Republik Czech

(Dilencongkan dari Czech Republic)
Laman ini mungkin lebih sesuai dipindahkan ke Republik Cekh

Republik Cekh (Czech: Česká republika [ˈtʃɛskaː ˈrɛpublɪka] , bahasa Inggeris: Czech Republic[6]) atau juga dikenali ringkasnya sebagai Cekhia (Cekh: Česko [ˈtʃɛsko] , Latin: Cechia,[7] Inggeris: Czechia[6]) ialah sebuah negara tanpantai yang terletak di Eropah Tengah. Republik ini bersempadan dengan Poland di utara, Jerman di barat laut dan barat, Austria di selatan dan Slovakia di timur. Ibu negara republik ini ialah Praha. Republik Cekh terbentuk daripada tiga kawasan iaitu Bohemia, Moravia, dan sebahagian Silesia.

Republik Cekh
ريڤوبليك چيخ
Česká republika
Bendera Republik Cekh
Jata Republik Cekh
Bendera Jata
Cogan kata"Pravda vítězí"
Lagu kebangsaanKde domov můj
Lokasi  Republik Czech  (jingga) – di Eropah  (tan & putih) – di Kesatuan Eropah  (tan)                  [Petunjuk]
Lokasi  Republik Czech  (jingga)

– di Eropah  (tan & putih)
– di Kesatuan Eropah  (tan)                  [Petunjuk]

Ibu negara
dan bandar terbesar
Praha
Bahasa rasmiBahasa Cekh (de facto)1
KerajaanRepublik
• Presiden
Petr Pavel
Petr Fiala
Kemerdekaan
• daripada Austria-Hungary
28 Oktober 1918
1 Januari 1993
• Perairan (%)
2.0
Populasi
• Perkiraan 2023
Neutral increase 10,900,555[1] (ke-85)
• Bancian Penduduk 2021
Neutral increase 10,524,167[2]
133/km2 (344.5/sq mi) (ke-91)
KDNK (PPP)2023
• Jumlah
USD539.318 bilion[3] (ke-46)
USD49,025[3] (39th)
KDNK (nominal)2023
•  Jumlah
USD335.243 bilion[3] (ke-47)
USD30,474[3] (ke-37)
Gini (2020)negative increase 24.2[4]
rendah
HDI (2022) 0.895[5]
sangat tinggi · ke-32
Mata wangKoruna Cekh
(CZK)
Zon waktuUTC+1 (CET)
• Musim panas (DST)
UTC+2 (CEST)
Kod panggilan420
DPT internet.cz

Republik Cekh menyertai NATO pada tahun 1999 dan Kesatuan Eropah (EU) pada tahun 2004. Selain itu, ia merupakan ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, OECD dan Majlis Eropah. Republik Cekh merupakan sebuah negara membangun, mempunyai ekonomi yang kukuh, memiliki taraf hidup yang tinggi dan maju.

Pada 1993 berikutan pembubaran Cekhoslovakia, Kementerian Hal Ehwal Luar negara ini mengumumkan nama Česko sebagai nama rasmi dalam bahasanya dan Czechia untuk semua terjemahan dalam bahasa Inggeris[8] yang dirasmikan pada 2016,[9] nama Inggeris Czechia diterima pakai media bahasa Inggeris terbitan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,[6] Kesatuan Eropah[10] dan Kesatuan Penyiaran Eropah,[11] serta Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara.[12]

Sejarah sunting

Sejak tahun 400 Sebelum Masihi, kawasan Republik Cekh pada hari ini telah didiami dan dihuni oleh bangsa Celtic. Orang-orang Rom memanggil mereka "Boii" sekali gus orang Rom memberikan nama Bohemia kepada mereka. Seterusnya kira-kira 100 Masihi, puak Jermanik yang dipanggil Marcomanni menguasai kawasan ini. Orang Rom berdagang dengan orang Marcomanni dan kadang kala mereka menentang sesama mereka.

