Bendera Malaysia

bendera rasmi mewakili negara Malaysia.

Bendera Malaysia; (Jawi: بنديرا مليسيا) atau nama rasminya Jalur Gemilang (Jawi: جالور ݢميلڠ),[1] mengandungi 14 jalur merah dan putih (melintang) yang sama lebar bermula dengan jalur merah yang melambangkan keberanian rakyat Malaysia yang tiada bandingnya terhadap negara ini, di sebelah atas bermula dari jalur putih kedua bersilang sehingga jalur putih yang terakhir melambangkan kesucian negara, tanda keanggotaan yang sama dalam persekutuan 13 buah negeri dan 1 Wilayah Persekutuan dan ianya menjadi simbol untuk 14 jalur pada Jalur Gemilang.

Malaysia
NamaJalur Gemilang
KegunaanBendera kebangsaan
Nisbah1:2
Diterima pakai26 Mei 1950 (bintang 11 titik asal dan 11 jalur)
16 September 1963 (bintang 14 mata dan 14 jalur terkini)
RekaanEmpat belas jalur melintang bergantian merah dan putih; di kanton, bulan sabit kuning dan bintang 14-titik di padang biru
Direka olehMohamed Hamzah[a]

Bahagian segi empat (atau kanton) yang berwarna biru tua di atas sebelah kiri menegak dari atas hingga ke bawah jalur merah yang kelima itu melambangkan perpaduan rakyat Malaysia; kanton tersebut mengandungi anak bulan yang melambangkan agama Islam sebagai agama bagi Persekutuan (seperti yang telah tertakluk di dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia).[2] Bintang pecah 14 itu melambangkan perpaduan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan. Warna kuning pada anak bulan dan bintang melambangkan warna diraja bagi Duli-duli Yang Maha Mulia Baginda Raja-raja Melayu.

Empat warna ini yang melambangkan keberanian, kesucian, perpaduan rakyat Malaysia, dan kemuliaan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja sebagai Ketua Agama dan Ketua Negeri bagi seluruh negeri di Malaysia.[3]

Bendera Malaysia (jenis pemidang)

Sejarah

Sejarah awal bendera di Malaysia

Rekod terawal secara terperinci mengenai bendera di dalam budaya Melayu adalah di dalam Sulalatus Salatin (atau Sejarah Melayu) nukilan Tun Sri Lanang yang merupakan Bendahara Johor pada masa itu. Dalam karya tersebut Tun Sri lanang telah menjelaskan secara terperinci tentang penggunaan panji-panji di Kesultanan Johor. Menurutnya, Sultan Johor menggunakan panji berwarna putih bagi melambangkan kesucian dan kekudusan; bakal raja juga menggunakan panji putih namun berbingkaikan warna diraja iaitu warna kuning; Bendahara menggunakan panji-panji berwarna hijau; Temenggong menggunakan panji berwarna hitam; manakala Laksamana menggunakan panji berwarna merah. Dinyatakan juga bahawa jikalau Bendahara, Temenggong atau Laksamana merupakan seorang kerabat diraja, maka bendera-bendera yang mereka pakai akan berbingkaikan warna diraja.[4]

Penggunaan bendera di dalam budaya Melayu tidaklah asing. Seawal era Kesultanan Melayu Melaka lagi, terdapat rekod-rekod mengenai penggunaan panji-paji berwarna merah dan lambang bulan sabit oleh kerajaan tersebut.[3] Malah, sejak seawal zaman Kerajaan Majapahit lagi sudah terdapat bendera yang digunakan iaitu bendera Sang Saka Getih-Getah Samudera atau Sang Saka Gula Kelapa.[5][6]

Pada abad ke-17, hampir kesemua kerajaan Melayu menggunakan bendera berwarna putih bagi bendera negeri mereka. Walau bagaimanapun, apabila pihak penjajah British datang ke Tanah Melayu, mereka telah menasihati semua kerajaan-kerajaan Melayu untuk mengubah bendera mereka kepada bendera yang boleh dibezakan antara negeri-negeri lain. Kesemua negeri-negeri tersebut mengikuti nasihat British itu, kecuali Terengganu yang mengekalkan bendera putih itu sehingga tahun 1925.[7]

