Berangan (kuda)

warna bulu kuda

Berangan (bahasa Inggeris: chestnut) merupakan warna bulu badan kuda yang terdiri daripada bulu berwarna serba kemerahan ke coklat dengan surai dan ekor yang sama atau lebih cerah warnanya dengan bulu badan. Secara genetik mahupun visual, berangan bercirikan ketiadaan bulu hitam yang sebenar. Ianya antara warna bulu kuda yang paling umum, kelihatan pada hampir setiap baka kuda.

Berangan merupakan warna bulu yang sangat umum, tetapi boleh menyebabkan kekeliruan dengan betapa banyak kelainan warnanya. Berangan yang paling cerah mungkin disalah anggap sebagai palomino, manakala yang paling gelap mungkin cukup gelap hingga menyerupai bulu hitam. Kuda berangan bermata coklat tua, kulit hitam, dan bulu yang langsung tidak sehelai pun yang benar-benar hitam. Kuda berangan biasanya berona warna merah atau coklat kemerahan. Surai, ekor dan kakinya mungkin lebih cerah atau lebih gelap warnanya daripada bulu badan, tetapi tidak sesekali benar-benar hitam. Ia mungkin berkulit merah muda di sebalik sebarang tompokan putih di bawah tempat berbulu putih, tetapi jika tompokan putih itu merangkumi sebelah atau kedua-dua belah mata, maka matanya mungkin berwarna biru.

Warna berangan dihasilkan oleh gen resesif. Tidak seperti kebanyakan warna bulu, berangan boleh dibiak baka tulen, iaitu sepasang kuda berangan yang mengawan boleh sentiasa melahirkan anak berangan. Sesetengah baka seperti Budyonny, Suffolk Punch, dan Haflinger hanya berwarna berangan, manakala lain-lain baka seperti Belgium dikuasai warna berangan. Walaupun begitu, kuda berwarna berangan tidak semestinya lahir daripada kedua-dua ibu bapa yang berwarna berangan. Contohnya, kuda Frisia telah bertahun-tahun dipilih supaya berwarna hitam seragam, tetapi jarang-jarang sekali lahirnya yang berwarna berangan.

Rujukan

sunting