompok-tompok kening sawo matang tersendiri. Ia mempunyai salakan nyaring untuk anjing dengan saiznya. Baka ini diselamatkan daripada kepupusan melalui usaha pembiakbakaan bertumpu pada lewat abad ke-29. Pernah ada dua keragaman, yang tinggi dan yang rendah, yang dikembangkan untuk jenis perburuan berlainan pada Zaman Pertengahan. Hanya keragaman tinggi terselamat kini.[1]

Anjing pemburu Transilvania
Nama lainAnjing pemburu bau Transilvania
Anjing pemburu Hungary
Negara asalHungary
Trait
Berat Rendah — 22–25 kilogram (49–55 lb)
Tinggi — 30–35 kilogram (66–77 lb)
Tinggi Rendah — 46–51 sentimeter (18–20 in)
Tinggi — 56–66 sentimeter (22–26 in)
Bulu Berbulu pendek
Warna Rendah — Merah dan sawo matang atau triwarna
Tinggi — Hitam dan sawo matang atau triwarna
Anjing (Canis lupus familiaris)

Sejarah sunting

Ada dakwaan bahawa anjing pemburu Transilvania diturunkan daripada anjing yang dibawa oleh orang Magyar apabila mereka merentasi Pergunungan Karpatos pada abad kesembilan dan dibiakbakakan dengan anjing sudah terdapat di kawasan itu, dengan hasil keturunan yang menjadi baka pengasas untuk baka ini.[2] Pada Zaman Pertengahan, anjing ini merupakan kegemaran kebangsawanan Hungary untuk pemburuan pelbagai haiwan buruan.[1] Dua keragaman ketinggian dikembangkan untuk pemburuan buruan berlainan di rupa bumi berlainan, dan kedua-dua dibela bersama-sama.[1]

 
Anjing Pemburu Hungary – Anjing Pemburu Bau Transilvania. Farkas Gábor (1852–1917), Hajdúhadház

Keragaman tinggi digunakan untuk pemburuan buruan besar di hutan dan di lapangan, seperti bison Eropah, beruang, babi hutan, dan lynx.[1] Keragaman rendah pula digunakan untuk pemburuan rubah, kelinci, dan chamois di rupa bumi semak samun atau berbatu.[1] Baka ini merosot dan dipinggirkan ke perhutanan Karpatos, lalu berkurang dengan pertumbuhan pertanian dan perhutanan, dan menjelang permulaan abad kedua puluh, ia hampir pupus.[1] Ia hampir lenyap semasa Perang Dunia Kedua dan pada tahun 1947, selepas Transilvania sekali lagi sepenuhnya menjadi bahagian Romania. Pemerintah Romania membasmi sisa yang terselamat di wilayah itu untuk menghapuskan peringatan tentang Transilvania sebagai bekas wilayah Hungary.[3][4] Sesetengah terselamat di Hungary dan di Slovakia. Di sana, para pembiak baka berusaha untuk memulihkan baka ini.[3][5]

Pada tahun 1886, pendaftaran rasmi pertama bagi baka ini bermula dengan "Pedigri Anjing Pemburu Hungary" (Magyar Vadászeb Törzskönyv).[6] Pada tahun 1941, baka ini didaftarkan sebagai "Anjing Pemburu Hungary" oleh Kelab Anjing Penuding Kebangsaan Hungary/Bahagian Anjing Pemburu (Magyar Országos Vizsla Klub/Kopó szakosztály) dan pemulihan baka bermula dengan 27 ekor individu; Perang Dunia Kedua menamatkan ini. Operasi pemulihan lanjut bermula pada tahun 1960-an.[7]

 
Állatkerti Dákó 1970

Baka ini diiktiraf dan dipiawaikan oleh Persekutuan Kinologi Antarabangsa pada tahun 1963, dengan penerimaan tetap pada 30 Mac pada tahun itu.[8] Pada tahun 1968, usaha lanjut bermula untuk memulihkannya.[1] Pada abad kedua puluh satu, bilangan tinggi bagi keragaman tinggi bagi anjing ini dapat ditemukan di Hungary dan di Romania.[1]

Anjing pemburu Transilvania, sewajarnya, diiktiraf oleh kumpulan pembiak baka dan penggemar anjing kebangsaan, Kelab Kenel Hungary (yang menggunakan piawaian baka FCI).[9]

