Casus belli ialah ungkapan bahasa Latin moden yang membawa pengertian "sebab atau alasan untuk memulakan peperangan". Casus bermakna "peristiwa" atau "perpecahan", manakala belli bermakna "perang".

Casus belli sering salah dieja dan salah disebut sebagai "causus belli" kerana ia kelihatan seakan-akan perkataan bahasa Inggeris "cause" (serta perkataan bahasa Latin causa yang bermaksud 'sebab') dan kerana, dalam penggunaan umum, istilah ini biasanya bermaksud "sebab untuk perang".

Walaupun istilah ini telah amat lama digunakan dalam bahasa Latin, ia tidak digunakan secara meluas sehingga akhir abad ke-19, dengan kemunculan doktrin politik "jus ad bellum" atau "teori perang adil". Penggunaan tak formal di luar takrif teknikal merujuk kepada mana-mana "alasan adil" yang sesuatu negara mungkin akan menuntut untuk memulakan pertempuran. Oleh itu, ia digunakan untuk memerihalkan secara retroaktif keadaan-keadaan dalam sejarah sebelum istilah ini digunakan secara meluas, serta untuk masa kini ketika memerihalkan keadaan-keadaan apabila peperangan dimulakan secara terkejut tanpa sebarang pengisytiharan.

Secara rasmi, sebuah kerajaan akan mengemukakan alasan-alasannya untuk memulakan peperangan, berserta hajatnya dan langkah-langkah yang mungkin boleh diambil untuk mengelakkan peperangan. Dengan berbuat demikian, kerajaan itu cuba menunjukkan bahawa ia memulakan peperangan hanya sebagai langkah yang terakhir ("Ultima Ratio") dan bahawa ia sebenarnya mempunyai "alasan adil" untuk berbuat demikian.


Penyebab penggunaan sunting

Jika sebuah negara menyerang negara yang lain tanpa menyatakan sebabnya, ia mungkin akan mengakibatkan ketidakpuasan di kalangan rakyatnya atau kehilangan kepercayaan terhadap pemimpin-pemimpinnya. Dalam kes keterlaluan, ia boleh mengakibatkan pemberontakan.

Pada zaman moden, casus belli bertujuan untuk memberikan justifikasi kepada komuniti antarabangsa. Oleh itu, casus belli juga melibatkan kediktatoran dan negara yang dikuasai oleh tentera yang tidak perlu memberikan sebarang casus belli kepada rakyatnya.

Sejarah penggunaan sunting

PDI sunting

Pembunuhan di Sarajevo pada 28 Jun 1914 akhirnya mengakibatkan Perang Dunia I. Pembunuhan Archduke Franz Ferdinand dari Austria di Sarajevo, Austria-Hungary oleh Gavrilo Princip, seorang nasionalis Serbia, rakyat Austria, serta ahli Bosnia Muda, menyebabkan Austria-Hungary mengisytiharkan peperangan terhadap Serbia. Empayar Rusia memulakan pengerahan untuk mempertahankan sekutunya Serbia dan dengan itu, mengakibatkan Empayar Jerman mengisytiharkan peperangan terhadap Rusia sebagai sokongan terhadap Austria-Hungary, sekutu Empayar Jerman. Dengan begitu pantas selepas penglibatan Perancis dan Empayar British, lima daripada enam kuasa Eropah besar terbabit dalam peperangan umum Eropah yang pertama sejak Perang-perang Napoleon (lihat Sebab-sebab Perang Dunia I).

PDII sunting

Apabila Adolf Hitler memutuskan untuk menggabungkan Czechoslovakia ke dalam Pemerintahan Ketiga, beliau menggunakan casus belli yang dipanggil Lebensraum. Secara tidak tepat, ini bermaksud "ruang untuk hidup" dan berdasarkan keadaan Jerman yang teruk selepas Perang Dunia I yang diakibatkan oleh tuntutan Pihak Berikat terhadap ganti rugi kerosakan perang. Apabila Amerika Syarikat menarik balik pinjamannya kepada Republik Weimar, akibat sebahagian besarnya oleh Keruntuhan Wall Street, ekonomi Jerman runtuh. Oleh itu, Jerman dalam keadaan krisis ketika kebangkitan Hitler, dan rancangan beliau untuk membina ekonomi dan infrastruktur Jerman adalah untuk memperluas sempadan negaranya ke kawasan-kawasan yang mempunyai banyak sumber. Sebagai ganti untuk menawan tanah-tanah jajahan di luar Eropah, Hitler mendakwa bahawa beliau memerlukan sumber-sumber yang berhampiran supaya dapat membina Jerman dengan cepat. Untuk menyokong justifikasinya, beliau juga mendakwa bahawa beliau hanya menyatukan semula negara Jerman kerana kebanyakan kawasan yang ditawan merupakan bekas kawasan Jerman (dan mempunyai orang-orang yang bertuturkan bahasa Jerman).

