Circular Quay ialah sebuah pelabuhan di Sydney, New South Wales, Australia di pinggir utara Sydney central business district di Sydney Cove, antara Bennelong Point dan The Rocks. Ia adalah sebahagian daripada kawasan kerajaan tempatan Bandar Raya Sydney.[1]

Circular Quay from the Sydney Harbour Bridge.
Circular Quay skyline, Sydney

Kawasan Circular Quay ialah persekitaran yang popular untuk pelancongan dan terdiri daripada laluan pejalan kaki, taman dan restoran. Ia menjadi pengkalan kepada beberapa dermaga feri, perhentian bas dan stesen kereta api.[2] Walaupun namanya circular (membulat), kawasan dermaga jeti adalah lebih kurang berbentuk empat segi.

Sejarah sunting

 
Pemandangan timur seluruh Sydney Cove (Circular Quay) (kk. 1841)
 
Circular Quay (1892)
 
"Circular Quay" oleh Tom Roberts (1898)
 
Pandangan dari udara (awal abad ke-20)
 
Circular Quay kk.1900-1927

Sydney Cove, di mana terletaknya Circular Quay, merupakan tapak pendaratan awal First Fleet di Port Jackson pada 26 Januari 1788. Rumah kanvas sementara gabenor telah didirikan di sebelah timur teluk itu,[3] manakala pantai di bahagian barat menjadi pusat penempatan awal. Ia menjadi titik utama bandar Sydney berkembang. Dermaga pertama di tepi Sydney Cove mungkin bertarikh dari sekitar 1792. Pada tahun 1802, ia telah digantikan dengan dermaga berbingkai kayu dipanggil "Hospital Wharf", dermaga awam pertama tanah jajahan (kemudian dinamakan semula Dermaga Raja dan Dermaga Ratu).

Pembaharu perlembagaan Scotland lewat abad ke-18, Thomas Muir dijatuhi hukuman dihantar ke Sydney kerana menghasut, dan mempunyai kotej di kawasan yang kini menjadi Circular Quay. Thomas Muir melarikan diri dari tanah jajahan pada tahun 1796 di atas kapal brig Amerika, the Otter.

Bahagian timur teluk kekal sebahagian besarnya tidak didiami pada tahun-tahun awal tanah jajahan; satu penduduk ketara ialah Bennelong, dan bangunan moden kini iaitu Bennelong Point dan Apartmen Bennelong dinamakan sempenanya. Pada abad ke-19 awal, pantai timur keseluruhan Circular Quay adalah sebahagian daripada Domain Gabenor, walaupun sesetengah aktiviti komersial dibangunkan di sepanjang pantai. Pantai barat, yang bersebelahan dengan kawasan penempatan asal kini dikenali sebagai "the Rocks", adalah lebih sibuk. Cadman's Cottage ialah sebuah bangunan yang kekal dari era itu, dibina pada tahun 1816 untuk kegunaan juragan kerajaan dan krew mereka, ia menandakan anggaran lokasi pantai barat asal Circular Quay, sebelum pembinaan semula. Gedung Komisariat (dibina pada tahun 1809) dan limbungan tentera laut pertama di Australia juga terletak di pantai barat. Limbungan tentera laut telah diperluaskan pada 1818-1822 di bawah Gabenor Macquarie, dengan empat dok pembaikan.

Circular Quay telah dibina pada 1837-1844 dengan membina semula bahagian selatan Sydney Cove dengan pantai buatan. Muara Tank Stream, yang mengalir ke Sydney Cove di hujung barat Circular Quay, dikambus. Pelabuhan ini pada asalnya dikenali sebagai "Semi-Circular Quay" (Dermaga Separa Bulat), ini merupakan bentuk sebenar jeti. Nama itu dipendekkan untuk kemudahan.[4] Dermaga telah dibina di pantai selatan. Mencerminkan status Circular Quay sebagai pelabuhan pusat untuk Sydney, Rumah Kastam dibina di pantai selatan pada tahun 1844-5. Semasa pembinaan Circular Quay, sebelah timur teluk itu telah digunakan sebagai kuari yang menempatkan kerja-kerja pembinaan. Selepas kediaman gabenor telah dipindahkan ke atas bukit ke Rumah Kerajaan masa kini, dalam tahun 1840-an dan 1850-an Macquarie Street dipanjangkan ke utara melalui Domain Gabenor untuk ke Fort Macquarie. Ini membawa kepada pembangunan kawasan di antara jalan dan pantai menjadi dermaga kerja komersial yang dikuasai dagangan bulu, manakala bahagian timur jalan kekal sebahagian daripada Domain. Bahagian ini di Macquarie Street dikenali sebagai hujung "kedai bulu".[3] Kedai dan gudang bulu dan bon muncul di tapak tersebut. "Tangga Moore" bersejarah yang telah dibina pada tahun 1868 sebagai laluan antara dua kedai bulu, menuju dari pantai ke Macquarie Street. Menjelang tahun 1860-an, ketiga-tiga belah Circular Quay dikuasai oleh dermaga dan gudang.

