Antillen Besar
Antillen Besar (Sepanyol: Grandes Antillas ; Perancis: Grandes Antilles ; Kreol Haiti: Gwo Zanity; Patois Jamaica: Grieta hAntiliiz) ialah kelompok pulau-pulau besar di Laut Caribbean, termasuk Cuba, Hispaniola, Puerto Rico, Jamaica, dan Kepulauan Cayman. Enam negara pulau wujud dalam wilayah Antillen Besar, dengan Haiti dan Republik Dominika berkongsi pulau Hispaniola. Secara geologi, Kepulauan Virgin dan Pulau Sombrero juga merupakan sebahagian daripada Antillen Besar, walaupun secara politik mereka dianggap sebagai bagian dari Antilles Kecil. Dengan keluasan 207,411 kilometer persegi (80,082 bt2), tidak termasuk Kepulauan Virgin, Antillen Besar merupakan hampir 90% dari keluasan seluruh Hindia Barat,[1] serta lebih daripada 90% penduduk kawasan itu. Keluasan selebihnya ialah kepulauan Antillen Kecil, suatu rantaian pulau di sebelah timur yang membentang dari utara ke selatan dan merangkumi pinggir timur Laut Caribbean dan bertemu dengan Lautan Atlantik, dan juga kepulauan di selatan yang memanjang dari timur ke barat di kawasan pantai utara Amerika Selatan. Kepulauan Lucayan tidak dianggap sebagai sebahagian dari kepulauan Antillen dan disifatkan sebagai sebahagian daripada Atlantik Utara.
Antillen Besar Grandes Antilles (Perancis) Antillas Mayores (Sepanyol) | |
---|---|
Subbahagian Caribbean | |
Negara pulau | |
Keluasan | |
• Jumlah | 207,411 km2 (80,081 batu persegi) |
Penduduk (2014) | |
• Jumlah | 38,400,500 |
• Kepadatan | 171.45/km2 (444.1/batu persegi) |
Zon waktu | AST: UTC-4/ADT: UTC-3 |
Walaupun sebahagian besar Antillen Besar terdiri daripada negara-negara berdaulat, pulau Puerto Rico ialah wilayah Amerika Syarikat tidak diperbadankan, sementara Kepulauan Cayman ialah Wilayah Luar Negeri British. Pulau terbesar berdasarkan kawasan dan populasi ialah Cuba yang meluas hingga ke hujung barat kumpulan pulau. Puerto Rico terletak di hujung timur, dan pulau Hispaniola terletak di tengah-tengah. Jamaica terletak di selatan Cuba, sementara Kepulauan Cayman terletak di sebelah barat. Negeri Florida memiliki titik terdekat ke Antillen Besar di daratan AS, sementara Florida Keys, walaupun tidak berada dalam Antillen Besar ialah sekumpulan pulau di utara Cuba.
Antillen Besar dianggap sebagai sebahagian dari Amerika Latin. Dengan populasi 38 juta orang, kepulauan ini memiliki 6% daripada jumlah penduduk Amerika Latin. Havana, ibu kota Cuba adalah bandar terbesar di Antillen Besar dengan populasi 2 juta. Bandar-bandar besar lain termasuk Santo Domingo, Port-au-Prince, dan San Juan. Kualiti hidup di Antillen Besar serupa dalam kalangan Cuba, Republik Dominika dan Jamaica; Indeks Pembangunan Manusia (HDI) mengkategorikan negara-negara sebagai negara dengan pembangunan manusia yang "tinggi". Cuba, negara merdeka dengan nilai HDI tertinggi, bagaimanapun mengikuti Puerto Rico dan Kepulauan Cayman, yang masing-masing mempunyai nilai pembangunan manusia "tinggi" dan "sangat tinggi". Haiti adalah pengecualian yang memiliki nilai HDI terendah di Antillen Besar dan di seluruh benua Amerika dengan nilai 0.498, iaitu tahap "rendah".[2]
Bahasa yang dituturkan di Antillen Besar kebanyakannya ialah bahasa kolonial dengan beberapa pengaruh kreol. Haiti adalah satu-satunya negara yang memiliki bahasa kreole, Kreol Haiti bahasa rasmi selain bahasa Perancis. Selain itu, bahasa Sepanyol dan Inggeris dituturkan di kawasan-kawasan Antillen Besar lain.
Sejarah
suntingPerkataan Antilles berasal dari zaman sebelum penaklukan Eropah di Dunia Baru. Orang Eropah menggunakan istilah Antillia sebagai salah satu tanah misteri yang terdapat pada peta-peta abad pertengahan, kadang-kadang sebagai kepulauan dan kadang-kadang sebagai tanah berterusan dengan lokasi yang berubah-ubah di tengah lautan, yakni di antara Kepulauan Canary dengan Eurasia. Hubungan Eropah pertama dengan Antillen Besar datang daripada pelayaran pertama Christopher Columbus ke Amerika, ketika dia berlayar ke selatan dari Bahamas untuk menjelajahi pantai timur laut Cuba dan pantai utara Hispaniola. Orang Sepanyol mula membuat penempatan tetap di Cuba dan Hispaniola. Perdagangan hamba Atlantik membawa banyak orang Afrika ke pulau-pulau ini. Perancis mula meluaskan pengaruh di wilayah Haiti dari tahun 1625 lalu membahagikan Hispaniola menjadi dua bahagian. Kawasan jiran, Jamaica diserang oleh British dan mengalahkan penjajah Sepanyol.
