Cabak Yukatan kecil (burung)

Cabak Yukatan kecil (Nyctiphrynus yucatanicus) ialah spesies tukang dalam keluarga Caprimulgidae. Ia ditemui di Semenanjung Yukatan di Belize, Guatemala, dan Meksiko.[2]

Cabak Yukatan kecil
Pengelasan saintifik e
Domain: Eukaryota
Alam: Animalia
Filum: Chordata
Kelas: Aves
Order: Caprimulgiformes
Keluarga: Caprimulgidae
Genus: Nyctiphrynus
Spesies:
N. yucatanicus
Nama binomial
Nyctiphrynus yucatanicus
(Hartert, 1892)

Taksonomi dan sistematik sunting

Ia kadangkala disusunkan dalam genus Otophanes, yang kemudiannya digabungkan ke dalam genus terkininya Nyctiphrynus. Ia, Nyctiphrynus ocellatus, dan Nyctiphrynus mcleodii ialah spesies kerabat. Ia dan cabak berkuping dipercayai sebagai saudara hidup terdekat kerana persamaan seruan dan ciri-ciri buluan.[3] Ia ialah ekajenis.[4]

 
Bertengger di Belize

Pemerihalan sunting

Panjangnya ialah 19.5 hingga 22 cm (7.7 hingga 8.7 in), menjadikannya spesies tukang terkecil di Semenanjung Yukatan.[5] Seekor jantan berberat 21.3 g (0.75 oz) dan seekor betina 27.7 g (0.98 oz). Kedua-dua jantina berbentuk perang; terdapat juga bentuk karat yang lebih lazim dalam kalangan betina. Bentuk perang kebanyakannya perang-kelabu gelap dengan pelbagai vermikulasi dan jalur muram, kelabu, dan hitam. Mukanya perang berjelaga gelap hingga hitam keperangan dengan vermikulasi perang. Ia berelang kuning pucat pudar di tengkuknya dan tompok putih di tekak. Bahagian bawahnya bervermikulasi perang dan kelabu dengan jalur hitam. Ekornya hitam kusam dengan tanda kelabu-kuning pucat dan sayapnya membulat.[6] Empat pasang bulu luarnya berhujung putih luas. Bentuk karat menggantikan warna asas perang-kelabu dengan perang kemerahan.[4] Walau bagaimanapun, warna buluan spesiesnya beraneka.[5]

Spesies mirip, Nyctiphrynus mcleodii, mempunyai sayap yang lebih panjang, relang sempit ketara pada tengkuk, bahagian atas badan yang agak polos, bahagian bawah badan yang lebih polos, dan tompok putih yang lebih kecil pada perut.[6]

Taburan dan habitat sunting

Ia ditemui di Semenanjung Yukatan. Di Meksiko, ia ditemui di negeri Kampece, Yukatan (kecuali jalur pantai utara), dan Quintana Roo. Julatnya meluas ke timur laut Guatemala dan utara Belize. Di kawasan Cagar Alam Hidupan Liar Shipstern di Belize, ia telah diperhatikan untuk berdiam sepanjang tahun dan biasanya ditemui dalam kumpulan kecil (kurang daripada 10 ekor) di habitat tertentu.[7] Dalam ketinggian, julatnya dari aras laut hingga kira-kira 250 m (820 ka). Ia mendiami pelbagai landskap termasuklah bahagian dalam dan pinggir hutan tropika, lembap, dan separa lembap serta semak belukar.[4] Ia juga kelihatan banyak di hutan luruh, tetapi satu pemerhatian mendedahkan bahawa ia tidak biasa ditemui di hutan semak sekunder di hutan hujan tropika.[5] Habitatnya masih belum diketahui sepenuhnya.

