Batu Bersurat Terengganu

batu bersurat abad 14 Masihi
(Dilencongkan dari Batu bersurat Terengganu)

Batu Bersurat Terengganu yang dianggarkan telah berusia lebih kurang 700 tahun ini merupakan batu bersurat yang mempunyai ukiran yang paling tua dan tulisan Jawi pertama ditemui di Malaysia. Ia membuktikan Islam telah sampai ke Terengganu sebelum 1326. Prasasti itu, bertarikh mungkin pada 702 H bersamaan dengan 1303 Masihi, merupakan bukti terawal penulisan Jawi di dunia Melayu Asia Tenggara, Batu ini ditemui separuh tenggelam selepas banjir surut di tebing Sungai Tersat (Sungai Tara), Kampung Buluh di Kuala Berang, Hulu Terengganu pada tahun 1887,[1] (ada berpendapat 1899)[2].

Batu Bersurat Terengganu muka 1.
Batu Bersurat Terengganu muka 2.
Batu Bersurat Terengganu muka 3.
Batu Bersurat Terengganu muka 4.

Menurut sidang mesyuarat Lembaga Penasihat Antarabangsa UNESCO yang berlangsung di Barbados pada tanggal 13 Julai 2009, batu bersurat yang berusia lebih 700 tahun ini telah disenaraikan sebagai barang purba bernilai tinggi dan sesuai untuk mendapat pengiktirafan Warisan Dunia UNESCO.[3][4]

Fakta penemuan Batu Bersurat Terengganu bermula apabila saudagar Arab bernama Sayid Husin bin Ghulam al-Bokhari secara tidak sengaja menjumpai sebutir batu bersurat di tebing Sungai Tersat (Sungai Tara), Kampung Buluh di Kuala Berang, Hulu Terengganu selepas berlakunya banjir. Ia dijumpai di bahagian tangga surau Kampung Buluh yang dijadikan alas membasuh kaki untuk naik ke tangga surau tersebut. Batu Bersurat Terengganu ini menjadi bukti dan teks pada batu mengesahkan agama Islam sudah bertapak dan menjadi anutan masyarakat dan pemerintah di Terengganu sejak sekian lama. Selain itu, Islam merupakan agama rasmi di Terengganu.

Sejarah sunting

Pada tahun 1902, Batu ini dikatakan telah disedari oleh Saiyed Husin bin Ghulam Al Bukhari iaitu seorang ahli perniagaan. Saiyed Husin meminta Penghulu Ali dan orang kampung mengangkat dan meletakkannya di atas rakit untuk dibawa ke Kuala Terengganu. Sesampainya di Kuala Terengganu, batu ini telah dipersembahkan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Zainal Abidin III dan kemudian batu itu diletakkan di atas Bukit Puteri.

Pada tahun 1922, Timbalan Penasihat Inggeris di Terengganu Encik H.S. Peterson meminta seorang jurufoto berbangsa Jepun, N.Suzuki mengambil gambar batu bersurat ini dan dihantar kepada C.O. Blegden untuk dibuat pembacaan. Batu itu telah patah sebahagian di sebelah atasnya dan ditulis dalam bahasa Melayu dengan tulisan Jawi bertarikh 702 Hijrah.

Pada tahun 1923, batu ini dipinjamkan ke Muzium Singapura sehingga Muzium Negara di Kuala Lumpur siap dibina, batu bersurat tersebut telah dipulangkan ke Kuala Lumpur dari Muzium Raffles Singapura.

Pada 12 Februari 1987, Kerajaan Negeri Terengganu telah menulis surat kepada Jabatan Muzium menyatakan hasrat untuk mendapat kembali Batu Bersurat tersebut untuk dijadikan bahan pameran di Muzium Negeri Terengganu. Pada tahun 1991, Jemaah Menteri telah memutuskan supaya Batu Bersurat dipulangkan kepada Kerajaan Negeri Terengganu


Tarikh tepat sunting

Tarikh tepat bagi batu bersurat ini penuh perselisihan kerana terdapat dakwaan bahawa sisi kiri yang rendah, di mana tahun batu bersurat itu disebut pada baris ke-11, telah mengalami kerosakan. C. O. Blagden, orang pertama yang mentafsirkan batu bersurat ini, mempertikaikan ketepatan tarikh bulan Rejab 702 H atau 1303 M. Dalam sebuah rencana, beliau menyampaikan banyak kemungkinan tarikh antara bulan Februari – Mac 1303 M hingga Februari 1387 M dan menyimpulkan, berdasarkan alasan umum, beliau cenderung untuk bersandar kepada kemungkinan tarikh terkini.[5]

