Bangunan Sultan Abu Bakar

Bangunan Sultan Abu Bakar adalah mercu tanda daerah Muar yang terawal dan masih kekal sehingga hari ini. Ia dibina berasaskan ciri-ciri struktur pembinaan kolonial Inggeris pada zaman kegemilangan daerah Muar sebagai bandar pentadbiran dan perdagangan yang terpenting bagi kedua-dua kerajaan British dan juga Sultan Johor di sebelah wilayah utara negeri Johor. Bangunan ini yang merupakan Pejabat Daerah Muar menyerupai struktur dan unsur bangunan Istana Besar di Johor Bahru yang terletak di sebelah selatan Johor.

Bangunan Sultan Abu Bakar
Bangunan Sultan Abu Bakar

Pada mulanya, bangunan Pejabat Daerah Muar yang pertama dibina pada tahun 1884. Bangunan ini dibina daripada kayu di bawah pengawasan Dato' Bentara Luar, Dato' Mohd Salleh bin Perang. Bangunan kayu ini kekal selama 31 tahun sehinggalah tahun 1915. Penasihat kerajaan British mengambil keputusan menggantikannya dengan bangunan baru dan menjadikannya sebagai Pejabat Daerah Muar. Pembinaan bangunan baru ini telah tergendala pada masa Perang Dunia Pertama sehinggalah tahun 1918 sebelum pembinaannya diteruskan. Bangunan baru ini yang dinamakan Bangunan Sultan Abu Bakar siap pada tahun 1929 untuk menempatkan pejabat-pejabat pentadbiran Daerah Muar. Ia menyerupai struktur dan unsur bangunan Istana Besar di Johor Bahru yang juga dibina oleh Sultan Abu Bakar Daeng Ibrahim pada 1866, terutamanya struktur tangga depannya yang indah.

Semasa zaman penjajahan Jepun dalam Perang Dunia Kedua, bangunan ini telah dikuasai oleh tentera Jepun. Walaupun fungsinya sebagai pusat pentadbiran Muar dikekalkan, namun sistem pentadbirannya bercorak sistem pentadbiran Jepun. Selepas perang tamat, bangunan ini dan pentadbiran Daerah Muar diambil alih semula oleh pemerintahan British dan semenjak kemerdekaan Malaysia, bangunan pejabat ini dimiliki dan ditadbirkan oleh Kerajaan Negeri Johor.[1]

Rujukan sunting

  1. ^ "Pengenalan Pejabat Daerah Muar | Laman Rasmi Pejabat Daerah Muar". Diarkibkan daripada yang asal pada 2010-01-27. Dicapai pada 2010-03-22.

Pautan luar sunting