Bahasa Melayu

salah satu bahasa austronesia di Asia Tenggara
(Dilencongkan dari Bahasa pasar)

Bahasa Melayu (Tulisan Jawi: بهاس ملايو; Rejang: ꤷꥁꤼ ꤸꥍꤾꤿꥈ) ialah salah satu daripada bahasa-bahasa Melayu-Polinesia di bawah keluarga bahasa Austronesia, yang merupakan bahasa rasmi di Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura, serta dituturkan di Timor Leste dan sebahagian wilayah di Kemboja , Filipina dan Thailand. Jumlah penutur bahasa ini mencakupi lebih daripada 290 juta penutur[4] (termasuk sebanyak 260 juta orang penutur bahasa Indonesia)[5] merentasi kawasan maritim Asia Tenggara.

Bahasa Melayu
Bahasa Melayu
بهاس ملايو
ꤷꥁꤼ ꤸꥍꤾꤿꥈ
Asli kepada Indonesia
 Malaysia
 Brunei
 Singapura
 Filipina (Sulu dan Mindanao)
 Thailand (Pattani, Narathiwat, Yala, Songkhla, Ranong, Trang dan Satun)
 Myanmar (Tanintharyi)
 Kemboja (Phnom Penh, Kampong Cham, Kampong Speu, Kampong Chhnang, Kampong Thom, Battambang, dan Pursat)
 Australia (Pulau Krismas dan Kepulauan Cocos)
KawasanAsia Tenggara (terutama di Nusantara)
Penutur bahasa
B1: 82 juta (2023)[1]
Jumlah (B1 dan B2): 200–290 juta (2009)[2] (termasuk penutur Bahasa Indonesia)
Bentuk piawai
Rumi (latin)
Jawi (Arab)
Thai (Khususnya Melayu di Thailand)
Status rasmi
Bahasa rasmi di
 Indonesia (Kelainan dialek-dialek Melayu yang terdapat di Indonesia merupakan bahasa-bahasa daerah, manakala bahasa Indonesia ialah bahasa kebangsaan & rasmi)
 Malaysia (Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan mengikut Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang dikawalselia pemiawaiannya oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia)
 Brunei (Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi manakala dialek bahasa Melayu Brunei dituturkan sebagai bahasa sosial)
 Singapura (bahasa Melayu ialah salah satu daripada empat bahasa rasmi)

  •  UNESCO[3] (Bahasa Indonesia salah satu bahasa rasmi)
Bahasa minoriti
dikenali di
 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (bahasa Indonesia dipakai dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu)

 Thailand (sebagai Bahasa Melayu Pattani dan sebahagian penutur Bahasa Melayu Kedah)

 Myanmar (Bahasa Melayu Kedah dituturkan oleh orang Melayu Burma dan Moken)

 Kemboja (Bahasa Melayu ialah bahasa yang popular dituturkan oleh Orang Cam di Kemboja)

 Filipina sebagai bahasa perdagangan dengan Malaysia dan di Wilayah Autonomi Islam Mindanao dan Balabac)

 Sri Lanka (Bahasa Melayu Sri Lanka adalah bahasa kreol Melayu dituturkan dalam kalangan masyarakat Melayu Sri Lanka, Sinhala, dan Hambantota)

 Timor Leste (Bahasa Indonesia digunakan sebagai bahasa kerja dan bahasa perdagangan)

 Australia (Pulau Krismas dan Kepulauan Cocos) (sebagai bahasa Melayu Cocos)

 Afrika Selatan (Bahasa Melayu dipakai oleh penduduk Melayu yang bermukim di wilayah Cape Town dan Johannesburg. Bentuk piawai Malaysia yang paling lazim dipakai)
Dikawal selia olehPeringkat rantau:
MalaysiaBruneiIndonesia
Majlis Bahasa Malaysia - Brunei Darussalam - Indonesia (MABMBI) Peringkat kebangsaan:
Indonesia Badan Pengembangan dan Pembinaan Bahasa
Brunei Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei
Malaysia Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia
Singapura Majlis Bahasa Melayu Singapura
Kod bahasa
ISO 639-1ms
ISO 639-2may (B)
msa (T)
ISO 639-3Pelbagai:
zlm – Bahasa Melayu (generik)
msa – Bahasa Melayu (tertentu)
btj – Bahasa Melayu Bacan
bve – Bahasa Melayu Berau
bvu – Bahasa Melayu Bukit
coa – Bahasa Melayu Cocos
jax – Bahasa Melayu Jambi
bke – Bahasa Melayu Bengkulu
plm – Bahasa Melayu Palembang
bsm – Bahasa Melayu Basemah
mfb – Bahasa Melayu Bangka
meo – Bahasa Melayu Kedah
mqg – Bahasa Melayu Kutai Kota Bangun
xmm – Bahasa Melayu Manado
max – Bahasa Melayu Maluku Utara
mfa – Bahasa Melayu Kelantan-Pattani
msi – Bahasa Melayu Sabah
vkt – Bahasa Melayu Kutai Tenggarong
hji – Bahasa Haji
bew – Bahasa Betawi
pmy – Bahasa Melayu Papua
bjn – Bahasa Banjar
zsm –  Bahasa Melayu Standard
ind – Bahasa Indonesia
zmi – Bahasa Melayu Negeri Sembilan
tiada – Bahasa Melayu Sarawak
bln – Bahasa Melayu Bulungan
Glottologindo1326
Negara-negara yang mana Bahasa Melayu dituturkan
  Bahasa rasmi
  Diiktiraf sebagai bahasa minoriti atau bahasa perdagangan

Sebagai salah satu daripada bahasa-bahasa yang paling luas digunakan di Asia Tenggara, bahasa Melayu mempunyai istilah perundangan yang berbeza di negara-negara terlibat bergantung pada sejarah dan budaya penggunaan bahasa Melayu di negara-negara tersebut. Di Malaysia, istilah "bahasa Melayu" ialah istilah de jure untuk pentakrifan rasmi bahasa kebangsaan negara Malaysia,[6] manakala istilah "bahasa Malaysia" atau "bahasa Melayu Malaysia" seringkali digunakan mewakili perkara yang sama secara tidak formal di kalangan rakyat Malaysia. Di Singapura, Bahasa Melayu mempunyai status bahasa kebangsaan pada waktu yang sama merupakan salah satu daripada empat bahasa rasmi (tiga lagi bahasa rasmi lain ialah bahasa Inggeris, bahasa Cina, dan bahasa Tamil).[7] Di Brunei, "bahasa Melayu" juga ditakrifkan sebagai bahasa rasmi negara dan bahasa Melayu diutamakan apabila berlakunya percanggahan dengan versi bahasa Inggeris teks undang-udang.[8] Di Indonesia, bentuk piawai bahasa Melayu dikenali sebagai bahasa Indonesia yang berperanan sebagai bahasa pemersatu di negara Indonesia. Penggunaan istilah "bahasa Melayu" di Indonesia pula hanya terhad kepada bentuk-bentuk vernakular bahasa Melayu (yakni bahasa Melayu tempatan) yang dituturkan di kawasan asli Melayu terletak di zon tengah Sumatra (seperti Riau, Kepulauan Riau, Jambi dan lain-lain), Sumatra Selatan dan Kalimantan Barat Indonesia.[a] Di Timor Leste, Bahasa Indonesia masih tetap dikekalkan sebagai bahasa rasmi utamanya sebagai "bahasa bekerja" walaupun telah merdeka daripada negara Indonesia. Di selatan Thailand, bahasa Melayu digunakan oleh orang-orang dari Kesultanan Melayu Patani (orang Melayu Pattani), tetapi tidak memperolehi sebarang pengiktirafan daripada kerajaan.

