Collie kasar

baka anjing dari Scotland
(Dilencongkan dari Collie (kasar))

Collie kasar[a] atau collie berbulu panjang[b] ialah satu baka anjing berbulu panjang bersaiz sederhana hingga besar yang, dalam bentuk aslinya, merupakan sejenis collie yang digunakan dan dibiakbakakan untuk penggembalaan di Scotland. Pembiakbakaan lebih terkini telah tertumpu pada collie sebagai anjing pertunjukan dan juga pendamping. Spesifikasi baka mensyaratkan muncung distingtif yang runcing, sempit, dan panjang dan telinga berhujung (separa tajam), maka sesetengah anjing mempunyai telinga yang dikenakan pita semasa muda. Collie kasar pada umumnya terdapat dengan cahaya warna sabel dan putih (kadang-kadang mahogani), merle biru, triwarna, dan putih dengan kepala berwarna.

Collie kasar
Collie kasar sabel dan putih
Nama lainCollie
Collie berbulu panjang
Negara asalScotland
Trait
Berat Jantan 20–34 kg (44–75 lb)
Betina 15.8–29 kg (35–64 lb)
Tinggi Jantan 55.8–66 cm (22.0–26.0 in)
Betina 50.8–61 cm (20.0–24.0 in)
Bulu lapis bulu ganda panjang
Warna sabel, sabel mahogani, sabel terlorek, triwarna, merle biru, merle sabel, putih dengan kepala berwarna, merle ganda
Saiz perinduk 8–12 ekor sehingga 16 ekor
Jangka hayat 11–14+ tahun
Anjing (Canis lupus familiaris)

Dengan asal usul dari abad ke-19,[1] baka ini kini sangat terkenal melalui kisah karya pengarang Albert Payson Terhune tentang anjing beliau Lad, dan kemudian dengan watak Lassie oleh Eric Knight dan novel, filem, rancangan televisyennya.

Terdapat keragaman berbulu licin yang dikenali sebagai collie licin; sesetengah pertubuhan baka, termasuk kedua-dua American Kennel Club dan Canadian Kennel Club, menganggap collie berbulu licin dan collie berbulu kasar sebagai keragaman bagi baka sama. Collie kasar dekat-dekat serupa dengan anjing gembala Shetland atau sheltie, tetapi kedua-dua baka tidak mempunyai hubungan linear eksklusif.

Sejarah sunting

 
Collie kasar, sekitar tahun 1915

Kedua-dua collie kasar dan collie licin diturunkan daripada keragaman tempatan bagi anjing gembala yang berasal dari Scotland dan Wales.[2] Keragaman Scotland ialah anjing besar, kuat, dan agresif yang dibiakbakakan untuk menggembala biri-biri tanah tinggi. Keragaman Wales adalah kecil, lincah, jinak dan mesra dan juga menggembala kambing. Apabila orang Inggeris melihat anjing-anjing ini di pasar Birmingham, mereka membiakbakakan anjing-anjing ini dengan keragaman anjing gembala mereka sendiri, lalu menghasilkan kacukan keragaman berbulu pendek dan berbulu panjang. Selepas revolusi perindustrian, pemilikan anjing menjadi bergaya dan collie awal ini dipercayai telah disilangkan dengan borzoi (anjing pemburu serigala Rusia) untuk mendapatkan kepala lebih "mulia" (muncung lebih panjang) yang kini merupakan salah satu ciri sebenar collie kasar.[3] Belum ada kepastian konklusif sama ada silangan borzoi berjaya masuk ke dalam aliran utama baka ini.

