Baba Ismail Sepanjang

ulama dan pendakwah dari Patani, Thailand Selatan

Tuan Guru Baba Ismail Sepanjang atau Ismail bin Umar ialah seorang ulama Islam yang berasal dari Pattani, Thailand. Beliau ialah tuan guru pondok di Maahad Darul Muhajirin Narathiwat dan merupakan Ahli Jawatankuasa Fatwa Persatuan Ulama Pattani[1]

Tuan Guru Baba

Haji Ismail Sepanjang
Kelahiran
Ismail bin Omar

1955
Kampung Dusun Sepanjang, Penare. Pattani, Thailand
Pendidikan
  • Pondok Tuan Guru Baba Haji Abdul Latif Dusun Sepanjang
  • Pondok Tuan Guru Baba Haji Abdul Qader Sekam
  • Makkah Al-Mukarramah, Arab Saudi
Pekerjaan
  • tuan guru pondok
  • Ahli jawatankuasa fatwa Persatuan Ulama Fatoni

Latar belakang sunting

Ismail dilahirkan pada 1955 di Kampung Dusun Sepanjang, daerah Penare (Penarik), Pattani. Kampung tersebut terletak kira-kira 20 km dari Bandar Patani. Beliau merupakan anak bongsu dan anak lelaki tunggal dalam kalangan 3 beradik[2]. Bapanya bernama Wan Umar bin Wan Abdul Latif bin Wan Abdul Karim, manakala ibunya Siti Khadijah binti Ismail. Kedua-duanya berasal dari Patani, tetapi keturunan ibunya berasal dari Johor, Malaysia.

Pendidikan sunting

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kampung Dusun Sepanjang. Kemudian, beliau menyambung pendidikan di pondok berdekatan rumahnya ketika berusia 14 tahun. Beliau dihantar belajar agama oleh keluarganya dengan Tuan Guru Haji Abdul Latif. Selain itu, beliau juga berguru dengan Tuan Guru Haji Abdul Rahman dengan mendalami pelbagai ilmu Islam dan bahasa Arab seperti Tafsir, Hadis, Fiqah dan Nahu. Beliau turut belajar di pondok lain sekiranya cuti semester.

Ketika berusia 21 tahun, beliau berpindah ke Pondok Syeikh Abdul Qadir Haji Wangah (Baba Der Sekam) yang terletak di Kampung Wakaf Budi, Sekam, Pattani. Pondok tersebut dikenali dengan pembelajaran ilmu tauhid. Beliau menuntut ilmu di sana sehingga berusia 30 tahun. Ketika di sana, beliau bukan hanya belajar tetapi turut mengajar di pondok tersebut. Beliau juga mula menerima undangan daripada masjid-masjid untuk mengajar masyarakat sekitar. Antara tempat yang beliau mengajar ialah Masjid Yala (lebih 21 tahun) dan Masjid Patani (lebih 22 tahun).

Berkeluarga sunting

Ketika umur beliau 29 tahun, beliau mendirikan rumahtangga dengan Hajah Sabariah binti Tuan Guru Haji Abdul Aziz. Hasil perkahwinan tersebut, beliau dikurniakan 5 cahaya mata (2 lelaki dan 3 perempuan). Isteri beliau merupakan anak kepada Tuan Guru Abdul Aziz bin Ismail al-Fathani yang merupakan menantu kepada Baba Der Sekam.

Membuka pondok sunting

Ketika berumur 31 tahun beliau telah pergi ke Mekah dan bermukim di sana selama 7 bulan. Pada tahun 1993, setelah kembali dari Mekah, Ismail membuka pondok di Kampung Kubang Ikan, Narathiwat yang dikenali dengan nama Maahad Darul Muhajirin. Dalam tempoh tersebut, beliau juga selalu berulang-alik ke Kelantan untuk memenuhi jemputan mengajar. Akhirnya pada tahun 1998, pondok beliau telah berpindah ke kampung beliau sendiri di Kampung Dusun Sepanjang hinggalah ke hari ini.

Rutin harian beliau dipenuhi dengan mengajar agama kepada pelajar yang datang dari pelbagai pelosok, dalam dan luar negara seperti Kemboja, Malaysia dan Burma tanpa menerima sebarang bayaran. Sehingga kini, terdapat lebih daripada 200 orang pelajar yang sedang menuntut di pondok beliau. Pengajian berlangsung sepanjang tahun melainkan pada waktu cuti iaitu 15 Sya’ban hingga 15 Syawal ( 2 bulan ), cuti Raya Haji ( seminggu ) dan bulan Rabiulawal ( 1 bulan ).

