Bulterier

baka anjing dari England
(Dilencongkan dari Bulterier Inggeris)

Bulterier atau bull terrier[a] ialah satu baka anjing dalam keluarga terier. Ada juga versi katik bagi baka ini yang dikenali secara rasmi sebagai bulterier katik. Baka ini berasal dari England abad ke-19. Baka ini, yang pada asalnya dibiakbakakan untuk kawalan haiwan perosak dan sukan darah, dapat menjadi berdikari dan degil.

Bulterier
Nama lainBull terrier
Bulterier Inggeris
Bull terrier Inggeris
Bully terrier
Negara asalEngland
Trait
Berat Jantan Tiada had[1]
Betina Tiada had[1]
Tinggi Jantan Tiada had[1]
Betina Tiada had[1]
Bulu Pendek, padat
Warna Putih, brindle, perang kekuning-kuningan, merah, jelaga merah, hitam, dan triwarna (campuran hitam, merah, dan putih).
Jangka hayat 12 tahun
Anjing (Canis lupus familiaris)

Penampilan sunting

 
Seekor bulterier brindle yang menunjukkan profil kepala, mata segi tiga, tubuh tegap dan sangat berotot

Ciri paling mudah kecam pada bulterier kepalanya yang diperihalkan 'berbentuk telur', apabila dipandang dari hadapan; bahagian atas tengkorak dan muka hampir rata. Profilnya melengkung dengan lembut ke arah bawah dari bahagian atas tengkorak ke hujung hidung, yang berwarna hitam dan bengkok ke arah bawah di hujung, dengan lubang hidung cukup terbentuk. Rahang bawahnya dalam dan kuat. Mata segi tiga uniknya adalah kecil, gelap dan terletak dalam-dalam.[2] Bulterier ialah satu-satunya anjing yang mempunyai mata segi tiga.[3] Tubuhnya penuh dan bulat dengan bahu kuat dan berotot. Ekornya terangkat secara mendatar. Ia sama ada berwarna putih, merah, perang kekuning-kuningan, hitam, brindle, atau gabungan warna-warna ini.[4]

Perangai sunting

Bulterier dapat menjadi berdikari dan degil[5] dan atas sebab ini tidak dianggap sesuai untuk pemilik anjing tidak berpengalaman. Bulterier mempunyai perangai sekata dan sudi menerima disiplin. Walaupun ketegar, baka ini diperihalkan oleh Bull Terrier Club sebagai baka yang amat baik dengan manusia.[3] Sosialisasi awal akan memastikan bahawa anjing ini akan bergaul sebaiknya dengan anjing dan haiwan lain.[6] Keperibadiannya diperihalkan sebagai anjing berani, penuh semangat, dengan sikap suka berseronok,[3] menyayangi kanak-kanak, dan anggota keluarga sempurna. Walaupun baka ini telah menjadi sasaran perundangan spesifik baka, sebuah kajian tahun 2008 di Jerman tidak mendapati bahawa bulterier mempunyai sebarang perbezaan perangai ketara daripada anjing pengutip keemasan dalam penyelidikan perangai keseluruhan.[7]

Kesihatan sunting

Sebuah kajian United Kingdom tahun 2024 mendapati jangka hayat sebanyak 12 tahun untuk baka ini berbanding dengan purata 12.7 tahun untuk baka tulen dan 12 tahun untuk baka silang.[8]

Kepekakan berlaku pada 20.4% bulterier putih metah dan 1.3% bulterier berwarna,[9] kerap sukar untuk diperhatikan pada usia muda. Banyak bulterier mempunyai kecenderungan untuk mengalami alahan kulit.[10] Gigitan serangga, seperti yang daripada pinjal, dan kadang-kadang nyamuk dan tungau, dapat menghasilkan gerak balas alahan menyeluruh yang merupakan geligata, ruam, dan kegatalan. Tinjauan baka United Kingdom meletakkan jangka hayat mediannya pada 10 tahun dan minnya pada 9 tahun (1 s.f., RSE= 13.87% 2 d. p.), dengan bilangan anjing baik yang hidup sehingga 10–15 tahun.[11]