Apabila Ratu Victoria memperoleh seekor collie kasar, selepas melihat seekor di Istana Balmoral, ia telah berubah menjadi sesuatu yang bergaya.[2] Pembiakbakaan berterusan untuk tujuan pertunjukan secara drastik mengubah penampilan anjing berkenaan; pada tahun 1960-an, ia merupakan anjing jauh lebih tinggi daripada anjing kini (di United Kingdom; di Amerika Syarikat, piawaian saiz belum disemak untuk dikurangkan dan anjing ini telah kekal dalam lingkungan 24–26 inci (61–66 cm)). Anjing lebih awal mempunyai tubuh lebih kukuh dan dilaporkan mampu menempuh jarak sehingga 100 batu (160 km) dalam satu hari. Di United Kingdom, collie kasar tidak lagi digunakan untuk penggembalaan serius setelah digantikan oleh collie sempadan, walaupun di Amerika Syarikat dan di sebilangan negara Eropah, terdapat kebangkitan semula dalam penggunaan collie sebagai anjing pekerja dan anjing persembahan.[4]

Collie Club of America ialah salah sebuah kelab spesifik baka tertua yang wujud di Amerika Syarikat (dibentukan pada tahun 1886). Kelab Collie di England bertarikh dari tahun 1881.[2]

Dipetik daripada Collie Club of America:

Malangnya, asal usul tepat collie diselubungi oleh kekaburan. Ia telah menjadi subjek penyelidikan dan spekulasi. Perkataan "collie" sama tidak jelas seperti baka ini. Namanya telah dieja dalam banyak cara berlainan: coll, colley, coally, dan coaly. Pada umumnya, asal usul perkataan yang paling diterima ialah "coll" - perkataan bahasa Inggeris-Saxon untuk "hitam".

Pada abad ke-18, rumah semula jadi collie kasar adalah di tanah tinggi Scotland. Di sana, ia telah digunakan selama berabad-abad sebagai anjing gembala. Anjing ini dibiakbakakan dengan sangat berhati-hati untuk membantu tuannya dalam penggembalaan dan penjagaan kawanan ternakan mereka.

Tidak dinafikan, atas jasa kegemaran Inggeris pada akhir tahun 1800-an-lah baka ini dapat dikembangkan sebagai anjing pertunjukan popular. Collie kasar pertama kali dipamerkan pada tahun 1860 pada pameran anjing Birmingham, England dalam kelas generik "Scotch Sheep-Dogs" ("anjing gembala Scotland").

 
Collie kasar sabel

Pada tahun 1879, collie kasar Inggeris pertama diimport ke negara ini. Dari England-lah terdapat tonggak masyhur bagi baka ini, yang merupakan sumber bagi penggemar Amerika yang mencari bukan sahaja pemenang besar seterusnya, tetapi juga ternakan asasi mereka.

Menjelang permulaan abad, collie kasar Amerika berada dalam keadaan perkembangan berterusan. Baka ini terus berkembang maju di England. Hadiah pertunjukan Amerika didominasi oleh import British. Sebagai hasil daripada import itu, baka ini mencapai kemajuan pesat pada antara tahun 1900 dengan tahun 1920. Anjing-anjing ini membina asas bagi collie kasar kini dan membuka jalan bagi kebangkitan kenel anjing hebat Amerika pada tahun 1920-an dan tahun 1930-an.

Penampilan sunting

 
Sabel

Warna-warna yang diiktiraf termasuk:

  • Sabel dan putih, dengan lingkungan "sabel" antara sawo matang pucat dengan mahogani
  • Triwarna, yang terutamanya hitam berpinggirkan sawo matang
  • Merle, biru, atau merle sabel, yang berbelak.
  • Putih berkepala berwarna, yang terutamanya merupakan lapis bulu putih menyeluruh, kecuali kepala, yang mungkin triwarna, sabel, atau biru.