Selain itu, Baba Eil juga memberi khidmat masyarakat dengan mengajar pada setiap hari Sabtu di Masjid Patani dan setiap Ahad di Masjid Yala. Kuliah Baba Eil sering disiarkan di radio tempatan.

Kitab-kitab yang diajar sunting

Antara kitab yang diajar oleh beliau ialah:

Bidang Tajuk kitab Catatan
Tauhid Nur az-Zolam Syarah Aqidah al-Awwam karya Syeikh Nawawi al-Bantani
Tuhfah al-Murid Syarah Jauharah at-Tauhid karya Imam Ibrahim al-Bajuri
Dur as-Samin fi Aqaid al-Mu’min karya Syeikh Daud al-Fathani
Mizan az-Zarari karya sendiri
Bakurah al-Amani karya Syeikh Wan Ismail Wan Abdul Qadir al-Fathani (Pk Da Eil)
Misbah al-Munir fi Ma’rifah Allah al-Qadir karya Tuan Guru Abdul Aziz bin Ismail al-Fathani
Mawaiz al-Iman karya sendiri
Fath al-Majid Syarh Durr al-Farid fi Aqaid Ahl at-Tauhid karya Syeikh Nawawi al-Bantani
Hasyiah asy-Syarqawi ‘ala al-Hudhudi karya Imam Abdullah asy-Syarqawi
Mawaqif al-Marjan karya sendiri
Tafsir al-Quran Futuhat al-Ilahiyyah Syarah Tafsir al-Jalalain karya Imam Sulaiman bin Umar al-Jamal
Tafsir Nur al-Ihsan karya Tuan Guru Muhammad Sa’id bin Umar Khatib
Hadis Hasyiah al-Ajhuriy 'ala Syarh al-Zurqani 'ala al-Baiquniyyah karya Syeikh ‘Atiyyah al-Ajhuriy as-Syafi'e al-Azhari
Futuhat al-Rabbaniyyah Syarah al-Azkar an-Nawawiyyah karya Imam Ibnu ‘Allan as-Siddiqi
Dalil al-Falihin fi Turuqqi Riyadh as-Salihin karya Imam Ibnu ‘Allan as-Siddiqi
Fiqah dan Usul fiqah Hasyiah al-Bajuri ‘ala Syarah Ibnu Qassim al-Ghazi ‘ala Matan Abi Syuja’ karya Imam Ibrahim al-Bajuri
Hasyiah an-Nafahat ‘ala Syarh al-Waraqat karya Syeikh Ahmad Al-Khatib bin Abdul Lathif Al-Minkabawi
Hasyiah asy-Syarqawi ‘ala at-Tahrir karya Imam Abdullah asy-Syarqawi
Tasawuf Penawar Bagi Hati karya Syeikh Abdul Qadir al-Mandili
Mukhtasar at-Tazkirah al-Qurtubi karya Imam Abdul Wahab asy-Sya’rani

Karya penulisan sunting

Selain mengajar, Ismail turut menghasilkan beberapa penulisan dalam bidang aqidah Islam dan tasawuf. antaranya

Bidang Tajuk kitab Catatan
Tauhid Mizan Az-Zarari Menterjemah dan mensyarahkan kitab Tijan Ad-Darari Bisyarh Risalah Al-Baijuri, karangan Syeikh Muhammad Nawawi bin Umar al-Jawi
Mawaiz al-Iman Kitab yang membahaskan ayat mutasyabihat dan ayat muhkamat, terjemahan sebahagian kitab Manahil al-Irfan fi Ulum al-Quran karangan Syeikh Muhammad az-Zarqani
Mawaqif al-Marjan Kitab syarahan kepada kitab Mawaiz al-Iman.
Hadis Al-Durrah al-Saniah Kitab syarah hadis Nabi Muhammad, "Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat".
Tasawuf Al-Himam al-Aliyah Kitab Jawi yang mensyarahkan kitab Al-Hikam karangan Imam Ibn Ataillah as-Sakandari

Rujukan sunting

  1. ^ Nor Farhani Che Ad (2 Julai 2018). "Hukum agama ikut pendapat sendiri kelirukan masyarakat". Berita Harian. Dicapai pada 1 November 2021.
  2. ^ "DAURAH KITAB UMMI AL-BARAHIN". Al-Abaqirah. Ogos 2018. Dicapai pada 1 November 2021.