Chin Jepun

baka anjing dari Jepun

Chin Jepun,[a] hanya chin,[b] atau spaniel Jepun[c][1] ialah satu baka anjing mainan yang merupakan anjing riba dan anjing teman dengan warisan distingtif.

Chin Jepun
Seekor chin Jepun jantan dewasa. Lapis bulu chin sepenuhnya matang adalah panjang dan penuh.
Nama lainChin
Spaniel Jepun
Anjing (Canis lupus familiaris)

Sejarah sunting

 
Alexandra dari Denmark dengan chin Jepun baginda, bernama Punch, karya asli dilukis pada 1893.

Walaupun kebanyakan orang percaya bahawa baka sumber untuk chin Jepun berasal dari China, laluan yang digunakan oleh chin untuk tiba di Jepun ialah topik yang diperdebatkan secara meluas. Salah satu cerita mendakwa bahawa anjing ini diberikan kepada kerabat diraja Jepun pada tahun 732 Masihi sebagai hadiah yang dibawa oleh Kim Jangson (金長孫), seorang utusan dari kerajaan Silla di semenanjung Korea.[2] Yang lain pula berpendapat bahawa anjing ini diberikan sebagai hadiah kepada Maharani Jepun seawal pertengahan abad keenam atau menjelang abad ketujuh. Masih ada pula yang lain yang mendakwa bahawa chin pertama kali tiba di Jepun pada sekitar tahun 1000 Masihi.[3]

Pada tahun 1613, chin Jepun dibawa ke England. Pada tahun 1853, seekor anjing diperoleh oleh pegawai tentera laut Amerika, Matthew Calbraith Perry. Sejak tahun 1868, ia telah menjadi anjing riba kepada para wanita kelas atasan dan kini merupakan anjing pendamping.[4]

Penampilan sunting

Chin Jepun berdiri kira-kira setinggi 20–27 cm (8–11 in) pada paras kelasa. Berat dapat berbeza-beza dari serendah 1.4 kg (3 lb) hingga setinggi 6.8 kg (15 lb), dengan purata 3.2–4.1 kg (7–9 lb) sebagai yang paling umum. American Kennel Club dan Persekutuan Kinologi Antarabangsa tidak memberikan syarat berat untuk chin, tanpa mengira keinginan tersebut untuk anjing lebih ringan. Ekspresi distingtifnya bercirikan kepala lebar bulat besar, mata gelap besar renggang, muncung lebar sangat pendek, jumbai telinga, dan tanda-tanda muka bercorak sekata.

Bulu dan warna sunting

Chin Jepun adalah sangat mirip kucing dari segi penampilan dan trait. Kebanyakan anjing mempunyai dua jenis bulu pada lapis bulunya: lapis bulu bawah dan lapis bulu atas. Walau bagaimanapun, chin Jepun hanya mempunyai lapis bulu atas. Lapis bulu dewasa dapat mengambil masa sehingga dua tahun untuk tumbuh sepenuhnya dan dapat sama ada berwarna hitam dan putih, merah dan putih (termasuk semua cahaya warna sabel, lemon, atau jingga), atau triwarna (hitam dan putih dengan titik-titik sawo matang kemerah-merahan). Setakat 11 November 2011, warna yang tidak tersenarai dalam piawaian baka[5] merupakan syarat penyingkiran dalam pertandingan.

Anjing ini mempunyai titik atau garis pada dahinya yang dipercayai dalam sejarah Jepun sebagai sentuhan Buddha.[perlu rujukan] Anjing ini terkenal dengan strabismus matanya.[perlu rujukan]

Perangai sunting

Baka ini dianggap sebagai salah satu baka anjing paling mirip kucing dari segi sikap: ia berwaspada, cerdas, dan berdikari dan ia menggunakan kakinya untuk mencuci dan mengelap mukanya. Trait lain mirip kucing termasuk keutamaannya untuk berehat di permukaan tinggi, deria imbangan baik, dan kecenderungan untuk bersembunyi di tempat yang tidak dijangka. Chin Jepun setia kepada pemiliknya dan biasanya merupakan baka ramah. Walaupun chin Jepun lebih menyukai persekitaran terbiasa, ia juga berjaya dalam situasi baharu. Ini, di samping sikap mesra, menjadikannya anjing terapi bagus. Sosialisasi awal anak chin Jepun membawa kepada chin yang lebih seimbang dari segi emosi yang lebih menerima situasi dan orang berlainan.

Chin Jepun ialah haiwan defensif dan oleh itu walaupun ia biasanya pendiam, ia akan menyalak untuk memaklumkan ketibaan pelawat atau menarik perhatian kepada tentang sesuatu yang luar biasa.