Seorang penutur bahasa Melayu piawai di Langkawi
Seorang pemuda sedang bercakap dalam dialek Kedah

Bahasa Melayu Klasik, secara spesifiknya "bahasa istana" (atau dikenali sebagai Court Malay dalam bahasa Inggeris), ialah bahasa piawai sastera bersusurgalur daripada kesultanan Melaka dan kesultanan Johor, disebabkan itulah bahasa ini juga dikenali sebagai bahasa Melayu Melaka, Johor atau Riau (atau pelbagai jenis gabungan nama yang berasaskan mana-mana dari tiga nama tempat ini) untuk membezakannya daripada bahasa-bahasa Melayik yang lain. Menurut Ethnologue 26, beberapa kelainan bahasa-bahasa Melayik disenaraikan sebagai bahasa-bahasa yang terpisah, termasuklah kelainan bahasa-bahasa Melayu Semenanjung yang dituturkan oleh Orang Asli, yang sangat rapat hubungannya dengan bahasa Melayu Baku yang boleh dianggap sebagai dialek-dialeknya.[11] Terdapat beberapa bahasa dagang atau bahasa kreol Melayu yang berdasarkan satu bentuk lingua franca yang disusurgalurkan ke bahasa Melayu Klasik.

Asal usul bahasa Melayu اصل أصول بهاس ملايو

Ahli-ahli linguistik bahasa Melayu bersetuju dengan kemungkinan bahawa asal usul bahasa Melayu terletak di barat pulau Borneo.[12] Satu bentuk bahasa yang kini dikenali sebagai bahasa Melayu Purba (dari segi linguistik dikenali sebagai bahasa Melayik Purba) dituturkan di pulau Borneo sekurang-kurangnya pada 1000 tahun sebelum Masihi dan dianggap sebagai leluhur kepada kesemua bahasa di bawah kumpulan Melayik. Leluhur bahasa purba ini ialah bahasa Melayu-Polinesia Purba, yang merupakan turunan dari bahasa Austronesia Purba, mula bercambah sekurang-kurangnya pada 2000 tahun sebelum Masihi, yang mungkin hasil daripada penerokaan orang Austronesia dari pulau Taiwan ke arah kawasan yang terletak lebih selatan yakni kawasan maritim Asia Tenggara [13]

Sejarah Bahasa Melayu سجاره بهاس ملايو

 
Selama berabad lamanya, Srivijaya melalui perluasan jajahan, kekuasaan ekonomi dan keunggulan tenteranya memainkan peranan yang sangat besar terhadap peluasan penggunaan bahasa Melayu Kuno merentasi Kepulauan Melayu. Ia merupakan bahasa kerja antara pedagang-pedagang dan digunakan di banyak kawasan pelabuhan dan kawasan pasaran. [14]
 
Lawah-Lawah Merah (1875), ialah terjemahan kepada L'araignée rouge oleh René de Pont-Jest dikenalpasti sebagai novel bahasa Melayu yang pertama. Sebelum zaman itu, kesusasteraan dan penceritaan Melayu jumhurnya ditulis dalam bentuk hikayat.

Secara umumnya, garis perkembangan bahasa Melayu terbahagi kepada tiga fasa utama iaitu bahasa Melayu Kuno, bahasa Melayu Klasik dan bahasa Melayu Moden, [15] dan terdapat fasa peralihan di antara fasa-fasa utama tersebut. Sesetengah pakar bahasa menganggap bahasa Melayu Kuno ialah bahasa leluhur bahasa Melayu Klasik,[16] tetapi sesetengah ahli linguistik yang lain pula berpendapat bahawa hubungan leluhur antara dua fasa bahasa ini susah untuk ditentusahkan[17] berikutan keganjilan dari segi morfologi dan sintaksis antara dua fasa ini, serta keserentakan penggunaan kedua-dua fasa bahasa ini pada abad ke-14.[18]

Bahasa Melayu Kuno dipengaruhi oleh bahasa Sanskrit yang merupakan bahasa klasik di India. Peminjaman kata-kata Sanskrit boleh didapati dalam perbendaharaan bahasa Melayu Kuno. Batu bersurat terawal dalam bahasa Melayu Kuno dijumpai di Sumatra, Indonesia, dan ditulis dalam huruf-huruf Grantha bervariasi Pallava [19] dan tarikhnya ditentukan pada 1 Mei 683. Batu bersurat ini dikenali sebagai batu bersurat Kedukan Bukit yang dijumpai oleh orang Belanda yang bernama M. Batenburg pada 29 November 1920 di Sungai Musi, Kedukan Bukit, Sumatra Selatan. Ia merupakan batu kecil berukuran 45 kali 80 sentimeter (18 in × 31 in).

Bukti lain ialah naskhah Undang-undang Tanjung Tanah dalam huruf-huruf pasca-Pallava.[20] Teks perundangan pra-Islam pada abad ke-14 ini dihasilkan pada zaman pemerintahan Adityawarman (1345–1377) di kerajaan Dharmasraya, yang merupakan kerajaan Hindu-Buddha yang membangun setelah tamatnya kekuasaan Srivijaya di Sumatra. Undang-undang ini ditulis untuk orang Minangkabau yang masih tinggal di tanah tinggi di barat Sumatra, Indonesia.

Batu bersurat Terengganu (Jawi: باتو برسورت ترڠݢانو) ialah pacakan batu granit dengan inskripsi tulisan Jawi dan dijumpai di Terengganu, Malaysia. Ia adalah bukti terawal kewujudan batu-batu bersurat bahasa Melayu Klasik. Batu bersurat yang bertarikh tahun 702 hijrah (bersamaan tahun 1303 masihi) merupakan bukti terawal tulisan Jawi di alam Melayu Asia Tenggara, dan juga merupakan salah satu daripada bukti terawal kepada kewujudan Islam sebagai agama negeri di rantau ini. Kandungan batu bersurat ini ialah pengisytiharan pemerintah di Terengganu yang dikenali sebagai Seri Padukan Tuan, yang menyuruh pengikutnya untuk mendukung agama Islam, serta memberikan 10 fasal asas undang-undang syariah bagi membimbing pengikutnya.

Bahasa Melayu mendapat penggunaan yang semakin meluas dan kukuh sebagai bahasa perantaraan kawasan maritim Asia Tenggara sewaktu zaman Kesultanan Melayu Melaka (1402–1511). Zaman ini menyaksikan perkembangan bahasa Melayu yang pantas di bawah pengaruh kesusasteraan Islam. Perkembangan bahasa ini mengubah sifat bahasa ini melalui kemasukan perbendaharaan kata secara mendadak dari bahasa Arab, bahasa Tamil dan bahasa Sanskrit, sehingga membentuk kesusasteraan Melayu Klasik yang matang. Bahasa Melayu pada zaman Kesultanan Melayu Melaka ini berevolusi menjadi bentuk yang boleh dikenalpasti oleh penutur bahasa Melayu pada zaman moden. Apabila kerajaan ini berpindah dan mendirikan Kesultanan Johor Lama, ia terus digunapakai sebagai bahasa klasik serantau; sehingga ia amat berhubungkait dengan kerajaan Riau di bawah pengaruh Belanda dan kerajaan Johor di bawah pengaruh British sehingga bahasa Melayu Riau dianggap dekat dengan bahasa klasik itu. Namun, tiada hubungkait antara bahasa Melayu Melaka yang digunakan di istana Riau dan bahasa Riau vernakular yang digunapakai oleh penduduk tempatan Riau.[21]

