Badan Amal Kebajikan Isteri Selangor

bekas pertubuhan isteri wakil rakyat di Malaysia (PPM-002-10-17051985)

Badan Amal Kebajikan Isteri Selangor atau Balkis ialah sebuah pertubuhan di Malaysia yang dianggotai oleh isteri anggota dan bekas anggota badan perundangan di Selangor. Ia merupakan salah sebuah pertubuhan yang bersekutu dengan Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri (BAKTI)[1]. Secara tradisinya, ia diketuai oleh isteri kepada Menteri Besar Selangor dari Barisan Nasional.

Isu dan kontroversi sunting

Pembubaran Balkis sunting

Setelah kegagalan Barisan Nasional mempertahankan kerajaan negeri Selangor dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 2008, Yang Dipertua Balkis, Datin Seri Zaharah Kechik bertindak membubarkan pertubuhan ini dan memindahkan dana badan amal ini ke dalam akaun BAKTI. Tindakan tersebut telah dibantah oleh Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim pada 26 April 2008, yang mendakwa pembubaran tersebut dilakukan tanpa perbincangan dengan beberapa pihak dan anggota badan amal ini. Tindakan Zaharah dianggap pecah amanah dan dilakukan tanpa mengikut lunas undang-undang.[2] Zaharah bagaimanapun menjelaskan bahawa pembubaran Balkis adalah mengikut perlembagaan selepas mesyuarat agung khas yang diadakan pada 11 Mac 2008. Ketika itu Menteri Besar baru belum dilantik dan masih dalam tempoh peralihan dan kerajaan sementara.

Laporan BPR sunting

Pada 2 Mei 2008 Ketua Penerangan PKR Selangor Mohd Nasharudin Abdul Aziz dan anggota Majlis Tertinggi PKR Badrul Hisham Shaharin dan 20 ahli PKR yang lain membuat laporan kepada BPR di Shah Alam, Selangor. Laporan 15 muka diserahkan kepada Pegawai BPR Selangor Mohd Anuar Ismail.[3]

Balkis boleh bergerak semula sunting

Pada 16 Disember 2011, Hakim Dato' Rohana Yusuf di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan agar BALKIS dibenarkan kembali bergerak setelah pendaftarannya dibatalkan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 2009 berhubung dakwaan salah guna dananya.Peguam S Selvarajah mewakili pemohon-pemohon, dan Peguam Kanan Persekutuan Datin Azizah Nawawi yang mewakili ROS. Pemohon ialah kerajaan negeri Selangor; Puan Sri Salbiah Tunut iaitu isteri Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Permodalan Negeri Selangor Berhad, Kumpulan Darul Ehsan Berhad, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, Worldwide Holdings Berhad, Selangor Industrial Corporation Sdn Bhd, Selaman Sdn Bhd, PKNS Infra Berhad dan PKNS Engineering & Construction Bhd.

Hakim Rohana mendapati bahawa Salbiah Tunut mempunyai locus standi dalam membuat permohonan itu.Dari segi Perlembagaan BALKIS , beliau menjadi Yang Dipertua kerana beliau adalah isteri Menteri Besar. Permohonan pihak lain ditolak kerana tidak mempunyai locus standi memandangkan mereka ini hanyalah penyumbang kepada Balkis.[4]

Lihat juga sunting

Rujukan sunting

  1. ^ Adha Ghazali (11 Februari 2017). "BAIDURI, BAKTI unggul". Berita Harian. Dicapai pada 2 November 2021.
  2. ^ Harakah (27 April 2008). "Pemindahan Wang Balkis Ke Dalam Akaun Bakti Tidak Sah". Malaysia Today. Dicapai pada 2 November 2021.
  3. ^ PKR Selangor Buat Laporan BPR Terhadap Bekas YDP Balkis[pautan mati kekal], Bernama.
  4. ^ Isteri MB menang kes, BALKIS dibenar bergerak