Pada abad ke-6, orang Slav memasuki kawasan Republik Cekh kini. Menurut legenda, seorang lelaki yang bernama Čech (sebutan: [ɛx]) mengetuai mereka. Walau bagaimanapun pada abad ke-9, sebuah bangsa iaitu Moravia berasal dari sempadang Republik Cekh dan Slovakia telah mencipta sebuah empayar di Eropah Tengah. Empayar ini disebut sebagai Empayar Moravia Raya dan ia meliputi kawasan Republik Czech, Slovakia dan sebahagian Jerman dan Poland sekarang.

Mubaligh-mubaligh Jerman membawa masyarakat empayar ini memeluk agama Kristian. Kemudian seorang pemerintah yang bernama Rastislav (846-870) meminta Maharaja Bizantin untuk mengirimkan mubaligh, Maharaja tersebut menghantar dua orang paderi, Cyrillus dan Methodius untuk melakukan kerja-kerja sebegini.

Santo Wenceslas mewarisi takhta Bohemia pada tahun 921 di kala beliau berusia 14 tahun. Di bawah pemerintahannya, beliau cuba memujuk rakyatnya untuk memeluk agama Kristian. Namun, Boleslav iaitu adik kandung Wenceslas bertindak menentang abang kandungnya sendiri. Pada tahun 929, Wenceslas mati dibunuh oleh orang-orang suruhan Boleslav. Selepas peristiwa tersebut, Wenceslas dikanunkan sebagai seorang santo. Tambahan lagi, agama Kristian terus tersebar dan semua orang Bohemia akhirnya memeluk agama tersebut.

Empayar Moravia mencapai zaman kegemilangannya ketika di bawah pemerintahan Svatopluk (871-894). Walau bagaimanapun pada tahun 896, sebuah bangsa ganas dari timur yang dipanggil Magyar menyerang Empayar Moravia. Mereka menakluki Slovakia tetapi Tanah Cekh terselamat dan bebas daripada ancaman tersebut.

Zaman Pertengahan sunting

 
Charlemagne. Pada penghujung kurun ke-8, Czech berada di dalam lingkungan pengaruh kerajaannya.

Perbezaan suku-suku di Tanah Cekh kini secara beransur-ansur bersatu di bawah dinasti Přemyslid. Walau bagaimanapun, orang-orang Jerman membayangi mereka. Pada tahun 950, Bohemia menjadi sebahagian daripada Empayar Suci Rom.

Pada awal abad ke-9, Charlemagne menakluki sebahagian besar kawasan Eropah Tengah dan Barat. Beliau mendakwa bahawa dirinya sebagai penerus maharaja Rom lama (walaupun empayarnya tidak meliputi Rom).

Selepas kemangkatan Charlemagne, empayarnya berpecah kepada tiga bahagian. Bahagian timur empayar akhirnya menjadi Jerman. Bagaimanapun penguasa timur mengekalkan gelaran maharaja. Pada saat itu, kerajaannya dikenali sebagai Empayar Suci Rom. Orang Cekh menentang segala campur tangan dan ancaman daripada Maharaja Suci Rom dalam urusan domestik mereka.

Pada abad ke-13, Bohemia (Tanah Cekh bagian Barat) menjadi sebuah negeri yang makmur. Emas dan perak ditemui dan perlombongan menjadi industri terpenting. Peneroka, pekebun dan pelombong dari Jerman didorong dan menetap di Bohemia. Kota-kota dan perdagangan semakin berkembang pesat. Dinasti Premyslid berakhir pada tahun 1306 apabila Raja Vaclav III dibunuh. Akhirnya, bangsawan-bangsawan Czech menawarkan takhta tersebut kepada John dari Luxembourg, suami kepada kakak Vaclav.

Abad ke-14 merupakan saat kegemilangan bagi orang Czech. John yang memerintah hingga tahun 1346 banyak menghabiskan masa di luar negara tetapi anak lelakinya, Karel IV menjadi seorang penguasa hebat. Di bawah pemerintahannya, Bohemia menjadi sebuah negeri kaya dan berkuasa. Pada tahun 1355, beliau diplih menjadi Maharaja Suci Rom. Pada tahun 1356, beliau menerbitkan Piagam Emas yang menegaskan bahawa Empayar Suci Rom merupakan sebuah persekutuan negara-negara yang berdaulat dan bukan hanya sebuah kerajaan biasa. Selain itu, Karel turut memperkenalkan cara pertanian lebih efisien dan berkesan dari Perancis. Secara tidak langsung, lombong-lombong emas dan perak menjadikan Bohemia sebagai sebuah negeri makmur. Karel juga membina banyak bangunan-bangunan awam dan bidang kesenian berkembang pesat di bawah pemerintahan beliau. Lebih-lebih lagi pada tahun 1348, Karel menubuhkan sebuah universiti di Praha sekali gus merupakan universiti pertama dibina di Eropah Tengah.

