Anugerah Juara Lagu ke-24

(Dilencongkan daripada Anugerah Juara Lagu 2009)

Anugerah Juara Lagu 2009 dilangsungkan pada 10 Januari 2010[1], menyaksikan persaingan antara 14 buah lagu yang buat kali pertama dalam sejarah pertandingan, tidak dibahagikan mengikut kategori genre lagu seperti tahun-tahun sebelumnya. Kesemua 14 finalis diumumkan pada malam 20 November 2009 setelah mengira markah keseluruhan kesemua 30 lagu yang dipertandingkan di separuh akhir tiga minggu. Gelaran Juara Lagu 2009 jatuh di tangan lagu "Pergi" ciptaan Pete Teo untuk nyanyian Aizat.

Anugerah Juara Lagu
ke-24
Tarikh10 Januari 2010
TempatStadium Putra Bukit Jalil
PengacaraFaizal Ismail
Cheryl Samad
Ally Iskandar
Tempoh Tayangan3 jam
Juara LaguPergi
  • ← 2008
  • 2010 →

Para peminat muzik tanah air digemparkan dengan keputusan buat pertama kalinya dalam penganjuran Muzik-Muzik/AJL bahawa lagu-lagu yang dipertandingkan tidak dibahagi mengikut kategori "Pop/Rock", "Balada" dan "Irama Malaysia dan Etnik Kreatif", sebaliknya mengadakan pertandingan terbuka antara semua lagu yang layak tanpa mengira genrenya. Menurut Pengurus Produksi Hiburan Primeworks Studio, Fadzliniza Zakaria, "Sejak dulu, kami sentiasa terbuka dengan cadangan dan pendapat serta kehendak dalam industri muzik itu sendiri bagi meningkatkan lagi mutu program Muzik-Muzik. Sebab itulah Muzik-Muzik 24 tampil dengan format baru di mana pencalonan lagu lebih fleksibel dan ini bermakna lagu-lagu yang dicalonkan terbuka kepada semua kategori lagu, tujuannya adalah untuk memberi peluang kepada penggiat-penggiat seni muzik supaya bebas berkarya dan hasil ciptaan mereka tidak terbatas kepada tiga kategori utama ini saja. Oleh itu, lagu-lagu yang bakal dicipta lebih luas genrenya dan ini sekaligus dapat mengembangkan lagi hasil seni ciptaan pengkarya tempatan. Kita tidak mahu penggiat seni muzik hanya bergantung kepada kategori untuk menentukan muzik mereka supaya lagu-lagu yang bakal dihasilkan tidak terbatas dan dengan ini industri akan lebih maju."[2]

Kekurangan lagu etnik kreatif diakui menjadi faktor utama pembahagian mengikut kategori digugurkan kali ini. Tambah Fadzliniza, "Kami tidak mahu tangkap muat dan masukkan semua lagu itu hanya kerana Etnik kreatif mempunyai sedikit saja lagu. Ia akan memalukan kami. Sewaktu kami masih wujudkan kategori ini, ada yang berhasrat buat lagu bergenre ini semata-mata untuk masuk Muzik-Muzik, tetapi malangnya ia tidak berkualiti. Sebab itu saya rasa lebih baik Muzik-Muzik kali ini dibuat secara terbuka dan semua lagu berlainan genre dapat bersaing sama."[2] Dari 30 buah lagu yang bertanding sepanjang separuh akhir, 14 buah lagu yang layak ke AJL dipilih oleh Azlan Abu Hassan, Mohariz Yaakub, Ahadiat Akashah, Helen Yap dan Azhar Borhan.[1] Pada setiap malam separuh akhir pertama dan kedua, para juri telah memilih lima lagu paling tinggi markahnya tetapi tidak memuktamadkan kelayakannya ke AJL, sebaliknya sekadar mengumumkan lagu-lagu mana yang paling bagus prestasinya sehingga senarai muktamad dikumpul dari kesemua 30 lagu yang dipertandingkan sepanjang ketiga-tiga malam separuh akhir, pada akhir malam ketiga.