Semuanya mempunyai kawasan lapis bulu putih, pada kolar, pada bahagian tungkai, dan biasanya di hujung ekor. Sesetengah mungkin mempunyai takik putih pada mukanya. Perhatikan bahawa American Kennel Club menerima putih berkepala berwarna, iaitu anjing yang kebanyakannya berwarna putih dengan tanda-tanda berwarna sabel, triwarna, atau merle biru pada kepala dan kadang-kadang tompok-tompok badan.[5] Lapis bulu bawah kekapas dilitupi oleh lapis bulu luar yang panjang, padat, dan kasar dengan lingkaran ketara di sekeliling leher, jumbai pada bahagian tungkai, lapis bulu bawah pada abdomen, dan ropol pada sukuan belakang.[6][7]

 
Triwarna

Salah satu ciri collie kasar ialah kepalanya.[2][7] Ini ringan berhubung dengan selebih tubuh dan menyerupai baji tumpul yang meruncing dengan lancar dari telinga ke hidung hitam dengan stop unik dan satah kepala selari. Muncungnya cukup membuat dan tidak pernah berbentuk segi empat sama. Walau bagaimanapun, terdapat banyak variasi dari segi warna kepala. Matanya bersaiz sederhana dan berbentuk badam. Telinganya patut separa mencucuk atau berhujung dengan sepertiga atas yang terlipat. Telinga yang tidak "berhujung" dengan betul, bagaimanapun, adalah umum dan banyak collie mempunyai telinga yang dipita sebagai anak anjing (dengan menggunakan pita pelekat perubatan atau pita kertas) untuk menggalakkan agak telinga berbaring dengan betul – tiada pemotongan atau pembedahan yang terlibat.

Collie kasar mempunyai muka lebih tumpul yang beransur-ansur menirus berbanding dengan anjing gembala Shetland yang lebih kecil tetapi sebaliknya sangat serupa yang sebahagiannya diturunkan daripada collie kasar. Satah muncung dan bahagian atas tengkorak patut selari pada collie dengan stop sedikit tetapi jelas (pada sheltie, satah bagi kedua-duanya tidak selari). Telinga collie kasar adalah serupa dengan yang pada anjing gembala Shetland tetapi lebih besar. Tambahan pula, apabila dilihat, kontras antara kepala collie kasar dengan kepala collie sempadan jelas serta-merta kerana kepala collie sempadan mempunyai muncung jauh lebih pendek dan stop lebih jelas di antara muncung dengan dahi. Lingkaran leher juga distingtif dalam pembezaan kedua-dua baka.

Saiz dan berat berbeza-beza menurut piawaian baka berlainan; collie jantan dapat berdiri setinggi 55.8–66 cm (22.0–26.0 in) paras bahu; betina secara purata adalah lebih pendek sebanyak 5 cm (2.0 in). Jantan biasanya dalam julat berat 50–70 lb (23–32 kg), dan betina pula biasanya kurang sebanyak 5–10 paun (2.3–4.5 kg). Collie di Amerika Syarikat kadang-kadang dilaporkan melebihi 100 paun (45 kg), tetapi collie besar biasanya berukuran seberat tidak lebih daripada 70 paun (32 kg). Piawaian Amerika Syarikat dan piawaian United Kingdom mungkin berbeza. Piawaian United Kingdom mensyaratkan anjing yang jelas lebih kecil daripada anjing menurut American Kennel Club.[6][7]

Perangai sunting

 
Merle biru

Collie kasar tidak patut menunjukkan kegelisahan atau agresi dan pada umumnya baik dengan kanak-kanak dan haiwan lain.[6][7] Walau bagaimanapun, ia mesti disosialisasi dengan baik untuk mengelakkan keseganan. Ia merupakan anjing bersaiz sederhana hingga besar dan ia pada umumnya memerlukan rumah dan bukannya berada di dalam pangsapuri kecil. Seperti kebanyakan anjing gembala, collie dapat menjadi agak vokal dan sesetengah anjing mudah dilatih untuk tidak menyalak. Jumlah naluri penggembalaan berbeza-beza dengan sesetengah anjing yang kuat menggiring sementara yang lain pula lebih tenang.

