Collie licin

baka anjing dari Scotland

Collie licin[a] atau collie berbulu pendek[b] ialah satu baka anjing yang dikembangkan pada asalnya untuk penggembalaan. Ia merupakan versi berbulu pendek bagi collie kasar yang mempunyai kemasyhuran Lassie. Sesetengah pertubuhan baka menganggap collie berbulu licin dan collie berbulu pendek sebagai keragaman bagi baka sama.

Collie licin
Seekor collie licin triwarna
Nama lainCollie berbulu pendek
Negara asalScotland
Anjing (Canis lupus familiaris)

Sejarah sunting

Sejarah awal collie, seperti sejarah banyak baka anjing, ialah perkara spekulasi. Asal usul nama baka ini pun tidak jelas dengan pelbagai dakwaan tentang perihal warna gelap anjing gembala awal ("coaly") atau asal usul daripada nama baka biri-biri dengan muka hitam yang pernah umum dibela di Scotland ("colley") atau terbitan daripada perkataan bahasa Inggeris-Saxon yang memaksudkan "berguna". Perkataan ini juga dapat dijejak kepada bahasa Gaelik atau/dan bahasa Ireland - yang memadankan perkataan "anjing kecil", masing-masing, dengan càilean dan coileán. Ini lebih tekal dengan asal usul baka ini di Tanah Tinggi Scotland yang berbahasa Gaelik berbanding dengan istilah bahasa Inggeris-Saxon.

 
Collie licin pada sekitar tahun 1915

Sejarah moden kedua-dua collie licin dan collie kasar bermula pada zaman pemerintahan Ratu Victoria, yang menjadi berminat dengan anjing gembala semasa baginda di Istana Balmoral di Scotland. Pada tahun 1860, baginda membeli beberapa ekor anjing untuk kenel baginda sendiri. Dengan minat sang Ratu, bermulalah gaya untuk memiliki collie licin. Maka, bermulalah transformasi baka ini daripada anjing ladang pekerja, serupa dengan collie sempadan moden, kepada anjing yang dibiakbakakan sebagai haiwan peliharaan dan untuk sukan pertunjukan pengakuran yang dikenali kini.

Collie licin kini dianggap sebagai keragaman bagi baka sama dengan collie kasar di Amerika Syarikat dan di Kanada yang bermakna bahawa ia boleh saling membiak dan sesetengah statistik disimpan hanya untuk "collie" dan bukannya untuk kedua-dua keragaman secara berasingan. Yang licin dan yang kasar dikelaskan sebagai baka berasingan di negara lain, seperti United Kingdom dan Australia. Collie kasar ialah hasil perkembangan agak lewat, walau bagaimanapun, dengan keizinan The Kennel Club (United Kingdom) untuk pembiakbakaan menyaling antara kedua-dua keragaman tersebut sehingga tahun 1993.

Perihal sunting

Penampilan sunting

Collie licin ialah anjing sederhana besar, bersaiz 20–22 inci (51–56 cm) untuk betina dan 22–24 inci (56–61 cm) untuk jantan pada paras bahu; berat berbeza-beza daripada 40 lb (18 kg) untuk betina sehingga 66 lb (30 kg) untuk jantan. Saiz piawai untuk baka ini di Amerika Syarikat dan di Kanada ialah 22–24 inci (56–61 cm) untuk betina dan 24–26 inci (61–66 cm) untuk jantan pada paras bahu; contohnya, untuk AKC, julatnya ialah 22–26 inci (56–66 cm) dan 50–75 lb (23–34 kg).

 
Kepala collie licin triwarna

Collie licin adalah lebih panjang sedikit daripada ketinggiannya, dengan belakang sekata dan dada dalam. Ciri-ciri kepala, khususnya ekspresi "manis", dianggap sangat penting dalam gelanggang pertunjukan. Baka ini mempunyai muncung panjang, tengkorak rata, dan telinga separa tegak (walaupun, dalam amalan, telinganya biasanya mesti terlipat dan berpita sesama usia anak anjing, atau sebaliknya biasanya akan menjadi tegak sepenuhnya pada anjing dewasa).

Bulu sunting

Lapis bulu ini terdiri daripada lapis bulu bawah lembut dan amat padat dan rerambut pengawal luar lurus dan kasar. Rerambut pengawal adalah sepanjang 1–2 inci (2.5–5.1 cm), dengan bulu lebih panjang terutamanya pada lingkaran di sekeliling leher dan di belakang paha. Lapis bulunya memerlukan pemberusan menyeluruh mingguan. Salin bulu adalah sederhana sepanjang tahun kecuali yang berat semasa musim pengguguran dua kali setahun.

Warna sunting

Collie licin terdapat dengan empat warna: sabel (warna Lassie; mana-mana antara emas muda dengan mahogani pekat); triwarna (hitam, dengan tanda-tanda sawo matang dan putih); dan merle biru (kelabu perak bercorak marmar hitam, dan tanda-tanda sawo matang), semuanya bertanda dengan kawasan-kawasan putih pada dada, leher, kaki/tungkai, dan di hujung ekor. Warna tambahan ialah putih (collie ini kebanyakannya putih, dengan kepala dan biasanya tompok tubuh berwarna sabel, triwarna, atau biru), walaupun ini bukan warna beriktiraf di United Kingdom, negara asal baka ini. Mata biru atau mata merle pada collie merle bukan biru bukan syarat penyingkiran dalam piawaian AKC walaupun ia denda seberatnya. Walau bagaimanapun, terdapat banyak collie merle sabel bermata biru atau bermata merle yang merupakan juara baka AKC.