Akrodermatitis maut, yang juga dikenali sebagai akrodermatitis bulterier, ialah penyakit terwaris autosom monogen genodermatosis jarang yang terdapat secara eksklusif pada bulterier putih (termasuk bulterier katik). Keadaan ini biasanya membawa maut dan bercirikan pertumbuhan lemah, penurunan paras kuprum serum dan paras zink serum, keimunodefisienan, bronkopneumonia, lesi kulit, dan penghakisan pada hujung-hujung distal. Gejala lain yang berlaku hanya kemudian termasuk kerakan, papul, pustul, eritema, hiperkeratosis, dan pencairan warna. Keadaan ini menjelma dalam beberapa minggu pertama kehidupan dan kebanyakan anak anjing yang terjejas mati sebelum usia 2 tahun. Saiz anak anjing ini kira-kira separuh daripada rakan seperinduk tidak terjejas pada usia setahun. Tidak seperti keadaan manusia, iaitu akrodermatitis enteropatika, suplemen zink tidak memperbaik gejala.[12][13]

Sejarah sunting

 
Bulterier James Hinks
 
Seekor bulterier sekitar 1915

Pada permulaan abad ke-19, baka-baka "bull and terrier" dikembangkan untuk memenuhi keperluan kawalan haiwan perosak dan sukan darah berdasarkan haiwan. Bull and terrier didasarkan pada buldog lama Inggeris (kini pupus) dan terier lama Inggeris dengan kemungkinan terier lain. Baka baharu ini menggabungkan kepantasan dan kecekatan terier yang terbina dengan ringan dengan kekuatan buldog, yang merupakan pemain lemah dalam kebanyakan situasi pertarungan, setelah dibiakbakakan hampir secara eksklusif untuk melawan lembu jantan dan beruang yang terikat pada tiang. Ramai pembiak baka mula membiakbakakan buldog dengan terier, dengan hujah bahawa campuran sedemikian meningkatkan kualiti pertarungan. Walaupun terdapat hakikat bahawa silangan antara buldog dengan terier adalah bernilai tinggi, sangat sedikit atau tiada apa-apa yang dilakukan untuk memulihara baka ini dalam bentuk aslinya. Oleh sebab ketiadaan piawaian baka—pembiakbakaan adalah untuk prestasi, bukan penampilan—"bull and terrier" akhirnya terbahagi kepada leluhur "bulterier" dan "bulterier Staffordshire", kedua-duanya lebih kecil dan lebih mudah dikendalikan berbanding dengan pendahulunya.[14]

Pada pertengahan abad ke-19, James Hinks mula membiakbakakan bull and terrier dengan "terier putih Inggeris" (kini pupus), untuk mendapatkan penampilan lebih bersih dengan tungkai lebih baik dan kepala lebih elok. Pada tahun 1862, Hinks memasukkan seekor betina yang dipanggil "Puss" yang dibapai oleh buldog putih beliau yang dipanggil "Madman" ke dalam Kelas Bulterier dalam pertunjukan anjing yang diadakan di Cremorne Gardens di Chelsea, London. Pada asalnya, anjing ini belum lagi mempunyai "wajah telur" yang kini dikenali, tetapi menyimpan stop dalam profil tengkorak.[15] Anjing ini segera popular dan pembiakbakaan diteruskan dengan menggunakan anjing Dalmatia, anjing penuding Sepanyol, dan whippet untuk meningkatkan keanggunan dan ketangkasan; dan borzoi dan collie kasar untuk mengurangkan stop. Hinks ingin agar anjing beliau berwarna putih dan dibiakbakakan khusus untuk ini. Bulterier moden pertama kini diiktiraf sebagai "Lord Gladiator", dari tahun 1917, yang menjadi anjing pertama tanpa stop sama sekali.[14][16]

Oleh sebab masalah perubatan yang berkaitan dengan pembiakbakaan putih menyeluruh, Ted Lyon antara yang lain mula memperkenalkan warna, dengan menggunakan bulterier Staffordshire pada awal abad ke-20. Bulterier berwarna diiktiraf sebagai keragaman terpisah (sekurang-kurangnya oleh AKC) pada tahun 1936.[15] Brindle ialah warna pilihan, tetapi warna lain dialu-alukan.[15][17]

Bersama-sama dengan pengakuran, trait-trait tingkah laku spesifik dicari-cari.