 
Taburan geografi: Abad ke-17–1966

Perihal sunting

 
Anjing pemburu Transilvania yang bertungkai pendek dan yang bertungkai panjang

Terdapat dua keragaman saiz bagi anjing pemburu Transilvania, namun piawaian baka FCI hanya memerihalkan keragaman bertungkai panjang. Keragaman bertungkai pendek biasanya berdiri setinggi 46–51 cm (18–20 in) dan keragaman bertungkai panjang berdiri setinggi 56–66 cm (22–26 in).[1][3][4][10][11]. Keragaman bertungkai pendek biasanya berukuran seberat 22–25 kg (49–55 lb) manakala keragaman bertungkai pendek berukuran seberat sekitar 30–35 kg (66–77 lb).[3][10] Ia mempunyai kepala tipikal anjing pemburu bau, panjang tetapi tidak menirus dan bebas daripada kedutan; telinganya bersaiz sederhana dan berjuntai, lebar di tengah dan menirus ke hujung membuat.[3][10] Tubuhnya agak panjang tetapi berbentuk segi empat sama, dadanya lebar dan panjang tetapi tidak terlalu dalam; ekornya yang terletak rendah-rendah kekal tidak terpotong, dan apabila berburu biasanya terangkat secara melengkung di paras belakang.[10] Lapis bulunya pendek, lurus, dan padat, lebih panjang sedikit pada keragaman bertungkai panjang berbanding dengan yang pada keragaman bertungkai pendek. Keragaman bertungkai pendek biasanya merah gelap dan sawo matang atau triwarna merah gelap dan sawo matang (merah gelap, sawo matang, dan putih) dari segi warna, manakala keragaman bertungkai panjang biasanya hitam dan sawo matang atau triwarna hitam dan sawo matang (hitam, sawo matang, dan putih).[4][10]

Iklim benua di tanah airnya, dengan musim panas yang amat panas dan musim sejuk yang amat sejuk dengan salji yang turun dengan lebat, telah menghasilkan baka dengan stamina hebat serta kebolehan penghiduan sangat tajam dan boleh diharap.[10][2]

Anjing pemburu Transilvania biasanya patuh, bersifat baik, bertolak ansur terhadap kanak-kanak, dan mudah dilatih; sebagai anjing pemburu kawanan, ia sangat mesra dengan anjing lain.[4][10][2][12] Ia diperilhalkan sebagai anjing menyendiri, agak berwaspada, dan berperwatakan kaji diri; apabila berburu, ia menunjukkan keberanian dan deria haluan yang bagus.[3][10][2][12]

Catatan sunting

  1. ^ Jawi: انجيڠ ڤمبورو ترنسيلۏانيا; Hungary: erdélyi kopó, sebutan Hungary: [ˈɛrdeːji kopoː]; Romania: copoi ardelenesc sebutan Romania: [ko'poj ardele'nesk]; bahasa Inggeris: Transylvanian scent hound; Transylvanian scenthound; Transylvanian hound
  2. ^ Jawi: انجيڠ ڤمبورو هڠݢري; bahasa Inggeris: Hungarian hound

Rujukan sunting

  1. ^ a b c d e f g h i "FCI-Standard N° 241 ERDÉLYI KOPÓ (Hungarian Hound – Transylvanian Scent Hound)" [Piawaian FCI No. 241 Anjing Pemburu Transilvania] (pdf). Persekutuan Kinologi Antarabangsa (dalam bahasa Inggeris). Diterjemahkan oleh C. Seidler dan Elke Peper. Bahasa rasmi: Bahasa Perancis. 13 September 2000. Dicapai pada 28 Disember 2023.CS1 maint: others (link)
  2. ^ a b c d Alderton, David (2000). Hounds of the world (dalam bahasa Inggeris). Shrewsbury, United Kingdom: Swan Hill Press. m/s. 113. ISBN 1-85310-912-6.
  3. ^ a b c d e f Fogle, Bruce (2009). The encyclopedia of the dog (dalam bahasa Inggeris). New York, Amerika Syarikat: DK Publishing. m/s. 192. ISBN 978-0-7566-6004-8.
  4. ^ a b c d Morris, Desmond (2001). Dogs: the ultimate dictionary of over 1,000 dog breeds (dalam bahasa Inggeris). North Pomfret, Vermont, Amerika Syarikat: Trafalgar Square Publishing. m/s. 109–110. ISBN 1-57076-219-8.
  5. ^ Tőkés Lóránt, Pelczéder Tibor: Az Erdélyi kopó történelméhez, in. Az erdélyi kopóról, 21. oldal, Budapest, 2021
  6. ^ Vadász és Versenylap, Budapest, 1879
  7. ^ Dr. Tóth Zoltán: Az erdélyi kopó in. Hunor vadászkönyv 185
  8. ^ "FCI breeds nomenclature: Erdélyi Kopó (241)". Persekutuan Kinologi Antarabangsa (dalam bahasa Inggeris). Thuin, Belgium. Dicapai pada 28 Disember 2023.
  9. ^ "Erdélyi Kopó". KennelClub.hu (dalam bahasa Hungary). Budapest, Hungary: Magyar Ebtenyésztők Országos Egyesülete [Kelab Kenel Hungary]. 2013. Diarkibkan daripada yang asal pada 9 September 2013. Dicapai pada 28 Disember 2023.
  10. ^ a b c d e f g h Fiorone, Fiorenzo (1973). The encyclopedia of dogs: the canine breeds (dalam bahasa Inggeris). New York, Amerika Syarikat: Thomas Y. Cromwell Company. m/s. 198. ISBN 0-690-00056-1.
  11. ^ Hancock, David (2014). Hounds: hunting by scent (dalam bahasa Inggeris). Ramsbury, Marlborough, United Kingdom: The Crowood Press Ltd. m/s. 169. ISBN 978-1-84797-601-7.
  12. ^ a b Alderton, David (2008). The encyclopedia of dogs (dalam bahasa Inggeris). Bath: Parragon Books Ltd. m/s. 224. ISBN 978-1-4454-0853-8.