Koordinat: 48°07′49″N 11°35′31″E / 48.1304°N 11.592°E / 48.1304; 11.592 Bierkeller-Putsch [bir-kél-lĕr puc] ("Rusuhan Medan Bir", juga Hitlerputsch atau Hitler-Ludendorff-Putsch, bahasa Inggeris: Beer Hall Putsch) merupakan suatu percubaan nekad Parti Buruh Nasionalis-Sosialis Jerman (NSDAP) pimpinan Adolf Hitler untuk menggulingkan serta mengambil alih kuasa pemerintah demokratik Republik Weimar di Jerman melalui cara pemberontakan. Ia mengambil tempat di Bürgerbräukeller, sebuah bangunan yang menjadi tumpuan sebagai suatu tempat meminum bir (Bierkeller - "dewan bir") orang ramai.

Rusuhan ini dirancang berdasarkan peristiwa perarakan besar-besaran dilakukan Partito Nazionale Fascista pimpinan Benito Mussolini menuju Roma dari 22 sehingga 29 Oktober 1922; di mana mereka berjaya memegang tampuk kekuasaan kerajaan Itali di mana Mussolini menjadi Perdana Menteri Kerajaan Itali.

Latarbelakang sunting

Selepas Perang Dunia Pertama, kerajaan Jerman telah dipaksa untuk membayar kerajaan Perancis sejumlah wang yang besar tetapi mereka enggan membayarnya. Akibatnya nilai matawang Jerman telah susut dengan teruknya dan negara telah dilanda inflasi. Namun, rakyatnya tetap menyokong kerajaannya dan memuji ketahanan Jerman menentang Perancis. Malangnya pada September 1923, kerajaan Jerman terpaksa akur dengan kehendak Perancis dan mula membayar balik hutang mereka. Ini telah membangkitkan kemarahan orang ramai terutamanya puak pelampau di wilayah Bavaria.

Parti Nazi dan kumpulan politik yang lain mengambil kesempatan dengan ketegangan yang sedang berlaku. Hitler yang semakin terdesak untuk memegang pucuk pimpinan parti sedar bahawa beliau perlu mengambil tindakan segera. Semasa itu parti Nazi, yang mempunyai 55,000 ahli, merupakan parti politik yang terbesar di Jerman dan mempunyai sistem organisasi terbaik berbanding dengan parti-parti lain.

Rampasan kuasa yang gagal sunting

Rancangan awal Hitler ialah untuk menculik Ketua Menteri Bavaria dan ahli tertinggi kerajaan di sana dan memaksa mereka untuk menyertai pemberontakan terhadap kerajaan demokratik Jerman. Beliau tahu bahawa seramai 3,000 ahli kerajaan Bavarian akan mengadakan perjumpaan di Bürgerbräu Keller, sebuah dewan minuman di Munich. Oleh itu, beliau mengarahkan pasukan penggempurnya (SA) untuk mengepung dewan tersebut. Sewaktu Gustav von Kahr, ketua menteri Bavaria sedang berucap, Adolf Hitler dan stormtroopersnya yang bersenjata menceroboh kedalam bangunan itu. Kemudian Hitler memaksa Gustav von Kahr, Otto von Lossow, iaitu panglima tentera Bavaria dan Hans von Lossow, ketua Polis negeri Bavaria ke bilik yang berlainan.

Selepas itu Hitler memberitahu mereka bertiga bahawa beliau akan menjadi pemimpin baru Jerman dan menawarkan mereka jawatan tertinggi dalam 'kerajaannya'. Pada mulanya mereka enggan bekerjasama kerana tidak mahu menjadi pengkhianat kepada negara. Selepas itu Jeneral Erich Ludendorff, seorang perwira Perang Dunia I cuba memujuk mereka. Akhirnya mereka bersetuju untuk bersepakat dengan Hitler dan dihadapan para pegawai kerajaan yang lain mereka memberi sokongan yang penuh kepada puak pemberontak. Hitler amat gembira apabila mendapat sokongan mereka dan mula percaya rancangannya untuk menjadi pemimpin Jerman akan menjadi kenyataan. Tetapi beliau telah diberitahu bahawa rancangan mengepung berek tentera Jerman menemui kesulitan. Oleh itu beliaupun bergegas ke sana.

