Bekalan elektrik fasa tunggal

Dalam bidang kejuruteraan elektrik, bekalan elektrik fasa tunggal atau bekalan elektrik satu fasa merujuk kepada sistem pengagihan bekalan elektrik arus ulang-alik dengan menggunakan satu sistem di mana voltan bekalan berubah secara seragam. Sistem pengagihan fasa tunggal digunakan apabila sebahagian besar beban terdiri daripada litar pencahayaan dan pemanasan, dengan kurang penggunaan motor elektrik. Bekalan fasa tunggal yang dihubungkan ke motor elektrik arus ulang-alik tidak menghasilkan medan magnet berputar; litar pemula tambahan diperlukan bagi tujuan ini - oleh itu, motor elektrik fasa tunggal yang mempunyai kadaran melebihi 10 atau 20 kW jarang didapati.

Sebaliknya, dalam sistem tiga fasa, arus bagi setiap pengalir mencapai nilai kemuncaknya secara berjujukan dan bukan serentak; bermula dengan fasa pertama, kemudian fasa kedua, seterusnya fasa ketiga dan kembali semula ke fasa pertama. Corak gelombang bagi sistem tiga fasa mempunyai selang masa sebanyak satu pertiga bagi setiap fasa. Frekuensi piawai bagi sistem fasa tunggal adalah sama ada 50 atau 60 Hz.

Membelah fasa sunting

 
Transformer atas tiang fasa tunggal di Kanada.

Tiada susunan transformer yang boleh menukarkan beban satu fasa kepada sistem berbilang fasa yang seimbang. Beban fasa tunggal boleh diperolehi daripada sistem pengagihan tiga fasa sama ada melalui sambungan fasa ke neutral ataupun sambungan antara dua fasa. Peralatan beban mestilah direka bagi kegunaan voltan dalam setiap kes tersebut. Titik neutral dalam sistem tiga fasa wujud pada titik tengah matematik bagi segitiga sama yang terbentuk daripada titik tiga fasa, dan voltan fasa ke fasa mempunyai nilai   kali nilai voltan fasa ke neutral.[1] Contohnya, di tempat yang menggunakan sistem tiga fasa 415 V, nilai voltan fasa ke neutral ialah sebanyak 240 volt, membolehkan litar pencahayaan fasa tunggal disambungkan secara fasa ke neutral manakala motor tiga fasa pula boleh disambungkan ke ketiga-tiga fasa tersebut.

Kegunaan sunting

Sistem bekalan elektrik fasa tunggal biasanya digunakan oleh pengguna domestik serta premis-premis perniagaan kecil. Walau bagaimanapun, terdapat juga rumah-rumah yang menggunakan sistem bekalan elektrik tiga fasa.

Di negara-negara yang menggunakan sistem 120 V seperti Amerika Syarikat, sistem bekalan elektrik belahan fasa digunakan. Transformer tempatan disambungkan ke talian voltan tinggi serta tiga talian voltan rendah untuk kegunaan pengguna rumah - wayar ketiga disambungkan ke titik tengah lilitan sekunder dan bertindak sebagai wayar neutral. Oleh itu, sistem tersebut membekalkan voltan sebanyak 120 V bagi sambungan fasa ke neutral dan 240 V bagi sambungan fasa ke fasa.

Rujukan sunting

  1. ^ Sila rujuk Bekalan elektrik tiga fasa. Ia terhasil daripada perbezaan fasa antara pengalir. Jika dua pengalir diujakan dengan voltan AC yang mempunyai magnitud sama serta dalam fasa yang sama, tiada perbezaan voltan antara kedua-duanya. Jika nilai voltan bermagnitud sama dengan satu voltan mempunyai selang setengah kitaran dengan fasa yang lain, voltan antara keduanya akan menjadi dua kali ganda. Dalam sistem tiga fasa, perbezaan fasa antara pengalir ialah sebanyak satu pertiga kitaran; oleh itu, voltan fasa ke fasa adalah bersamaan dengan nilai punca kuasa dua tiga bagi magnitud voltan fasa ke neutral.

Lihat juga sunting