Colobinae merupakan salah satu cabang dalam rumpun Monyet Dunia Lama yang merangkumi 59 spesies dalam 10 genus, termasuklah spesies-spesies lotong, dan kera bekantan. Sesetengah pengelasan membahagikan monyet kolobin kepada dua puak, manakala yang lain pula kepada tiga kelompok. Kedua-dua pengelasan tersebut meletakkan ketiga-tiga genus asal Afrika iaitu Colobus, Piliocolobus, dan Procolobus ke dalam satu kumpulan; genus-genus ini dibezakan dengan ibu jari yang kontot (Yunani κολοβός kolobós = "kontot"). Manakala genus-genus Asia pula tergolong dalam satu atau dua lagi kumpulan. Analisis mtDNA mengesahkan spesies-spesies Asia membentuk dua kelompok berbeza, iaitu kumpulan langur dan kumpulan "hidung ganjil", tetapi berhujah bahawa langur kelabu tidak bersaudara rapat dengan mana-mana kelompok.[1]

Ciri-ciriSunting

Monyet kolobin merupakan primat bersaiz sederhana dengan ekor yang panjang dan pelbagai warnanya. Pewarnaan anak-anaknya berbeza ketara dengan yang dewasa-dewasa.

Kebanyakan spesiesnya tinggal di pokok, tetapi sesetengahnya cenderung hidup di darat. Ia terdapat di pelbagai habitat di pelbagai zon iklim (hutan hujan, paya bakau, hutan gunung, dan savana), tetapi tiada di gurun atau kawasan gersang yang seumpamanya. Ia hidup secara berkumpulan tetapi dalam pelbagai bentuk kawanan.

Sumber zat utama monyet kolobin ialah daun-daun. Selain itu ia juga makan bunga, buah-buahan dan sekali-sekala serangga. Untuk membantu pencernaan, terutamanya bagi daun yang sukar dicerna, ia mempunyai perut yang kompleks berbilang kebuk, oleh itu ia merupakan satu-satunya rumpun primat yang ruminan. Berbeza dengan satu lagi cabang monyet Dunia Lama iaitu Cercopithecinae, kolobin tidak mempunyai saku pipi.

Tempoh purata kebuntingan adalah enam ke tujuh bulan. Anak bercerai susu pada umur satu tahun dan mencapai kematangan dalam tiga ke enam tahun. Jangka hayatnya sekitar 20 tahun.

PengelasanSunting

  • Keluarga CERCOPITHECIDAE[2][1]
    • Subkeluarga Cercopithecinae
    • Subkeluarga Colobinae
      • Kumpulan Afrika
        • Genus Colobus - kolobus hitam putih
        • Genus Piliocolobus - kolobus merah
        • Genus Procolobus - kolobus zaitun
      • Kumpulan langur (monyet daun)
        • Genus Trachypithecus - lutung
        • Genus Presbytis - surili
        • Genus Semnopithecus - langur kelabu
      • Kumpulan hidung ganjil
        • Genus Pygathrix - douc
        • Genus Rhinopithecus - monyet hidung pendek terjungkit
        • Genus Nasalis - kera bekantan
        • Genus Simias - langur Pulau Pagai
 
Seekor langur di Taman Negara Pench, India

KacukanSunting

Dalam cabang rumpun Colobinae juga terdapat kacukan dengan cabang-cabang lain. Di India, langur kelabu (Semnopithecus spp.) diketahui berbiak kacuk dengan langur Nilgiri (Trachypithecus johnii).[3]

RujukanSunting

  1. ^ a b Sterner, Kirstin N.; Raaum, Ryan L.; Zhang, Ya-Ping; Stewart, Caro-Beth & Disotell, Todd R. (2006). "Mitochondrial data support an odd-nosed colobine clade" (PDF). Molecular Phylogenetics and Evolution. 40 (1): 1–7. doi:10.1016/j.ympev.2006.01.017. PMID 16500120.Selenggaraan CS1: pelbagai nama: senarai pengarang (link)
  2. ^ Groves, C.P. (2005).
  3. ^ Rowe, N. (1996). The Pictorial Guide to the Living Primates. Pogonias Press. halaman 139, 143, 154, 185, 223. ISBN 0-9648825-0-7.