Penarikhan orientalis lazim ini akhirnya ditolak oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas melalui pelbagai kepintaran hujah logik, matematik, linguistik, budaya, falsafah dan mistik dan dengan membina semula bahagian batu yang hilang itu. Dalam ucapannya yang disiarkan oleh Muzium Negara Malaysia, Naquib menyatakan bahawa tarikh betul bagi batu bersurat itu ialah hari Jumaat, 4 Rejab 702 H, bersamaan dengan hari Jumaat, 22 Februari 1303 M. Kenyataanya berdasarkan penjelasan berikut.[6]

Tahun 702 H bermula pada 26 Ogos 1303 M. Hari itu ketika mana kalendar Gregory bermula iaitu kalendar Islam ialah hari Isnin (iaitu 1 Januari 1303 M ialah hari Isnin, dan 237 hari telah berlalu dalam tahun Gregory apabila tahun Islam bermula pada 1 Muharam (iaitu 26 Ogos 1302 M). Rejab merupakan bulan ketujuh dalam kalendar Islam dan lantaran tahun 702 H bermula pada bulan Ogos 1302 M, oleh itu ia berlaku pada bulan Februari 1303 M, yang mana tahun Gregory bermula pada hari Selasa. Mengingati bahawa tahun Gregory bermula pada hari Selasa, didapati bahawa hanya 4 Rejab, iaitu hari ke-181 dalam tahun Islam 702, mempersetujui pengiraan tarikh. Tambahan pula, tarikh 4 Rejab mengesahkan pengiraan kerana ia merupakan sebuah hari Jumaat Rejab, seperti mana yang disebut dalam batu bersurat itu.[7]

Kandungan sunting

Isi teks batu bersurat ini mengenai undang-undang seorang raja. Catatan yang terkandung pada batu ini menyebut Islam sebagai agama rasmi dan menerangkan hukum-hukum Islam tentang maksiat dan segala kemungkaran. Catatan ini dipercayai sebagai bukti kedatangan agama Islam di Terengganu pada tahun 1303. Batu bersurat ini disimpan di Istana Sultan Terengganu sebelum dipindahkan ke Arkib Negara pada tahun 60-an.

