Ceri Terengganu, turut disebut pokok Johor, engkelili atau perupuk dengan nama saintifik Lepisanthes alata [2] ialah spesies tumbuhan berbunga iaitu pokok buahan huatan tropika dalam keluarga laici yang tempatan dari Asia Tenggara.

Ceri Terengganu
Lukisan L. alata dalam Fleurs, fruits et feuillages choisis de l'ille de Java oleh Berthe Hoola van Nooten
Pengelasan saintifik e
Domain: Eukaryota
Alam: Plantae
Klad: Trakeofit
Klad: Angiosperma
Klad: Eudikot
Klad: Rosid
Keluarga: Sapindaceae
Genus: Lepisanthes
Spesies:
L. alata
Nama binomial
Lepisanthes alata
Sinonim[1]
  • Capura alata (Blume) Teijsm. & Binn.
  • Otolepis alata (Blume) Kuntze
  • Otophora alata Blume
  • Otophora edulis C.E.C.Fisch.

Ceri Terengganu mempunyai ciri pokok dan buah yang menarik. Kanopinya kecil, rendang dan bulat. Daunnya jenis majmuk pinat dengan beberapa pasang anak daun yang lancip dan bersayap. Kecantikan pokok ini diserikan lagi pucuknya yang lembut melentur dan berwarna ungu muda. Pokok yang berasal dari Asia Tenggara ini mempunyai taburan yang meluas di Semenanjung Malaysia, Jawa, Borneo dan Filipina, dan sering dijadikan pokok hiasan kerana bentuk pokonya yang menarik.[3]

Penerangan sunting

Buah ceri Terengganu bergugus-gugus seperti buah anggur. Kulitnya amat menarik seperti buah ceri, merah cerah, licin dan berkilat. Buah ini bergantungan pada dahan dan ranting kecil. Walaupun rasa buahnya manis, isinya nipis dan bijinya besar. Pokok ceri Terengganu merupakan pilihan yang sangat baik untuk dijadikan hiasan taman kerana mayang daunnya yang terurai cantik. Daun muda atau pucuknya berwarna ungu muda kelihatan sangat menarik dengan bunganya yang juga berwarna ungu. Daun yang matang berwarna hijau, runcing dan mempunyai 8-12 helai anak daun pada satu mayang yang boleh mencapai kepanjangan sehingga 50 cm.[4]

Pokok ceri ini banyak ditanam di Terengganu dan Johor. Di Johor, buah ini juga disebut kelelek atau gegelek.[perlu rujukan] Kedua-dua spesies ini sangat sesuai ditanam sebagai unsur seni taman dan pokok teduhan di taman, sekitar rumah, sekolah atau surau dan tempat awam yang lain.

Pokok ceri Terengganu berbuah sepanjang tahun. Buahnya yang menarik tersusun bergugusan pada tangkai yang panjang dan setiap tangkai mempunyai sehingga 20 biji buah yang warna merah gelap dan berkilat. Saiz buahnya antara 2 cm hingga 3 cm, berbentuk bulat dan tajam di bahagian hujungnya dan setiap buah mempunyai satu hingga tiga biji. Isi buahnya manis dan sedikit kelat. Walaupun buahnya boleh dimakan, pokok ini biasanya ditanam untuk tujuan hiasan. Buah Ceri Terengganu digemari oleh burung dan kerana itu pokok ini boleh dijadikan tarikan untuk burung-burung datang ke taman.[5]

Lihat juga sunting

Rujukan sunting

  1. ^ "Lepisanthes alata (Blume.) Leenh". Plants of the World Online. Royal Botanical Gardens, Kew. 2023. Dicapai pada 9 Mei 2023.
  2. ^ Pokok-pokok untuk tanaman bandar, Adnan Mohamad, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia, 2003 - 191 pages
  3. ^ Buah ceri Terengganu yang masak harum.
  4. ^ Buah ceri Terengganu yang masak, Laman FRIM.
  5. ^ Medicinal Plants List - Ceri Terengganu.

Pautan luar sunting