Christian Lous Lange

Christian Lous Lange (17 September 1869 – 11 Disember 1938) merupakan ahli sejarah, guru dan saintis politik Norway. Beliau merupakan salah seorang pelopor teori dan pengamal internationalisme.

Christian Lous Lange

Lange dilahirkan di Stavanger dan bapa beliau merupakan askar jurutera. Beliau tamat sekolah menengah pada tahun 1887 dan mengembara sambil mempelajari sejarah, bahasa Inggeris dan Perancis di Universiti Oslo. Beliau mengajar di sekolah menengah selama beberapa tahun sebelum kembali ke Universiti Oslo untuk mendapatkan ijazah doktor falsafah.

Peranan beliau dalam gerakan internasionalis bermula pada tahun 1899 apabila beliau dilantik menjadi setiausaha jawatankuasa pengajur persidangan Kesatuan Antara Parlimen Oslo. Tahun berikutnya beliau menjadi Setiausaha Jawatankuasa Nobel Parlimen Norway dan walaupun melepaskan jawatan tersebut pada tahun 1909, beliau telah memainkan peranan penting sewaktu awal penubuhan Institut Nobel Norway. Beliau juga merupakan perwakilan Norway ke Persidangan Keamanan Hague kedua.

Lange menyertai semula Kesatuan Antara Parlimen pada tahun 1909 apabila beliau dilantik sebagai Setiausaha Agung dan memegang jawatan tersebut sehingga tahun 1933. Beliau telah menerima Hadiah Keamanan Nobel 1921 bersama-sama dengan Hjalmar Branting.