Charles Robert Darwin (12 Februari 1809-19 April 1882) adalah seorang naturalis British yang memulakan teori evolusi berdasarkan pemilihan semula jadi.

Charles Darwin pada tahun 1881, iaitu tahun sebelum kematiannya.

Cerapan-cerapan biologi selama lima tahun (27 Disember 1831-2 Oktober 1836) di atas kapal HMS Beagle menyebabkannya menyelidiki transmutasi spesies dan mengembangkan teori pemilihan semula jadi pada tahun 1838. Bukunya bertajuk "Mengenai Asal Spesies Melalui Pemilihan Semula Jadi" yang diterbitkan pada tahun 1859 mengasaskan evolusi melalui keturunan yang sama sebagai teori pempelbagaian di alam semula jadi yang paling berpengaruh.

Kehidupan peribadi sunting

Dilahirkan di Shresbury, Shropshire, England kepada Robert Darwin dan Susannah Wedgwood, Charles Darwin merupakan anak kelima daripada enam adik beradik. Ayahnya seorang doktor yang kaya. Ibunya mati sewaktu Charles Darwin berumur lapan tahun.

Selepas menolong ayahnya sebagai perantis doktor di Shropshire pada musim panas tahun 1825, Darwin memasuki Universiti Edinburgh untuk mempelajari perubatan. Walau bagaimanapun, kejijikannya terhadap kekejaman pembedahan menyebabkannya mengabaikan pelajaran dan beliau menghabiskan masa dengan membelajari bagaimana mengasakkan burung daripada John Edmonstone, seorang hamba hitam yang bebas. John mengisahkan cerita-cerita yang menguja kepadanya tentang hutan hujan Amerika Selatan.

 
Charles Darwin berusia 7 tahun pada tahun 1816.

Pada tahun kedua di universiti, Darwin bergiat dalam persatuan-persatuan pelajar untuk naturalis. Beliau menjadi murid kepada Robert Edmund Grant yang mempelopori teori-teori evolusi yang berdasarkan ciri-ciri perolehan. Darwin mengambil bahagian dalam penyelidikan Grant mengenai kitaran hayat haiwan laut di pesisir "Firth of Forth" yang berjaya mendapati bukti-bukti tentang homologi. Homologi merupakan teori radikal yang menuntut bahawa kesemua binatang mempunyai organ yang serupa kecuali kerumitannya yang berbeza.

Pada Mac 1827, Darwin membuat penyampaian kepada Persatuan Plinia tentang penemuannya bahawa spora hitam yang sering didapati di cangkerang tiram merupakan telur sejenis lintah (skate leech). Beliau juga menuntut kursus sejarah semula jadi yang diajari oleh Robert Jameson dan mempelajari geologi stratigrafi. Sewaktu membantu Muzium Universiti Edinburgh untuk mengelaskan koleksinya yang amat besar, Darwin juga mempelajari pengelasan tumbuh-tumbuhan.

Tidak gembira kerana Darwin tidak berminat agar menjadi doktor, ayahnya mendaftarkan Darwin untuk kursus Sarjana Muda Sastera di Kolej Christ, Universiti Cambridge supaya layak menjadi paderi. Ini merupakan langkah yang wajar pada zaman paderi Gereja England disempurnakan dengan pendapatan yang lumayan. Pada zaman itu juga, kebanyakan naturis di England terdiri daripada paderi-paderi yang menganggap bahawa "menjelajah keajaiban ciptaan Tuhan" merupakan kewajipan mereka.

Di Cambridge, Darwin lebih suka menunggang kuda dan menembak daripada belajar. Bersama dengan William Darwin Fox, saudara sepupunya, Darwin gila kumbang. Fox memperkenalkannya kepada Reverend John Stevens Henslow, profesor botani, untuk mendapat nasihat pakar tentang kumbang. Darwin kemudian mengambil kursus sejarah semula jadi Henslow dan menjadi murid kesayangannya. Darwin amat meminati karya-karya William Paley, termasuknya perdebatan rekaan alam semula jadi oleh Tuhan.

Atas contoh dan nasihat Henslow, Darwin tidak tergesa-gesa menjadi paderi. Diilhami oleh "Naratif Peribadi Alexander von Humboldt", Darwin merancang untuk mengkaji sejarah semula jadi di Kepulauan Madeira yang merupakan kawasan tropika dengan beberapa rakan sedarjahnya selepas pengakhiran kursus. Untuk menyediakan diri, Darwin menyertai kursus geologi Reverend Adam Sedgwick, seorang penyokong utama bagi teori rekaan Tuhan, dan kemudian mengikutnya ke Wales untuk memetakan stratum pada musim panas.