Tindakannya itu ternyata merupakan satu kesilapan. Tanpa kehadirannya, pemberontak di dewan itu menjadi kucar-kacir. Ketiga-tiga pegawai tertinggi yang ditahan berjaya melepaskan diri setelah berjanji untuk setia kepada kerajaan Hitler. Hitler pula gagal menawan berek tentera Jerman dan pulang kembali kepada Beer Hall dan mendapati orang tebusannya telah berjaya melarikan diri. Beliau mula sedar rancangannya telah gagal tetapi Erich Ludendorff meyakinkan beliau bahawa jika mereka bersama-sama berarak ke Munich, mereka akan berjaya merampas kuasa kerajaan. Erich begitu yakin tiada siapa yang akan menembaknya, malah pihak polis atau tentera di sana mungkin juga turut serta dengan pihak Nazi.

Adolf Hitler yang hampir berputus asa itu terpaksa bersetuju dengan rancangan Erich. Lalu dengan pasukan separa tenteranya seramai 3,000 orang berarak menuju ke ibu negara Jerman iaitu Berlin untuk menumbangkan kerajaan kebangsaan. Walaupun begitu, Ketua Menteri Bavaria serta pegawai kerajaan yang lain telah berpaling tadah dan berusaha untuk menumpaskan rampasan kuasa tersebut. Hitler telah tersilap strategi kerana tidak mengarahkan pasukannya untuk menawan pusat komunikasi utama seperti stesen radio dan pejabat telegraf. Pada keesokan harinya, Ketua Menteri Bavaria telah membidas rampasan kuasa tersebut dan mengharamkan parti Nazi yang beribupejabat di sana. Selain itu, kerajaan Bavaria dengan pantasnya telah memberi amaran kepada pemerintahan pusat negeri tersebut mengenai rancangan Hitler. Oleh itu, pihak berkuasa Munich telah bersedia untuk menumpaskan rampasan kuasa itu.

Apabila penyokong Hitler tiba di Munich mereka telah bertembung dengan pasukan polis di sana. Pertempuran sengit kemudiannya berlaku antara pihak Nazi dengan pihak berkuasa Munich. Dalam beberapa minit sahaja, 21 orang (termasuk 16 ahli Nazi) terbunuh dan beberapa ratus orang tercedera. Hitler berjaya melepaskan diri tetapi akhirnya beliau bersama pegawai teringginya telah ditangkap.

Nazi selepas peristiwa Beer Hall Putsch sunting

Ramai yang menyangka rampasan kuasa yang gagal itu telah menamatkan riwayat parti Nazi. Tetapi Hitler telah menggunakan kesempatan tersebut untuk menyebarkan ideologinya kepada rakyat jelata.

Dalam masa yang singkat, Hitler telah menjadi seorang terkenal disebabkan liputan media yang meluas. Para hakim dalam perbicaraannya telah dipilih oleh seorang yang pro-Nazi dalam kerajaan Bavaria. Mereka membenarkan beliau menggunakan mahkamah sebagai pentas untuk menyebarkan propagandanya kepada rakyat.

Sewaktu perbicaraan dijalankan, beliau yang bijak berpidato telah menjelaskan dengan panjang lebar mengenai aspirasi parti Nazi. Rakyat yang pada waktu itu tidak mengenali Hitler, mula sedar tentang beliau dan partinya. Malah mereka suka dengan personalitinya yang hebat serta hujahnya yang bernas. Antara lain mereka bersetuju dengannya bahawa kerajaan yang "menikam mereka dari belakang" harus dijatuhkan. Mereka juga terpengaruh dengah kata-katanya yang penuh bersemangat.

Ahkirnya, Hitler telah dijatuhkan hukuman lima tahun dengan 6 bulan berikat jamin. Manakala pegawai-pegawai lain telah mendapat hukuman yang ringan. Namun demikian, beliau dilepaskan dari penjara selepas 8 bulan. Sewaktu Hitler dipenjarakan, dia telah mengarang bukunya Mein Kampf yang cepat menjadi bacaan popular di Jerman. Selepas peristiwa yang memalukan tersebut, beliau berikrar untuk mendapat kuasa dengan cara yang lebih demokratik.

Rujukan sunting

Pautan luar sunting