Baik Punya Cilok

Filem komedi Malaysia 2005 arahan Dato' Afdlin Shauki

Baik Punya Cilok ialah sebuah filem aksi komedi Malaysia 2005[a] arahan Afdlin Shauki yang turut berkhidmat sebagai penulis skrip,[1][2] dibintangi oleh beliau sendiri, Hans Isaac, AC Mizal dan Awie sebagai pelakon utama.[3][4][5] Filem ini mengisahkan 4 sahabat iaitu Aben, Bob, Jerry dan Wak yang berpakat untuk merompak Tauke Wong, tauke pajak gadai bagi mendapatkan kembali kerongsang nenek Wak yang digadaikannya ketika berkahwin dengan isterinya dulu. Pelbagai peristiwa lucu terjadi semasa mereka melakukan perancangan untuk mendapatkan kerongsang itu semula.[6]

Baik Punya Cilok
Baik punya cilok.jpg
Poster promosi
PengarahAfdlin Shauki
PenerbitGayatri Su-Lin Pillai
PenulisAfdlin Shauki (cerita & lakon layar)
Dibintangi oleh
Muzik oleh
  • Ajai
  • Pacai
  • Afdlin Shauki
SinematografiIndra Che Muda
Disunting oleh
  • Marilyn Jhon
  • Afdlin Shauki
  • Sukhdev Singh
Syarikat
penerbitan
Mula ditayangkan
22 Disember 2005 (2005-12-22)(Malaysia)
Tempoh tayangan
125 minit
NegaraMalaysia
Bahasa
Pecah panggungRM3 juta

Ditayangkan kepada umum pada 22 Disember 2005, filem ini mengejutkan banyak pihak kerana kutipan tayangan selama seminggu mencecah RM1 juta.[7] Untuk meraikan ulang tahun ke-10, filem ini telah diadaptasikan kepada bentuk teater di Istana Budaya pada tahun 2015.[8] Kesinambungan kedua filem ini sedang dalam perancangan.[9]

SinopsisSunting

Kisah lucu 4 sahabat, Aben (Afdlin Shauki), Bob (Awie), Jerry (Hans Isaac) dan Wak (AC Mizal) yang berpakat untuk merompak Tauke Wong (Patrick Teoh), seorang tauke kedai pajak, bagi mendapatkan kembali kerongsang nenek Wak yang telah dipajakkan ketika Wak mahu mengahwini Nazatul (Nadia Mustafar). Menyedari nilainya begitu tinggi, Tauke Wong tidak mahu menjualkan kembali kerongsang tersebut, lalu menaikkan harga bunganya berganda. Wak tidak mampu membayarnya.

Dalam keadaan yang terdesak, mereka berempat merancang untuk merompak Tauke Wong, hanya kerana untuk mendapatkan kembali kerongsang tersebut... lagaknya seperti Robin Hood abad baru. Leman mendesak agar mereka mengajar Tauke Wong dengan merompak apa sahaja barang yang ada di kedai pajak itu. Sahabat yang lain tidak bersetuju dengan ide Leman kerana mereka sebenarnya bukanlah pencuri dan jauh di sudut hati, mereka sebetulnya takut dengan akibat yang bakal menimpa. Namun, Leman kemudiannya telah menarik diri di saat akhir.

Rancangan harus diteruskan dan persiapan rapi diatur. Setelah melakukan beberapa siri latihan, perbincangan dan strategi, akhirnya hari yang ditunggu-tunggu pun tiba bagi membuktikan kejantanan mereka. Tanpa diduga, kejutan telah menanti mereka di kedai Tauke Wong. Kedai tersebut telahpun dirompak terlebih dahulu oleh orang lain! Lebih malang lagi mereka berempat yang terpalit lumpurnya. Dengan sarung kaki wanita sebagai topeng dan timun serta terung yang dibalut bagi menampakkan seperti senjata, mereka telah ditahan polis ketika di kedai Tauke Wong, atas cubaan merompak. Hanya Jerry yang terlepas kerana berada di dalam kereta yang bakal mereka gunakan untuk melarikan diri. Kawan-kawan yang berada di lokap mula mencurigai Jerry. Ini kerana Jerry mempunyai beban hutang akibat suka berjudi. Namun begitu, Jerry jugalah harapan kawan-kawannya untuk membuktikan yang mereka tidak bersalah dan seterusnya mendapatkan kembali kerongsang nenek Wak.