 
Emma Darwin, isteri Charles Darwin.

Darwin tengah mengkaji stratum seorang diri sewaktu rancangan untuk melawat Madeiri dihancurkan oleh berita bahawa seorang teman persejalanannya telah mati, akan tetapi ketika sampai ke rumah, beliau menerima lagi sepucuk surat. Henslow telah memperakukan Darwin menjadi teman kepada Robert FitzRoy, kapten HMS Beagle, untuk ekspedisi dua tahun bagi mencartakan garis pinggir laut Amerika Selatan. Ini akan memberi peluang yang bernilai untuk mengembangkan kerjayanya sebagai naturalis. Walau bagaimanapun, ayahnya membantah pelayaran itu dan menganggapnya sebagai membazir masa, tetapi dipujuk oleh Josiah Wedgwood II untuk mempersetujui penyertaan anaknya. Pelayaran ini menjadi ekpedisi selama lima tahun sehingga 2 Oktober 1836 dan menyebabkan perubahan dramatik di pelbagai bidang sains.

Pada 20 September 1837, di bawah tekanan untuk menguruskan bukunya, "Zoologi Pelayaran H.M.S. Beagle" yang berbilang jilid, Darwin menghidapi debaran jantung. Terpaksa memberhentikan kerjanya dan untuk pemulihan, beliau mengunjungi desa selama sebulan. Pada waktu itu, Darwin melawat ibu saudaranya yang uzur dan yang dijaga oleh Emma Wedgwood, anak perempuannya yang masih belum kahwin. Pada 11 November, Darwin melamar Emma dan diterima.

Pelayaran di atas kapal Beagle sunting

Sewaktu HMS Beagle meninjau pantai liar Amerika Selatan, Darwin bermula membuat teori mengenai keajaiban alam semula jadi di sekelilingnya. Tinjauan Beagle menelan masa lima tahun. Darwin menghabiskan dua pertiga daripada masa itu untuk menjelajah tanah. Beliau menyelidiki pelbagai ciri-ciri geologi, fosil dan organisma hidup, serta bertemu dengan ramai orang, baik orang tempatan ataupun orang penjajah. Darwin mengumpulkan amat banyak spesimen, kebanyakannya merupakan spesimen yang baru bagi sains. Ini mengasaskan reputasinya sebagai seorang naturalis serta pelopor dalam bidang ekologi, khususnya mengenai biosenosis. Nota-nota yang lengkapnya menjadi asas untuk kerjanya kemudian, serta memberikan wawasan sosial, politik dan antropologi terhadap kawasan-kawasan yang dilawati.

Dalam pelayaran ini, Darwin membaca buku Charles Lyell bertajuk "Prinsip-prinsip Geologi" yang mengatakan bahawa ciri-ciri geologi merupakan kesudahan proses beransur-ansur pada tempoh masa yang amat panjang. Dalam salah sepucuk surat kepada keluarganya, Darwin telah mengatakan bahawa beliau melihat bentuk muka bumi "seolah-olah mempunyai mata Lyell".

Darwin percaya bahawa dataran bertangga yang mengandungi batu kerikil dan cangkerang di Patagonia merupakan pantai-pantai yang telah dinaiki. Di Chile, beliau mengalami gempa bumi dan memperhatikan bahawa dasar siput sudu yang terdampar di atas tikas air pasang menunjukkan bahawa tanah itu juga telah dinaiki. Tinggi di Andes juga, beliau dapat mengumpul cangkerang. Darwin berpendapat bahawa atol karang membentuk di atas gunung-gunung berapi yang tenggelam. Ini merupakan sebuah gagasan yang telah dikesah kemudian sewaktu Beagle meninjau Kepulauan Cocos (Keeling).

Di Amerika Selatan, Darwin menemui fosil mamalia raksasa yang pupus, termasuknya megateria dan gliptodon di stratum yang tidak menunjukkan bencana ataupun penukaran iklim. Pada waktu itu, beliau menganggap bahawa mereka serupa dengan spesies Afrika, akan tetapi selepas pelayarannya, Richard Owen menunjukkan bahawa tinggalan itu merupakan jasad-jasad makhluk yang hidup di kawasan yang dikumpul.