Penggunaan casus belli sebegini amat sesuai dengan keadaan ekonomi dan politik ketika itu. Britain yang masih letih daripada Perang Dunia I bertindak balas terhadap dakwaan-dakwaan Jerman dengan mengikut dasar penenangan. Sanggup membuat pengorbanan-pengorbanan yang utama untuk mengelakkan lagi sebuah peperangan, Britain tidak menghentikan Jerman apabila mereka memulakan penenteraan semula dan peluasan. Perancis tidak minat akan dasar penenangan, tetapi tidak sanggup berperang bersendirian. [1]

Casus belli rasmi Kesatuan Soviet untuk menyerang Finland dalam Perang Musim Sejuk ialah pengeboman Mainila. Pihak Soviet menuntut bahawa askar-askar Finland telah menembak desa Mainila di wilayah Kesatuan Soviet dengan meriam. Penyelidikan kemudian mendedahkan bahawa tidak terdapat sebarang meriam Finland yang berhampiran tempat itu. Tembakan-tembakan yang didengar oleh para sentri Finland membenarkan penyegitigaan kedudukan penyangga meriam yang terletak di sebelah kawasan Soviet. Sebenarnya, tentera Soviet menembakkan peluru meriam mereka dari wilayah Finland ke wilayah mereka sendiri. Kerugian yang dilaporkan oleh tentera Soviet adalah palsu.

Perang Enam Hari sunting

Casus belli juga merupakan salah satu persoalan yang utama dalam Perang Enam Hari pada tahun 1967. Kerajaan Israel mempunyai sebuah senarai casus belli yang pendek yang boleh mencetuskan tindakan tentera Israel jika sebuah negara Arab mengambil salah satu tindakan yang tersenarai. Casus belli yang paling terkenal ialah pengepungan Selat Tiran, selat yang mengaitkan Eilat, pelabuhan Israel yang tunggal, dengan Laut Arab dan membenarkan kapal-kapalnya mencapai pasaran-pasaran yang penting di Afrika Timur dan Asia Tenggara.

Laluan merentasi Selat Tiran adalah amat penting kerana ketika itu, Mesir juga melarang sebarang kapal dari dan ke Israel daripada menggunakan Terusan Suez. Pengepungan selat sebegini yang melanggar undang-undang antarabangsa dilakukan oleh Mesir selepas ia mengusir pengaman-pengaman PBB dari Semenanjung Sinai dan menempatkan tenteranya di Sharm el-Sheikh di hujung selatan Sinai.

Pengepungan tersebut merupakan faktor utama dalam permulaan serangan Israel terhadap tentera udara Mesir, hanya beberapa jam sebelum serangan Mesir yang dijadualkan. Kedua-dua Syria dan Jordan menyerang tidak lama kemudian. Israel meminta Jordan supaya mengakhiri serangannya, dan memberitahu duta besar Jordan bahawa ia akan menganggap serangan Jordan tersebut sebagai "tembakan serentak yang mulia (salvo of honor) yang perlu dilakukan sebagai salah satu sekutu Mesir. Bagaimanapun, Jordan menolak permintaan itu dan Israel kemudian membalas dengan menaklukkan sebahagian Jordan.

Perang Vietnam sunting

Sesetengah ahli sejarah telah mencadangkan bahawa Peristiwa Teluk Tonkin hanya merupakan dalih untuk Perang Vietnam. Pegawai-pegawai tentera laut Vietnam telah mengisytiharkan bahawa USS Maddox tidak pernah ditembak oleh mereka.

Turki dan Greece sunting

Pada tahun 1995, parlimen Turki mengeluarkan casus belli terhadap Greece kerana Greece telah memperluas perairan wilayahnya dari 6 batu nautika ke 12 batu nautika dari pantainya. Walaupun perundingan-perundingan awal diadakan supaya Turki dapat menyertai Kesatuan Eropah, Turki enggan membatalkan casus bellinya.

Perang Iraq sunting

Terdapat sesetengah dakwaan bahawa senjata pemusnah besar-besaran (WMD) yang dipercayai berada di Iraq hanya merupakan dalih untuk memulakan Perang Iraq.

Casus Belli dalam budaya popular sunting

  • Menggoyang-goyangkan Anjing (Wag the Dog) ialah lagi sebuah filem yang berkait dengan topik casus belli. Dalam filem ini, presidennya menggunakan dalih untuk menyerang Albania kerana hendak mengalihkan perhatian orang ramai daripada sebuah skandal politik yang melibatkannya. Ia dikatakan merujuk sebenarnya kepada skandal Monica Lewinsky apabila Presiden Bill Clinton memerintah sebuah serangan terhadap kilang-kilang bahan kimia di Sudan dan kem-kem latihan Al-Qaeda di Afghanistan. Pembantah-pembantah Sudan mengambil papan-papan tanda yang berbunyi "Menggoyang-goyangkan Anjing", frasa yang merujuk kepada serangan Amerika ini sebagai suatu percubaan untuk mengalihkan perhatian daripada skandal Lewinskynya.
  • Dalam Seinfeld, sitcom Amerika Syarikat, Elaine memasuki bilik Jerry dan duduk di atas mejanya. Ketika Jerry mengintip sebuah restoran Pakistan, Elaine menyebut "Casus Belli" dalam suara yang lucu, dan berkata bahawa dia baru-baru sahaja membaca frasa itu dan hanya hendak menyebutnya dengan kuat.
  • Dalam siri buku komik, Lucky Luke, seorang hakim tua yang gila menuduh dua daripada musuh peribadinya atas jenayah-jenayah yang berlainan dan akhirnya menuduh mereka kerana Casus Belli (perkataan-perkataan pertama yang diperolehinya secara sembarangan daripada buku undang-undangnya). Kedua-dua orang yang disyaki itu kemudian cuba menyalahkan satu sama lain tentang siapakah yang sebenarnya membunuh 'Casus Belly' itu.

Rujukan sunting

  1. Gore Vidal: Imperial America. 2004.

Lihat juga sunting