Revolusi Haiti ialah pemberontakan antiperhambaan dan antikolonial pertama dan satu-satunya pemberontakan yang berjaya oleh hamba yang dibebaskan secara sendiri, dan menubuhkan negara Haiti yang merdeka, menjadikan Haiti sebagai negara merdeka pertama Antilles Besar, Caribbean dan Amerika Latin sebagai keseluruhannya.[3] Negara berikutnya untuk mencapai kemerdekaan, Republik Dominika yang juga berada di Hispaniola, mengisytiharkan kemerdekaan daripada Sepanyol pada tahun 1821. Negara itu digabungkan dengan Haiti di bawah Penyatuan Hispaniola sejurus selepas merdeka. Republik Dominika kembali merdeka pada tahun 1844 melalui Perang Kemerdekaan Dominika. Kawasan-kawasan Antillen Besar lain kekal di bawah penjajahan selama seratus tahun lagi. Bersama-sama Filipina di Asia, Sepanyol memindahkan hak milik Cuba dan Puerto Rico kepada Amerika Syarikat (AS) akibat kekalahan dalam Perang Amerika Syarikat–Sepanyol pada tahun 1898, bertepatan dengan Perang Kemerdekaan Cuba. Ini menjadi kehilangan terakhir wilayah Sepanyol di benua Amerika. Pemerintahan tentera AS di pulau itu berlangsung hingga tahun 1902 apabila Cuba akhirnya diberi kemerdekaan formal.
Revolusi Cuba pada tahun 1959 menjadikan Cuba sebagai satu-satunya negara Komunis di Antillen Besar.[4] Proses penyahjajahan berlaku di Jamaica dan pihak British memberikan kemerdekaan pada bulan Ogos 1962, menjadikan Jamaica sebagai negara terakhir yang mendapat kemerdekaan di Antillen Besar.
Geografi
suntingAntillen Besar merangkumi empat pulau utama dan banyak pulau yang lebih kecil. Pulau Cuba adalah pulau terbesar di Antillen Besar, Amerika Latin dan Caribbean. Ia diikuti oleh Hispaniola.
Senarai negara dan kebergantungan
suntingNama | Kawasan (km²) |
Penduduk (2017) |
Kepadatan penduduk (per km²) |
Ibu negara | Bahasa rasmi |
---|---|---|---|---|---|
Kepulauan Cayman (UK) | 264 | 58,441 | 207.9 | George Town | Bahasa Inggeris |
Cuba | 110,860 | 11,147,407 | 102.4 | Havana | Sepanyol |
Republik Dominika | 48,442 | 10,734,247 | 183.7 | Santo Domingo | Sepanyol |
Haiti | 27,750 | 10,646,714 | 292.7 | Port-au-Prince | Kreol Haiti, Perancis |
Jamaica | 10,991 | 2,990,561 | 248.6 | Kingston | Bahasa Inggeris |
Puerto Rico (AS) | 9,104 | 3,351,827 | 430.2 | San Juan | Sepanyol, Inggeris |
Jumlah | 207,411 | 38,929,197 | 169.05 |
Rujukan
sunting- ^ "Greater Antilles". Encyclopædia Britannica. Dicapai pada 28 May 2015.
- ^ "Human Development Report 2018 – "Human Development Indices and Indicators"" (PDF). HDRO (Human Development Report Office) United Nations Development Programme. pp. 22–25. Retrieved 14 September 2018.
- ^ "Haiti | History, Geography, & Culture". Encyclopedia Britannica (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2019-06-14.
- ^ "Cuba Marks 50 Years Since 'Triumphant Revolution'". NPR.org (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2019-06-14.
Bacaan lanjut
sunting- Cohen, S.; Groene, J.; Werner, L.; Vladimir, U.; Williams, D.; Walter, C.; Hiller, H.L. (1997). Caribbean: The Greater Antilles, Bermuda, Bahamas. Explore the world Nelles guide. Nelles Verlag. ISBN 978-3-88618-403-3. 254 muka surat.
- University, J.R.P.B.S.S. (1995). Anolis Lizards of the Caribbean : Ecology, Evolution, and Plate Tectonics: Ecology, Evolution, and Plate Tectonics. Oxford Series in Ecology and Evolution. Oxford University Press, USA. m/s. 88. ISBN 978-0-19-536191-9.
- Rogozinski, Jan. A Brief History of the Caribbean. New York: Facts on File, 1992.
Pautan luaran
suntingKategori berkenaan Antillen Besar di Wikimedia Commons