Husite sunting

 
Jan Hus, seorang pemimpin gerakan keagamaan dan berjasa dalam memperbaiki sistem bahasa Cekh.

Pada lewat abad ke-14, Gereja Katolik menjadi amat berkuasa dan kaya raya. Namun kuasanya semakin merosot. Gereja berpecah dan terdapat dua paus yang mendakwa mereka merupakan paus yang 'benar'. Sesetengah rakyat mula menuntut reformasi. Di England, John Wycliffe mengkritik kepercayaaan dan pengamalan gereja. Ajarannya tersebar ke Universiti Praha.

Kemudian, Jan Hus mengetuai golongan yang menuntut reformasi. Pada mulanya, raja pada masa itu rela menyokong para pengikutnya atas sebab politik. Walau bagaimanapun, Universiti Praha ditubuhkan bukan sahaja untuk pelajar Czech dari seluruh Empayar Suci Rom. Mereka dibahagikan kepada empat kumpulan yang dipanggil bangsa Saxon, Bavaria, Poland dan Czech. Setiap daripada mereka mempunyai hak kebebasan bersuara yang sama. Walau bagaimanapun pada tahun 1409, Vaclav IV mengubah sistem ini. Beliau menetapkan bahawa pada masa depan negara Cekh akan mempunyai 3 undian dan negara-negara lain akan hanya mempunyai satu undian. Perubahan ini memaksa pelajar dan pensyarah Jerman meninggalkan universiti. Namun, Vaclav IV mengubah pandangannya pada tahun 1412 apabila beliau ditawarkan sejumlah wang hasil penjualan sijil indulgensi.[nb 1] Husite tidak bersetuju dengan tindakan si raja sekali gus mereka berpisah.

Pada tahun 1412, Hus dan pengikutnya diusir dari Universiti Praha dan mereka dikucilkan. Kemudian, mereka sering mengembara sebagai mubaligh. Akhirnya, Hus dipanggil ke Majlis Constance untuk membalas tuduhan sesat terhadapnya. Maharaja Suci Rom, Sigismund berjanji kepadanya bahawa beliau selamat menyebarkan ajarannya. Malangnya, Hus mati dibakar pada Julai 1415.

Setelah peristiwa itu, banyak amalan dan kepercayaan gereja masyarakat Cekh diperbaharui. Segelintir paderi disingkirkan daripada paroki. Walau bagaimanapun pada tahun 1419, Raja Vaclav IV bertindak mengembalikan semula paderi-paderi yang disingkirkan itu. Hal ini mencetuskan pemberontakan. Selain itu, pengikut-pengikut Hus mencampak musuhnya dari tingkap bangunan.

Dalam pertempuran Vitkov pada tahun 1420, Jan Žižka memimpin pihak Husite menentang 'tentera Salib'. Husite mengepung tentera musuh dan mereka menggunakan gerobak kayu sebagai perlindungan. Orang wanita juga terlibat bersama laki-laki dan mereka menggunakan alatan-alatan pertanian yang diselaraskan menjadi senjata. Dengan menggunakan kaedah tidak lazim, mereka berjaya menghancurkan tentera salib dalam pertempuran Vitkov.

Sementara itu, Husite berpecah kepada dua kumpulan. Kumpulan sayap yang lebih radikal menubuhkan sebuah kota baru yang dipanggil Tábor sekali gus mereka dikenali sebagai Taborite. Kumpulan ini bukan sahaja mengkritik gereja malahan mereka mereka menyerang gereja dan merampas banyak harta benda. Oleh sebab itu, tidak hairanlah mereka tidak dikenali dalam kalangan golongan atasan. Selain itu, satu lagi kumpulan sayap Husite yang hidup lebih bersederhana. Mereka lebih warak dan tidak menginginkan perubahan sosial. Golongan ini digelar Utraquist. Pada mulanya, Taborite dan Utraquist bersama-sama menentang Gereja Katolik. Seterusnya, "The Bohemian Diet" (parlimen) menyusun Empat Artikel Praha yang bermaksud mereka perlu berkompromi satu sama lain. Namun persatuan ini tidak bertahan lama.