Surat-surat dari Sultan Abu Hayat yang memerintah Ternate dan Kepulauan Maluku (yang kini di dalam Indonesia) pada tahun 1521-1522 merupakan antara surat-surat tertua yang ditulis dalam bahasa Melayu. Teks surat ini ditulis kepada raja Portugal, selepas berhubung dengan peneroka Portugis bernama Francisco Serrão.[22] Surat-surat ini menunjukkan tanda penggunaan bahasa yang bukan asli; kerana orang Ternate menggunapakai (dari dahulukala sehingga ke hari ini) bahasa Ternate sebagai bahasa ibunda mereka (yakni salah satu daripada bahasa-bahasa di Papua Barat). Bahasa Melayu adalah satu-satunya bahasa yang digunakan sebagai bahasa perantara (atau lingua franca) untuk perhubungan antara pelbagai kaum.[22]

Pengelasan bahasa ڤڠلسن بهاس

Bahasa Melayu ialah salah satu ahli keluarga bahasa Austronesia yang meliputi bahasa-bahasa di kawasan Asia Tenggara dan Lautan Teduh, serta sebilangan kecil di benua Asia. Bahasa Malagasi, yakni bahasa tersisih dari segi geografi, yang dituturkan di Madagaskar terletak di barat Lautan India, juga merupakan ahli keluarga bahasa-bahasa Austronesia. Walaupun bahasa-bahasa ini tidak semestinya mempunyai kesalingfahaman yang jelas, persamaan yang terdapat pada bahasa-bahasa ini sebenarnya agak jelas. Dalam bahasa-bahasa yang lebih konservatif seperti bahasa Melayu, terdapat banyak kata-kata akar yang mengalami perubahan yang agak kecil dari bahasa leluhur mereka yakni bahasa Austronesia Purba. Terdapat banyak kata-kata kognat dalam perbendaharaan bahasa-bahasa ini dari segi hubungan pertalian, kesihatan, bahagian tubuh badan, dan nama-nama haiwan am. Persamaan dijumpai lebih ketara pada nombor-nombor yang ada pada keluarga bahasa ini.

Di bawah keluarga bahasa Austronesia, bahasa Melayu terdiri daripada sekelompok gaya-gaya pertuturan yang rapat hubungkaitnya yang dikenali sebagai bahasa-bahasa Melayik yang tersebar merentasi Semenanjung Tanah Melayu dan kepulauan Indonesia oleh pedagang-pedagang Melayu dari Sumatra. Terdapat perbezaan pendapat mengenai kelainan-kelainan pertuturan yang manakah sepatutnya dikempok sebagai dialek-dialek bahasa Melayu, dan kelainan-kelainan yang manakah sepatutnya dianggap sebagai bahasa-bahasa Melayu yang terpisah. Bahasa vernakular di Brunei yakni bahasa Melayu Brunei misalnya tidak boleh disalingfaham dengan bahasa piawai, dan hal ini turut berlaku pada kelainan bahasa yang terdapat di Semenanjung Tanah Melayu seperti bahasa Melayu Kedah. Tetapi, bahasa Melayu Brunei dan bahasa Melayu Kedah pula mempunyai hubungan yang agak dekat.[23]

Sistem tulisan سيستم توليسن

 
Huruf-huruf Rencong, salah satu sistem tulisan tempatan yang dijumpai di tengah dan selatan Sumatra. Teks ini dibaca (menggunakan ejaan Voorhoeve) seperti berikut: "haku manangis ma / njaru ka'u ka'u di / saru tijada da / tang [hitu hadik sa]"
 
Batu bersurat Kedukan Bukit menggunakan tulisan Pallava, merupakan spesimen tertua mewakili bahasa Melayu Kuno di Sumatra Selatan, Indonesia.

Bahasa Melayu kini ditulis dalam tulisan Rumi di Brunei, Malaysia dan Singapura atau tulisan Latin di Indonesia, walaupun tulisan Arab yang dikenali sebagai tulisan Arab Melayu atau tulisan Jawi juga wujud. Tulisan Rumi merupakan tulisan rasmi di negara Malaysia, Singapura, dan Indonesia. Bahasa Melayu menggunakan sistem angka Arab.

 
Beberapa muka surat terakhir Taj al-Salatin, disalin oleh Muhammad bin Umar Syaikh Farid pada 31 Julai 1824 di Penang dalam tulisan Jawi. British Library

Kedua-dua tulisan Rumi dan tulisan Jawi adalah tulisan-tulisan rasmi hanya di Brunei. Nama-nama di institusi atau organisasi di Brunei perlu menggunakan kedua-dua jenis tulisan. Tulisan Jawi digunakan secara penuh di sekolah-sekolah agama yang pelajar-pelajar Muslim berumur 6-7 sehingga 12-14 tahun perlu hadiri pada waktu tengah hari.

Beberapa usaha sedang diambil untuk memelihara tulisan Jawi di Malaysia, dan pelajar-pelajar yang mengambil peperiksaan dalam bahasa Melayu di Malaysia diberi pilihan untuk menjawab soalan-soalan dalam tulisan Jawi.

Namun tulisan Rumi ialah tulisan yang paling kerap digunapakai di Brunei dan Malaysia untuk kegunaan rasmi mahupun tidak rasmi.

Pada masa lampau, bahasa Melayu ditulis dalam pelbagai jenis tulisan lain. Sebelum pengenalan tulisan Arab di rantau kepulauan Melayu, bahasa Melayu ditulis dalam tulisan Pallava, tulisan Kawi dan tulisan Rencong; tulisan-tulisan tersebut kini sudah tidak digunakan lagi tetapi tulisan yang seakan contohnya seperti tulisan Cam masih digunapakai oleh orang Cam di Vietnam dan Kemboja. Bahasa Melayu Kuno ditulis dalam tulisan Pallava dan Kawi seperti pada bukti batu bersurat di kawasan rantau Melayu. Bermula dengan era Kerajaan Samudera-Pasai sehingga ke zaman kemuncak Kesultanan Melaka, tulisan Jawi sedikit demi sedikit menggantikan penggunaan tulisan-tulisan ini sebagai tulisan yang paling banyak digunapakai di alam Melayu. Bermula dengan abad ke-17, di bawah pengaruh Belanda dan British, Jawi sedikit demi sedikit digantikan dengan tulisan Rumi.[24]

Untuk mengetahui kaedah penggunaan abjad, penulisan huruf, penulisan kata, penulisan unsur serapan dan tanda baca umum yang dipraktikkan dalam bahasa Melayu, sila lihat: Laman arkib Pedoman Umum Ejaan Bahasa Melayu

Sistem fonologi سيستم فونولوݢي

Salah satu faktor utama yang menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa yang sangat mudah untuk dipelajari adalah disebabkan oleh sistem fonologi yang amat mudah. Boleh dikatakan hampir setiap huruf Rumi mewakili satu sebutan fonem. Bahasa Melayu, seperti kebanyakan bahasa lain di bawah keluarga Austronesia, bukanlah bahasa bernada.

Bunyi-bunyi konsonan

Bunyi-bunyi konsonan bahasa Melayu Malaysia[25][26][27] dan juga bahasa Indonesia[28] ditunjukkan seperti berikut. Bunyi-bunyi konsonan yang bukan asli daripada kata-kata pinjaman bahasa Arab dan bahasa Inggeris ditunjukkan dalam tanda kurung.