Pada 15 Disember 2009, sesudah kesemua 14 finalis diumumkan, sebuah sidang media diadakan di Rootz Club, Bukit Bintang, untuk memperkenalkan tema AJL24, iaitu 'Music Unfolds' yang memperingati perjalanan industri muzik Malaysia dari 1960-an hingga tahun 2000. Ahmad Shaifullizam Arshad (Gbam) diumumkan sebagai penerbit AJL kali ini. Katanya, "Maksud saya, perubahan bukan sahaja akan dilakukan dari segi lagu dan susunan tetapi juga persembahan pentas,"[3] iaitu menyentuh pentas bergerak yang menyerikan majlis gilang-gemilang. AJL24 dilaporkan menelan belanja RM 2 juta.[4]

Muzik-Muzik Separuh Akhir

sunting

Sila rujuk Separuh Akhir Muzik Muzik 24

Anugerah Juara Lagu

sunting

Acara kemuncak AJL ke-24 berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil pada 10 Januari 2010. Cheryl Samad, Faizal Ismail dan Ally Iskandar sekali lagi digandingkan sebagai pengacara.

Acara AJL 24 bermula dengan sedutan 'Red Carpet' pada pukul 7.30 malam, diikuti dengan upacara sebenar bermula pukul 9 malam.

Lagu pembukaan majlis ialah Juara Lagu tahun sebelumnya, "Lagu Untukmu" nyanyian Dato' Siti Nurhaliza dan Azlan & the Typewriter (Azlan ialah bekas vokalis Meet Uncle Hussain, penyanyi asal lagu ini).

Turutan persembahan lagu-lagu yang bertanding adalah seperti berikut.

Sebelum keputusan diumumkan, para penonton disajikan dengan medley yang meraikan tema AJL kali ini, iaitu peralihan industri muzik berkumpulan di Malaysia dari zaman pop-yeh-yeh 1960-an hingga gelombang indie 2000-an.

Pemenang-pemenang diumumkan seperti berikut:

 
Faizal Tahir, Yuna dan rakan-rakan, Aizat & Black bersama-sama trofi masing-masing
  • Juara Lagu: "Pergi" – Aizat (RM 35,000 dan trofi)
  • Naib Juara Lagu: "Dan Sebenarnya" – Yuna (RM 15,000 dan trofi)
 
Faizal Tahir semasa mempersembahkan lagu Bencinta
  • Tempat Ketiga: "Bencinta" – Faizal Tahir (RM 12,000 dan trofi)
  • Persembahan Terbaik: "Kau Aku" – Aizat (RM 10,000 dan trofi)
  • Vokal Terbaik: "Aku Rindu Sayang Kamu" – Black Hanafiah (RM 10,000 dan trofi)
  • Lagu Paling banyak dimuat turun ( Hotlink ) : Bengang - Akim
  • Penyanyi paling popular : Stacy (RM5,000 dan trofi)

Pemilihan pemenang Juara Lagu, Naib Juara Lagu dan Tempat Ketiga dibuat 70% sebelum persembahan dan 30% berdasarkan persembahan pada malam pertandingan. Sementara untuk anugerah Persembahan dan Vokal Terbaik, pemilihan dibuat berdasarkan persembahan pada malam pertandingan.

Finalis

sunting

Untuk melihat senarai semi-finalis untuk Juara Lagu ke-24, sila lihat Separuh Akhir Muzik Muzik 24.

Untuk merujuk senarai penuh finalis sepanjang penganjuran AJL, sila lihat Senarai lagu finalis Anugerah Juara Lagu.

Berikut adalah senarai finalis mengikut turutan giliran persembahan yang berentap di AJL ke-24:

Giliran Tajuk Lagu Komposer Penulis Lirik Penyanyi Petikan Album Label Keputusan
1 "Aurora" Richael Lawrence Gimbang
Solihuddin Hormat (Din Hormatov)
Nor Hanafi
Azwin Andy Malik
Richael Lawrence Gimbang Kumpulan Estranged "Remain Unknown" [5] EAD Entertainment [6] Finalis
2 "Tak Mungkin Kerana Sayang" Mohd Faizal Maas (Ajai) Habsah Hassan Alyah "Alyah" [7] Universal Music- Wake The Baby Finalis
3 "Cinta Adam dan Hawa" Azhar Abu Bakar (Azmeer) Rosli Khamis (Loloq) Misha Omar "Misha Omar" [8] Sony Music Finalis
4 "Masih Jelas" Aidit Alfian Ahmad Shahadrian Abdul Samad (Ad Samad) Hafiz Suip "Masih Jelas" [9] Warner Music - Astro Entertainment Finalis
5 "Situasi" Shamsul Annuar Mohd Baharom (Sam Baharom) Kumpulan Bunkface "The Wknd Sessions Ep. 11: Bunkface - EP" [10] Bright Lights Productions Finalis
6 "Pakai Buang" Edry Abdul Halim Stacy Anam "Aku Stacy" [11] Universal Music- Maestro Finalis
7 "Pergi" Chang Xi Foo (Pete Teo) Amran Omar Aizat Amdan "Runut Bunyi Filem Talentime" [12] Universal Music Juara
8 "Aku Skandal" Muhammad Noh Salleh Kumpulan Hujan "Check Check Rock Rock" [13] Hujan Selaseh Sdn Bhd Finalis
9 "Rindu Terhenti" Teh Boon Eng @ Aubrey Naga Suwito (Aubrey Suwito) Shathesh Raj A/L Ramachandran (Tinta S) Tomok "Tomok" [14] Monkey Bone Finalis
10 "Aku Rindu Sayang Kamu"" Yuzai Juperi Black Hanifah "Obsesi" [15] Monkey Bone Vokal Terbaik
11 "Bengang" Amir Mahiyidin (Are-mer) Sheikh Kalam Akim Ahmad "Masih Jelas" [16] Warner Music - Astro Entertainment Finalis
12 "Dan Sebenarnya" Yunalis Zarai Yunalis Zarai Yuna Zarai
Kumpulan The Palauan
"Yuna (EP)" [17] Fantasia Music City - Yuna Room Records Naib Juara
13 "Kau, Aku" Aizat Amdan Aizat Amdan "Percubaan Pertama" [18] Broadcast Music Inc. - Kasi Gegar Entertainment Persembahan Terbaik
14 "Bencinta" Mok Chuang Yew (Audi Mok) Faizal Tahir Faizal Tahir "Adrenalin" [19] Universal Music - Monkey Bone / EMI Ketiga

Sambutan

sunting

Menurut sumber kajian AGB Nielsen, siaran langsung AJL24 berjaya mencatat jumlah penontonan sebanyak 4.6 juta atau 68.3% jumlah penonton pada waktu tayangannya. Selain itu, siaran langsung ini juga disambut hangat di Internet dengan sebanyak 20 ribu pelayar menyaksikan penstriman AJL24 dan paparan Di Sebalik Tabir, menjadikannya antara acara yang paling banyak ditonton di Asia Tenggara (sumber Octoshape Infinite Edge Internet Media); sebanyak 30% penonton Internet berasal dari luar Malaysia.[20]

Rujukan

sunting
  1. ^ a b Li Ee Kee (21 November 2009). "Siapa Berjaya Mara Ke AJL 24?". gua.com.my. Dicapai pada 21 November 2009.
  2. ^ a b Wahida Asrani (24 Oktober 2009). "AJL24 bertanding tanpa kategori". mStar. Diarkibkan daripada yang asal pada 2012-04-02. Dicapai pada 21 November 2009.
  3. ^ Siti Azira Abd Aziz (17 Disember 2009). "AJL24: 'Music Unfolds' Rai Era Muzik 60-an, 70-an, 80-an Dan 2000". mStar. Dicapai pada 21 Disember 2009.
  4. ^ Li Ee Kee (16 Disember 2009). "AJL24 Menelan Bajet RM2 juta". gua.com.my. Dicapai pada 21 Dis 2009.
  5. ^ https://www.discogs.com/Estranged-Remain-Unknown/release/7308639
  6. ^ https://www.discogs.com/label/878701-EAD-Entertainment
  7. ^ https://music.apple.com/us/album/alyah/1527454322
  8. ^ https://music.apple.com/ca/album/misha-omar/311210023
  9. ^ http://khazanah-muzik.blogspot.com/2012/05/hafiz-masih-jelas-2009.html
  10. ^ https://music.apple.com/us/album/situasi/807394465?i=807394467
  11. ^ https://music.apple.com/us/album/pakai-buang/908229771?i=908229784
  12. ^ https://music.apple.com/gb/album/talentime-original-motion-picture-soundtrack/1442490841
  13. ^ https://music.apple.com/gb/album/check-check-rock-rock-ep/1507567454
  14. ^ https://music.apple.com/gb/album/rindu-terhenti/1318155120?i=1318155685
  15. ^ https://music.apple.com/gb/album/aku-rindu-sayang-kamu/1317666437?i=1317666442
  16. ^ http://khazanah-muzik.blogspot.com/2012/05/hafiz-masih-jelas-2009.html
  17. ^ https://music.apple.com/gb/album/yuna/740397204
  18. ^ https://music.apple.com/us/album/percubaan-pertama/863165058
  19. ^ https://www.discogs.com/Faizal-Tahir-Adrenalin/release/7646731
  20. ^ "AJL24 Cecah Rekod 5 Juta Penonton". gua.com.my. 14 Januari 2010. Dicapai pada 16 Januari 2010.