Apabila British menubuhkan Negeri-negeri Melayu Bersekutu, persekutuan tersebut telah menggunakan satu bendera yang mempunyai empat jalur melintang berwarna putih, merah, kuning dan hitam, dengan satu bujur putih di bahagian tengah bendera yang mengandungi seekor harimau. Bendera tersebut turut diguna pakai bagi Malayan Union namun telah digantikan apabila tertubuhnya Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957.

Bendera Persekutuan Tanah Melayu

Permulaan asal Jalur Gemilang bermula apabila pada tahun 1949, dengan persetujuan Majlis Raja-Raja untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi menimbang dan membuat perakuan berhubung dengan reka bentuk bendera bagi Persekutuan Tanah Melayu yang baharu.

Bagi tujuan itu, satu pertandingan telah diadakan bagi mereka bentuk bendera Persekutuan Tanah Melayu yang baharu pada tahun 1949. Pertandingan peringkat kebangsaan telah ini dianjurkan oleh Majlis Perundangan Persekutuan dan mendapat 373 penyertaan dari karyawan seluruh negara. Daripada sejumlah itu, tiga rekabentuk bendera baharu bagi Persekutuan Tanah Melayu telah dipilih untuk ke peringkat akhir.[8]

Majlis Perundangan Persekutuan telah memberi peluang kepada orang ramai untuk memberikan pendapat kepada ketiga-tiga rekabentuk tersebut.[9] Keputusan akhir pendapat umum yang dikelolakan oleh akhbar The Malay Mail[10] telah disiarkan pada 29 November 1949 di mana ia menunjukkan majoriti pengundi telah memilih rekaan bendera ketiga ciptaan Mohamed bin Hamzah, seorang arkitek kerajaan dari Johor.

 
Mohamed Hamzah semasa dipilih sebagai pencipta bendera Persekutuan Tanah Melayu
 
Bendera Johor yang diinspirasikan untuk bendera Persekutuan Tanah Melayu

Reka bentuk ini menampilkan sebelas jalur biru-putih dengan bulan bintang berwarna putih di bahagian tepi kiri di dalam pepenjuru berwarna merah. Reka bentuk ini adalah kacukan antara bendera Johor iaitu negeri asal Mohamed dan bendera Kerajaan Majapahit.[6] Walau bagaimanapun, rekaan ini perlu diubah suai beberapa kali terdahulu.

 
Pengubahsuaian pertama bendera Persekutuan Tanah Melayu

Salah seorang ahli jawatankuasa tersebut, Dato' Onn bin Jaafar telah ke Johor untuk bertemu dengan Mohamed bagi membincangkan pengubahsuaian tersebut. Pertama ialah bintang pecah lima pada kanton bendera, yang mana Dato' Onn telah mencadangkan agar diubah kepada bintang pecah sebelas. Hal ini memandangkan Tanah Melayu sedang aktif menentang pengganas komunis di serata negara, dan bintang pecah lima adalah mirip simbol yang digunakan pihak komunis pada ketika itu. Kedua, perubahan terhadap warna jalur dan warna kanton telah dicadangkan, agar ditukar antara kedua-duanya, maka kantonnya berwarna biru dan jalurnya berwarna merah dan putih. Perubahan ketiga adalah hasil titah cadangan Sultan Badlishah ibni al-Marhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Sultan Kedah pada ketika itu. Baginda mencadangkan agar warna putih bulan dan bintang itu diubah kepada warna kuning iaitu warna diraja.