PelakonSunting

Afdlin Shauki sebagai Aben/Kaki Skodeng
Hans Isaac sebagai Jerry/Kaki Belit
AC Mizal sebagai Wak/Kaki Pancing
Awie sebagai Bob KP/Kaki Pukul

PenerbitanSunting

Idea asal Baik Punya Cilok ialah daripada Afdlin Shauki dan Hans Isaac.[16][17] Ia merupakan kedua arahan Afdlin selepas filem Buli (2004) dan merupakan filem sulung arahannya bersama Tayangan Unggul.[18] Ia menandakan kolaborasi kedua beliau bersama Hans dan AC Mizal yang sebelum ini pernah bekerjasama dengan Afdlin dalam Buli,[3] dan juga menandakan kolaborasi sulung Afdlin bersama Awie.[3]

Cerita dan skrip untuk Baik Punya Cilok mengambil masa beberapa bulan untuk disiapkan. Untuk filem ini, Afdlin memutuskan untuk tampilkan sepenuhnya pelakon lelaki, manakala pelakon wanita diberikan peranan sekunder.[19][20] Lawak semula jadi tanpa penambahan lawak slapstik ditampilkan bagi memperkuatkan plot dan jalan cerita.[21][22] Menurut beliau, teknik imbas kembali juga digunakan bagi menyoroti rentetan sudut pandang peristiwa tertentu setiap watak dalam gambar pegun hitam putih, yang mana kisah mereka diceritakan oleh tukang karut dengan iringan muzik dikir barat.

Penggambaran dijalankan sekitar Jun dan Ogos 2004 di Lembah Klang, Kuala Kubu Bharu dan Hulu Langat, Selangor.[18][10] Pacai dan Afdlin mencipta skor muzik dan lagu tema filem ini bertajuk sama yang mana, ia dipersembahkan oleh Afdlin sendiri, Hans, AC dan Awie. Beliau bersama Marilyn Jhon dan Sukhdev Singh berkhidmat sebagai penyunting manakala Indera Che Muda sebagai ahli sinematografi. Proses adunan dan sentuhan terakhir dijalankan di Chennai, India.[23]

Keluaran dan sambutanSunting

Baik Punya Cilok dikeluarkan pada 22 Disember 2005 di pawagam seluruh Malaysia semasa musim cuti sekolah, iaitu 5 minggu sebelum filem Buli Balik (2006) yang juga arahan Afdlin ditayangkan di pawagam.[24][25] Filem ini pada asalnya dijadualkan untuk ditayangkan di Singapura pada awal Januari 2006, namun tidak dapat ditayangkan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.[26]

Filem ini menjadi kejayaan komersial apabila berjaya meraih kutipan pecah panggung kasar sebanyak RM1.2 juta dalam tempoh seminggu selepas tayangan perdana rasmi,[27][28][29] sekaligus mengatasi kutipan filem King Kong.[30] Pada minggu ketiga tayangannya, filem ini meraih kutipan sebanyak RM2.2 juta.[31] Menjelang hari terakhir tayangannya, Baik Punya Cilok meraih kutipan pecah panggung sebanyak RM3 juta.[32]