Pada tahun 1431, tentera Katolik tewas dalam pertempuran Domažlice. Setelah itu gereja Katolik menyedari bahawa ia harus menggunakan cara diplomasi. Pada tahun 1433, mereka berdamai dengan Utraquist. Pihak Taborite pula menolak untuk berdamai sekali gus memaksa Utraquist memusuhi dan menentangnya.[nb 2] Pada tahun 1434, Utraquist bersama-sama Katolik menewaskan Taborite dalam pertempuran Lipany.

Pada abad ke-15, Bohemia seperti negara-negara Eropah Tengah lain menerima ancaman daripada Turki Uthmaniyyah. Sementara itu, Bohemia mempunyai pengganti raja yang lemah di samping golongan bangsawan Czech menjadi lebih berkuasa dan kukuh untuk membiaya raja Bohemia.

Pemerintahan Habsburg sunting

Kerabat Habsburg merupakan sebuah kerabat diraja berkuasa yang menguasai beberapa negara Eropah. Pada tahun 1520an, Ferdinand I memegang tampuk kekuasaan sebagai penguasa tanah Bohemia. Beliau merupakan seorang penganut Katolik. Pada mulanya, beliau telah dipaksa untuk menerima Gereja Hussite di Bohemia tetapi beliau bertindak menyertai peperangan menentang Protestan di Jerman pada tahun 1546-1547. Orang Cekh turut melancarkan pemberontakan tetapi ia berjaya dipatahkan. Setelah itu, ramai penganut Protestan yang terkemuka telah dihukum bunuh. Tambahan lagi, Ferdinand telah mengundang Jesuit ke Bohemia untuk menukarkan agama rakyatnya ke Katolikisme. Namun, beliau mengorak langkah dengan penuh waspada untuk mengelakkan kehilangan pengaruhnya di Czech. Puteranya iaitu Rudolf II lebih toleransi dan mengatakan beliau bukannya Katolik mahupun Protestan tetapi seorang Kristian. Beliau juga merupakan pelindung seni-seni dan pendidikan selain budaya Czech telah melalui tempoh perkembangan yang pesat ketika di bawah pemerintahan beliau.

Walau bagaimanapun, Rudolf telah digulingkan pada tahun 1611 lalu memberikan laluan kepada abangnya, Matthias. Pada tahun 1617, beliau telah menegaskan bahawa saudara Kristiannya, Ferdinand II sebagai pewaris takhta. Keputusan ini telah mencetuskan pemberontakan yang dilancarkan oleh bangsawan-bangsawan Protestan. Di negara-negara lain, pihak Katolik dan Protestan masing-masing berperang dan bertempur sesama mereka dan mengakibatkan Eropah ditimpa peperangan dahsyat iaitu Perang Tiga Puluh Tahun.

 
Bangsawan-bangsawan Katolik dibaling keluar jendela penduduk Protestan Praha menandakan permulaan Pemberontakan Bohemia ke atas pemerintahan Habsburg.

Pada tahun 1618 apabila seberapa orang bangsawan Katolik dibaling keluar dari bangunan tinggi di Praha. Peristiwa ini dikenali sebagai . Walau bagaimanapun, pihak Protestan terkandas dalam Pertempuran Gunung Putih pada tahun 1620. Akhirnya, sebilangan bangsawan Protestan telah dihukum pancung dan harta-harta mereka dirampas. Pada tahun 1627, satu perlembagaan baru telah diperkenalkan. Kuasa Czech Diet (parlimen) semakin terbatas dan agama Katolik merupakan satu-satunya agama yang diiktiraf.