Setelah Mohamed bersetuju dengan pengubahsuaian tersebut dan mengemukakan reka bentuk terpinda, reka bentuk tersebut telah diteliti pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 22 dan 23 Februari 1950. Pada 19 April 1950, Majlis Perundangan Persekutuan telah meluluskan usul yang dibentangkan oleh Pemangku Ketua Setiausaha Negara seperti berikut:

"Bahawa pada pendapat Majlis ini Bendera Persekutuan Tanah Melayu hendaklah seperti berikut:- Sebelas jalur melintang berwarna merah dan putih berselang-seli, jalur paling atas berwarna merah, mempunyai suku biru dengan bulan sabit dan sebelas bintang berbucu dalam warna kuning bertindih. Saiz standard bendera ialah enam kaki kali tiga kaki."
 
Bendera Persekutuan Tanah Melayu dari tahun 1950 hingga 1963 yang telah diluluskan untuk kegunaan

Reka bentuk bendera terubah suai itu juga mendapat kelulusan Raja George VI pada 19 Mei 1950. Dengan itu, buat pertama kalinya bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dikibarkan dalam satu majlis menaikkan bendera tersebut yang dianjurkan oleh Pesuruhjaya Tinggi British pada 26 Mei 1950 di perkarangan Istana Sultan Selangor dengan dihadiri oleh DYMM Raja-Raja Melayu dan Pegawai-pegawai Raja George VI.

Pembentukan Malaysia

Percantuman Sabah, Sarawak dan Singapura dengan Persekutuan Tanah Melayu telah melahirkan sebuah negara baru iaitu Malaysia. Dengan percantuman itu, bendera Persekutuan Tanah Melayu telah diubah suai untuk mengambil kira penambahan negeri-negeri tersebut.

 
Bendera Malaysia yang digunakan hari ini adalah hasil pindaan terhadap reka bentuk asal Mohamed Hamzah pada tahun 1949.

Duli-Duli yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dan Tuan-Tuan Yang Terutama Gabenor-Gabenor dalam satu Persidangan Majlis Raja-Raja menjelang pembentukan Malaysia telah memperkenankan bahawa reka bentuk Bendera Malaysia hendaklah mengikut reka bentuk Bendera Persekutuan Tanah Melayu, dengan pengubahsuaian pada bilangan jalur-jalur dan pecahan bintang. Tiga jalur dan pecahan tambahan (14 kesemuanya) bagi menunjukkan 3 buah negeri baharu dalam Persekutuan Malaysia.

Sungguhpun Singapura berpisah daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965, namun jalur-jalur dan bintang pecah 14 terus dikekalkan hingga sekarang. Kini jalur-jalur dan bintang pecah 14 tersebut melambangkan keanggotaan yang sama dalam Persekutuan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan (terdiri daripada 3 Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.)

Versi sepanduk (pemidang)

 
Bendera Malaysia (jenis pemidang)

Selama ini, terdapat berbagai-bagai cara Bendera Malaysia digantung secara menegak, sama ada dengan pengubahsuaian terhadap bendera, mahupun dengan menggantung bendera pada kepalanya dengan ekor bendera berada di bawah. Memandangkan bahawa Bendera Malaysia mempunyai maksud yang dalam dan berkait rapat dengan institusi diraja serta agama Islam,[1] sesetengah cara bendera tersebut digantung adalah kurang sesuai dari segi implikasinya. Oleh yang demikian, pada tahun 1990 kerajaan Malaysia telah menetapkan satu reka bentuk piawai bagi bendera versi banner atau pemidang. Reka bentuk tersebut telah ditetapkan melalui Surat Pekeliling Bil.1 Tahun 1990,[11] dan adalah seperti berikut:

  • Kain rentang hendaklah membujur dari atas ke bawah dan mempunyai dua bahagian iaitu:
    • Bahagian Atas
      • Mengandungi bulan dan bintang berwarna kuning yang menghala ke atas berlatar belakangkan warna biru.
    • Bahagian Bawah
      • Mengandungi 14 jalur merah putih membujur dari atas ke bawah. Bentuk ekor di bawahnya adalah berukuran 1/8 daripada panjang banner
  • Warna yang digunakan hendaklah warna-warna yang sama dengan Jalur Gemilang iaitu merah, putih, biru dan kuning.
  • Ukuran biasa bagi kain rentang Jalur Gemilang ialah 12 kaki panjang dan 3 kaki lebar pada nisbah 4:1 (2X8).