Jadual fonem konsonan dalam Bahasa Melayu
Dwibibir Bibir-
gigi
Gigi/Gusi Bel.
gusi
Lelangit Velum Uvula Peti suara
Sengau m /m/ n /n/ ny /ɲ/ ng /ŋ/
Letupan/
Hentian
p /p/ b /b/ t /t/ d /d/ k /k/ g /g/ (q /q/) k (koda) /ʔ/
Letusan c /tʃ/ j /dʒ/
Geseran f /f/ v /v/ s /s/ (z /z/) (sy
/ʃ/)
(kh /x/) (gh /ɣ/) h /h/
Malaran
tak geser
y /j/ w /w/
Getaran r /r/*
Sisian l /l/

* Mengikut takrifan bahasa baku. Penutur tidak semestinya menyebut fonem /r/ sebegini.

Fonem pinjaman dari bahasa Arab:

  • Fonem-fonem yang hanya wujud dalam kata pinjaman bahasa Arab mungkin disebut dalam fonemnya tersendiri oleh mereka yang mahir tentang cara pelafazan bunyi-bunyi Arab. Jika tidak maka ada kecenderungan untuk penutur asli bahasa Melayu untuk menggantikan bunyi-bunyi fonem tersebut kepada bunyi-bunyi yang kedengaran atau kelihatan seakan.
Jadual konsonan-konsonan pinjaman dari bahasa Arab
Fonem tersendiri Asimilasi fonem Contoh
/x/ /k/, /h/ khabar, kabar
/ð/ /d/, /l/ reda, rela
/zˤ/ /l/, /z/ lohor, zuhur
/ɣ/ /ɡ/, /r/ ghaib, raib
/ʕ/ /ʔ/ saat, sa'at
/θ/ /s/ Selasa
/q/ /k/ makam

Bunyi-bunyi vokal

Bahasa Melayu pada asalnya mempunyai 4 bunyi vokal, tetapi kebanyakan dialek-dialek yang wujud pada hari ini termasuk juga bahasa Melayu Baku mempunyai enam bunyi vokal dengan fonem /i/ terbelah menjadi /i, e/ dan fonem /u/ terbelah menjadi /u, o/.[25] Banyak perkataan disebut dengan bunyi yang berbeza sama ada berbunyi [i, u] atau [e, o], dan tidak terlalu banyak perkataan asli Melayu yang menggunakan bunyi vokal tengah [e, o].


Jadual fonem vokal dalam Bahasa Melayu
Ketinggian Depan Pusat Belakang
Sempit i /i/ u /u/
Separuh
sempit
e /e/ o /o/
Tengah e /ə/
Separuh
luas
e [ɛ]* o [ɔ]*
Luas a /a/ a [ɑ]*

* Bukan standard, terdapat dalam sebutan loghat atau kata pinjaman.

Nota ortografi: Kedua-dua fonem /e/ dan /ə/ ditulis dengan huruf e. Penggunaan ortografi mewakili fonem /e, o/ agak kurang dalam perkataan jati Melayu, dan huruf e biasanya mewakili bunyi /ə/. Tetapi terdapat juga pasangan homograf seperti perang digunakan untuk mewakili dua sebutan iaitu /pəraŋ/ (kata kerja) dan /peraŋ ~ piraŋ/ (kata sifat melambang warna).

Beberapa kajian menganggap /ai, au, oi/ sebagai diftong.[29][30] Namun, [ai], [au] dan [oi] hanya boleh wujud dalam suku kata terbuka, contoh perkataan: "cukai", "kerbau" dan "dodoi". Perkataan yang dua huruf vokalnya disusun dalam suku kata tertutup, seperti "baik", "laut", "kuat", "biak", "buih" dan "bius" adalah terdiri daripada dua suku kata. Satu analisis alternatif menganggap diftong-diftong fonetik [ai], [au] dan [oi] sebagai jujukan monoftong dengan tambahan satu bunyi konsonan semi-vokal: /aj/, /aw/ dan /oj/.[31]

Terdapat satu hukum keselarasan vokal: bunyi-bunyi vokal yang tidak luas seperti /i, e, u, o/ di perkataan yang mempunyai dua suku kata perlu ada keselarasan dari segi ketinggian vokalnya, contohnya "hidung" /hi.duŋ/ boleh disebut sebagai /hi.doŋ/ tetapi tidak boleh disebut sebagai /he.duŋ/.[32]

Perbandingan beberapa sebutan piawai bahasa Melayu[33]
Sebutan umum (berasaskan dialek Johor-Riau) Sebutan utara (berasaskan dialek-dialek Utara Semenanjung Malaysia) Sebutan baku bahasa Melayu Malaysia & bahasa Indonesia
⟨a⟩ di suku kata terbuka akhir perkataan /ə/ /a/ /a/
⟨i⟩ di suku kata tertutup dengan koda ⟨n⟩ dan ⟨ng⟩ di akhir perkataan /e/ /i/ /i/
⟨i⟩ di suku kata tertutup dengan konsonan koda lain di akhir perkataan /e/ /e/ /i/
⟨u⟩ di suku kata tertutup dengan konsonan koda ⟨n⟩ dan ⟨ng⟩ di akhir perkataan /o/ /u/ /u/
⟨u⟩ di suku kata tertutup dengan konsonan koda lain di akhir perkataan /o/ /o/ /u/
⟨r⟩ di kedudukan koda sesuatu suku kata senyap /r/ /r/

Satu kajian oleh Uri Tadmor yang diterbit pada tahun 2003 menunjukkan mutasi ⟨a⟩ di suku kata terbuka akhir perkataan ialah ciri-ciri berkawasan, secara spesifik merupakan ciri-ciri di kawasan barat Austronesia. Uri Tadmor mengklasifikasi ciri-ciri tersebut ke dalam empat kumpulan seperti berikut:[34]

Mutasi /a/ di akhir kata dalam dialek-dialek Melayu-Indonesia dan bahasa-bahasa Austronesia berdekatan
Jenis Fonem kawasan-kawasan Melayu kawasan asal bahasa-bahasa lain
[a] (asal) [a] Kedah, Brunei Arekan (contohnya Tengger), Sarawak, Sabah, Kalimantan (kecuali Pontianak), Indonesia Timur
Peninggian [ə], [ɨ] Johor, Pontianak, Tanah Abang (Jakarta) Bali
Pembundaran [o], [ɔ] Pattani, Palembang Minangkabau, Mataraman (seperti Yogyakarta)
Pendepanan [ɛ], [e] Perak, Jakarta, Sambas

Perbezaan antara Bahasa Melayu Piawai dan Bahasa Indonesia ڤربيذاءن انتارا بهاس ملايو ڤياواي دان بهاس ايندونيسيا

Untuk rencana lanjutan, lihat Perbezaan antara Bahasa Melayu Piawai dan Bahasa Indonesia atau Perbezaan sebutan Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia

Perbezaan antara bahasa Melayu piawai dan bahasa Indonesia sebenarnya tidak terlalu jauh berbeza. Bahasa Indonesia sendiri pada dasarnya didasarkan kepada bahasa Melayu dialek Riau. Bahasa Melayu Riau yang juga dipakai di Malaysia sebagai bahasa standard atau lazim disebut dengan "Bahasa Melayu Baku". Namun, jika dibezakan dari segi sejarah, budaya, perlakuan tatabahasa masing-masing, dan lain-lain, jelas adalah perbezaan yang ketara antara kedua-dua bahasa. Penutur bahasa Melayu kebanyakan boleh memahami bahasa Indonesia, tetapi penutur bahasa Indonesia kebanyakan tidak boleh memahami bahasa Melayu sebab ada banyak perbezaan dari segi ejaan dan kosa kata. Bahasa Indonesia pun dimakna berbeza daripada bahasa Melayu yang lazim dituturkan di Malaysia kerana mempunyai banyak perkataan yang berasal dari bahasa Kawi, Jawa, Sunda, Betawi, Bali, Madura, Minangkabau, Belanda, dan lain-lain, walaupun sebenarnya bahasa Melayu yang dipakai di Malaysia pun banyak mempunyai kata pinjaman dari bahasa-bahasa daerah di Indonesia seperti bahasa Melayu Palembang, Minangkabau, Jawa, Lampung, Banjar, dan lain-lain.