Chin Jepun juga dibiakbakakan untuk tujuan hiburan pemiliknya. Walaupun biasanya tenang, ia cukup terkenal kerana melakukan banyak trik seperti "putaran chin", iaitu apabila ia berputar dalam bulatan pantas; menari di atas tungkai belakang sambil mengais kaki hadapan mereka, bersebelahan, di udara; dan sesetengah anjing juga "menyanyi", dengan bunyi yang berkisar antara tril rendah dengan bunyi lebih tinggi hampir bagai opera.

Kesihatan sunting

Isu kesihatan umum pada chin Jepun termasuk tempurung lutut terkehel, katarak, dan desir jantung permilaan awal.[6] Chin, seperti kebanyakan anjing baka kecil, juga dapat mempunyai risiko bagi hipoglisemia apabila berusia di bawah enam bulan atau berukuran seberat empat hingga lima paun atau kurang. Sesetengah chin Jepun menghidap alahan bermusim.

Muka brakisefalik rata chin Jepun dapat menyebabkan masalah pernafasan dan mata. Oleh itu, suhu ekstrem (terutamanya haba) patut dielakkan. Mata bersaiz besarnya mudah tercalar dan calar kornea atau pengulseran lebih serius dapat berlaku. Calar ringan mendapat manfaat daripada salap antibakteria anjing topikal khusus untuk penyapuan pada mata; kecederaan atau pengulseran lebih serius memerlukan rawatan perubatan segera.

Japanese Chin Club of America menganggarkan bahawa chin mempunyai jangka hayat tipikal sebanyak 12–14 tahun dengan sesetengah anjing yang hidup sehingga usia 15 tahun atau lebih.[6] Tinjauan The Kennel Club United Kingdom meletakkan jangka hayat mediannya pada 9.25 tahun.[7]

Penjagaan sunting

Lapis bulu chin Jepun memerlukan pemberusan atau penyikatan mingguan dengan perhatian khusus yang diberikan kepada skirt dan kawasan di bawah telinga dan tungkai. Ia tidak memerlukan mandi kerap. Anjing ini berlapis bulu tunggal dan penggugur bulu helai demi helai dan sangat jarang didapati memiliki lapis bulu bawah. Chin Jepun mengalami hembusan ringan pada lapis bulunya sekali setahun. Tanpa serat dalam diet, kelenjar duburnya mungkin perlu diekspresikan kerana ia menjadi terjejas. Lipatan kulit di dalam dan di sekitar hidung dan kawasan muka rata pada chin Jepun dapat memerangkap kelembapan daripada mata bersaiz besar dan menyebabkan masalah kulat. Muka patut sekali-sekala dilap dengan kain lembap dan lipatan patut dicuci dengan kapas kesat. Sebagai tambahan, baka ini memerlukan tidur antara 16 dengan 18 jam sehari.

Diet ialah faktor penting dalam kesihatan dan keadaan chin Jepun dengan kebanyakan anjing ini yang sangat sensitif atau alah kepada jagung. Penjagaan chin Jepun dengan kibble berkualiti tinggi yang tidak mengandungi jagung dapat menghalang keadaan kulit dan alahan.

Lihat juga sunting

Catatan sunting

  1. ^ Jawi: چين; Jepun: , rumi: chin; bahasa Inggeris: chin
  2. ^ Jawi: چين جڤون; Jepun: ジャパニーズ・チン, rumi: Japanīzu chin; bahasa Inggeris: Japanese chin
  3. ^ Jawi: سڤانيئل جڤون; Jepun: ジャパニーズ・スパニエル, rumi: Japanīzu supanieru; bahasa Inggeris: Japanese spaniel

Rujukan sunting

  1. ^ Tietjen, Sari Brewster. "History of the Japanese Chin" (dalam bahasa Inggeris). Japanese Chin Club of America. Diarkibkan daripada yang asal pada 2 Januari 2014. Dicapai pada 22 Januari 2024.
  2. ^ Shoku Nihongi jilid 11 Tenpyō 4 Mei ke-19 (qamari)
  3. ^ Morris, Desmond (2008). Dogs: The Ultimate Dictionary of Over 1,000 Dog Breeds (dalam bahasa Inggeris). Trafalgar Square. ISBN 978-1-57076-410-3.
  4. ^ "FCI-Standard N° 206 CHIN (Japanese Chin)" [Piawaian FCI No. 206 Chin (Chin Jepun)] (pdf). Persekutuan Kinologi Antarabangsa (dalam bahasa Inggeris). Disemak oleh Renée Sporre-Willes. 3 Jun 2016. Dicapai pada 7 Februari 2024.CS1 maint: others (link)
  5. ^ "Breed standard" (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. Dicapai pada 7 Februari 2024.
  6. ^ a b "Chin Health" (dalam bahasa Inggeris). Japanese Chin Club of America. Diarkibkan daripada yang asal pada 6 November 2014. Dicapai pada 7 Februari 2024.
  7. ^ "Individual Breed Results for Pure bred Dog Health Survey" (PDF) (dalam bahasa Inggeris). The Kennel Club. Dicapai pada 7 Februari 2024.

Pautan luar sunting