Bendera Brunei mula diperkenalkan pada tahun 1906 setelah Perjanjian Tambahan 1905/1906. Bendera tersebut pada waktu itu sama seperti bendera sekarang, kecuali tanpa panji-panji. Pada 29 September 1959, Panji-Panji Kerajaan ditambah di tengah-tengah selepas Pemasyhuran Perlembagaan Negeri Brunei 1959, dan dikekalkan apabila mencapai kemerdekaan pada 1 Januari 1984.

Bendera Brunei (1959)
Bendera Brunei (1906 - 1959)

Bendera ini terdiri daripada lambang negara di bahagian tengah dengan latarbelakang warna kuning dan pepenjuru hitam, putih dan panji-panji berwarna merah di bidang bendera.

Lambang negara terdiri daripada bulan sabit (lambang Islam), dicantum dengan payung obor-obor (lambang kerajaan di bawah seorang raja). Di bawah payung adalah sayap yang melambangkan keadilan, kedamaian, kemakmuran dan keamanan. Di sebelah kiri dan kanan terdapat sepasang tangan yang menadah. Di bulan sabit terdapat kekata dalam tulisan Jawi, "Sentiasa berbuat kebajikan dengan petunjuk Allah" dan di bawah bulan sabit, kekata "Negara Brunei Darussalam" juga dalam tulisan Jawi.

Di Nusantara, warna kuning adalah warna tradisional untuk raja-raja. Ini dapat dilihat di panji-panji diraja Malaysia dan Thailand dan juga bendera presiden Indonesia.

Pautan luar sunting