Bukit Lagi merupakan lambang atau identiti bagi bandar kecil Kangar. Bukit ini, adalah salah satu bukit batu kapur yang terhasil dengan formasi batuan batu kapur Chuping. Ia berasal daripada hamparan batu kapur yang besar, bermula daripada Bukit Air , Padang Besar , sehingga ke Gunung Keriang, Alor Setar. Hamparan Batu Kapur ini telah dienapkan di kawasan zon pasang surut sehingga ke pelantar lautan pada 260-280 juta tahun dulu. Formasi ini terdiri daripada batu kapur yang berlapis tebal dan berwarna cerah. Bukit ini mempunyai ketinggian antara 300-500 kaki dan panjangnya adalah 3km bermula daripada bandar Kangar hingga ke sebelah selatannya yang dikenali sebagai Gua Cenderawasih / Gua Sami

Pandangan sisi Terminal Bukit Lagi.

Bukit Lagi turut dikenali sebagai Gua Cenderawasih dan Gua Sami kerana dahulunya bukit ini merupakan habitat bagi burung cenderawasih dan dikenali sebagai Gua Sami kerana dahulunya gua-gua di sekitar bukit ini menjadi tempat tinggal golongan sami buddha untuk mereka beribadat dan mengubati pesakit sebelum mereka bersetuju untuk tinggalkan tempat ini ketika kawasan ini dibangunkan menjadi tempat rekreasi dan namanya terus ditukar kepada Gua Cenderawasih, 'sisa-sisa' yang ditinggalkan oleh sami buddha di sekitar gua-gua di bukit ini masih boleh dilihat sekiranya anda berkunjung ke tempat ini.

Bukit Lagi ini terletak di tengah-tengah kawasan bendang. Bukit ini merupakan sebuah anak bukit yang berbatu granit. Ia direntasi oleh Jalan Lintasan Kangar yang menghubungkan Jalan Guar Syed Alwi dengan Jalan Kangar - Alor Setar. Bukit ini merupakan sebuah proses lipatan kerak bumi yang membentuk jalur tanah tinggi atau dikenali sebagai kawasan 'bukit'. Bukit ini dikelilingi oleh beberapa buah kampung iaitu Kampung Batu Hampar, Kampung Utan Aji, Kampung Padang Jawa, Kampung Telaga Nyior Manis dan Kampung Behor Gandin.

Bukit Lagi ini juga adalah habitat bagi Burung Lang Kangkuk, sejenis burung pembangkai. Burung ini telah pupus disebabkan oleh keracunan. Telur burung ini menjadi sumber makanan kera(monyet) dan lotong yang tinggal di bukit. Bukit ini juga merupakan habitat bagi burung cenderawasih, ular sawa bersaiz besar , ular kapak , ular tedung selar / ular senduk , ikan laga kampung / Wild Betta / Ikan Karin , Ikan Toman , Kera / Monyet , Lutong dan pelbagai lagi jenis hidupan.

Sejarah sunting

Nama Bukit Lagi dipanggil oleh mereka yang mudek Sungai Perlis dari muaranya di Kuala Perlis untuk pergi ke Bandar Kangar. Mulanya mereka bertemu Bukit Batu Buaya , kemudian Bukit Tok Poh , Bukit Lambung Pamah dan Bukit Tok Sanai . Apabila mereka meneruskan perjalanan menghampiri bandar Kangar, terdapat sebuah lagi bukit lalu salah seorang dari kumpulan itu berkata "Bukit Lagi". Maka dari situlah bukit berkenaan kekal dipanggil Bukit Lagi hingga sekarang.

Pada zaman prasejarah dahulu, Bukit Lagi adalah sebuah pulau yang dikelilingi oleh lautan. Pulau ini tidak didiami oleh manusia kerana terlalu kecil, memanjang, berbatu serta dikelilingi arus lautan yang deras. Fakta ini dapat dibuktikan dengan penemuan beberapa fosil kulit kerang di sekitar bukit ini dan juga kajian oleh Zuliskandar Ramli et all. (2016) yang menyatakan dalam kajiannya bahawa Perlis merupakan salah sebuah kawasan laluan perdagangan dan laluan utama masyarakat prasejarah pada suatu ketika dahulu.

Kegiatan yang ada sunting

Sekitar kawasan Bukit Lagi terutamanya di kawasan Gua Sami/Gua Cenderawasih popular dengan aktiviti mendaki bukit. Bukit Lagi di Gua Cenderawasih ini hanya memiliki ketinggian 107 meter untuk sampai ke puncaknya dan trek mendakinya yang curam tetapi tidak terlalu merbahaya/mencabar menjadikan kawasan ini sebagai kawasan riadah utama bagi golongan remaja dan dewasa yang gemar dengan aktitivi lasak mendaki bukit ini. Salah seorang pendaki bukit yang dikenali sebagai cikgu Saiful menyatakan bahawa aktiviti mendaki bukit ini adalah aktiviti hariannya yang menenangkan jiwa setelah penat bekerja. Bagi yang menyukai aktiviti riadah yang ringan seperti jogging dan sebagainya, di sekitar Gua Cenderawasih/Bukit Lagi ini terdapat sebuah taman yang dikenali sebagai Taman Awam Bukit Lagi yang memiliki trek jogging yang lengkap dan dihiasi dengan kawasan paya yang cantik, taman permainan, padang rumput yang luas, serta beberapa alatan gym untuk orang ramai beriadah bersama keluarga dan rakan-rakan.

Selain daripada itu sekitar kawasan Bukit Lagi/Gua Cenderawasih ini juga memiliki panorama yang indah yang dihiasi dengan pelbagai jenis pokok bunga kertas di kawasan yang dinamakan sebagai Taman Rekreasi Gua Cenderawasih dan Taman Bunga Kertas yang kebiasannya menjadi lokasi utama bagi orang ramai untuk bergambar bersama keluarga dan rakan-rakan.


Rujukan sunting

Zuliskandar Ramli et all. (2016). Zaman Prasejarah Di Negeri Perlis Dalam Konteks Arkeologi. Bangi : Universiti Kebangsaan Malaysia.

Ramli Ismail. (2001). Bukit Lagi : Jurnal Warisan Indera Kayangan bil 13 - 2001. Kangar : Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis.

Info Ilmu Taman Rekreasi Bukit Lagi. (2014). Sejarah Bukit Lagi. Kangar : Majlis Perbandaran Kangar.

Saiful Anuar. (2020). Geologi Perlis. Tanjong Malim : Universiti Pendidikan Sultan Idris