 
Seekor collie licin triwarna
 
Seekor collie licin sabel
 
Collie licin merle biru

Perangai sunting

 
Collie licin triwarna yang meninggalkan terowong ketangkasan

Collie licin pada umumnya merupakan anjing keluarga yang mudah bergaul dan mudah dilatih. Walaupun bukan baka agresif, ia berwaspada dan vokal, yang menjadikannya anjing pengawas baik, jika terlatih dengan baik, dan gangguan berpotensi, jika diizinkan menyalak sembarangan. Collie ialah anjing tangkas dan giat dan memerlukan senaman kerap dengan cara tertentu. Baka ini mudah dilatih kerana kecerdasan tinggi dan keinginan untuk menggembirakan pemiliknya. Pelatihan baka ini memerlukan sentuhan ringan kerana ia sensitif terhadap pembetulan dan menjauhkan diri daripada layanan kasar. Ia bergaul dengan baik dengan kanak-kanak dan haiwan lain, biasanya berbaik-baik dengan anjing lain. Collie licin digunakan sebagai anjing peliharaan keluarga dan dalam pertandingan kepatuhan, ketangkasan, ujian penggembalaan, dan sukan anjing lain. Sesetengah anjing masih digunakan sebagai anjing gembala pekerja. Ia juga sangat berguna sebagai anjing pembantu untuk orang kurang upaya.

Kesihatan sunting

Collie licin ialah baka berumur panjang untuk saiznya, biasanya hidup sehingga usia 12 hingga 14 tahun. Seperti semua baka anjing, ia terdedah kepada masalah kesihatan terwaris atau separa terwaris tertentu. Masalah itu buat masa ini termasuk:

  • Anomali mata collie (CEA): Koleksi masalah mata yang dengan lingkungan daripada keabnormalan kecil bagi pembuluh darah hingga titik buta kepada retina cacat bentuk atau separahnya terpisah. Masalah ini begitu meluas pada collie sehingga anjing yang sepenuhnya tidak terjejas (dipanggil "bermata normal") adalah jarang, walaupun pembiak baka berkesedaran telah dapat beransur-ansur meningkatkan populasi normal. Masalah ini dan takatnya dapat ditentukan melalui pemeriksaan mata yang dijalankan sebelum usia enam minggu dan tidak menjadi lebih parah seiring dengan masa. Anjing yang sedikit terjejas tidak mengalami kecacatan dan merupakan anjing peliharaan atau anjing pekerja baik.
  • Atrofi retina progresif: Degenerasi beransur-ansur bagi retina mata, akhirnya membawa kepada kebutaan. Penyakit ini kurang umum berbanding dengan CEA pada collie, tetapi lebih sukar disingkirkan melalui pembiakbakakan, kerana gejala biasanya tidak dapat dikesan sehingga anjing terjejas berusia pertengahan atau lebih tua.
  • Kepekaan berbilang ubat (MDR1): Kadang-kadang tindak balas maut terhadap kelas ubat umum, khususnya ivermektin, yang digunakan sebagai pencegah cacing jantung dan rawatan untuk tungau. Gen yang menyebabkan kepekaan ini baru-baru ini dikenal pasti dan kerentanan anjing kini dapat ditentukan melalui ujian darah ringkas.
  • Volvulus pendilatan gastrik (kembung): Pulasan perut menyakitkan dan kerap membawa maut yang berlaku pada baka-baka besar atau berdada dalam yang biasanya dapat dicegah dengan memberikan jumlah makanan kecil dan mengelakkan senaman kuat serta-merta sebelum makan atau selepas makan.
  • Epilepsi: Sawan dengan asal usul yang tidak diketahui. Kekerapan sawan kerap dapat dikurangkan dengan ketara melalui ubat-ubatan, tetapi tiada penawar untuk penyakit ini.
  • Neutropenia berkitar: CN juga dikenali sebagai sindrom Collie kelabu. Neutropenia berkitar ialah penyakit yang menjejaskan neutrofil pada anjing, yang merupakan bahagian integral bagi sistem imun anjing. Kebanyakan anjing terjejas mati sebagai anak anjing dan, walaupun dengan penjagaan terbaik, anjing berkenaan mungkin tidak hidup melepasi usia 2–3 tahun.[1]

Kerja dan sukan sunting

Collie licin dapat bersaing dalam ujian ketangkasan anjing, kepatuhan, kemahiran persembahan, flyball, penjejakan, pencarian dan penyelamatan, anjing pembantu, dan acara penggembalaan. Naluri dan kebolehlatihan penggembalaan dapat diukur dalam ujian penggembalaan tanpa persaingan. Collie licin yang menunjukkan naluri penggembalaan asasi dapat dilatih untuk bertanding dalam ujian penggembalaan.[2]

Lihat juga sunting

Catatan sunting

  1. ^ Jawi: کولي ليچين; bahasa Inggeris: smooth collie
  2. ^ Jawi: کولي بربولو ڤينديق

Rujukan sunting

  1. ^ "Cyclic Neutropenia | Gray Collie Syndrome | Animal Genetics )". www.animalgenetics.eu (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 31 Januari 2024.
  2. ^ Hartnagle-Taylor, Jeanne Joy; Taylor, Ty (2010). Stockdog Savvy (dalam bahasa Inggeris). Alpine Publications. ISBN 978-1-57779-106-5.

Bacaan lanjut sunting

  • Clark, Stella. Rough and Smooth Collies (Inggeris). Letchworth, United Kingdom: Ringpress Books, Ltd., 1993.
  • Collie Club of America. The New Collie (Inggeris). New York, Amerika Syarikat: Howell Book House, 1983.
  • Welton, Michelle. Your Purebred Puppy: a buyer's guide (Inggeris). New York, Amerika Syarikat: Henry Holt & Company, 2000.
  • Dorsten, Cindy. A Celebration of the Working Collie (Inggeris). Alpine Publications, sekitar 2002.

Pautan luar sunting