Ulasan kritisSunting

Filem ini menerima ulasan positif daripada pengkritik filem. Zainuri Misfar, menulis untuk Berita Harian sifatkan filem ini sebagai "kelakar habis".[33] Shakilawati Abd Rahman dari Metro Ahad pula berpendapat filem ini "ada umph"[34] sambil menyifatkan "idea berbelit" Afdlin membuahkan hasil "sekali gus meletakkan namanya sebaris dengan sutradara perfileman tersohor tanah air".[35] Happy Dia dalam ulasan retrospektif mengenai Baik Punya Cilok berkata: "Jika komedi selamba yang anda cari, inilah filemnya. Slapstik, tidak terlepas, tetapi dengan gandingan hebat para bintangnya, anda tidak akan peduli itu semua".[36] Brian J. Chong dari Cinema Online memberi 3/5 bintang untuk filem ini dan berpendapat: "Cukup asli dan pintar. Akan tetapi, untuk masa tayangan filem ini, saya percaya filem itu dapat diselang-selikan selama sepuluh hingga lima belas minit yang baik untuk memastikan langkah filem menjadi lebih ketat. Kesimpulannya, jika anda peminat Afdlin Shauki dan telatahnya, filem ini sesuai untuk anda. Bagi mereka yang tidak biasa dengan karya Afdlin, ini ialah peluang anda untuk mendapatkan dos anda".[37] Portal web, Lizzam yang memberikan 4/5 bintang untuk Baik Punya Cilok berkata bahawa filem ini "sememangnya menonjol daripada filem-filem arus perdana lain" dan mengibaratkannya sebagai "Lock, Stock and Two Smoking Barrel versi Malaysia".[38] Sultan Muzaffar pula menganggap filem ini umpama "lawak berdiri versi lebih panjang".[39]

Runut bunyiSunting

No. TajukPenyanyi Masa
1. "Baik Punya Cilok"   4:25
2. "Aku Lelaki"  Afdlin Shauki 4:15
3. "Kali Pertama" (ft. Reefa)AC Mizal 4:00
4. "Gila Judi"  M. Daud Kilau 3:57
5. "Seperti Manamu"  Afdlin Shauki 4:29
6. "Asmara"  Gerhana Ska Cinta 2:19
Jumlah masa:
22:45

AnugerahSunting

Baik Punya Cilok telah dicalonkan untuk 5 kategori di Festival Filem Malaysia ke-19, namun gagal menerima pencalonan untuk kategori Filem Terbaik. Bagaimanapun, ia memenangi hanya satu anugerah, iaitu Cerita Asal Terbaik. Filem ini juga telah dicalonkan untuk 3 kategori di Anugerah Skrin 2006, namun tidak memenangi sebarang anugerah.

Tahun Anugerah Kategori Penerima/Karya tercalon Keputusan Ruj.
2006 Festival Filem Malaysia ke-19 Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Harun Salim Bachik Tercalon [40]
Cerita Asal Terbaik Baik Punya Cilok Menang
Penyunting Terbaik Sukhdev Singh Tercalon
Skor Muzik Asal Terbaik Afdlin Shauki, Pacai Tercalon
Lagu Tema Asal Terbaik "Baik Punya Cilok" Tercalon
Anugerah Skrin 2006 Lakon Layar Terbaik Afdlin Shauki Tercalon [41]
Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Filem) AC Mizal Tercalon
Filem Terbaik Baik Punya Cilok Tercalon

Adaptasi teaterSunting

Kejayaan Baik Punya Cilok turut membawa kepada pementasan teater.[42] Afdlin, Awie, AC dan Hans kembali menjayakan watak masing-masing dengan turut disertai oleh barisan pelakon asal filem ini. Filem ini dipilih untuk dipentaskan dalam teater berdasarkan undian yang dijalankan pada Mac 2015. Pacai berkhidmat sebagai pengarah muzik untuk teater ini. Teater Baik Punya Cilok dipentaskan pada 25 April sehingga 1 Mei 2015 di Istana Budaya sempena meraikan ulang tahun ke-10 filem ini.[43]

KesinambunganSunting

Pada November 2017, Afdlin mengumumkan bahawa kesinambungan untuk Baik Punya Cilok sedang dalam perancangan. Beliau mendedahkan dalam satu temubual kepada New Straits Times bahawa filem Baik Punya Cilok 2 berkemungkinan akan menjalani penggambaran pada Januari 2018 dengan tempoh penggambaran ialah selama 45 hari di salah satu kawasan perairan Sabah.[9] Beliau dilaporkan berhasrat untuk mengarahkan dua lagi filem Baik Punya Cilok kerana setiap watak utama dalam empat filem mempunyai ceritanya yang tersendiri, katanya: "Pengembaraan pertama ialah mengenai Wak dan yang kedua ialah mengenai Bob - Jerry dan Aben akan menyusul pada tahun-tahun yang akan datang".[9]

CatatanSunting

  1. ^ Biarpun filem ini ditayangkan pada 2005, tahun hak cipta sebenarnya ialah 2003.

