Baihua atau Bahasa Cina Vernakular ialah istilah yang memaksudkan gaya atau laras bahasa Cina bertulis yang berteraskan bahasa lisan dan berhubung kait dengan bahasa Mandarin Baku. Istilah ini jangan dikelirukan dengan pelbagai bentuk kelainan bahasa Cina vernakular yang ditutur pada masa kini. Semenjak awal 1920-an, Baihua menjadi gaya penulisan terlaris bagi para penutur segala bentuk kelainan bahasa Cina lisan di seluruh negara China, menggantikan tempat bahasa Cina Klasik iaitu beks piawaian bahasa bertulis yang dipakai di China semenjak zaman Konfusius.

Baihua
Cina Tradisional:
Cina Ringkas:
Hanyu Pinyin: báihuà
Maksud harfiah: "perbualan biasa"

Sejarah sunting

Sewaktu Dinasti Zhou, Bahasa Cina Lama menjadi bentuk bahasa Cina lisan dan bertulis yang digunakan untuk mengarang catatan Cina klasik. Bagaimanapun, mulai Dinasti Qin, bahasa Cina lisan mula berevolusi lebih cepat berbanding evolusi bahasa Cina bertulis, makin lama makin besar bezanya. Menjelang zaman Dinasti Tang dan Song, orang ramai mula menulis dalam loghat vernakular masing-masing dalam bentuk bianwen (Cina Tradisional: 變文, Cina Ringkas: 变文, pinyin: biànwén; harf. "bahasa berubah") dan yulu (Cina Tradisional: 語錄, Cina Ringkas: 语录, pinyin: yǔlù; harf. "catatan bahasa"), kerana bahasa lisannya jauh berbeza sekali dari piawaian Bahasa Cina Klasik bertulis yang masih dikekalkan. Orang keramaian yang tidak diajar dalam Bahasa Cina Klasik sememangnya cuma memahami sedikit bahasa itu. Ketika Dinasti Ming dan Qing, loghat vernakular mula dipakai dalam karya novel, tetapi tidak digunakan secara umum dalam penulisan formal yang sebaliknya masih menggunakan Bahasa Cina Klasik.

Kesusasteraan Baihua sunting

Jin Shengtan yang menyunting beberapa novel berbahasa Cina vernakular, dianggap oleh orang ramai sebagai perintis kesusasteraan bergaya vernakular. Namun begitu, hanya setelah berlakunya Pergerakan 4 Mei pada tahun 1919 serta pupukan oleh golongan cendekiawan dan intelektual seperti libertarian Hu Shi lepasan Universiti Columbia, penyokong haluan kiri Lu Xun, Chen Duxiu, dan Qian Xuantong, barulah Baihua berkembang. Khsuusnya, Kisah Benar Ah Q karya Lu Xun diterima umum sebagai karya moden terulung yang menggunakan bahasa vernakular dengan sepenuhnya[1].

Bahasa Cina Klasik semakin dipandang oleh penyokong haluan kiri sebagai benda ketinggalan zaman yang menjadi penghalang dalam pendidikan dan kecelikan huruf, serta kemajuan sosial dan negara. Karya-karya Lu Xun dan pengarang-pengaran lain banyak menguatkan pandangan tersebut. Sementara itu, Baihua diterima ke dalam arus perdana oleh orang ramai. Seiringan dengan perkembangan penulisan vernakular dalam buku-buku ketika itu, wujudnya penerimaan tanda baca yang berteraskan tanda baca bahasa Barat (kesusasteraan Cina tradisional seolah-olah tiada tanda baca sekali), serta penggunaan angka Arab.

Semenjak akhir dekad 1920-an, hampir kesemua akhbar, buku, dan dokumen rasmi dan undang-undang berbahasa Cina ditulis dalam Baihua. Sungguhpun demikian, nada atau laras bahasa dan pemilihan perbendaharaan kata bolehlah formal atau sebaliknya, bergantung pada konteks. Secara amnya, makin formal laras bahasa Baihua, maka makin seirasnya kepada bahasa Cina Klasik. Semenjak peralihan itu, hasil penulisan baru dalam tulisan Cina Klasik memang jarang sekali. Hanya penutur bahasa Cina yang terlatih dapat menggenggam pemahaman catatan Cina klasik dengan sepenuhnya, sementara bilangan yang fasih menulis dalam bahasa Cina Klasik sedikit sekali. Bahasa Cina Klasik diajar di seluruh tanah besar China, Taiwan, Hong Kong dan Macau, namun keempat-empatnya megendalikan sistem pendidikan berbeza. Namun begitu, kefasihan banyak berbeza antara keempat-empat kawasan tersebut. Kefasihan berbahasa Cina Klasik lebih tinggi di kalangan lepasan sekolah tinggi di Taiwan (mungkin dibantu oleh penggunaan aksara tradisional dikekalkan di Taiwan selama ini)[perlu rujukan], manakala Hong Kong yang merupakan Jajahan Mahkota British selama lebih 100 tahun sehingga tahun 1997, banyak memberi penekanan kepada bahasa Inggeris bertulis berbanding Baihua dalam sistem pendidikannya.

Rujukan sunting

  1. ^ Luo, Jing. [2004] (2004). Over a Cup of Tea: An Introduction to Chinese Life and Culture. University Press of America. ISBN 0761829377