Pengaruh daripada bahasa asing ڤڠاروه درڤد بهاس اسيڠ

Bahasa Melayu banyak menyerap bahasa-bahasa asing seperti Sanskrit, Inggeris, Belanda, Jawa, Arab dan sebagainya.

Pengaruh Bahasa Sanskrit

Bahasa Sanskrit, bahasa perantara agama Hindu dan Buddha, telah banyak mempengaruhi bahasa Melayu apabila bahasa Melayu berada di peringkat kuno, iaitu pada peringkat sebelum bahasa Melayu mencapai zaman klasik pada zaman Kesultanan Melayu Melaka yang mana bahasa Melayu telah mengalami zaman kuno antara abad ke-7 dan abad ke-13. Bukti pengaruh bahasa Sanskrit dalam bahasa kuno dapat dikesan dalam batu bersurat yang ditinggalkan oleh kerajaan Srivijaya. Mengenai bukti bahasa Melayu kuno, terdapat empat batu bersurat yang penting, iaitu yang dijumpai di:

  1. Kedukan Bukit, Palembang (683 M)
  2. Talang Tuwo, Palembang (684 M)
  3. Kota Kapur, Pulau Bangka (686 M)
  4. Karang Brahi, Meringi, daerah hulu Jambi (686 M).

Selain itu sebagai faktor sampingan, faktor kemegahan juga faktor yang mendorong kepada peminjaman bahasa daripada bahasa Sanskrit. Peminjaman ini adalah kerana bahasa Sanskrit merupakan bahasa yang dianggap bahasa yang "tinggi-tinggi" pada zaman kuno. Penyerapan bahasa Sanskrit dalam bahasa seharian dijadikan satu cara perolehan kemegahan. Keadaan ini khususnya menyebabkan peminjaman perkataan yang sudah ada dalam bahasa Melayu asli, tetapi digantikan juga dengan bahasa Sanskrit, kerana barangkali dianggap lebih sesuai, lebih sedap bunyinya ataupun semata-mata kerana disangka lebih "tinggi" mutunya kerana bahasa Sanskrit merupakan bahasa sarjana.

Dalam bahasa Melayu, terdapat 677 perkataan yang berasal daripada bahasa Sanskrit. Berikut disenaraikan beberapa contoh perkataan Sanskrit yang dipinjam ke dalam bahasa Melayu:

Bahasa SanskritBahasa MelayuTulisan Jawi
bhasabahasaبهاس
malaiuMelayuملايو
akasaangkasaاڠكاس
samudharasamuderaسامودرا
mahamahaمها
rajharajaراج
bhumibumiبومي
putraputeraڤوترا
nagaranegaraنڬارا
nagarinegeriنڬري
agamaagamaاڬام
ankaangkaاڠک
vacabacaباچ
bhagyabahagiaبهاڬيا
vamsabangsaبڠسا
balyabeliaبليا
vartaberitaبريتا
buddhibudiبودي
chayacahayaچهاي
cakracakraچقرا
dosadosaدوسا
dukkhadukaدوک
devadewaديوا
ruparupaروڤا
samsarasengsaraسڠسارا
maharanimaharaniمهاراني

Pengaruh Bahasa Jawa

Bahasa Jawa dan bahasa Melayu merupakan bahasa serumpun. Kedua-kedua bahasa tergolong kepada keluarga bahasa Indonesia. Terdapat dua faktor utama dalam penyebaran pengaruh bahasa Jawa ke Bahasa Melayu, iaitu:

  • Pengaruh melalui penyebaran cerita panji
  • Pengaruh melalui interaksi sosial dan ekonomi

Cerita panji ialah sejenis cerita yang berasal dari Jawa. Isinya mengenai wira dan wirawati. Cerita ini terdapat banyak versi, dan boleh dikesan di seluruh nusantara sehingga di Kemboja.

Migrasi orang Jawa ke Tanah Melayu telah berlaku semenjak zaman Kesultanan Melayu Melaka. Pertempatan orang Jawa sudah dapat dikesan di bandar Melaka pada zaman itu, iaitu Kampung Jawa dan Parit Jawa. Walau bagaimanapun, migrasi orang Jawa ke Tanah Melayu yang ketara berlaku bermula pada awal abad ke-19. Tumpuan migrasi Jawa adalah di negeri-negeri Selat dan juga negeri Selangor dan negeri Johor.

Pertembungan orang tempatan yang menutur bahasa Melayu dengan pendatang Jawa yang menutur dalam bahasa Jawa telah menyebabkan unsur-unsur bahasa Jawa meresap ke dalam Bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, perlu diketahui bahawa kata-kata pinjaman Jawa meresap ke dalam Bahasa Melayu secara terpencil dan tidak tersebar luas. Ia dikatakan diserap ke dalam Bahasa Melayu kerana migrasi orang-orang Jawa yang masih mengekalkan bahasa mereka dan tidak menguasai perbendaharaan bahasa Melayu yang sebenar.

Berikut disenaraikan beberapa kata-kata pinjaman Jawa dalam bahasa Melayu:

PerkataanTulisan JawiMaksudnya
andongاندوڠKereta kuda(sewaan)
batokباتوقtempurung
berangasanبيرڠاسانmudah naik marah
wedanaويدناketua daerah
adipatiاديڤتيraja

Pengaruh Arab-Islam

Bahasa Arab dan agama Islam sangat mempengaruhi perkembangan bahasa Melayu. Status bahasa Melayu yang bertaraf lingua franca dan keunikannya telah menyebabkan agama Islam disebarkan dalam bahasa Melayu dan bukan dengan bahasa Arab. Walau bagaimanapun, bahasa Arab melalui kedatangan agama Islam telah mempengaruhi perkembangan bahasa Melayu dalam beberapa aspek, antaranya:
1- perbendaharaan kata
2- sebutan kata
3- tulisan

Perbendaharaan Kata

Hampir sebahagian besar perbendaharaan bahasa Melayu meminjam perkataan bahasa Arab. Berikut disenaraikan beberapa contoh perkataan Arab yang dipinjam ke dalam bahasa Melayu:

Bahasa ArabBahasa MelayuTulisan Jawi
abbaabahابه
syukrsyukurشكور
jadwaljadualجدوال
qamuskamusكاموس
subhsubuhصبح
waqtuwaktuوقتو
hayawanhaiwanحيوان
wajhwajahوجه
aqalakalعقل
dunyaduniaدنيا
mahkamahmahkamahمحكمه
asalasalاصل
mas'alahmasalahمسئله
hadyahhadiahهديه
sadaqahsedekahصدقه
mawtmautموت
quwatkuatكوات
janinjaninجنين
kitabkitabكتاب