Collie kasar sangat setia dan mungkin menjadi anjing satu keluarga (walaupun kebanyakannya membuat pengecualian untuk kanak-kanak), tetapi sangat jarang agresif atau bersikap pelindung selain menyalak dan menyediakan penghalang visual. Ia biasanya sangat baik dengan kanak-kanak. Ia bersemangat untuk belajar dan bertindak balas dengan paling baik terhadap tangan lemah lembut.

Lapis bulu panjang collie kasar telah menjadikan baka ini berjaya di ladang Midwest utara sebagai gembala dan penjaga ladang berkebolehan semasa musim sejuk. Anjing ini perlu beransur-ansur disesuaikan terhadap kesejukan dan tempat perlindungan ruangan luaran bertebat sesuai mesti disediakan untuk anjing berkenaan bersama-sama dengan makanan berkualiti mencukupi dan sumber air yang tidak dibekukan. Collie kasar juga gemar bermain di dalam salji dengan kanak-kanak semasa bulan-bulan musim sejuk. Ia menjaga ladang semasa pemiliknya tiada dan secara semula jadi melindungi kanak-kanak kecil.

Kesihatan sunting

 
Putih berkepala berwarna

Walaupun collie kasar pada umumnya bingkas dan sihat, terdapat sesetengah masalah kesihatan yang dapat menjejaskan baka ini.

Anomali mata collie (CEA), iaitu penyakit genetik yang menyebabkan perkembangan mata tidak betul dan kemungkinan kebutaan, ialah penyakit umum pada baka ini.[8] Lebih jarang, collie kasar dapat terjejas akibat atrofi retina progresif (PRA), iaitu satu lagi penyakit genetik yang melibatkan degenerasi dua hala bagi retina yang mengakibatkan kehilangan penglihatan progresif yang memuncak kepada kebutaan.[9] Melalui pengujian genetik dan tatacara penyaringan cermat, secara teori ada kemungkinan untuk membasmi kedua-dua masalah ini pada susur galur tulen, namun, sudah tentu di United Kingdom, The Kennel Club tidak memerlukan agar ujian-ujian ini dilakukan sama ada untuk pendaftaran atau pertunjukan. CEA sangat prevalen sehingga penyingkiran anjing terjejas kecuali melalui keputusan pembiakbakaan sangat perlahan dan cermat untuk mengelakkan pengecutan takungan gen adalah lebih daripada mustahak. Anak collie kasar perlu disaring pada usia awal (6–8 minggu) oleh ahli oftalmologi veterinar bertauliah untuk diperiksa untuk CEA. PRA mempunyai onset kemudian dan dapat dikesan melalui ujian DNA, tetapi kurang meluas (di Amerika Syarikat) berbanding dengan CEA. Di United Kingdom, PRA adalah lebih umum.[10] Perhatikan bahawa "Skim Pembiak Baka Bertauliah" The Kennel Club United Kingdom mewajibkan ujian mata dan mengesyorkan ujian genetik untuk kelas anggota ini.[11]

Neutropenia berkitar anjing ialah kecelaruan darah berkitar yang biasanya membawa maut kepada anak anjing terjejas. Penyakit ini juga dirujuk sebagai "sindrom collie kelabu" kerana anak anjing terjejas mempunyai warna kelabu pucat, merah jambu/kelabu, atau kuning air, tiada satu pun antara warna itu merupakan warna collie kasar normal. Anak anjing yang terselamat sehingga usia dewasa menderitai gangguan imun sepanjang hayat dan jarang hidup lebih daripada tiga tahun. Pengujian DNA dapat membantu untuk mengesan pembawa gen resesif yang menyebabkan penyakit ini.[12]

Displasia pinggul: Seperti kebanyakan baka lebih besar, displasia pinggul ialah kebimbangan berpotensi untuk collie kasar. Walaupun penyakit ini kelihatannya bersifat "berbilang gen", pemilihan teliti oleh ramai pembiak baka mengurangkan masalah ini. "Skim Pembiak Baka Bertauliah" The Kennel Club United Kingdom mewajibkan skor pinggul untuk kelas anggota ini.[11] Walau bagaimanapun, sebahagian kecil anak anjing yang didaftarkan di United Kingdom dibiakbakakan di bawah skim ini. Displasia pinggul adalah jarang pada collie berbanding dengan saudara terdekatnya dan baka-baka lain dengan saiz sama.