Di Kepulauan Galápagos, Darwin mendapati bahawa burung ajuk-ajuk berbeza dari sebuah pulau ke sebuah pulau. Sewaktu berpulang ke Britain, beliau diberitahu bahawa kura-kura Galápagos dan burung cakar merupakan spesies yang berbeza, berdasarkan pulau yang didiami. Kanggaru tikus Australia dan platipus merupakan haiwan yang amat berbeza sehingga beliau terfikir, "Seorang yang bukan penganut akan berseru 'Memang ini merupakan kerja dua Khalikul alam yang berlainan'." Beliau bingung akan segala yang dilihatnya, dan di edisi pertama bukunya yang bertajuk "Pelayaran Beagle", beliau menerangkan taburan spesies berdasarkan gagasan "pusat-pusat penciptaan" Charles Lyell. Di edisi-edisi jurnal yang berikutan, Darwin membayangkan kegunaan fauna Kepulauan Galápagos sebagai buktinya evolusi: "memandangkan kekurangan burung-burung di kepulauan ini, seseorang mungkin sangka bahawa sejenis spesies telah dipilih untuk pengubahsuaian bagi pelbagai tujuan yang berlainan".

Tiga mubaligh orang asli Tierra del Fuego yang tinggal di England selama dua tahun telah dipulangkan ke tanah air mereka melalui Beagle. Bagi Darwin, saudara-mara mereka kelihatan seakan-akan haiwan. Dalam masa setahun, ketiga-tiga mubaligh kembali ke cara penghidupan yang primitif, akan tetapi mereka lebih suka cara hidup itu daripada cara hidup peradaban. Pengalaman ini serta kebenciannya terhadap perhambaan dan penyalahgunaan lain-lain yang dinampaknya di tempat lain, seperti perlakuan peneroka-peneroka British terhadap orang asli di Tasmania, meyakinkannya bahawa tiada alasan moral yang kuat bagi menganiayai orang lain berdasarkan bangsa. Kini, beliau berpendapat bahawa kemanusiaan tidak banyak berbeza daripada haiwan, yakni sebuah pendapat yang bertentangan dengan anggapan yang dipegang oleh kawan-kawan paderinya.

Sewaktu di atas kapal, Darwin mabuk laut. Pada Oktober 1833, beliau menghidapi demam di Argentina, dan pada Julai 1834, sewaktu pulang dari Andes ke Valparaiso, beliau menjadi sakit dan terlantar di katil selama sebulan.

Sejak tahun 1837, Darwin berkali-kali tidak berupaya kerana menghidapi sakit perut, kemuntahan, bisul yang amat teruk, debaran jantung, gementaran serta gejala-gejala lain. Gejala-gejala ini menjejaskan kerjanya, terutama pada waktu tekanan seperti waktu menghadiri perjumpaan ataupun sewaktu terlibat dalam kontroversi mengenai teorinya. Punca penyakit Darwin tidak dapat diketahui semasa beliau hidup dan rawatannya tidak berkesan. Tekaan terkini mengatakan bahawa beliau menghidapi penyakit Chagas disebabkan oleh gigitan serangga di Amerika Selatan. Tekaan lain termasuk masalah-masalah psikobiologi.

Permulaan teori sunting

Semasa Darwin masih dalam pelayaran, Henslow dengan telitinya memeliharakan reputasi bekas muridnya melalui pemberian kemudahan melihat spesimen fosil serta salinan bercetak karya-karya geologi Darwin kepada naturalis-naturalis yang terpilih. Disebabkan usaha Henslow, Darwin masuk golongan elit sains sewaktu beliau masih muda.

Apabila kapal Beagle pulang pada 2 Oktober 1936, Darwin telah menjadi orang yang termashyur di lingkungan ahli sains. Selepas beliau pulang ke rumahnya di Shrewbury, ayahandanya menguruskan pelaburan supaya Darwin dapat menjadi seorang ahli sains yang berupaya membiayai diri.

Darwin kemudian pergi ke Cambridge dan memujuk Henslow supaya mengusahakan pemerian botani ke atas tumbuh-tumbuhan moden yang dikumpulnya. Selepas itu, Darwin mengunjungi semua institusi di London untuk mencari naturalis yang terbaik untuk memerikan koleksinya kerana hendak mengeluarkan terbitannya pada tepat masa. Charles Lyell bertemu dengan Darwin pada 29 Oktober dan memperkenalkannya kepada Richard Owen, seorang ahli anatomi yang berpotensi tetapi belum mencapai kemasyhuran.

