Cetak rompak (atau pencabulan hak cipta) bermaksud penggunaan bahan yang dilindungi undang-undang hak cipta tanpa izin, maka mencabuli salah satu hak eksklusif pemilik hak cipta asli, seperti hak untuk mengeluarkan semula atau menjalankan karya yang dihakcipta, atau menghasilkan karya hasilan yang berasaskan karya yang dihakcipta itu.

Kaedah cetak rompak sunting

Terdapat pelbagai cara dimana hasil karya dirompak atau disalin tanpa kebenaran pemilik hak cipta. Penyalinan tersebut dibuat dengan cara:

  1. Menerbitkan semula sebahagian atau kesemua hasil karya;
  2. Membuat salinan kepada pelbagai bentuk sama ada cara mengambil gambar, membuat salinan secara elektronik atau komputer, fotostat, rakaman video, rakaman suara, menaip semula atau diubah kepada PDF;
  3. Menyalin kandungan bahan dan dijual semula dengan tajuk yang berbeza;
  4. Mengeluarkan bahan atau perkakas yang menggunakan idea yang sama, dimana idea tersebut telah dihakcipta.

Kegiatan memuat turun bahan lucah dan berkongsi rakaman muzik dalam bentuk MP3 dan fail-fail audio yang lain makin berleluasa[perlu rujukan], itupun setelah berkuburnya Napster dan tuntutan mahkamah atas pencabulan hak cipta berturut-turut yang dikemukakan badan-badan industri rakaman. DVD screener yang diedar oleh studio filem (biasanya untuk penilaian bagi anugerah) juga dijadikan sumber utama penyalinan tanpa izin apabila filem-filem masih ditayangkan di pawagam, dan pihak MPAA di Amerika Syarikat sudah cuba mengehadkan penggunaannya. Filem juga disalin oleh seseorang yang menyeludup masuk kamera video ke dalam pawagam dan merakam pancarannya secara senyap-senyap (juga dikenali sebagai "CAM"), namun salinan-salinan sedemikian lazimnya kurang bermutu berbanding salinan keluaran rasmi. Kegiatan berkongsi salinan muzik adalah sah di kebanyakan negara, seperti Kanada, dan sesetengah rantau di Eropah, selagi maklumat sedemikian tidak diiklankan atau lagu-lagunya dijual.

Rakam rompak (bootleg) ialah rakaman muzik yang belum dikeluarkan secara rasmi oleh artis atau syarikat pengurusan atau penerbitan yang bersekutu dengannya. Rakaman sedemikian boleh terdiri dalam bentuk demo, outtake atau bahan studio yang lain, atau juga rakaman persembahan live secara haram. Penggemar muzik boleh menggunakan istilah "bootleg" untuk membezakan rakaman-rakaman ini daripada salinan "cetak rompak" bagi bahan yang dikeluarkan secara komersil, tetapi rakaman-rakaman tersebut masih dilindungi hak cipta meskipun belum dikeluarkan secara rasmi, maka pengedaran bahan-bahan sedemikian masih menyalahi undang-undang.

Di sesetengah negara, orang yang menjual bahan berhakcipta secara haram juga diketahui menjaja VCD, CD, dan DVD di tepi jalan, pasar, pasar malam dsb.

Penggunaan kandungan teks secara haram juga merupakan sebentuk pencabulan hak cipta yang mana kegiatan menyalin teks dari satu laman ke satu laman yang lain tanpa restu pengarang adalah meluas di jaringan sedunia. Roberta Beach Jacobson mengkritik penggelapan karya-karya pengarang oleh laman-laman web dalam rencana beliau Copyrights and Wrongs. Rencana ini dimasukkan dalam articlestree.com [1] pada 27 November, 2001; ironinya, rencana itu telah disalin ke beratus-ratus laman web, [2] kebanyakannya mengaku memegang hak cipta atas karya tersebut atau mengenakan caj untuk mencapainya.

Cetak rompak di Malaysia sunting

Dari sudut undang-undang, cetak rompak bermaksud aktiviti penyalinan, pengedaran dan penggunaan produk harta intelek secara haram tanpa izin pemegang hak cipta bagi harta intelek tersebut. Kegiatan cetak rompak merupakan satu kesalahan menurut Akta Hak Cipta 1987. Harta intelek bermaksud sebarang produk dan hasil karya yang didaftarkan hak ciptanya seperti buku, muzik, filem, siaran televisyen dan radio, perisian komputer serta rekabentuk industri. Semua harta intelek adalah dilindungi oleh Akta Hak Cipta 1987.

Kegiatan cetak rompak berleluasa di Malaysia disebabkan beberapa faktor berikut:

  1. Kurangnya kesedaran di kalangan pengguna mengenai harta intelek;
  2. Harga produk cetak rompak yang jauh lebih murah daripada produk tulen;
  3. Salah guna teknologi seperti penulis CD dan penulis DVD pada komputer yang digunakan untuk tujuan cetak rompak;
  4. Salah guna internet yang dijadikan medium penyebaran produk cetak rompak.

Lihat juga sunting

Rujukan sunting

  1. ^ Jacobson, Roberta Beach (2001-11-27). "Copyrights and Wrongs". www.articlestree.com. Diarkibkan daripada yang asal pada 2007-09-28. Dicapai pada 2007-4-7. Check date values in: |accessdate= dan |date= (bantuan)
  2. ^ "Results 1 - 10 of about 371 for "Roberta Beach Jacobson" "Copyrights and Wrongs"". www.google.com. Dicapai pada 2007-4-7. Text "date = 2007-4-7" ignored (bantuan); Check date values in: |accessdate= (bantuan)

Pautan luar sunting