 
Collie kasar sabel mahogani

Collie kasar mungkin membawa gen Mdr1 mutan yang mengakibatkan kepekaan terhadap Ivermectin dan ubat-ubatan berkaitan. Ujian saringan digunakan untuk menentukan sama ada ubat-ubatan alternatif diperlukan. Dos berlebihan daripada ubat-ubatan haram dapat mengakibatkan kecelaan saraf atau juga kematian, tetapi dos pencegahan biasanya selamat. Gen rosak ini hadir pada beberapa baka, tetapi cukup terkenal dalam kalangan collie.[13]

Sebagai tambahan kepada masalah-masalah ini, yang kesemuanya dapat dikesan melalui pengujian, terdapat sebilangan masalah yang dianggap sebagai masalah genetik tetapi tiada ujian saringan yang wujud. Ini termasuk epilepsi, kembung, kecenderungan terhadap alahan, dan gangguan tiroid (terutamanya hipotiroidisme). Oleh sebab tiada ujian DNA yang wujud untuk gangguan-gangguan ini (dan semua dapat mempunyai punca selain asal usul genetik), para pembiak baka hanya dapat melakukan yang terbaik untuk mengelak daripada menghasilkan penyakit-penyakit ini dengan mengeluarkan anjing terjejas daripada takungan gen.

Dermatosis berulser pada anjing gembala Shetland sheepdog dan collie kasar (UDSSC) ialah penyakit yang dipercayai sebagai varian vesikel bagi lupus eritematosus diskoid. Ini ialah dermatosis berulser yang menjejaskan paha, selangkang, ketika, dan abdomen ventral.[14]

Penjagaan bulu sunting

Lapis bulu ganda perlu diberus dengan kerap dan teliti untuk mengekalkan keadaan untuk pertunjukan. Anjing peliharaan memerlukan kurang penjagaan tetapi masih perlu ada penjagaan cukup banyak untuk mengekalkan kesihatan anjing. Lapis bulu lebatnya mengutip benih rumput dan gerigis dan banyak anjing cenderung untuk mengalami pengusutan sehingga takat tertentu, khususnya di belakang telinga, di sekeliling kolar (jika kolar dipakaikan pada anjing), dan di dalam "seluar". Pemandulan dan peneuteran dapat mengubah tekstur lapis bulu sehingga menjadikannya lebih lembut dan lebih terdedah kepada pengusutan.

Kehidupan kerja sunting

Penggembalaan sunting

 
Pada abad ke-18, rumah semula jadi collie adalah di tanah tinggi Scotland.

Pada abad ke-18, rumah semula jadi collie kasar adalah di tanah tinggi Scotland. Di sana, ia telah digunakan selama berabad-abad sebagai anjing gembala. Anjing ini dibiakbakakan dengan sangat berhati-hati untuk membantu tuannya dalam penggembalaan dan penjagaan kawanan ternakan mereka.

Collie mampu menjadi gembala bersemangat sambil kekal sebagai teman keluarga waras dan fleksibel, sama ada sebagai anjing pekerja di ranco atau di ladang atau membantu pemilik di pinggir bandar yang membela beberapa ekor biri-biri, kambing, atau itik sebagai hobi. Penyertaan dalam penggembalaan membantu untuk mengekalkan warisan istimewa collie dan membuka peluang baharu untuk pemilik dan anjing. Kualiti yang menghasilkan anjing gembala bagus – kebolehlatihan, kebolehsuaian, kesetiaan, kekukuhan tubuh dan perwatakan, ketangkasan, keanggunan – adalah penting di banyak bidang dan menyumbangkan banyak kepada penghasilkan anjing yang merupakan teman cemerlang juga.