RujukanSunting

  1. ^ a b Suraiya Mohd Nor (20 Julai 2004). "Afdlin tekad 'panaskan' kerusi pengarah". Berita Harian. Dicapai pada 11 Julai 2010.
  2. ^ Suzan Ahmad (10 November 2004). "Afdlin bersedia untuk 'cilok' lagi". Berita Harian. Dicapai pada 18 Oktober 2020.
  3. ^ a b c Tengku Khalidah Tengku Bidin (17 Julai 2004). "Baik Punya Cilok - Kehebatan pelakon lelaki diuji". Utusan Malaysia. Dicapai pada 10 Julai 2010.
  4. ^ Wanda Idris (17 November 2005). "Afdlin, AC, Hans - Dalam tawa ada yang disindir". Utusan Malaysia. Dicapai pada 22 Julai 2010.
  5. ^ "Pelakon serasi filem menjadi". Metro Ahad. 18 Disember 2005. Dicapai pada 23 Oktober 2020.
  6. ^ "Gelagat lucu 4 sahabat". Harian Metro. 14 Disember 2005. m/s. 9.
  7. ^ Khadijah Ibrahim (2 Januari 2006). "Baik Punya Cilok kutip RM1 juta dalam seminggu". Utusan Malaysia. Dicapai pada 10 Julai 2010.
  8. ^ Zaidi Mohamad (25 April 2015). "Memori Baik Punya Cilok kembali ke Istana Budaya". Berita Harian. Dicapai pada 10 Julai 2015.
  9. ^ a b c Dennis Chua (1 November 2017). "Afdlin to direct 'Baik Punya Cilok 2' next year" (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. Dicapai pada 11 Julai 2018.
  10. ^ a b c d e f g h i j k l m "Catatan penerbitan Baik Punya Cilok". Filem Kita. Diarkibkan daripada yang asal pada 15 April 2016. Dicapai pada 15 Julai 2011.
  11. ^ Wanda Idris (2 Mac 2005). "Watak hero - Permintaan Hans Isaac jika ditawar berlakon". Utusan Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 2 Mac 2005. Dicapai pada 11 Julai 2010.
  12. ^ "Apabila jatuh ditimpa tangga". Utusan Malaysia. 20 Mac 2005. Diarkibkan daripada yang asal pada 20 Mac 2005. Dicapai pada 11 Julai 2010.
  13. ^ Khadijah Ibrahim (6 Disember 2005). "Awie seperti dijelmakan semula". Utusan Malaysia. Dicapai pada 11 Julai 2010.
  14. ^ Shazryn Mohd Faizal (18 Disember 2009). "Carmen serasi dengan Afdlin". Utusan Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 19 Disember 2009. Dicapai pada 11 Julai 2010.
  15. ^ Zul Husni Abdul Hamid (28 Ogos 2004). "Nadia jual bakat bukan diri". Berita Harian. Diarkibkan daripada yang asal pada 2 September 2004. Dicapai pada 11 Julai 2010.
  16. ^ Ramlah Zainal (16 Julai 2004). "Baik Punya Cilok tampil lawak selamba". Harian Metro. m/s. 34.
  17. ^ "All about men" [Semuanya tentang lelaki] (dalam bahasa Inggeris). The New Paper. 12 April 2005. m/s. 22.
  18. ^ a b Khadijah Ibrahim (9 Ogos 2004). "Baik Punya Cilok - Aksi komedi, moral tumpuan utama". Utusan Malaysia. Dicapai pada 10 Julai 2010.
  19. ^ Ellyna Ali (30 Mac 2005). "Cerita di sebalik Baik Punya Cilok". Harian Metro. m/s. 6.
  20. ^ Shuhaidah Saharani (26 Julai 2004). "One for the guys" [Satu untuk jejaka] (dalam bahasa Inggeris). The Malay Mail. Dicapai pada 18 Oktober 2020.