Sementara itu, Orang Cekh ditimpa kesengsaraan yang teruk akibat peperangan. Pada tahun 1632, pihak Protestan Saxon telah menguasai Bohemia tetapi kemudian berjaya dirampas semula oleh tentera Katolik. Seterusnya selama 13 tahun dari 1635 hingga 1648, kedua-dua belah pihak iaitu Protestan dan Katolik bertempur di Bohemia. Apabila peperangan akhirnya tamat pada tahun 1648, Bohemia mengalami kemusnahan serta populasinya turun dengan mendadak sekali. Setelah itu, Bohemia menjadi wilayah Katolik. Tanah-tanah hak pemilik Protestan habis dirampas dan diberikan kepada Katolik Jerman. Pemerintah Habsburg turut meraih kuasa yang besar. Akhirnya, tanah Cekh menjadi sebahagian daripada empayar Austria dan Hungary. Budaya Czech mendapat tempiasnya.

Walau bagaimanapun, nasib yang menimpa Orang Cekh terbela pada pertengahan abad ke-18. Sejak tahun 1740, Maria Theresa menjadi permaisuri Austria yang punya rasa belas kasihan terhadap orang Cekh berbanding penguasa -penguasa terdahulu. Namun, Bohemia terbabit dalam Perang Warisan Austria dari tahun 1740 hingga 1748. Tentera Perancis menduduki Praha pada tahun 1741 hingga 1742 sebelum dikuasai oleh Prusia pada tahun 1744. Lebih-lebih lagi pada tahun 1757, tentera Prusia menewaskan angkatan Austria dalam pertempuran Praha ketika Perang Tujuh Tahun. Pada tahun 1773, permaisuri mengharamkan Jesuit tetapi pada tahun 1781, penggantinya memperkenalkan dasar toleransi agama.

Abad ke-19 sunting

Pada awal abad ke-19, sektor perindustrian di Tanah Cekh berkembang dengan pesat terutamanya industri tekstil. Bahkan, industri gula dan besi juga begitu menguntungkan. Sementara itu, kebudayaan Cekh turut berkembang seiring dengan perkembangan ekonominya. Antara tokoh kebudayaan yang lahir pada zaman itu ialah Josef Dobrovský, seorang tokoh bahasa dan František Palacký, iaitu seorang sejarawan. Ketika abad ke-19 juga, komposer tersohor Antonín Dvořák muncul dan menulis banyak opera, konserto serta simfoni.

Nasionalisme dan idea-idea hasil cetusan Revolusi Perancis tersebar meluas dan pada tahun 1848, mereka membangkitkan satu revolusi. Revolusi ini dimulai di Perancis pada bulan Februari sebelum merebak ke bahagian-bahagian lain Eropah. Akibat rasa khuatir dengan kerusuhan yang melanda, Maharaja Austria mengambil langkah. Beliau berjanji kepada rakyatnya untuk melaksanakan perubahan. Pada bulan Jun, Kongres Slav telah diadakan di Praha. Pada masa itu, golongan radikal Czech telah membina penghalang di Praha untuk menyekat kemaraan tentera. Tentera akhirnya mundur tetapi mereka menggunakan artileri untuk mengebom Praha. Kota tersebut akhirnya jatuh dan revolusi yang melanda di jajahan Austria berjaya dipatahkan.

Namun pada tahun 1859, Austria tewas dalam peperangan dengan Perancis. Seterusnya pada tahun 1866, Austria menghadapi satu lagi kekalahan dalam peperangan dengan Prusia. Berikutan kekalahan demi kekalahan, kerajaan dwimonarki telah diasaskan pada tahun 1867. Austria dan Hungary menjadi negara merdeka di bawah satu sistem pemerintahan beraja. Namun, bangsa Czech tidak memperoleh sebarang bentuk autonomi, nasionalisme dan permintaan untuk kemerdekaan. Sementara itu, industri perindustrian semakin maju di Czech di mana industri perlombongan arang batu dan kejuruteraan terus berkembang pesat.

Perang Dunia Pertama sunting

Pada tahun 1914, Orang Cekh enggan berjuang untuk Austria dan Magyar. Mereka turut meluahkan keengganan untuk berjuang bersama orang Rusia (bangsa serumpun). Di barisan timur, ribuan orang Cekh telah menyerah kepada Rusia daripada berjuang menentang mereka.

