Batu Bersurat Kota Kapur

Batu Bersurat Kota Kapur.

Batu Bersurat Kota Kapur

Pada Batu Bersurat Kota Kapur perkataan/bahasa Melayu telah lebih banyak ditemui dan unsur bahasa Sanskrit semakin berkurang. Beberapa perkataan bahasa Melayu Kuno sebahagian telah memperlihatkan irasnya dan sebahagian lagi kekal digunakan hingga kini, seperti: abai, aku, batu, banyak, benua, beri, buat, bulan, bunuh, datu, dengan, di dalam, dosanya, durhaka, gelar, hamba, jahat, jangan, kait, kasihan, kedatuan, keliwat, kita, lawan, maka, mati, merdeka, mula, orang, pahat, persumpahan, pulang, roga, sakit, suruh, tapik, tambal, tatkalanya, tetapi, tida, tuba, ujar, ulang, ulu, dan yang. Imbuhan awalan ialah: ni-, di-, mar-, par-, ka-. Imbuhan akhiran pula ialah: -i dan -an.

Batu bersurat ini ditemukan oleh J.K. van der Meulen di Kota Kapur, sebuah pekan di Pulau Bangka Indonesia, pada tahun 1892. Berbeza daripada Batu Bersurat Kedukan Bukit dan Batu Bersurat Talang Tuwo, Batu Bersurat Kota Kapur dijumpai jauh dari Palembang. Batu bersurat ini dipercayai dibawa ke Pulau Bangka kerana tidak ada batu lain seperti itu di pulau tersebut. Batu Bersurat ini bertarikh 608 tahun Saka (686 Masihi) dan mengandungi 10 baris ayat.

Secara ringkasnya, kandungan Batu Bersurat Kota Kapur berkisah tentang sumpahan raja Sriwijaya terhadap kerajaan di Pulau Jawa sebelum Sriwijaya menyerang kerajaan tersebut.

Terjemahan teks Batu Bersurat Kota Kapur:

sunting

Bahagia...(diikuti perkataan jampi) hai kamu sekalian dewa yang mulia yang hadir menjaga kedatuan(kerajaan) Sriwijaya, dan kamu juga sekalian dewa yang menjadi permulaan segala sumpah. Apabila ada orang di bumi di bawah kedatuan ini berpakat dengan orang jahat, menegur orang jahat, mendengar kata orang jahat,mengenali orang jahat, tidak menghormati, tidak tunduk, tidak setia akan daku dan akan dia, yang kuberi kedudukan (menjadi) datu, sangat (busuklah) perbuatan orang itu, biarlah mereka ini dibunuh sumpah. Rombongan di bawah perintah datu Sriwijaya akan dihantar ke padang untuk menghukum mereka, sanak saudara mereka dan keluarga mereka. Begitu juga sekalian orang yang berbuat jahat, seperti mengganggu (merosakkan) fikiran orang, membuat orang sakit, membuat orang menjadi gila, menggunakan mantera guna-guna dan racun, upas, tuba, sirih setangkai (yang telah dibubuh guna-guna), pengasih, paksaan dan lain-lain lagi. Semoga perbuatannya yang keji (jahat) itu gagal dan pulang kembali kepada yang berdosa berbuat jahat itu. Tambahan lagi, biar mereka yang menyuruh berbuat jahat itu dibunuh sumpah. Sesiapa yang menyuruh orang memusnahkan batu yang dipasang ini, maka mudah-mudahan mereka pula dibunuh sumpah dan dihukum segera. Mereka yang membunuh, memberontak, tidak setia akan beku, sangat (busuklah) perbuatan mereka. Semoga mereka dibunuh sumpah ini! Tetapi jika mereka tunduk, setia akan daku dan akan dia yang kuberi kedudukan menjadi datu, perbuatan mereka, sanak saudara mereka dan keluarga mereka direstui. Untunglah mereka, selamatlah mereka! Mereka tidak akan ditimpa penyakit dan bencana, makmur pula seluruh negeri mereka. Pada tahun Saka 608 hari pertama bulan terang bulan Waisaka sumpah ini telah diumumkan dan telah dipahat di perbatasan sewaktu tentera Sriwijaya dihantar untuk menakluk bumi Jawa yang tidak tunduk kepada Sriwijaya.

Kesimpulannya:

sunting

Batu Bersurat Kota Kapur menyeru dewa-dewa dan makhluk-makhluk tinggi yang lain supaya melindungi kerajaan Srivijaya dan memberikan kebahagian kepada sesiapa yang mengabdikan diri kepada kerajaan itu dan mengutuk mereka yang tidak setia. Menurut Chhabra dan Slametmuljana, batu bersurat ini merupakan piagam persumpahan daripada permerintah Srivijaya terhadap kerajaan di Pulau Jawa sebelum Sriwijaya melakukan operasi serangan ke atas kerajaan tersebut.