Batu Kapur Kuala Lumpur

Batu Kapur Kuala Lumpur ialah sejenis formasi batuan batu kapur berusia Silur Tengah hingga Silur Akhir yang terdapat di Kuala Lumpur, Malaysia.

Sejarah Pengkajian sunting

Kajian terawal mengenai Batu Kapur Kuala Lumpur telah dilakukan oleh Gobbett (1964).

Kajian-kajian lanjutan mengenai batuan ini banyak dilakukan dari aspek kejuruteraan bagi keperluan pembangunan bandaraya Kuala Lumpur.

Taburan sunting

Batuan ini mendasari sebahagian besar subpermukaan Kuala Lumpur dan tersingkap sedikit sebagai perbukitan kecil seperti di Batu Caves.

Korelasi sunting

Batu Kapur Kuala Lumpur melapisi Syis Hawthornden di sekitar Wangsa Maju dan bersentuhan dengan rejahan granit di bahagian tengah Kuala Lumpur.

Batu Kapur Kuala Lumpur juga bersempadan dengan Formasi Kenny Hill.

Litologi sunting

Secara amnya, Batu Kapur Kuala Lumpur merupakan batuan karbonat yang telah terhablur semula sebagai batu marmar yang berbutiran halus, berwarna kelabu cerah dan berpelapisan tebal.

Gobbett (1964) mencirikan batu kapur ini kepada 3 jenis batuan utama iaitu batu kapur berkalsit, batu kapur berdolomit dan dolomit. Oolit juga direkodkan wujud dalam formasi ini.

Terdapat juga lapisan syis yang nipis dalam pelapisan batu kapur ini.

Penentuan Usia sunting

Gobbett (1964) menemukan kumpulan fosil di bahagian bawah jujukan formasi ini di sekitar Setapak yang terdiri daripada pelbagai spesies merangkumi:

  • Karang laut: Ketaphyllum aff. Turbinatum, Heliolites sp., Thecia swinderniana dan Halysites sp.,
  • Brakiopod: Capellinella, Cymbidium Antrypella dan Delthyris.
  • Gastropod: Poleumita cf. Discors, Poleumita scamnata, Euomphlus sp. dan Loxonoma sp.

Berdasarkan fosil-fosil yang ditemukan ini, Batu Kapur Kuala Lumpur ditafsirkan berusia Silur Tengah hingga Silur Akhir.

Struktur sunting

Batu Kapur Kuala Lumpur yang mendasari subpermukaan Kuala Lumpur mempunyai ciri-ciri kars seperti alur, jerangkau dan kaviti yang menjadi halangan utama dalam perancangan pembinaan khususnya pendasaran cerucuk dan pembinaan bangunan tinggi seperti Menara Berkembar Kuala Lumpur (Tarique Azam, 1996).

Kewujudan batu kapur ini juga menjadi halangan kepada kerja-kerja penggerudian terowong bawah tanah seperti pembinaan Terowong SMART, laluan LRT, LRT2 dan MRT (The Star, 2019).

Rujukan sunting

  1. Gobbett, D.J., 1964. The Lower Palaeozoic rocks of Kuala Lumpur, Malaysia. Federation Museums Jour., 9 (New Series), p. 67-79.
  2. Tarique Azam, 1996. Project KLCC: Geology, soils and foundations. Warta Geologi Vol 22, No 2.
  3. The Star, 2019. Crossing erratic ground. https://www.thestar.com.my/news/nation/2019/01/31/crossing-erratic-ground/