Bukit Siguntang

gunung di Indonesia

Bukit Siguntang (atau juga ditulis Seguntang atau Siguntang Mahameru), ialah sebuah bukit setinggi 29-30 meter yang terletak di bahagian utara tebing Sungai Musi, di dalam kawasan Palembang, Sumatera Selatan, Indonesia. Ia berjarak kira-kira 3 kilometer ke utara dari tebing Sungai Musi, dan kira-kira 4 kilometer dari barat daya pusat bandar Palembang.

Sebuah patung Buddha, yang ditemui di tapak arkeologi Bukit Siguntang, Palembang.

Tempat ini dianggap keramat oleh penduduk tempatan dan memiliki banyak peninggalan arkeologi yang dipercayai berkaitan dengan Empayar Srivijaya, yang di masa dahulu merupakan sebuah kuasa politik yang mendominasi sekitar Selat Melaka (abad ke-7 hingga ke-13 M). Menurut manuskrip Sulalatus Salatin, ia adalah tanah asal Orang Melayu dan raja-raja Kesultanan Melaka. Pada masa kini, bukit ini mendapat status sebagai taman arkeologi.

Penemuan arkeologi

sunting

Dalam tahun 1920-an, sebuah patung Buddha ditemui di bukit ini. Patung itu semula dalam keadaan kepingan. Bahagian kepala ditemui pertama, dan beberapa bulan kemudian bahagian badan pun ditemui pula, sedangkan bahagian kaki masih hilang sama sekali. Patung setinggi 277 cm ini diperbuat daripada batu granit, yang biasa ditemui di kawasan jiran Pulau Bangka. Patung mengikuti gaya Amaravati yang berkembang di India Selatan sekitar abad ke-2 hingga ke-5 M. Gaya ini ditiru semasa era Srivijaya, dan asal patung dianggarkan sekitar abad ke-7 hingga ke-8 M. Patung ini dipamerkan di Muzium Sultan Mahmud Badaruddin II, yang berhampiran dengan Benteng Kuto Besak.

Di kawasan bukit ini juga didapati serpihan patung Boddhisattva, runtuhan stupa daripada batu pasir dan bata, pecahan batu bersurat, patung Boddhisattva daripada batu, patung Kuwera, dan patung Buddha Vairocana dalam keadaan duduk yang lengkap disertai prabha (tanda halo) dan chattra (payung). Pecahan batu bersurat itu dikenali sebagai Batu Bersurat Bukit Siguntang, yang menyebut pertempuran besar yang menumpahkan banyak darah di Bhumi Srivijaya. Kandungan batu bersurat itu telah diterjemah oleh de Casparis (1956), yang di antaranya tertera:

baris ke-5 //vanak pramirahna//, yang bererti "banyak darah yang tertumpah"
baris ke-9 //pauravirakta//, yang bererti "merah oleh darah penduduknya"
baris ke-10 //tida tahu pira marvyu(ha)//, yang bererti "tidak tahu berapa banyak yang berperang"

Batu bersurat itu juga menyebut sumpahan bagi mereka yang melakukan perbuatan jahat.[1]

Di sebelah selatan bukit terdapat tempat peninggalan zaman purba bernama Karanganyar, di mana ditemui pecahan seramik dari masa dinasti Tang dan awal dinasti Song. Dua batu bersurat, iaitu Batu Bersurat Talang Tuwo dan Batu Bersurat Kedukan Bukit, ditemui di kawasan sekitar dalam tahun 1920-an.[2]

Kompleks makam

sunting
 
Kompleks makam tokoh-tokoh yang dihormati penduduk tempatan. Di tengah-tengah ialah makam Panglima Tuan Junjungan.

Dalam kompleks Bukit Siguntang juga terdapat beberapa makam yang dikaitkan oleh penduduk tempatan kepada para wira dan bangsawan Melayu-Srivijaya. Terdapat tujuh tokoh dikebumikan di sini:

  • Raja Sigentar Alam
  • Pangeran Raja Batu Api
  • Putri Kembang Dadar
  • Putri Rambut Selako
  • Panglima Tuan Junjungan
  • Panglima Bagus Kuning
  • Panglima Bagus Karang

Menurut manuskrip Sulalatus Salatin, Bukit Siguntang dipercayai menjadi tempat asal seorang wira setengah dewa yang bernama Sang Sapurba. Beliau dikatakan adalah nenek moyang raja-raja Melayu yang memerintah kerajaan-kerajaan di Sumatera, Borneo Barat, dan Semenanjung Melayu. Bukit Seguntang dihormati kerana dianggap sebagai bahagian dari gunung suci Mahameru dalam mitologi Hindu-Buddha.

Nota kaki

sunting
  1. ^ Marwati Djoened Poesponegoro, Nugroho Notosusanto, 2008. Sejarah Nasional Indonesia: Zaman Kuno Diarkibkan 2016-03-14 di Wayback Machine. PT Balai Pustaka 2:80.
  2. ^ O. W. Wolters, 1986. Restudying Some Chinese Writings on Sriwijaya. Indonesia 42:1-41.

Rujukan

sunting
  • Ahmad Rapanie, Cahyo Sulistianingsih, Ribuan Nata, "Kerajaan Sriwijaya, Beberapa Situs dan Temuannya", Museum Negeri Sumatera Selatan, Dinas Pendidikan Provinsi Sumatera Selatan.