Bulterier terkenal sunting

 
Willie, yang memakai teg anjing tentera darat yang ditetapkan, dengan Jeneral Patton dan Tentera Darat Ketiga Amerika Syarikat dalam perjalanan ke Paris (Ogos 1944)
  • Jeneral George S. Patton memiliki seekor bulterier yang bernama Willie. Anjing itu pernah dimiliki oleh seorang juruterbang RAF yang terkorban dan Patton membelinya di England pada tahun 1944. Apabila ia bertarung dengan terier Scotland milik Dwight D. Eisenhower, Telek, Patton meminta maaf, dengan mengatakan bahawa Telek mengatasi Willie dan akan dikurung di kuarters.[18][19][20]
  • Theodore Roosevelt memiliki beberapa ekor haiwan peliharaan, termasuk bulterier Pete. Pete menerima banyak akhbar kontemporari setelah menggigit seorang kerani tentera laut serta mengejar dan menggigit duta besar Perancis.[21][22][23]
  • Dalam filem tahun 1963 The Incredible Journey, yang berdasarkan novel senama karya Sheila Burnford, seekor bulterier betina yang bernama Muffy memainkan peranan Old Bodger, haiwan tertua antara ketiga-tiga haiwan.
  • Dalam filem tahun 1955 It's a Dog's Life, anjing utama, Wildfire, dilakonkan oleh seekor bulterier putih dengan nama sama yang disuarakan oleh Vic Morrow.
  • Spuds MacKenzie ialah watak cereka yang digunakan untuk kempen pengiklanan meluas yang memasarkan bir Bud Light pada lewat tahun 1980-an yang digambarkan oleh seekor bulterier yang bernama Honey Tree Evil Eye.
  • Bullseye (yang dahulunya dikenali sebagai Spot) ialah seekor bulterier katik dan buat masa ini maskot rasmi Target Corporation.
  • Scud ialah bulterier milik Sid Phillips dalam Toy Story.
  • Novel tahun 1977 Hell Hound karya Ken Greenhall berkisar sekitar seekor bulterier putih pembunuh bernama Baxter. Novel ini diadaptasi sebagai filem Perancis Baxter (1989), yang dalamnya watak judulan itu dimainkan oleh seekor bulterier yang bernama Chimbot dan disuarakan oleh Maxime Leroux.
  • Gaspard dan Lisa, sepasang bulterier antropomorfik yang ditonjolkan dalam siri buku kanak-kanak.