Walau bagaimanapun, pada tahun 1870-an, banyak aktiviti perkapalan komersil telah beralih dari Circular Quay. Pelabuhan itu telah menjadi terlalu kecil untuk menampung peningkatan bilangan kapal-kapal besar yang memasuki Sydney. Sebaliknya, aktiviti perkapalan berpindah ke arah barat ke Darling Harbour, yang juga mempunyai laluan kereta api.

Dengan perkapalan komersial berpindah, pelabuhan ini digunakan pula untuk pengangkutan penumpang. Dermaga feri pertama telah dibina di pantai selatan pada tahun 1879. Dari tahun 1890-an, terminal feri mula menguasai pelabuhan, dan Circular Quay menjadi hab rangkaian feri Sydney. Amanah Pelabuhan Sydney telah ditubuhkan pada tahun 1900.

Circular Quay juga hab trem. Ia adalah titik terminal fokus kebanyakan trem elektrik perkhidmatan ke Eastern Suburbs. Trem pertama yang beroperasi melalui Circular Quay telah ditarik oleh kuda, berjalan dari stesen lama Kereta Api Sydney ke Circular Quay sepanjang Pitt Street pada 1861[5] membolehkan pemindahan mudah ke tempat feri. Trem beroperasi dari stesen Central di Castlereagh Street ke Circular Quay dan kembali ke Pitt Street dalam lingkaran besar lawan arah jam. Untuk beberapa tahun, 27 perkhidmatan biasa dikendalikan dari Circular Quay.[6][7]

Dari tahun 1936, rupa Circular Quay telah mengalami perubahan dengan pembinaan jejambat keretapi, dan kemudiannya Lebuhraya Cahill bertingkat di atas jejambat, merentasi pantai selatan teluk. Stesen kereta api Circular Quay telah dibuka pada 20 Januari 1956 [8] dan Lebuhraya Cahill bertingkat telah dibuka secara rasmi pada 24 Mac 1958.[9]

Pembinaan jejambat itu membawa kepada perobohan bangunan Lembaga Perkhidmatan Maritim lama di pantai barat daya. Penggantian moden yang lebih besar telah dibina di sebelah utara pada tahun 1940, dan hari ini menjadi Muzium Seni Kontemporari. Jauh ke utara, Terminal Penumpang Sydney Cove dibina pada 1958-1960 untuk menampung peningkatan jumlah penumpang yang tiba dengan kapal. Bangunan tersebut telah diubahsuai pada tahun 1988, 2000 dan 2014. Kapal pesiaran besar dan kapal-kapal pelayaran sering berlabuh di sini lalu mendominasi teluk.

Pembangunan semula utama Circular Quay Timur tidak berlaku sehingga tahun 1950-an. Kedai bulu telah dirobohkan dan digantikan dengan beberapa bangunan komersial moden membarisi bahagian timur Circular Quay. Had ketinggian telah meningkat daripada 150 kaki ke 915 kaki pada tahun 1959, dan Circular Quay tidak lama kemudian dikuasai oleh bangunan pencakar langit.

Beberapa bangunan pencakar langit pertama di Sydney telah dibina di sekitar Circular Quay. Bangunan AMP di pantai selatan merupakan bangunan tertinggi di Sydney apabila siap pada tahun 1962. Pada tahun 1973, Sydney Opera House telah dibina di hujung timur laut Sydney Cove. Circular Quay semakin menjadi destinasi pelancongan yang tersendiri.

Antara tahun 1971 dan 1989, Colonial Mutual Life memperoleh tanah di sepanjang Circular Quay untuk pembangunan secara besar-besaran. Reka bentuk yang awal telah mengundang kontroversi lalu disemak semula selepas campur tangan Perdana Menteri Paul Keating. Sebagai balasan untuk mengurangkan ketinggian bangunan dan menambah deretan tiang untuk memudahkan akses awam, pembangunan telah dibenarkan untuk mengunjur lebih jauh ke arah pesisir depan, dengan reka bentuk yang dimuktamadkan pada tahun 1992.

Presint Panggung Opera Sydney sunting

Pada tahun 1994, Jawatankuasa Anti-Wall telah ditubuhkan untuk melindungi Sydney Opera House daripada pembangunan bandar berdekatan.

Pada tahun 1997, "Jawatankuasa Selamatkan Timur Circular Quay" telah diadakan oleh Tony Rodi dan Paul Johnson, dan dipengerusikan oleh [Neville Gruzman, dan kemudian oleh Jack Mundey dalam perang untuk menghentikan pencemaran Sydney Opera House Precint.

Pembangunan Apartmen Bennelong menguasai pantai timur Circular Quay dan sangat kontroversi tentang kedudukannya, pencerobohan ruang yang sebelum ini milik awam, dan kualiti reka yang bentuk biasa-biasa.