  21. ^ Khairull Azleyana Ishak (23 Julai 2004). "Cilok Afdlin hidang lawak semulajadi". Berita Harian. Dicapai pada 10 Julai 2010.
  22. ^ Khairull Azleyana Ishak (23 Julai 2004). "Cilok Afdlin mampu pikat penonton". Berita Harian. Dicapai pada 18 Oktober 2020.
  23. ^ "Baik Punya Cilok ke Chennai". Metro Ahad. 19 Jun 2005. Dicapai pada 23 Oktober 2020.
  24. ^ Zainuri Misfar (26 Januari 2006). "Buli Balik bukan Baik Punya Cilok". Berita Harian. Dicapai pada 11 Julai 2010.
  25. ^ "Baik Punya Cilok bakal gegar pawagam". Harian Metro. 17 Disember 2005. m/s. 2.
  26. ^ Sheela Narayanan (10 Januari 2006). "Film won't be shown here" [Filem tidak akan ditayangkan di sini] (dalam bahasa Inggeris). The New Paper. m/s. 16.
  27. ^ Zainuri Misfar (31 Disember 2005). "Afdlin berjaya cilok RM1.2 juta". Berita Harian. Dicapai pada 10 Julai 2010.
  28. ^ "Baik Punya Cilok kutip RM1 juta selepas hampir seminggu". Kosmo!. 31 Disember 2005. Dicapai pada 11 Julai 2010.
  29. ^ Meor Shariman (5 Januari 2006). "'Baik Punya' combination" [Kombinasi 'Baik Punya'] (dalam bahasa Inggeris). The Malay Mail. Dicapai pada 23 Oktober 2020.
  30. ^ Nurulhisham Abdul Latiff (7 Januari 2006). "Baik Punya Cilok cabar King Kong". Berita Harian. Dicapai pada 11 Julai 2010.
  31. ^ "Filem Baik Punya Cilok raih RM2.2 juta". Berita Harian. 10 Januari 2006. Dicapai pada 10 Julai 2010.
  32. ^ Zainuri Misfar (14 Januari 2006). "Hans berharap Baik Punya Cilok cecah RM3 juta". Berita Harian. Dicapai pada 10 Julai 2010.
  33. ^ Zainuri Misfar (17 Disember 2005). "Baik Punya Cilok kelakar habis". Berita Harian. Dicapai pada 10 Julai 2010.
  34. ^ Shakilawati Abd Rahman (25 Disember 2005). "Baik Punya Cilok ada umph". Metro Ahad. Dicapai pada 10 Julai 2020.
  35. ^ Shakilawati Abd Rahman (8 Januari 2006). "Idea berbelit Afdlin buah hasil". Metro Ahad. Dicapai pada 23 Oktober 2020.
  36. ^ "Ulasan filem: Baik Punya Cilok". Happy Dia. 1 Januari 2006. Dicapai pada 11 Julai 2010.
  37. ^ Brian J. Chong (23 September 2008). "Baik Punya Cilok - Movie review" (dalam bahasa Inggeris). Cinema Online. Dicapai pada 11 Julai 2010.
  38. ^ "Baik Punya Cilok movie review" (dalam bahasa Inggeris). Lizzam. 14 Disember 2005. Dicapai pada 11 Julai 2010.
  39. ^ "Ulasan filem: Baik Punya Cilok". Sultan Muzaffar. 24 Disember 2005. Dicapai pada 11 Julai 2010.
  40. ^ Mohammad Arif Nizam Abdullah (12 Ogos 2006). "Ramalan FFM19". Utusan Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 30 Ogos 2006. Dicapai pada 11 Julai 2010.
  41. ^ Zainuri Misfar (22 Disember 2006). "Malam kemuncak". Berita Harian. Dicapai pada 11 Julai 2010.
  42. ^ Norhayati Nordin (7 Mac 2015). "Baik Punya Cilok ke teater". Harian Metro. Dicapai pada 11 Julai 2015.
  43. ^ Budiey (31 Mac 2015). "Teater Baik Punya Cilok di Istana Budaya". Sensasi Selebriti. Dicapai pada 11 Julai 2015.

Pautan luarSunting