Sebutan Kata

Pengaruh Arab-Islam memberi kesan yang sangat besar kepada sebutan perkataan dalam bahasa Melayu. Bahasa Melayu mula dituturkan supaya menghampiri sebutan bahasa Arab, kerana masyarakat Melayu terdorong untuk membaca Al-Qur'an dengan betul.
Sebutan dengan pengaruh Arab-Islam ini turut membezakan antara penutur asal bahasa Melayu (iaitu orang-orang Melayu) dengan penutur bukan asal (seperti kaum Cina, India, atau bangsa Eropah) kerana penutur bukan asal ini tidak dapat menyebut beberapa perkataan yang menerima pengaruh Arab.
Contoh-contoh perkataan yang berbeza sebutan antara sebutan penutur Melayu dan penutur bukan Melayu:

Bahasa MelayuTulisan Jawi
Abdullahعبدالله
maklumatمعلومت
iklanاكلان
kadiقاضي


Tulisan

Kedatangan pengaruh Arab-Islam telah menyumbang kepada penulisan bahasa Melayu dalam tulisan Arab yang akhirnya disebut tulisan Jawi. Tulisan Jawi ini digunakan antara lain bagi memudahkan orang-orang Melayu yang rata-rata beragama Islam membaca Al-Quran.
Hal ini dapat dilihat dengan jelas apabila sistem pendidikan Malaysia menukar tulisan Jawi kepada tulisan Rumi, ramai orang-orang Melayu mula tidak mampu membaca Al-Quran dengan baik. Ia dinamakan sindrom Buta Jawi atau Buta Al-Quran.

Pengaruh Bahasa Cina

Dalam Kamus Dewan, terdapat kata-kata yang mempunyai etimologi berlabel C. Perkataan ini merupakan kata-kata yang dipinjam daripada bahasa Cina. Tetapi bukan semua kata-kata yang berlabel C dalam Kamus Dewan Bahasa merupakan kata-kata yang dipinjam daripada bahasa Cina. Dalam kajian Kong 1993, telah disimpulkan bahawa lebih kurang 261 patah perkataan Bahasa Melayu telah dipinjam daripada bahasa Cina.

Terdapat 10 pengelasan kata yang telah disimpulkan oleh Kong iaitu:

  1. Sayur-sayuran, buah-buahan, dan makanan.
  2. Barang kegunaan harian.
  3. Adat istiadat.
  4. Bangunan dan tempat.
  5. Permainan perjudian dan kepercayaan
  6. Jabatan, kerjaya, dan posisi sosial.
  7. Kenderaan dan alat pengangkutan.
  8. Perkataan lain-lain.

Kajian ini juga dilakukan oleh Mashudi dan Yeong pada tahun 1989. Hasil kajian mereka mendapati terdapat lebih kurang 341 patah perkataan Bahasa Melayu dipinjam daripada bahasa Cina. Kajian melihat pada fonologi perkataan bahasa Melayu tersebut. Sistem fonologi kata asli bahasa Melayu tidak bertepatan dengan sistem fonologi kata bahasa Cina.

Antara kata Bahasa Cina yang dipinjam dalam Kamus Dewan Bahasa ialah:

  1. Pinjaman kata Bahasa Cina yang bertentangan dengan sistem penyelarasan vokal
    • Anglo اڠلو
    • apek اڤيك
    • cingge چيڠڬ
    • kaleng كلاڠ
    • kongsi كوڠسي
    • lio ليو
    • liong ليوڠ
    • lisong ليسوڠ
    • lokcuan لوقچوان
    • mahjong مهجوڠ
    • panglong ڤڠلوڠ
    • singkong سيڠكوڠ
    • taikong تايكوڠ
  2. Pinjaman kata Bahasa Cina yang bertentangan dengan rangkap bunyi homorgan sengauan
    • angpau اڠڤاو
    • bangpak بڠڤق
    • camca چمچا
    • kamsia كمسيا
    • samsu سمسو
    • samseng سمسڠ
  3. Pinjaman kata Bahasa Cina yang tidak berlaku pengurangan vokal
    • beca بيچا
    • camca چمچا
    • kekwa كيكوا
    • nyonya ڽوڽا
    • popia ڤوڤيا
    • misoa ميسوا
    • mua موا
    • sempoa سمڤوا
    • taukua تاوكوا
  4. Pinjaman kata Bahasa Cina yang mengalami penyengauan vokal
    • popia ڤوڤيا
    • misoa ميسوا
    • sempoa سمڤوا
    • siya سيا
    • taukua تاوكوا

Prilaku fonologi pinjaman kata Bahasa Cina adalah bertentangan dengan sistem fonologi bahasa Melayu.

Pengaruh Portugis

Terdapat 131 perkataan yang berkemungkinan berasal daripada bahasa Portugis. Beberapa contoh perkataan Portugis yang diserap dalam bahasa Melayu ialah:

Bahasa PortugisBahasa MelayuTulisan Jawi
armárioalmariالماري
bolabolaبولا
bandeirabenderaبنديرا
camisakemejaكمجا
dadodaduدادو
garfogarpuڬرڤو
igrejagerejaڬرجا
limãolimauليماو
manteigamentegaمنتيڬ
domingomingguميڠڬو
padrepaderiڤادري
toalhatualaتوالا
janelajendelaجنديلا
escolasekolahسكوله
sábadoSabtuسبتو
sabãosabunسابون
sapatosepatuسڤاتو
abbaabahابه
almarialmariالماري
kamejakemejaكمجا
salwarseluarسلوار

Pengaruh Inggeris

Pengaruh bahasa Inggeris dalam bahasa Melayu merupakan pengaruh paling ketara dan paling meluas masa kini, dan lazimnya perkataan Inggeris dipinjam ke dalam bahasa Melayu apabila tiada perkataan tempatan untuk menggambarkan situasi baru yang memerlukan satu panggilan khusus untuk merujuk kepadanya. Contoh perkataan sebegini ialah konotasi (Jawi: كونوتاسي; connotation), kompromi (Jawi: كومڤرومي; compromise) dan siri (Jawi: سيري; series). Tetapi kebingungan dan bantahan sering timbul apabila perkataan Inggeris yang diterima masuk ke dalam bahasa Melayu terlalu banyak sehinggakan ada yang bertindak sebagai pengganti perkataan yang telah wujud. Dewan Bahasa dan Pustaka telah terus membenarkan kemasukan perkataan sebegini dalam kosa kata bahasa Melayu dan tidak menghiraukan bantahan yang dikemukakan. Penggunaan perkataan sebegini yang meluas di media percetakan dalam bahasa Melayu di Malaysia seperti pada akhbar Utusan Malaysia telah mengeruhkan lagi permasalahan ini. Satu-satunya kenyataan bernada bimbang terhadap situasi ini pernah dilafazkan bekas perdana menteri Malaysia, Mahathir bin Mohamad meskipun beliau sendiri telah memperkenalkan suatu perkataan baru "bajet" (Jawi: باجيت) menggantikan perkataan "belanjawan" (Jawi: بلنجاوان) semasa pembentangan belanjawannya yang terakhir, dengan alasan bahawa istilah belanjawan tidak tepat kerana anggaran kewangan kerajaan turut melibatkan hasil, dan bukan belanja semata-mata.

Berikut merupakan beberapa perkataan yang telah diterima dalam bahasa Melayu secara rasmi dan digunakan secara meluas dan dianggap telah diterima.