Pengangkutan sunting

 
Trem di Circular Quay (awal abad ke-20)
 
Pemandangan Circular Quay dari Sydney Cove dengan kapal berlabuh di Terminal Penumpang Luar Negara

Circular Quay ialah hab pengangkutan utama Sydney, dengan pertukaran feri, kereta api dan bas yang besar. Lebuhraya Cahill menjadi unsur utama jeti, mengunjur dari timur, sepanjang stesen kereta api bertingkat untuk bergabung dengan Sydney Harbour Bridge di barat.

Kapal-kapal antarabangsa telah berlabu di Circular Quay sejak masa awal tanah jajahan. Terminal Penumpang Luar Negara, terletak di Quay, adalah sebahagian besar daripada infrastruktur pengangkutan Sydney yang disediakan untuk kapal persiaran dan kapal laut dan penumpang mereka.

Kompleks dermaga menjadi tuan rumah kepada lima dermaga feri komuter dan perhentian untuk semua laluan feri awam di Pelabuhan Sydney dan Sungai Parramatta selain daripada Feri Mortlake antara Mortlake dan Putney.

Circular Quay dahulunya sebuah perhentian dan pertukaran trem besar. Memandangkan banyak laluan bas Sydney mengikuti laluan trem sebelumnya, perhentian trem di Alfred Street menjadi perhentian bas utama bagi laluan banyak bas.[10] Rekaan bentuk semula perkhidmatan bas CBD pada Oktober 2015 telah mengurangkan bilangan laluan bas yang disediakan untuk Quay.

Sebagai tindak balas kepada peningkatan kesesakan bas di CBD, pada 13 Disember 2012, Kerajaan NSW mengumumkan komitmen untuk membina sebuah sitem aliran ringan bernilai $1.6 bilion dari Circular Quay melalui George Street ke stesen Central, kemudian menyeberang ke Moore Park dan terus ke Anzac Parade. Di selatan Moore Park, laluan akan berpecah kepada dua cabang - satu terus turun melalui Anzac Parade ke The Nine Ways di Kingsford, dan yang kedua menuju ke Randwick melalui Alison Road.[11] Pembinaan bermula pada Oktober 2015.

Budaya sunting

 
Circular Quay dari sebelah timur (2008)

Circular Quay menjadi tumpuan untuk perayaan masyarakat, disebabkan lokasinya di tengah Sydney di antara Sydney Opera House dan Sydney Harbour Bridge. Ia adalah salah satu tempat utama untuk himpunan Malam Tahun Baru Sydney.

Circular Quay juga menempatkan Muzium Seni Kontemporari dan Perpustakaan Bandar Raya Sydney di Rumah Kastam yang tersenarai sebagai warisan. Pada musim luruh 2006, pameran seni terbuka yang terbesar di Australia mengambil tempat di Circular Quay: Lebih 7 minggu Berlin Buddy Bears melawat Sydney.[12] Setiap beruang mewakili negara anggota Pertubuhan Bangsa Bersatu, melambangkan prinsip-prinsip keamanan, kebebasan dan persahabatan sejagat.[13]

Jeti ini turut disebut dalam lagu "And the Band Played Waltzing Matilda" (1971) oleh Eric Bogle.

Lihat juga sunting

Rujukan sunting

  1. ^ Templat:NSW GNR
  2. ^ "Circular Quay". Sydney.com. Dicapai pada 5 April 2013.
  3. ^ a b Dictionary of Sydney - East Circular Quay
  4. ^ Sydney town and port established 1 7 8 8 – 1 9 0 0
  5. ^ The 1861 Pitt Street Tramway and the Contemporary Horse Drawn Railway Proposals. Wylie, R.F. Australian Railway Historical Society Bulletin, February 1965 pp21-32
  6. ^ The Cable Trams of Sydney and the Experiments Leading to Final Electrification of the Tramways Wylie, R.F. Australian Railway Historical Society Bulletin, July/August 1974 pp145-168/190-192
  7. ^ The Inauguration of Sydney's Steam Tramways Wylie, R.F. Australian Railway Historical Society Bulletin, March 1969 pp49-59
  8. ^ Circular Quay Railway Station and Viaduct NSW Environment & Heritage Retrieved 4 December 2014
  9. ^ "How to Build a Street Cahill Expressway". Diarkibkan daripada yang asal pada 2016-06-15. Dicapai pada 2017-01-27.
  10. ^ Sydney's tram history http://railpage.org.au[pautan mati kekal]
  11. ^ "Sydney's Light Rail Future". Transport for New South Wales. 13 December 2012. m/s. 15, 24. Diarkibkan daripada yang asal pada 19 January 2013. Dicapai pada 14 December 2012. Unknown parameter |deadurl= ignored (bantuan)
  12. ^ United Buddy Bears in Sydney 2006
  13. ^ Messages of Greeting by John Howard

Pautan luar sunting

Koordinat: 33°51′40″S 151°12′40″E / 33.861°S 151.211°E / -33.861; 151.211

Templat:Sydney New Year's Eve