Nama Jalur Gemilang

Selama 47 tahun digelar Bendera Malaysia, pada kemerdekaan ke-40 pada 1997, namanya ditukar kepada Jalur Gemilang. Nama diusulkan pegawai dari Jabatan Muzium Negara dan Antikuiti, Redzuan Tamin dalam satu peraduan membabitkan pihak tertentu ini berjaya menewaskan 28 cadangan antaranya, Malaysia Raya, N.U.S.A, Mega Sakti, Saga Merah dan sebagainya.

Ilham untuk menamakan bendera Malaysia kepada Jalur Gemilang diusulkan Datuk Hashim Mat Dris. Cadangan berkenaan dikemukakan kepada Perdana Menteri Mahathir Mohamad pada 11 Julai 1995. Pada 1 Julai 1996, urus setia menguruskan nama mengemukakan 75 cadangan berserta ulasan dan huraian. Tiga nama disenarai pendekkan iaitu Setia Perkasa, Seri Setia Perkasa dan Seri Setia Negara. Tiga nama ini bagaimanapun ditolak Jemaah Menteri ketika sebuah mesyuarat pada 11 September 1996. 28 nama lagi dicadangkan dan pada 2 Jun 1997, tiga nama dicalon mengikut keutamaan iaitu Jalur Gemilang, Jalur Nusa Gemilang dan Jalur Sinar Gemilang.

Nama bendera Malaysia telah diisytiharkan oleh Mahathir pada malam 31 Ogos 1997 sempena Hari Kemerdekaan negara yang ke-40. Pengisytiharan Jalur Gemilang dilakukan pada jam 11.58 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Maksud terperinci nama Jalur Gemilang adalah seperti yang berikut:

  • JALUR - menggambarkan Bendera Malaysia yang mempunyai 14 jalur merah dan putih. Oleh itu, lambang jalur pada Bendera Malaysia menggambarkan satu haluan yang lurus, hala tuju yang sama dan arah yang sama yang dianuti oleh rakyat negara ini dari Perlis hingga ke Sabah dalam menuju kegemilangan bangsa dan negara.
  • GEMILANG - bermaksud bercahaya, terang-benderang dan cemerlang. Oleh yang demikian Bendera Malaysia Jalur Gemilang memberi pengertian bahawa jalur atau bendera itu melambangkan kecemerlangan negara Malaysia dan rakyat Malaysia dalam mengharungi apa bidang kehidupan sekali pun sama ada di dalam atau di luar negara. Kesungguhan, kegigihan dan kesanggupan rakyat untuk menaikkan imej negara, sesungguhnya sentiasa mendapat petunjuk dan pedoman yang terang lagi jelas.

Kaitan sejarah dengan bendera lain

Bendera Johor

 
Bendera Johor

Bendera Malaysia juga dimaklumkan mempunyai kaitan dengan Bendera Johor berikutan Mohammed Hamzah yang merupakan pemenang dan pereka Bendera Malaysia tersebut adalah anak watan negeri Johor. Bendera Johor telah digunapakai sejak penubuhan Kesultanan Johor Moden dan direka sepenuhnya oleh Sultan Sir Abu Bakar pada tahun 1871.

Bendera Syarikat Hindia Timur Inggeris

 
Bendera Syarikat Hindia Timur Inggeris selepas tahun 1707

Bendera rekaan ketiga terubahsuai ini telah terinspirasi penuh daripada bendera rasmi Syarikat Hindia Timur Inggeris, ini boleh dibuktikan dengan sebahagian besar elemen utamanya yang disusun pada lunas yang sama khususnya pada jalur merah putih dan kotak berwarna biru disisi sebelah kiri atas bendera [12][13].

