Enggang badak

(Dilencongkan dari Burung Kenyalang)

Enggang badak (Jawi: اڠݢڠ بادق, bahasa Inggeris: Rhinoceros Hornbill) ialah salah satu daripada burung-burung enggang terbesar di dunia, yang mana burung dewasa boleh mencecah panjang 110-127 cm (43-50 inci) dan berat 2-3 kg (4.4-6.6 paun). Ia hanya terdapat di dalam hutan hujan tropika dari dataran rendah sehingga ke kawasan pergunungan tidak melebihi 1300 m dari paras laut.[3]

Enggang Badak
اڠݢڠ بادق
Sepasang enggang badak di Zoo Singapura
CITES Appendix II (CITES)[2]
Pengelasan saintifik e
Domain: Eukaryota
Alam: Animalia
Filum: Chordata
Kelas: Aves
Order: Bucerotiformes
Keluarga: Bucerotidae
Genus: Buceros
Spesies:
B. rhinoceros
Nama binomial
Buceros rhinoceros

Nama saintifiknya ialah Buceros rhinoceros. [4] Ia merupakan salah satu daripada spesies yang digambarkan oleh William Farquhar yang terdapat di Tanah Melayu. [5] Ia juga pernah direkodkan oleh Alfred Russel Wallace di Sarawak pada tahun 1855, semasa lawatan beliau ke pulau Borneo.[6]. Di Sarawak, spesies ini dikenali sebagai Kenyalang.[7] Ia merupakan burung rasmi negeri Sarawak.[8] Dalam kepercayaan adat sesetengah penduduk Dayak termasuk orang Iban, burung Enggang Badak atau Kenyalang mewakili dewa perang mereka iaitu Sengalang Burong yang merupakan jelmaan Helang Merah.

Taburan sunting

Burung Enggang Badak atau juga dikenali sebagai burung Kenyalang di Sarawak, boleh didapati di kepulauan Borneo (Sarawak, Sabah, Brunei, dan Kalimantan), Semenanjung Malaysia, selatan Thailand, Sumatera, dan Pulau Jawa.[9]

Ciri-ciri sunting

Burung jantan memiliki cincin mata berwarna jingga atau merah, dan burung betina mempunyai cincin mata keputihan. Burung ini memiliki paruh kebanyakannya berwarna putih krim dan "tanduk" (dalam Bahasa Inggeris ialah casque) yang hampir menyerupai rupabentuk tanduk Badak Sumbu. Tanduk ini terdapat warna kuning bata dan merah-jingga. Ia mempunyai dada dan kepak hitam, dan perut putih. Ekornya berwarna hitam dan putih.

Pembiakan sunting

Mengawan dan berpasangan bagi burung ini adalah amat penting, kerana burung betina perlu mempercayai burung jantan bagi membekalkan semua perkara ketika ia mengeram dan membesarkan anak. Burung enggang ini membina sarang di dalam batang pokok, dimana burung betina tinggal di dalamnya bersama telur, sementara burung jantan membawa makanan kepada burung betina dan anak-anaknya.

Selepas bertelur, burung jantan akan mengambil lumpur dan pasangan tersebut akan menggunakan lumpur dan najis bagi menutup bukaan masuk ke sarang. Ini meninggalkan bukaan kecil, hanya muat bagi burung jantan memberi makanan kepada burung betina (dan kemudian anak burung) dan bagi burung betina membuang najis keluar melalui lubang kecil tersebut. Apabila anaknya cukup besar (sudah mempunyai bulu), bagi meninggalkan sarang, burung jantan dan betina mematuk lumpur kering untuk keluar. Burung Enggang badak makan buah-buahan, serangga, reptilia kecil, tikus, dan burung kecil.

Pengekalan sunting

Burung Enggang Badak merupakan haiwan yang dilindungi di Malaysia dan dilarang menangkap dan membunuhnya.[10]

Galeri sunting

Rujukan sunting

  1. ^ BirdLife International (2020). "Buceros rhinoceros". Senarai Merah Spesies Terancam IUCN. 2020: e.T22682450A184960407. doi:10.2305/IUCN.UK.2020-3.RLTS.T22682450A184960407.en. Dicapai pada 18 November 2021.
  2. ^ "Appendices | CITES". cites.org. Dicapai pada 2022-01-14.
  3. ^ https://www.mybis.gov.my/sp/20954
  4. ^ D.R. 16/2010 RANG UNDANG-UNDANG PEMULIHARAAN HIDUPAN LIAR 2010
  5. ^ Natural History Drawings: The Complete William Farquhar Collection : Malay ...
  6. ^ http://wallace-online.org/content/record?itemID=NHM-WP19.27
  7. ^ Smythies, B. E. (1999). The birds of Borneo. (Rev. ed.). Sabah: Natural History Publications (Borneo), pp. 395-396.
  8. ^ Kenyalang - State Bird of Sarawak (Archive, December 2005). Sarawak Tourism Board.
  9. ^ http://datazone.birdlife.org/species/factsheet/rhinoceros-hornbill-buceros-rhinoceros/distribution
  10. ^ https://cites.org/sites/default/files/eng/com/sc/69/E-SC69-61-R1.pdf

Pautan luar sunting