Sementara itu di Paris, seorang penyarah universiti iaitu Tomáš Garrigue Masaryk menubuhkan sebuah persatuan yang dikenali sebagai Jawatankuasa Kebangsaan Czech. Pada November 1915, persatuan tersebut mendesak untuk menuntut kemerdekaan Bohemia dan Slovakia. Pada 29 Jun 1918, persatuan tersebut telah diiktiraf sebagai kerajaan sementara Cekhoslovakia oleh Perancis. Seterusnya ia diiktiraf oleh British pada 9 Ogos, Amerika Syarikat pada 18 September dan Itali pada 3 Oktober. Apabila perang seakan tamat, empayar Austria-Hungary jatuh dan kehilangan wilayah-wilayah jajahannya. Pada 14 Oktober, Masaryk mendedahkan pengisytiharan kemerdekaan Cekhoslovakia (juga dikenali sebagai pengisytiharan Washington) kepada presiden Amerika Syarikat, Woodrow Wilson. Pada 28 Oktober 1918, keputusan Republik Cekhoslovakia sebagai negara merdeka telah diisytiharkan di Praha.

Sementara itu pada tahun 1916, beberapa tahanan perang Czech bersetuju menyertai Legion Asing Perancis untuk menentang Austria. Pada tahun 1917, sebahagian tentera Czech telah dibentuk di Rusia. Namun pada November 1917, komunis telah mencetuskan revolusi. Rusia terjerumus ke dalam kancah perang saudara. Kemudian, tentera-tentera Czech mengambil keputusan untuk pulang ke tanah air tetapi pada 20 Mei 1918, komunis mendesak mereka agar melucutkan senjata. Mereka menolak dan mereka harus menentang komunis Rusia untuk kembali pulang.

Cekhoslovakia sunting

 
Tomáš Garrigue Masaryk, presiden Cekhoslovakia pertama.

Cekhoslovakia, negara yang baru mencapai kemerdekaan merupakan satu-satunya negara industri di Eropah Timur. Malah, negara ini juga berjaya melaksanakan sistem demokrasi dengan baik. Presiden pertama merupakan Tomáš Garrigue Masaryk.

Semasa tempoh antara perang, Cekhoslovakia telah menghasilkan seorang penulis hebat iaitu Franz Kafka. Antara penulis lain ialah Jaroslav Hašek dan Karel Čapek, iaitu orang pertama yang menggunakan perkataan 'robot' sebagai takrif manusia mekanikal di dalam R.U.R..

Namun, republik baru ini berdepan beberapa masalah iaitu mempunyai golongan minoriti yang besar. Pada 29 Oktober 1918, orang Jerman di utara dan Bohemia barat mengumumkan kemerdekaan. Walau bagaimanapun, pihak Bersekutu berasa gusar bahawa mereka akan sertai Austria. Tentera Itali dan Perancis telah menuju ke kawasan minoriti Jerman di Cekhoslovakia untuk kembali bergabung dengan Cekhoslovakia semula tetapi golongan tersebut tetap mendesak menuntut kemerdekaan

Pada tahun 1930an, Cekhoslovakia mengalami krisis ekonomi ketika Zaman Meleset. Pada tahun 1933, hasil industri merosot sebanyak 60%. Pengangguran meningkat sehingga hampir satu pertiga daripada tenaga kerja. Namun, ekonomi Cekhoslovakia beransur pulih perlahan-lahan selepas tahun 1935.

Namun pada lewat 1930an, persoalan baru muncul terhadap golongan minoriti Jerman yang menetap di Sudetenland. Mereka telah membentuk sebuah parti pemisah, Parti Sudeten Jerman dan pada tahun 1935, 60% daripada orang Jerman telah mengundi parti tersebut. Setelah menakluk Austria pada Mac 1938, Adolf Hitler mula mengalihkan perhatiannya terhadap Cekhoslovakia pula. Konrad Henlein, ketua Parti Sudeten Jerman menuntut autonomi penuh. Pada bulan Mei, tentera Jerman mula berarak menuju kawasan sempadan. Kerajaan Czech bertindak mengarahkan pengerahan separa. Di samping itu, Henlein mendesak bahawa Sudetenland bergabung dengan Jerman.