Apabila bendera rekaan baru itu telah diteliti pada setiap bahagian kemasan reka bentuknya, setiap satunya membawa definisi yang signifikan seperti berikut:[14]

  • merah, putih dan biru – membawa maksud Malaysia (sebagai sebuah negara baru yang hendak ditubuhkan) telah mempunyai perikatan wangsa diantara Negara-negara Komanwel.
  • lambang bulan sabit dan bintang pecah – membawa signifikan agama Islam sebagai agama Persekutuan, warna kuning sebagai simbol kedaulatan Raja-raja Melayu. Bintang pecah sebelas pula membawa maksud "perpaduan dan kerjasama" diantara kesemua negeri-negeri anggota dalam Persekutuan. Lambang bulan sabit dan bintang pecah menjadi asas perbezaan ketara berbanding bendera Syarikat Hindia Timur Inggeris yang menggunakan lambang salib dalam benderanya.

Bendera Majapahit

 
Bendera Sang Saka Getih-Getah Samudera (Bendera Majapahit)

Jejalur merah putih diperkirakan telah diadaptasi dari bendera Majapahit iaitu Sang Saka Getih-Getah Samudra atau Sang Saka Gula Kelapa.[6] Terdapat rekod sejarah yang menunjukkan kerajaan besar Majapahit pernah mendiami sebahagian besar kepulauan Nusantara sejak ia didirikan pada tahun 1293 Masihi.[5]

Undang-undang terkait

Bendera Malaysia adalah tertakluk kepada Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963; sebarang perbuatan yang menghina bendera seperti kibaran bendera terbalik boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.[15][16]

Lirik lagu untuk Jalur Gemilang

Lagu khas yang ditujukan kepada Jalur Gemilang dibuat untuk memperingati dan membanggakan bendera Malaysia disamping memperingati identiti bendera serta menyeru untuk dikibarkan bendera tersebut beserta kemegahan.

Benderaku

Sebelum bendera Malaysia diberikan nama "Jalur Gemilang", lagu telah dibuat khas untuk bendera Malaysia tanpa menggunakan sebarang rujukan nama khas tetapi terus merujuk kepada "Bendera Malaysia" atau "Benderaku". Selepas bendera Malaysia telah diberi nama, perkataan di setiap awal perenggan yang mempunyai perkataan "Bendera Malaysia" atau "Benderaku" telah ditukar kepada "Jalur Gemilang". Walau bagaimanapun, keadaan tidak sesuai memungkinkan orang menyanyikan versi lama di samping menyanyikan lagu baru "Jalur Gemilang".

Benderaku yang gagah perkasa
Merah putih kuning biru warnanya
Berkibar megah penuh bercahaya
Pusaka kita rakyat Malaysia Bendera Malaysia oh bendera ku
Ku pertahankan sepenuh raga ku
Dikaulah lambang negara berpadu
Di bawah naungan Duli Tuanku Berkibar terus oh bendera ku
Kau kan ku junjung sepanjang waktu
Harumlah nama negara yang tercinta
Padamu tempat taat dan setia Bendera Malaysia bendera kita
Kemegahan rakyat kita semua
Berkibar berkibar di ruang angkasa
Dirgahayu bendera tercinta.

Ciptaan dan senikata: Tony Fonseka

Jalur Gemilang

Ketika "Jalur Gemilang" dinamakan, lagu khas untuknya turut dibuat untuk meraikan dan memperingati bendera Malaysia dengan nama Jalur Gemilang, identiti dan kemegahan yang telah dibawa bersama yang bermula melancarkan dirasmikan pada tarikh 9 Ogos 2003.