Bahasa InggerisBahasa MelayuTulisan Jawi
bookbukuبوكو
lamplampuلمڤو
ballbolaبولا
mindmindaميندا
chequecekچيك
busbasبس
taxiteksiتكسي

Beberapa tahun kebelakangan ini (sekitar 2003), stesen televisyen milik kerajaan Malaysia RTM 1 (dahulu dikenali sebagai TV 1) telah menukar tema salurannya kepada "Saluran Infotainmen Anda" (Jawi: سالورن اينفوتاينمن اندا; daripada bahasa Inggeris Your Infotainment Channel) dan ini menimbulkan kontroversi apabila Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mendakwa perkataan "Infortainmen" merosakkan penggunaan bahasa Melayu. Alasan yang diberikan adalah bahawa -tain- yang harus disebut seakan perkataan Melayu main, dan ini kedengaran agak janggal. Penukaran ejaan ke "Infotenmen" pula tidak diterima sebagai piawai DBP dan kerajaan disaran menggantikannya dengan perkataan lain seperti "Infohibur" tetapi Kementerian Penerangan yang mengendalikan stesen televisyen kerajaan Radio Televisyen Malaysia enggan menuruti saranan berkenaan. Pada tahun 2006 tema ini ditukarkan ke Saluran Inforia (Jawi: سالورن اينفوريا).

Definisi bahasa Melayu tinggi dan bahasa Melayu baku ديفينيسي بهاس ملايو تيڠݢي دان بهاس ملايو باکو

Konsep bahasa Melayu tinggi merujuk kepada penggunaan bahasa Melayu dalam konteks wacana ilmiah dan berkaitan dengan ketamadunan. Bahasa Melayu tinggi sering dirujuk sebagai wahana bagi melahirkan idea dan wawasan yang berkaitan dengan kesarjanaan dan kebudayaan. Bahasa Melayu tinggi lazimnya digunakan dalam seminar, persidangan atau kongres yang berkaitan dengan bahasa, budaya ataupun bidang ilmiah yang lain.

Bahasa Melayu baku pula ialah bahasa Melayu yang sempurna dari segi penggunaan aspek bahasanya, iaitu ejaan, tatabahasa, istilah, penggunaan kata, laras bahasa dan sebutan.

Frasa mudah dalam Bahasa Melayu فراسا موده دالم بهاس ملايو  

Di Malaysia, biasanya masyarakat Melayu bertegur sapa sesama sendiri dengan ucapan salam, tetapi ucapan formal seperti "Selamat pagi" atau "Selamat sejahtera" turut digunakan bagi penutur bukan Islam. Ucapan "Hai" juga sering digunakan apabila bertegur sama sesama rakan-rakan, sebagaimana perkataan "Bye-bye" semasa meminta diri untuk beredar.

Frasa bahasa Melayu IPA Tulisan Jawi
Selamat datang /səlamat dataŋ/ سلامت داتڠ
Selamat jalan /səlamat dʒalan/ سلامت جالن
Selamat tinggal /səlamat tiŋgal/ سلامت تيڠڬل
Terima kasih /tərima kasih/ تريما كاسيه
Sama-sama /sama sama/ سام-سام
Selamat pagi /səlamat pagi/ سلامت ڤاڬي
Selamat petang /səlamat pətaŋ/ سلامت ڤتڠ
Selamat sejahtera /səlamat sədʒahtəra/ سلامت سجهترا
Selamat malam /səlamat malam/ سلامت مالم
Jumpa lagi /dʒumpa lagi/ جومڤا لاڬي
Siapakah nama awak?/Nama awak siapa? /siapakah nama awak/ atau /nama awak siapa/ سياڤاكه نام اوق؟/نام اوق سياڤا؟
Nama saya ... /nama saja/ (diikuti dengan nama) نام ساي ...
Apa khabar? /apa kabar/ اڤ خبر؟
Khabar baik /kabar baik/ خبر باءيق
Saya sakit /saja sakit/ ساي ساكيت
Ya /ja/ يا
Tidak (tidak formal: "tak") /tidak/ atau /tak/ تيدق
Ibu sayang engkau/kamu (awak) /ibu sajaŋ əŋkau/ (ايبو سايڠ اڠكاو/كامو (اوق
Aku (Saya) cinta pada mu (awak) /aku tʃinta pada mu/ (اكو (ساي) چينتا ڤد مو (اوق
Saya benci awak /saja bentʃi awak/ ساي بنچي اوق
Saya tidak faham (tidak formal: "tak faham") /saja tidak faham/ ساي تيدق فهم
Saya tidak tahu (tidak formal: "tak tau" ataupun "sik tau" di Sarawak) /saja tidak tahu/ ساي تيدق تاهو
(Minta) maaf /minta ma'af/ مينت) معاف)
Tumpang tanya /tumpaŋ taɲa/ تومڤڠ تاڽ
(Minta) tolong /toloŋ/ مينت) تولوڠ)
Apa /apa/ اڤ
Tiada /tiada/ تياد

Penggunaan tidak formal pada zaman kontemporari

Di keempat-empat negara yang menggunakan bahasa-bahasa Melayik yakni negara Indonesia, Malaysia, Singapura dan Brunei, penggunaan ragam bahasa Melayu yang tidak formal adalah sesuatu yang pasti berlaku dalam kehidupan harian kerana agak mustahil untuk setiap orang bertutur dalam ragam formal sepanjang masa. Penggunaan ragam tidak formal kebiasaannya berlaku melalui pemendekkan kata dari bahasa formal, peminjaman kosa kata dari dialek-dialek/bahasa-bahasa tempatan (seperti dialek Melayu Kelantan, bahasa Minangkabau atau bahasa Jawa) mahupun bahasa-bahasa negara berdekatan (seperti bahasa Thai, bahasa Cina dan bahasa India) serta penyerapan sebutan langsung dari kosa kata bahasa asing khususnya bahasa Inggeris ekoran globalisasi.

Untuk rencana berkaitan penggunaan bahasa Indonesia yang tidak formal, sila lihat Bahasa gaul Indonesia

Untuk rencana berkaitan penggunaan bahasa Melayu Malaysia yang tidak formal, sila lihat Bahasa Melayu yang tidak rasmi di Malaysia