Teks Jawi Asal[8][9][10] Transkripsi Muzium Terengganu[11][12]
Penampang depan
رسول الله دعں ىع اورح سىاىى مرٮک
اسا فدا دىوٮ ملىا راى ٮرى همٮا مںكهكں اكاما اسلام
دعں ٮٮر ٮحارا درما مرٮک مرٯسا ٮكى سكلںں همىا دىوٮ ملىا راى
دٮٮواكو اٮى ٯٮٮٮو أكاما رسول الله صلى الله علىه وسلم راحا
مٮدلٮكا ٮع ٮٮر ٮحارا سٮله دٮوٮ ملٮا راى ددالم
ٮهومى. ٯٮٮٮوں اٮٮو ٯرض فدا سكلںں راحا مںدا
لںكا اسلام مںورٮ سٮٮٮه دٮوٮ ملٮا راى دعں ںںر
ںحارا ںرںاحںكى ںںوا ٯٮٮٮوں اٮٮو مک ٮٮٮه سرى ٯادوكا
ںهں مدودوٯكى ںامرا اٮى دٮٮوا ٮرعكاٮو اد ٯرٮاما ادا
حمعه دںولں رحٮ دٮاهں سرطاں دسسںكلا
ںكںدا رسول الله ںله لالو ںوحه راںس دوا
RasululLah dengan yang arwah santabi mereka
Asa pada Dewata Mulia Raya beri hamba meneguhkan Agama Islam.
Dengan benar bicara derma mereka bagi sekalian hamba Dewata Mulia Raya.
Di Benuaku ini penentu agama RasululLah sallalLahi wassalama raja.
Mandalika yang benar bicara sebelah Dewata Mulia Raya di dalam
Bumi penentuan itu fardhu pada sekalian Raja Manda
. Lika Islam menurut setitah Dewata Mulia Raya dengan benar.
Bicara berbajiki benua penentuan itu maka titah Seri Paduka.
Tuhan menduduki Tamra ini di Benua Terengganu adi pertama ada.
Jumaat di bulan Rajab di tahun saratan disasanakala.
Baginda RasululLah telah lalu tujuh ratus dua.
Penampang belakang
كلورک دںںوا حاوه..كں
داںع ںرںكں كامڡ…اورع ںرٯهوںع
حاعں معامںل..ک..هںلعكں امس
كلںما درما ںارع اورع...دںكا
حاعں معامںل ںوكل ںوٮ ٮماس
حكا امںل هںلعكں امس. كاںم درم ںارع
اورع ںرںوٮ ٮلاحارا لاكى لاكى ڡرمڡوں سںںںه
دںوٮ ملںا راى حک مردںكا ںوحن ڡالو
سراٮس راوىں. حک مردٮكا براسٮرى
اٮوا ڡرمڡواں ىرسوامى دٮاٮم هعک
ڡعكع دهمىالع دعں ىاٮو ماٮكں
حک اعكر...همٮالع حک اٮڡ مٮدلٮكا
Keluarga di Benua jauhkan
(Datang berikan. Keempat orang berpiutang.
Jangan mengambil … (a)mbil hilangkan emas.
Kelima derma barang orang … (mar)dika.
Jangan mengambil (tugas buat) temasnya
Jika ia ambil hilangkan emas. Keenam derma barang
Orang berbuat bala cara laki-laki perempuan satitah
Dewata Mulia Raya jika merdeka bujang palu.
Seratus ratun jika merdeka beristeri.
Atawa perempuan bersuami ditanam hinggakan
Pinggang dihambalang dengan batu matikan.
Jika inkar (bala cara) hambalang jika anak Mandalika …
Penampang kanan
ںوحں داںداڽ سڡوله ںعه ںںكا جک اى
مںںرى ںوحں داںداڽ ںوحه ںاهل سڡاها
ںعه ںںكا حك ںںوا ںوحں داںداڽ لںما ںاهل
ںوحه ںاهل سڡاها ماسٯ ںںدارا حک اورع
مردںكا كںوحه درما ںارع ٯرمٯوں هںدٯ
ںںدا داٯٮ ںرسوامى حک ںرںواٮ ىالاحارا ںرںكں
Bujang dandanya sepuluh tengah tiga jika ia …
Menteri Bujang dandanya tujuh tahil se(paha …
Tengah tiga, jika tetua bujang dandanya lima (tahil …
Tujuh tahil sepaha masuk bendara. Jika O(rang) …
Merdeka. Ketujuh derma barang perempuan hendak …
Tiada dapat bersuami, jika ia berbuat balabicara …
Penampang Kiri
ںںدا ںںر داںداڽ سںاهل سٯاها كسمںںلں درما
سرى ٯادوكا ںهں سںاٯا ںںدا هرںا داںداڽ
كسٯوله درما حک اںٯكو اںوا ٯماںںكو اںوا حوحوكو اںوا كلوركاكو اںوا اںٯ
ںمرا اںى سكال اںسى ںمرا اںى ںارع سںاٯا ںںدا مںورٮ ںمرا اںى لعںٮ دںوٮ ملںا راى
دحادںكں دںوٮ ملںا راى ںاكى ںع لعكر احارا ںمرا
… tiada benar dendanya setahil sepaha kesembilan derma.
. … Seri Paduka Tuhan (Tuan) siapa tiada harta dendanya
… Ke sepuluh derma jika anakku atawa pemainku atawa cucuku atawa keluarga ku atawa anak.
… tamra ini segala isi tamra ini barang siapa tiada menurut tamra ini laknat Dewata Mulia Raya.
… di jadikan Dewata Mulia Raya bagi yang langgar acara tamra ini.

Sistem Ejaan Jawi sunting

Sistem ejaan yang digunakan dalam Batu Berurat Terengganu mempunyai persamaan dengan sistem ejaan Jawi moden (Ejaan Jawi Yang Disempurnakan) dalam beberapa perkataan:

  • Penggunaan huruf ta marbutah (ة‎) dan ta maftuhah (ت‎) - bagi ejaan kini (EJYD), Dewan Bahasa dan Pustaka telah menetapkan bahawa bunyi /t/ dalam perkataan Melayu akan dilambangkan dalam tulisan Jawi dengan tāʼ maftūḥah, manakala bunyi /t/ dalam beberapa kata nama tertentu, dipinjam daripada bahasa Arab dikekalkan ejaannya dengan tāʼ marbūṭah, kecuali bagi kata nama umum yang telah diserap oleh dan biasa digunakan dalam bahasa Melayu seperti rakyat ( رعيت‎ ), nikmat ( نعمت‎ ), hikmat ( حکمت‎ ) dan berkat ( برکت‎ ). Sistem ini telah mantap dalam Batu Bersurat ini seperti jadual di bawah, di mana kata pinjaman bahasa Arab iaitu kata nama tertentu, Jumaat (جمعة‎) tidak diubah.[13]
Batu Terengganu Kedudukan Tulisan Rumi EJYD (DBP)
مٮورٮ Depan:7 menurut منوروت
ٮوٮ Belakang:5 buat بوات
داٯٮ Kanan:6 dapat داڤت
حمعه Depan:10 Jumaat جمعة
  • Penggunaan huruf qaf (ق‎) pada suku kata terakhir - Dalam sistem ejaan Jawi kini, semua hentian glotis pada suku kata tertutup bagi kata jati Melayu dan beberapa kata pinjaman bahasa Arab dieja dengan huruf qaf, manakala bunyi konsonan /k/ pada suku kata tertutup kata pinjaman bahasa Inggeris dieja dengan huruf kaf (ک‎) seperti abstrak ( ابسترک‎ ), plastik ( ڤلستيک‎ ) dan kek ( كيک‎ ). Bagi kata pinjaman bahsa Arab, ejaan daripada bahasa sumbernya dikekalkan seperti isyak ( عشاء‎ ), imsak ( امساک‎ ), rujuk ( روجوع‎ ) dan talak ( طلاق‎ ). Beberapa hentian glotis pada suku kata terakhir dilambangkan dengan huruf qaf dalam Batu Bersurat itu, ditunjukkan dalam jadual berikut.[14]
Batu Terengganu Kedudukan Tulisan Rumi EJYD (DBP)
اٮٯ Belakang:12 anak انق
ماسٯ Kanan:4 masuk ماسوق
هٮدٯ Kanan:5 hendak هندق
  • Penggunaan huruf nya (ڽ‎) - Berdasarkan huruf konsonan yang terdapat pada Batu Bersurat Terengganu, terdapat bunyi konsonan dalam bahasa Melayu Klasik yang tidak terdapat dalam huruf bahasa Arab. Huruf-huruf sebegini termasuk ca (چ‎) dalam acara ( احارا‎ ), nga (ڠ‎) dalam dengan ( دعں‎ ), pa (ڤ‎) dalam pada ( فدا‎ ), ga (ݢ‎) dalam pinggang ( ڡعكع‎ ), dan nya (ڽ‎) dalam denda-nya ( داٮداڽ‎ ). Walau bagaimanapun, ciri istimewa Batu Terengganu ialah penggunaan huruf nya. Ia ditulis dengan tiga titik di atasnya, membuatkannya huruf Jawi tertua diketahui.[15]
Batu Terengganu Kedudukan Tulisan Rumi EJYD (DBP)
احارا Kiri:5 acara اچارا
دعں Depan:3 dengan دڠن
فدا Depan:2 pada ڤد
ڡعكع Belakang:11 pinggang ڤيڠݢڠ
داىداڽ Kanan:1 dendanya دنداڽ

Rujukan sunting

  1. ^ http://museum.terengganu.gov.my/maxc2020/agensi/index_news.display.php?from=index&cid=43&nid=3574&fromfile=index.php[pautan mati kekal]
  2. ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2013-02-11. Dicapai pada 2013-06-11.
  3. ^ Recognition for 700-year-old Batu Bersurat
  4. ^ Batu Bersurat Terengganu (Inscribed Stone of Terengganu)
  5. ^ Sayyid Qudratullah Fatimi 1963, halaman 61
  6. ^ Syed Muhammad Naquib al-Attas 1970, halaman 22–23
  7. ^ Syed Muhammad Naquib al-Attas 1970, halaman 22–23
  8. ^ Abdul Razak Salleh 2010, halaman 11–15
  9. ^ Aensi 2005, halaman 3225–3234
  10. ^ An Ismanto 2009
  11. ^ UNESCO 2009, halaman 2
  12. ^ Abdul Razak Salleh 2010, halaman 11–15
  13. ^ Aensi 2005, halaman 3226–3227
  14. ^ Aensi 2005, halaman 3227
  15. ^ Aensi 2005, halaman 3227

Sumber bacaan sunting

  • H.S. Paterson (& C.O. Blagden), 'An early Malay Inscription from 14th-century Trengganu', Journ. Mal. Br.R.A.S., II, 1924, pp. 258-263.
  • R.O. Winstedt, A History of Malaya, revised ed. 1962, p. 40.
  • J.G. de Casparis, Indonesian Paleography, 1975, p. 70-71.

Pautan luar sunting

Bibliografi sunting