Buka menu utama
Cut Nyak Meutia

Cut Nyak Meutia (1870 -24 Oktober 1910) ialah seorang pahlawan nasional Indonesia dari daerah Aceh di Sumatera.

Dilahirkan di Pirak, Keureutoe, Aceh Utara, Cut Meutia pada awalnya melawan Belanda bersama-sama suaminya, Teuku Muhammad (juga dikenali sebagai Teuku Cik Tunong). Namun pada bulan Mac 1905, Teuku Muhammad ditangkap oleh Belanda dan dihukum mati di tepi pantai Lhokseumawe. Sebelum meninggal dunia, beliau berpesan kepada sahabatnya, Pang Nagroe, supaya menikahi isterinya dan membesarkan anaknya, Teuku Raja Sabi.

Cut Meutia kemudian berkahwin dengan Pang Nagroe, sesuai dengan wasiat suaminya dan menyertai pasukan yang lain di bawah pimpinan Teuku Muda Gantoe. Dalam suatu pertempuran dengan pasukan polis Marechausée di Paya Cicem, Cut Meutia dan wanita-wanita yang lain melarikan diri ke dalam hutan. Pang Nagroe sendiri terus melawan sehingga akhirnya dibunuh pada 26 September 1910.

Cut Meutia kemudian bangkit dan terus melawan bersama saki-baki pasukannya. Beliau menyerang dan merampas kubu-kubu penjajah Belanda sambil bergerak menuju Gayo melewati hutan belantara. Namun pada 24 Oktober 1910, Cut Meutia bersama pasukannya bersemuka dengan pasukan polis Marechausée di Alue Kurieng dan gugur dalam pertempuran tersebut.