Galeri ݢالري

Lihat juga ليهت جوݢ

Rujukan روجوعکن

  1. ^ Eberhard, David M.; Simons, Gary F.; Fennig, Charles D. (8 Mei 2023). "Malay (macrolanguage), Ethnologue Essentials" (ed. 26). Dallas, Texas: SIL International. Diarkibkan daripada yang asal pada 28 Jun 2023. Dicapai pada 8 Mei 2023. Sejumlah 82,223,886 orang penutur asli bahasa makro Melayu (kod "msa"), meliputi kesemua variasi-variasi di bawah kumpulan bahasa Melayik, tetapi tidak termasuk kumpulan bahasa Ibanik, bahasa Kendayan, bahasa Keninjal, bahasa Urak-Lawoi dan bahasa Dayak Melayik.
  2. ^ Uli, Kozok (30 Ogos 2022). "How many people speak Indonesian". University of Hawaii at Manoa. Dicapai pada 30 Ogos 2022. James T. Collins (Bahasa Sanskerta dan Bahasa Melayu, Jakarta: KPG 2009) gives a conservative estimate of approximately 200 million, and a maximum estimate of 250 million speakers of Malay (Collins 2009, p. 17).
  3. ^ "Recognition of Bahasa Indonesia as an official language of the General Conference of UNESCO". UNESCO General Conference. UNESCO (42). 2023. Dicapai pada 2023-11-20.
  4. ^ 10 juta di Malaysia, 5 juta penutur bahasa Melayu serta tambahan 260 juta penutur bahasa Indonesia di Indonesia, dan lain-lain kelainan bahasa Melayu.
  5. ^ Wardhana, Dian Eka Chandra (2021). "Indonesian as the Language of ASEAN During the New Life Behavior Change 2021". Journal of Social Work and Science Education. 1 (3): 266–280. doi:10.52690/jswse.v1i3.114. Dicapai pada 29 January 2021.
  6. ^ "Teks PDF oleh Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia-Perkara 152. Bahasa kebangsaan" (PDF).
  7. ^ "Constitution of the Republic of Singapore (2020 Revised Edition)". Diarkibkan daripada yang asal pada 28 Mei 2023., berkuatkuasa bermula 31 Disember 2021.
  8. ^ "Brunei Darussalam's Constitution of 1959 with Amendments through 2006" (PDF). www.agc.gov.bn. March 31, 2021.
  9. ^ Blust, Robert (2013). The Austronesian Languages (ed. revised). Australian National University. hdl:1885/10191. ISBN 978-1-922185-07-5.
  10. ^ Tadmor, Uri (2009). "Malay-Indonesian". Dalam Bernard Comrie (penyunting). The World's Major Languages (ed. 2nd). London: Routledge. m/s. 791–818.
  11. ^ Eberhard, David M.; Simons, Gary F.; Fennig, Charles D. (8 Mei 2023). "Austronesian (Subgroup of 1256 languages), Ethnologue Essentials" (ed. 26). Dallas, Texas: SIL International. Dicapai pada 8 Mei 2023. Kaedah pengelasan yang dikemukakan oleh Ethnologue 26, kumpulan bahasa Melayik terdiri daripada bahasa makro Melayu (kod "msa"), serta kumpulan bahasa Ibanik, bahasa Kendayan, bahasa Keninjal, bahasa Urak-Lawoi dan bahasa Dayak Melayik.
  12. ^ Adelaar, K. Alexander (2004). "Where does Malay come from? Twenty years of discussions about homeland, migrations and classifications". Bijdragen tot de Taal-, Land- en Volkenkunde. 160 (1): 1–30. doi:10.1163/22134379-90003733. JSTOR 27868100.
  13. ^ Andaya, Leonard Y. (2001). "The Search for the 'Origins' of Melayu" (PDF). Journal of Southeast Asian Studies (dalam bahasa Inggeris). 32 (3): 315–330. doi:10.1017/S0022463401000169. S2CID 62886471.
  14. ^ Southeast Asia Digital Library: About Malay Diarkibkan 16 Jun 2007 di archive.today
  15. ^ "Entri "bahasa"". Kamus Dewan Perdana (ed. 1). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. 2020. m/s. 178. ISBN 978-983-49-2644-1. Dicapai pada 30 April 2023.
  16. ^ Wurm, Stephen; Mühlhäusler, Peter; Tryon, Darrell T. (1996). Atlas of Languages of Intercultural Communication in the Pacific, Asia, and the Americas: Vol I: Maps. Vol II: Texts. Walter de Gruyter. m/s. 677. ISBN 978-3-11-081972-4.
  17. ^ Sneddon, James N. (2003), The Indonesian Language: Its History and Role in Modern Society, University of New South Wales Press, ISBN 0-86840-598-1
  18. ^ Teeuw, Andries (1959), The History of the Malay Language: A Preliminary Survey, Royal Netherlands Institute of Southeast Asian and Caribbean Studies, dicapai pada 17 October 2012
  19. ^ "Bahasa Melayu Kuno". Bahasa-malaysia-simple-fun.com. 15 September 2007. Diarkibkan daripada yang asal pada 26 Disember 2010. Dicapai pada 22 Disember 2010.
  20. ^ Surakhman, M. Ali (23 October 2017). "Undang-Undang Tanjung Tanah: Naskah Melayu Tertua di Dunia". kemdikbud.go.id (dalam bahasa Indonesia).
  21. ^ Sneddon, James N. (2003). The Indonesian Language: Its History and Role in Modern Society. UNSW Press. m/s. 70. ISBN 978-0-86840-598-8.
  22. ^ a b Sneddon, James N. (2003). The Indonesian Language: Its History and Role in Modern Society. UNSW Press. m/s. 62. ISBN 978-0-86840-598-8.
  23. ^ Ethnologue 16 mengklasifikasi mereka sebagai bahasa-bahasa yang terpisah, ISO3 kxd and meo, tetapi juga menyatakan bahawa mereka "sangat rapat sehingga mungkin suatu hari nanti dikira sebagai dialek-dialek Melayu".
  24. ^ "Malay (Bahasa Melayu)". Omniglot. Dicapai pada 30 August 2008.
  25. ^ a b Clynes, Adrian; Deterding, David (2011). "Standard Malay (Brunei)". Journal of the International Phonetic Association. 41 (2): 259–268. doi:10.1017/S002510031100017X..
  26. ^ Karim, Nik Safiah; M. Onn, Farid; Haji Musa, Hashim; Mahmood, Abdul Hamid (2008). Tatabahasa Dewan (ed. 3). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. m/s. 297–303. ISBN 978-983-62-9484-5.
  27. ^ Hassan, Abdullah (1972). The Morphology of Malay. University of Edinburgh.
  28. ^ Soderberg, Craig D.; Olson, Kenneth S. (2008). "Indonesian". Journal of the International Phonetic Association (dalam bahasa Inggeris). 38 (2): 209–213. doi:10.1017/S0025100308003320. ISSN 1475-3502.
  29. ^ Asmah Haji, Omar (1985). Susur galur bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
  30. ^ Ahmad, Zaharani (1993). Fonologi generatif: teori dan penerapan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
  31. ^ Clynes, Adrian (1997). "On the Proto-Austronesian "Diphthongs"". Oceanic Linguistics. 36 (2): 347–361. doi:10.2307/3622989. JSTOR 3622989.
  32. ^ Adelaar, K. A. (1992). Proto Malayic: the reconstruction of its phonology and parts of its lexicon and morphology (PDF). Canberra: Pacific Linguistics. doi:10.15144/pl-c119. ISBN 0858834081. OCLC 26845189.
  33. ^ Abu Bakar, Mukhlis (2019-12-18). "Sebutan Johor-Riau dan Sebutan Baku dalam Konteks Identiti Masyarakat Melayu Singapura". Issues in Language Studies. 8 (2). doi:10.33736/ils.1521.2019. ISSN 2180-2726. S2CID 213343934.
  34. ^ Uri, Tadmor (2003). CRCL, CRCL, And/Or The Author(S). "Final /a/ mutation: a borrowed areal feature in Western Austronesia" (PDF). Issues in Austronesian Historical Phonology (dalam bahasa Inggeris). Pacific Linguistics, The Australian National University (PL-550): 15–36. doi:10.15144/PL-550.15. Dicapai pada 2022-11-05 – melalui sealang.net/CRCL.

Nota نوتا

  1. ^ Disebabkan bentuk-bentuk piawai bahasa rasmi negara Indonesia, Malaysia, Brunei dan Singapura adalah hampir serupa dari segi struktur bahasa dan kebanyakannya hanya berbeza dari segi perbendaharaan kata dan sedikit sahaja bezanya dari segi butiran fonetik, istilah payung "bahasa Melayu/Indonesia"[9] atau "bahasa Melayu-Indonesia"[10] sering digunakan dalam catatan-catatan linguistik apabila berbincang mengenai struktur dan sejarah bahasa ini.


Pautan luar ڤاءوتن لوار