Merahmu bara semangat waja
Putihmu bersih budi pekerti
Kuning berdaulat payung negara
Biru perpaduan kami semua

Puncak dunia telah kau tawan
Lautan luas telah kau redah
Membawa semangat jiwa Merdeka
Semangat jaya kami warganya

Empat belas melintang jalurnya
Semua negeri dalam Malaysia
Satu suara satu semangat
Itu sumpah warga berdaulat

Jalur Gemilang dibawah naunganmu
Jalur Gemilang kami semua bersatu
Perpaduan ketaatan
Amalan murni rakyat Malaysia

Jalur Gemilang megah kami terasa
Jalur Gemilang kibarkanlah wawasan
Merah, putih, biru, kuning
Jalur semangat kami semua

Berkibarlah, berkibarlah, berkibarlah
Jalur Gemilang

Ciptaan dan seni kata: Pak Ngah & Siso Kopratasa

Galeri

Bendera-bendera Malaysia

Rencana utama: Senarai bendera Malaysia
  • Bendera Malaysia (1963 - kini).
  • Bendera Malaysia jenis pemidang (banner)
  • Bendera Yang di-Pertuan Agong.
  • Bendera Persekutuan Tanah Melayu (1950 - 1963).
  • Bendera Negeri-negeri Melayu Bersekutu (1896 - 1946) dan Malayan Union (1946 - 1948).
  • Lihat juga 

    Catatan

    1. ^ Mohamed bin Hamzah merekabentuk bendera Malaya. Bendera semasa adalah adaptasi reka bentuk asal Hamzah.

    Rujukan

    1. ^ a b "Bendera Malaysia". MyGovernment. Kerajaan Malaysia. Dicapai pada 13 Mac 2021. Cite has empty unknown parameter: |dead-url= (bantuan)
    2. ^ Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan Malaysia Diarkibkan 2020-03-31 di Wayback Machine - "Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan."
    3. ^ a b Kamil, Kamdi (2007). Mohamed Hamzah Perekacipta Jalur Gemilang: Bendera, Lambang & Lagu. Persatuan Sejarah Malaysia, Cawangan Negeri Johor. ISBN 9789834224905.
    4. ^ Bendahara Johor, Tun Sri Lanang (1808). سلالة السلاطين [Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu)]. Kesultanan Melayu Melaka.
    5. ^ a b Yamin, Muhammad (1954). 600 Tahun Sang Merah-Putih, jaitu Uraian Tentang Hasil-Penjelidikan Sedjarah dan Arti jang dikandung Sang Merah-Putih Sebagai Warna-Kebangsaan. Penerbit Siguntang. m/s. 90-92, 137-150.
    6. ^ a b c Wong, Ayman Rashdan (2021). World Without Walls, Volume 1. Patriots Publishing Sdn Bhd. m/s. 6–8.
    7. ^ "The Flags of the Malay Peninsula". Journal of the Straits Branch of the Royal Asiatic Society. 75. 1917.
    8. ^ "Federal Flag". The Straits Times. 6 March 1950. m/s. 5., via "The History and Design Chronology of Jalur Gemilang" (PDF). Malaysia Design Archive. 2012. m/s. 16. Dicapai pada 25 May 2018.
    9. ^ "1 درفد 3 چورق بنديرا فيدريشن اکن دفيليه" [1 daripada 3 corak bendera federesyen akan dipilih]. اوتوسن ملايو. 16 November 1949. Cite has empty unknown parameter: |dead-url= (bantuan)
    10. ^ Sonia Ramachandran. Golden Merdeka Memories: National flag chosen by people in one of country's first public polls. New Straits Times. 18 August 2006.
    11. ^ "BENDERA KITA JALUR GEMILANG - Buku PDF" (PDF). Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2017-08-21. Dicapai pada 2017-08-21.
    12. ^ https://www.joaoleitao.com/geography/flags-asia/
    13. ^ https://www.americanflags.com/blog/post/flags-around-world-inspired-american-flag
    14. ^ Muhamad Razif Nasruddin; Zarul Nazli bin Zulkhurnain (2012). "The History and Design Chronology of Jalur Gemilang" (PDF). Malaysia Design Archive. Make Condition Design. m/s. 23.
    15. ^ "Akta A1525 - Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) (Pindaan) 2017" (PDF). istiadat.gov.my. Januari 2017. Dicapai pada 20 Ogos 2021.
    16. ^ "Banyak Undang-Undang Untuk Dakwa Penghina Jalur Gemilang". UMNO Online. 23 Ogos 2019. Dicapai pada 20 Ogos 2021.

    Pautan luar