Tingkah laku sunting

Pemakanan sunting

Ia bersifat krepuskul dan nokturnal. Ia meramu pada waktu malam di kawasan lapang[5] dengan menangkap mangsa dari tenggeran di pokok dan mungkin dari tanah. Mangsanya ialah serangga tetapi butirannya tidak diketahui.[4]

Pembiakan sunting

Dua biji telur sesangkak ditelurkan terus ke atas tanah tanpa sarang. Musim pembiakannya adalah dari April hingga Jun di Guatemala.[6] Walaupun ia dan Nyctiphrynus mcleodii sukar dibezakan, telurnya berbeza warna. Walaupun telur N. yucatanicus telah diperihalkan sebagai kuning air kekuningan bertompok perang,[8] telur N. mcleodii telah diperihalkan sebagai putih gading tanpa tompok.[9]

Apabila penceroboh menghampiri sarang, dewasa yang mengeram telur mungkin cuba menjauhkan penceroboh dari sarang dengan menjadikan dirinya kelihatan seperti tercedera apabila ia mendarat (paparan gangguan berpura-pura cedera) agak jauh dari sarang.[6] Pada asasnya, tiada perkara lain yang diketahui tentang fenologi pembiakannya.[4]

Vokalisasi sunting

Seruannya ialah "wirr atau wirrrr yang kuat dan sedikit bergema". Ia berbunyi pada waktu malam dari tenggeran pokok, kebanyakannya antara Februari dan Oktober. Ia juga membuat "puk-puk yang sedikit cair, kadang-kadang memecut... dan wiik wiik wiik yang tajam dalam penerbangan"; seruan kedua diandaikan sebagai seruan penggera.[4] Seruannya pernah dikelirukan dengan seruan Antrostomus badius.[10][5]

Seruannya ringkas dan berulang-ulang. Ia bermula sedikit di atas 1 kHz, memuncak pada 2.2kHz, dan menurun kepada 1kHz. Setiap seruan bertempoh sekitar 0.3 saat dengan selang 1.5 - 1.8 saat.[10]

Status sunting

IUCN pada asalnya menilainya sebagai Hampir Terancam tetapi sejak 2004 telah menilainya sebagai Kurang Membimbangkan. Ia mempunyai julat yang besar dan secara amnya agak biasa ditemui hingga biasa ditemui, walaupun populasinya dipercayai semakin berkurang. Tiada ancaman segera telah dikenalpasti.[1][4]

Rujukan sunting

  1. ^ a b BirdLife International (2020). "Yucatan Poorwill Nyctiphrynus yucatanicus". Senarai Merah Spesies Terancam IUCN. 2020. Dicapai pada 12 October 2021. Ralat petik: Tag <ref> tidak sah, nama "IUCN" digunakan secara berulang dengan kandungan yang berbeza
  2. ^ Gill, F.; Donsker, D.; Rasmussen, P. (July 2021). "IOC World Bird List (v 11.2)". Dicapai pada July 14, 2021.
  3. ^ Robbins, M.B.; Ridgely, R.S. (1992). "Taxonomy and natural history of Nyctiphrynus rosenbergi (Caprimulgidae)". Condor. 94 (4): 984–987. doi:10.2307/1369294. JSTOR 1369294. |hdl-access= requires |hdl= (bantuan)
  4. ^ a b c d e f g Arizmendi, M. d.
  5. ^ a b c d e Holyoak, D. T. (2001-07-19). Nightjars and Their Allies: The Caprimulgiformes (dalam bahasa Inggeris). OUP Oxford. ISBN 978-0-19-854987-1.
  6. ^ a b c d Cleere, Nigel (2010-08-30). Nightjars: A Guide to Nightjars and related birds (dalam bahasa Inggeris). A&C Black. ISBN 978-1-4081-3547-1.
  7. ^ Chapple, General Sir John. "Shipstern Wildlife Reserve Bird Species Checklist" (PDF): 27–36. Cite journal requires |journal= (bantuan)
  8. ^ Van Tyne, Josselyn (1935). The birds of northern Petén, Guatemala. Ann Arbor, Mich.: University of Michigan press.
  9. ^ Anderson, David L. (2000). "Notes on the breeding, distribution, and taxonomy of the ocellated poorwill (Nyctiphrynus ocellatus) in Honduras" (PDF). Neotropical Ornithological Society. 11: 233–238 – melalui Short Communications.
  10. ^ a b Hardy, John William; Straneck, Roberto (1989). "The Silky-Tailed Nightjar and Other Neotropical Caprimulgids: Unraveling Some Mysteries". The Condor. 91 (1): 193–197. doi:10.2307/1368162. ISSN 0010-5422. JSTOR 1368162.