Lebih teruk lagi, Britain dan Perancis tidak menghulurkan sebarang bantuan untuk mempertahankan Cekhoslovakia. Pada 15 September, Neville Chamberlain iaitu Perdana Menteri United Kingdom bertemu Hitler di Berchtesgaden. Kemudian, beliau sekali lagi bertemu Hitler di Bad Godesberg dalam percubaan untuk 'menyanjung' Hitler. Pada 23 September, tentera Cekhoslovakia dikerah sepenuhnya. Malangnya pada 30 September, Chamberlain bersama Édouard Daladier bertemu Hitler di Munich dan mereka bersetuju dengan segala tuntutan Jerman. Rakyat Czech tiada pilihan melainkan untuk bersetuju. Presiden Edvard Beneš meletak jawatan pada 5 Oktober. Beliau kemudian meninggalkan Cekhoslovakia pada 22 Oktober. Seterusnya pada 15 Mac, tentera Jerman menduduki tanah-tanah Czech. Slovakia menjadi negara berasingan dan di bawah status sebagai negara satelit Jerman.

 
Marsyal Ivan Konev semasa pembebasan Praha pada Mei 1945.

Kemudian pada 21 Julai 1940, kerajaan British mengiktiraf Benes sebagai pemimpin Cekhoslovakia yang sementara. Pada tahun 1941, Reinhard Heydrich telah memegang jawatan sebagai Penaung Reich atau penguasa tanah Czech. Seterusnya ia disusuli gelombang pelaksanaan hukuman mati. Heydrich juga mengusir orang Yahudi ke kem-kem tahanan. Namun pada 27 Mei 1942, beliau telah dibunuh oleh ejen Czech yang menyelinap masuk menggunakan payung terjun. Pihak Jerman bertindak melancarkan pembalasan dendam. Mereka telah membakar perkampungan Lidice dan Ležáky dan membunuh semua penduduk lelaki. Kaum wanita dan golongan kanak-kanan telah diusir.

Pada 6 October 1944, tentera Czech berjuang bersama tentera Soviet dengan merentas sempadan dari Poland ke Cekhoslovakia. Pada 4 April 1945, Presiden Beneš membentuk sebuah kerajaan sementara di Košice. Ia terdiri daripada golongan sosialis, demokrasi sosial dan komunis. Pada 5 Mei, warga Praha bangkit melancarkan pemberontakan menentang Jerman. Mereka berjuang sehingga 9 Mei apabila tentera Rusia tiba di bandar itu. Selepas Perang Dunia Kedua, etnik Jerman yang mendiami Sudetenland telah diusir dan dihalau dari Cekhoslovakia.

Era komunis sunting

Komunis mula mengambil alih Cekhoslovakia. Walaupun Edvard Beneš merupakan presiden negara, komunis telah memegang beberapa jawatan utama dalam kerajaan seperti jawatan Menteri Pertahanan dan Menteri Dalam Negeri. Mereka juga telah mengawal kesatuan sekerja. Dalam pilihan raya parlimen yang diadakan pada Mei 1946, Parti Komunis Cekhoslovakia meraih 40% undian dan muncul sebagai parti terbesar negara.

Pada awal tahun 1948, Menteri Dalam Negeri dari parti komunis mula menyingkirkan pegawai-pegawai yang tidak dipercayai dan digantikan dengan pegawai komunis. Pada Februari 1948, ahli-ahli kabinet bukan dari parti komunis meletak jawatan sebagai tanda protes. Mereka berharap Presiden Beneš akan bertindak memecat pemimpin tertinggi komunis di negara itu, Klement Gottwald. Walau bagaimanapun, golongan pro-komunis mengadakan demonstrasi dan tunjuk perasaan serta tentera Soviet mula memperkukuh kedudukannya di sempadan Hungary. Gottwald meminta Presiden Beneš agar merombak kabinet baru untuk memberi kelebihan kepada ahli komunis. Seterusnya pada 9 Mei, parlimen meluluskan perlembagaan baru yang memberikan laluan kepada parti komunis sebagai 'watak utama'. Namun, Beneš tidak bersetuju untuk mendantangan seterusnya beliau meletakkan jawatan. Gottwald menggantikannya sebagai presiden baru. Sementara itu, seorang ahli politik liberal iaitu Jan Masaryk telah dibunuh.