Di serata negara itu, terdapat kelab gembala tempatan yang menyediakan klinik, hari kerja, percubaan, dan ujian. Beberapa buah pertubuhan menyediakan program gelaran gembala yang banyak disertai oleh collie. Ujian Naluri Penggembalaan memperkenalkan collie dan pengendalinya kepada penggembalaan di peringkat asas. Ujian ini direka bentuk untuk menunjukkan sama ada seseekor collie, yang mungkin tidak pernah terdedah kepada haiwan ternakan, masih mempunyai naluri semula jadi untuk melaksanakan fungsi yang merupakan tujuan awal penghasilan baka ini. Ini merupakan pengenalan tanpa persaingan kepada haiwan ternakan yang terpilih dengan teliti dan mudah dikendalikan di bawah keadaan terkawal yang baik.[15]

Kegiatan sunting

Collie kasar dapat bersaing dalam ujian ketangkasan anjing, kepatuhan, kemahiran persembahan, flyball, penjejakan, dan acara penggembalaan. Naluri dan kebolehlatihan penggembalaan dapat diukur dalam ujian penggembalaan tanpa persaingan. Collie kasar yang menunjukkan naluri penggembalaan asasi dapat dilatih untuk bertanding dalam ujian penggembalaan.[16] Baka ini juga telah diketahui bekerja sebagai anjing pencarian dan penyelamatan, anjing terapi, dan anjing pandu untuk orang buta.[17]

Collie kasar terkenal sunting

 
Siri televisyen Lassie (1954–1973), penggambaran di lokasi di Florida (1965)
  • Lassie, satu susur galur collie kasar yang pada asalnya dimiliki oleh Rudd Weatherwax yang telah membintangi banyak filem, berbilang siri televisyen, sebuah rancangan radio, dan telah menjadi subjek bagi pelbagai novel dan karya bukan fiksyen. Salah seekor daripada beberapa ekor haiwan pelakon yang mempunyai bintang di Laluan Kemasyhuran Hollywood.
  • Reveille ialah nama bagi maskot semasa bagi Universiti Texas A&M. Sejak Reveille III menjadi maskot pada tahun 1966, setiap anjing yang membawa nama itu ialah collie kasar; maskot semasa ialah Reveille X. Ia mula melaksanakan tugasnya pada tahun 2021 dan disumbangkan oleh pembiak baka collie kasar, Julie Hinrichsen dan Russell Dyke daripada Juell Collies.[18]
  • Dylan, anjing peliharaan milik Presiden Argentina Alberto Fernández.
  • Lad, wira utama bagi novel awal abad ke-20 karya Albert Payson Terhune tentang collie kasar Sunnybank beliau.
  • Wolf, wira utama bagi novel awal abad ke-20 karya Albert Payson Terhune tentang collie kasar Sunnybank beliau.
  • Gray Dawn, seekor lagi anjing daripada novel awal abad ke-20 karya Albert Payson Terhune tentang collie kasar Sunnybank beliau.
  • Pal, collie pertama yang memainkan watak Lassie.
  • Ch. Laund Loyalty of Bellhaven, seekor collie kasar berusia sembilan bulan yang merupakan anjing termuda yang pernah memenangi Pertunjukan Anjing Westminster Kennel Club.[19][20]

Lihat juga sunting

Catatan sunting

  1. ^ Jawi: کولي کاسر; bahasa Inggeris: rough collie
  2. ^ Jawi: کولي بربولو ڤنجڠ; bahasa Inggeris: long-haired collie

