Changkat Pinggan

Kampung Changkat Pinggan, Perak sudah tidak lagi wujud tapaknya sehingga kini. Semua penduduk telah dipindahkan ke Kampung Tersusun Air Kuning (paling ramai), Kampung Baru Sungai Galah dan lain-lain tempat. Dulu, Kg Changkat Pinggan telah diambilalih oleh syarikat Malaysia Mining Corporation untuk tujuan perlombongan. Pada tahun 2006, tapak perlombongan tersebut menjadi kawasan penternakan itik dan juga tempat nelayan darat menangkap ikan sebagai sumber pendapatan bagi kampung yang berada di sekitarnya.

Ketua Kampung Changkat Pinggan yang pertama ialah Tok Mat Lidin dan seterusnya diganti pula dengan Ketua Kampung yang terakhir ialah Encik Saleh bin Tan.

Anak-anak kampung ini bersekolah di Sekolah Kampong Changkat Pinggan dimana guru-gurunya ada yang tinggal di kampung ini dan ada yang berulang alik dari Kg. Bukit Pekan dengan menaiki sampan atau bot

Punca pendapatan orang kampung ketika itu adalah menangkap ikan, berladang, menoreh getah dan menanam ubi China secara kontrak. Terdapat khidmat bot atau dikenali dengan sebutan "kapal" kata orang kampung ini sebagai pengangkutan air melalui Sungai Kinta menuju ke Telok Anson (Teluk Intan). Bot ini akan bermalam di jeti kampung ini dan pada keesokan harinya selepas subuh akan bertolak menuju ke Telok Anson. Setelah selesai urusan di sana (Telok Anson) bot tersebut akan bertolak balik ke kampung ini sehingga lewat malam baru sampai.

Kampung ini juga pada ketika dulu amat terkenal dengan pengeluaran buah-buahan seperti buah cempedak dan rambutan yang enak dan cantik isi buahnya hingga tersebar di serata pelusuk kampung yang berhampiran dengannya.

Jalan raya tidak bertar tidak terdapat pada masa itu, cuma jalan yang berpasir sahaja iaitu ehsan dari syarikat lombong yang membuatnya bagi menghubung antara kampung ini ke pekan Sungai Galah, Changkat Tin, Kg. Timah dan Tg. Tualang seterusnya ke bandar Ipoh dan boleh juga menuju ke Kampar dengan melalui feri Changkat Badak, Tronoh Mines di mana bas akan berpusing di terminal feri tersebut untuk mengambil penumpang.

Sejarah nama Changkat Pinggan ini berasal dari "pinggan" yang kononnya ia telah disediakan oleh orang bunian apabila ada kenduri di kampung ini seperti upacara membela kampung setiap tahun dengan mengadakan jamuan bermacam aneka biskut dan kuih yang disediakan oleh setiap penduduk di kampung ini dan dibuat dengan cara membaca doa tolak bala dan makan bersama-sama seluruh penduduk kampung ini akan turut serta dan inilah merupakan satu acara yang mesti dilakukan setiap tahun.