Selepas mengusahakan koleksi tulang fosil Darwin di Kolej DiRaja Pakar Belah ("Royal College of Surgeons"), Owen menyebabkan keributan dengan pendedahannya bahawa koleksi Darwin mengandungi rodensia raksasa yang pupus serta sloth. Ini mempertingkatkan reputasi Darwin. Dengan sokongan Lyell, Darwin membaca kertas kerja pertamanya kepada Persatuan Geologi London pada 4 Januari 1837 dan memperdebatkan bahawa massa tanah di Amerika Selatan sedang beransur bangkit perlahan-lahan. Pada hari yang sama, Darwin menyampaikan spesimen-spesimen mamalia dan burung kepada Persatuan Zoologi. John Gould, seorang ahli ornitologi, mendedahkan bahawa apa yang dianggapi oleh Darwin sebagai burung ren dan burung hitam, kesemuanya merupakan spesies burung cakar yang berasingan. Kelasi lain di atas Beagle, termasuk FitzRoy, telah juga mengumpulkan burung-burung tersebut serta mencatat nota yang lebih teliti. Oleh sebab itu, Darwin dapat mengesan setiap pulau dari mana spesimennya datang.

Pada 17 Februari 1837, Lyell menggunakan ucapannya di Persatuan Geografi untuk menyampaikan dapatan Owen mengenai fosil Darwin dan menegaskan bahawa spesies yang pupus mempunyai hubungan dengan spesies kini di kawasan yang sama.

Darwin bermula mengarang bukunya mengenai Geologi Amerika Selatan. Pada waktu yang sama, beliau mengagak tentang transmutasi dalam Buku Nota Merah yang dimulainya ketika di atas Beagle. Beliau juga memulakan tugas penerbitan laporan-laporan pakar mengenai koleksinya bertajuk "Zoologi Pelayaran H.M.S. Beagle" dalam jilid berbilang. Henslow mempergunakan hubungannya untuk menguruskan bantuan sebanyak £1,000 bagi menaja projek ini. Darwin siap mengarang jurnalnya pada sekitar 20 Jun ketika Raja William IV mangkat dan zaman Victoria bermula.

Pada pertengahan Julai, Darwin bermula buku nota "B" mengenai transmutasi secara rahsia, dan megembangkan hipotesis bahawa setiap pulau di Kepulauan Galápagos mempunyai spesies kura-kura masing-masing, dan kesemua spesies ini berasal daripada sejenis kura-kura dan diubahsuai untuk keadaan pulau masing-masing dengan cara yang berlainan.

Darwin mempertimbangkan perdebatan Thomas Malthus yang mengatakan bahawa jumlah penduduk bertambah lebih cepat daripada pengeluaran makanan dan menyebabkan manusia bersaing untuk makanan serta menyebabkan amal tidak berguna. Darwin kemudian merumuskan penyataan ini dalam istilah teori biologinya sebagai: "Manusia cenderung bertambah dengan kadar yang lebih cepat daripada keupayaan sara hidup; oleh sebab itu, manusia kekadang dikehendaki berjuang untuk kehidupannya, dan pemilihan semula jadi akan menyebabkan kesan kepada apa sahaja yang berada di ruang lingkupnya." ("Keturunan Manusia" ("Descent of Man"), Bab 21). Darwin mengaitkan penyataan ini dengan dapatannya mengenai:

  • spesies yang dikaitkan kepada kawasan-kawasan;
  • penyelidikannya mengenai pembiakan haiwan; dan
  • gagasan-gagasan "hukum keharmonian" yang semula jadi.

Menjelang akhir November 1938, Darwin membandingkan pembiak baka yang memilih sifat-sifat dengan alam semula jadi Malthus yang memilih kelainan-kelainan yang didapati secara "kebetulan" supaya "setiap bahagian struktur yang baru diperolehi adalah betul-betul terlatih dan sempurna". Beliau menganggap bahawa ini merupakan "bahagian yang indah sekali dalam teorinya" mengenai asal-usul spesies.

Pada 24 Januari 1839, Darwin diberi penghormatan dengan pemilihannya sebagai Fellow untuk Persatuan DiRaja.

Rujukan sunting

Pautan luar sunting

  • DARWINISME(Huraian lengkap tentang kesan Darwinisma terhadap Dunia masa kini)