Rujukan sunting

  1. ^ "NZKC Breed Standard" (dalam bahasa Inggeris). New Zealand Kennel Club. Dicapai pada 15 Januari 2024.
  2. ^ a b c d Wharton, Alice (1998). Collies (dalam bahasa Inggeris). T.F.H. Publications. ISBN 0-7938-2800-7.
  3. ^ Clark, Anne Rogers; Brace, Andrew H., penyunting (Oktober 1995). "The Breeds: Collies - Rough Collie". The International Encyclopedia of Dogs (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-1 (Amerika)). New York, New York, Amerika Syarikat: Howell Book House. m/s. 188–190. ISBN 978-0-87605-624-0. OCLC 32697706.
  4. ^ Dorsten, Cindy M. (2002). A Celebration of the Working Collie (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-1). Loveland, Colorado, Amerika Syarikat: Alpine Publications. ISBN 1-57779-001-4.
  5. ^ "Collie Colours" (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 15 Julai 2012.
  6. ^ a b c "Collie Breed Standard" (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. 10 Mei 1977. Dicapai pada 30 Januari 2024.
  7. ^ a b c d "Collie (Rough) Breed Standard" (dalam bahasa Inggeris). The Kennel Club. 12 Mei 2006. Diarkibkan daripada yang asal pada 12 Februari 2008. Dicapai pada 30 Januari 2024.
  8. ^ "Inherited Retinopathies". The Merck Veterinary Manual (dalam bahasa Inggeris). 2006. Dicapai pada 30 Januari 2024.
  9. ^ Gelatt, Kirk N. (ed.) (1999). Veterinary Ophthalmology (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-3). Lippincott Williams & Wilkins. ISBN 0-683-30076-8.CS1 maint: extra text: authors list (link)
  10. ^ "Eye Disease in Collies" (dalam bahasa Inggeris). Collie Health Foundation. Diarkibkan daripada yang asal pada 12 Oktober 2007. Dicapai pada 30 Januari 2024.
  11. ^ a b "Accredited Breeder Recommendationas and Requirements" (PDF) (dalam bahasa Inggeris). The Kennel Club. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 11 Ogos 2013. Dicapai pada 30 Januari 2024.
  12. ^ "Canine Cyclic Neutropenia" (dalam bahasa Inggeris). Collie Health Foundation. Diarkibkan daripada yang asal pada 14 Mei 2008. Dicapai pada 30 Januari 2024.
  13. ^ "The Ivermectin Story" (dalam bahasa Inggeris). Collie Health Foundation. Diarkibkan daripada yang asal pada 14 Mei 2008. Dicapai pada 30 Januari 2024.
  14. ^ Rhodes, Karen Helton; Werner, Alexander H. (25 Januari 2011). Blackwell's Five-Minute Veterinary Consult Clinical Companion (dalam bahasa Inggeris). Ames, Iowa, Amerika Syarikat: Wiley-Blackwell. m/s. 181. ISBN 978-0-8138-1596-1.
  15. ^ "Herding" (dalam bahasa Inggeris). Collie Club of America. Diarkibkan daripada yang asal pada 26 Oktober 2015. Dicapai pada 30 Januari 2024.
  16. ^ Hartnagle-Taylor, Jeanne Joy; Taylor, Ty (2010). Stockdog Savvy (dalam bahasa Inggeris). Alpine Publications. ISBN 978-1-57779-106-5.
  17. ^ Mitchell, P. "Rough Collie" (dalam bahasa Inggeris). Canada's Guide to Dogs. Dicapai pada 30 Januari 2024.
  18. ^ "Reveille X Takes Over Helm As Texas A&M's Next Mascot". Texas A&M Today (dalam bahasa Inggeris). 30 April 2021. Dicapai pada 30 Januari 2024.
  19. ^ "WKC Dog Show - Past Winners of Best in Show" (dalam bahasa Inggeris). Westminster Kennel Club. Diarkibkan daripada yang asal pada 25 Disember 2007. Dicapai pada 30 Januari 2024.
  20. ^ "WKC Dog Show - Best in Show Records" (dalam bahasa Inggeris). Westminster Kennel Club. Diarkibkan daripada yang asal pada 17 Mac 2010. Dicapai pada 30 Januari 2024.