Lihat juga sunting

Catatan sunting

  1. ^ Jawi: بولتيريئر; بول تيريئر; bahasa Inggeris: bull terrier

Rujukan sunting

  1. ^ a b c d "FCI-Standard N° 11 BULL TERRIER" [Piawaian FCI No. 11 Bulterier] (pdf). Persekutuan Kinologi Antarabangsa (dalam bahasa Inggeris). 23 Disember 2011. Dicapai pada 23 Januari 2024.
  2. ^ Mason, Walter Esplin (14 Ogos 1915). "Dogs of all nations" (dalam bahasa Inggeris). [S.l.: s.n.] – melalui Internet Archive.
  3. ^ a b c "BREED STANDARD - The Bull Terrier Club" (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 20 November 2015.
  4. ^ CKC Breed Standards (Inggeris), Canadian Kennel Club, diarkibkan di Wayback Machine, 20 Februari 2008.
  5. ^ Breeder Retriever. "Bull Terrier Temperament" (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 3 Februari 2012.
  6. ^ "ADBA American Pit Bull Terrier Puppy Socialization". American Dog Breeders Association (dalam bahasa Inggeris). 8 Februari 2018. Diarkibkan daripada yang asal pada 30 Julai 2017.
  7. ^ Ott, Stefanie A.; Schalke, Esther; von Gaertner, Amelie M.; Hackbarth, Hansjoachim (Mei–Jun 2008). "Is there a difference? Comparison of golden retrievers and dogs affected by breed-specific legislation regarding aggressive behavior". (Inggeris) Journal of Veterinary Behavior. Jilid 3, Keluaran 3, Elsevier Inc. hlm. 134–140
  8. ^ McMillan, Kirsten M.; Bielby, Jon; Williams, Carys L.; Upjohn, Melissa M.; Casey, Rachel A.; Christley, Robert M. (1 Februari 2024). "Longevity of companion dog breeds: those at risk from early death". Scientific Reports (dalam bahasa Inggeris). Springer Science and Business Media LLC. 14 (1). doi:10.1038/s41598-023-50458-w. ISSN 2045-2322. PMC 10834484 Check |pmc= value (bantuan).
  9. ^ Breed-Specific Deafness Prevalence In Dogs (percent) (Inggeris) Diarkibkan 28 Januari 2013 di Wayback Machine. LSU.edu
  10. ^ Richards, Michael. Skin Disorders and Problems of Dogs (Inggeris) Diarkibkan 20 November 2007 di Wayback Machine, vetinfo4dogs.com
  11. ^ "Individual Breed Results for Purebred Dog Health Survey" (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 4 Mei 2007.
  12. ^ Rhodes, Karen Helton; Werner, Alexander H. (25 Januari 2011). Blackwell's Five-Minute Veterinary Consult Clinical Companion (dalam bahasa Inggeris). Ames, Iowa, Amerika Syarikat: Wiley-Blackwell. m/s. 473–474. ISBN 978-0-8138-1596-1.
  13. ^ Bauer, Anina; Jagannathan, Vidhya; Högler, Sandra; Richter, Barbara; McEwan, Neil A.; Thomas, Anne; Cadieu, Edouard; André, Catherine; Hytönen, Marjo K.; Lohi, Hannes; Welle, Monika M.; Roosje, Petra; Mellersh, Cathryn; Casal, Margret L.; Leeb, Tosso (22 Mac 2018). "MKLN1 splicing defect in dogs with lethal acrodermatitis". PLOS Genetics (dalam bahasa Inggeris). Public Library of Science (PLoS). 14 (3): e1007264. doi:10.1371/journal.pgen.1007264. ISSN 1553-7404. PMC 5863938.
  14. ^ a b "Canterbury Bull Terrier Club" (dalam bahasa Inggeris). 21 November 2008. Diarkibkan daripada yang asal pada 21 November 2008.
  15. ^ a b c American Kennel Club:Bull Terrier History (Inggeris) Diarkibkan 5 Ogos 2015 di Wayback Machine, American Kennel Club
  16. ^ ANKC: Extended Breed Standard of The Bull Terrier & Bull Terrier (Miniature) (Inggeris) Diarkibkan 22 Julai 2008 di Wayback Machine, Australian National Kennel Council
  17. ^ T.W. Hogarth menerbitkan The Coloured and Colour Breeding (Inggeris), Galashiels: A Walker & Son in 1932, yang menyertakan bab-bab – 'Colour Breeding in Bull Terriers' oleh Major T Grahame dan Captain J.N. Ritchie dan 'Colour Inheritance in Bull-terriers' oleh Dr F Fraser Darling.
  18. ^ Amanda Macias, "This photo shows Gen. Patton's dog Willie after the general's death" (Inggeris) Diarkibkan 10 April 2016 di Wayback Machine, Business Insider, 21 Disember 2015.
  19. ^ D'Este, Carlo (24 November 2015). Eisenhower: A Soldier's Life (dalam bahasa Inggeris). Henry Holt and Company. ISBN 978-1-62779-961-4. Dicapai pada 5 Mac 2024.
  20. ^ Forty, George (19 April 2015). Patton's Third Army at War (dalam bahasa Inggeris). Casemate. ISBN 978-1-61200-316-0. Dicapai pada 5 Mac 2024.
  21. ^ Coren, Stanley (18 April 2002). The Pawprints of History: Dogs in the Course of Human Events (dalam bahasa Inggeris). Simon and Schuster. m/s. 279. ISBN 978-0-7432-2770-4.
  22. ^ Dickey, Bronwen (10 Mei 2016). Pit Bull: The Battle over an American Icon (dalam bahasa Inggeris). Knopf Doubleday Publishing Group. m/s. 67. ISBN 978-0-307-96177-8. Dicapai pada 5 Mac 2024.
  23. ^ "21 of Theodore Roosevelt's Most Memorable Pets". Mental Floss (dalam bahasa Inggeris). 23 Disember 2019. Dicapai pada 5 Mac 2024.

Pautan luar sunting