Pemerintahan komunis tidak menunjukkan minat untuk mewujudkan rejim totalitarianisme di Cekhoslovakia. Pada mulanya, komunis menahan dan menangkap semua penentangnya. Kemudian, mereka beralih kepada ahlinya sendiri. Pada awal 1950an, parti komunis telah 'disucikan'. Ahli-ahlinya ada yang dihukum dan dipenjarakan. Selepas kematian Joseph Stalin pada tahun 1953, Cekhoslovakia dilanda gerakan tunjuk perasaan dan mogok. Tentera-tentera dikerahkan untuk meredakan keadaan. Sementara itu, perindustrian telah dimiliknegarakan dan pertanian dijalan secara kolektif.

Pada era 1960an, kritikan ke atas pemerintahan komunis bertambah dan ia mencapai kemuncak pada tahun 1968. Pada Januari 1968, Alexander Dubček menjadi Setiausaha Parti Komunis Pertama negara. Ketika Peristiwa Musim Bunga Praha, beliau telah memperkenalkan pembaharuan dan kebebasan negara di bawah slogan 'sosialisme dengan wajah manusia'. Hal ini membangkitkan rakyat untuk mengkritik pemerintahan komunis secara terang-terangan. Namun, tentera Soviet gempar dan mereka berusaha untuk menghentikan pembaharuan tersebut kerana mereka menganggap ia sebagai satu ancaman.

Pada malam 20 hingga 21 Ogos 1968, tentera Soviet serta anggota Pakatan Warsaw telah menceroboh Cekhoslovakia. Pembebasan dan pembaharuan yang dilaksanakan telah dihentikan akibat tekanan diplomatik oleh negara asing. Pada 16 Januari 1969, seorang pelajar iaitu Jan Palach telah membakar dirinya sendiri sebagai tanda protes politik di Dataran Wenceslas di Praha. Beliau akhirnya meninggal dunia di hospital pada 19 Januari 1969. Kemudian, ia menimbulkan beberapa siri protes yang berterusan.

Pada tahun 1978, Vladimír Remek menjadi Orang Cekh pertama yang berada di angkasa lepas.

Pada tahun 1989, pemerintahan tirani komunis di Cekhoslovakia mengalami kejatuhan. Pada 17 November, pihak polis menyerang demonstrasi para pelajar. Pada 19 November, aktivis hak asasi manusia telah mengasaskan Forum Sivik dan seterusnya telah berlaku satu demontrasi yang besar.

 
Václav Havel di protes keamanan di Praha semasa Revolusi Baldu.

Akhirnya, parti komunis bersetuju untuk menamatkan pemerintahan satu parti. Mereka berjanji untuk membentuk sebuah kerajaan campuran. Walau bagaimanapun, ia ternyata bahawa parti komunis mendominasi kerajaan campuran tersebut. Rakyat mula tidak berpuas hati dan melancarkan tunjuk perasaan berterusan. Akhirnya pada 10 Disember, sebuah kerajan baru dibentuk. Majlis Persekutuan melantik Václav Havel sebagai presiden Cekhoslovakia pada 29 Disember. Pada Jun 1990, pilihan raya berbilang parti telah diadakan dan proses untuk mengalihkan Cekhoslovakia ke dalam pasaran ekonomi bermula.

Republik Czech sunting

Revolusi Baldu disusuli oleh Penceraian Baldu. Orang Cekh dan Slovakia merupakan dua bangsa yang berbeza serta mempunyai sejarah yang berlainan. Pada Jun 1992, sejarah. Pada Jun 1992, Gerakan Demokratik Slovakia memenangi pilihan raya dan mendesak untuk kemerdekaan Slovakia. Czech dan Slovakia mencapai persetujuan dan mulai 1 Januari 1993, Cekhoslovakia berpecah kepada dua negara baru iaitu Republik Cekh dan Slovakia. Presiden Republik Cekh yang pertama merupakan Vaclav Havel. Pada tahun 1999, Republik Cekh telah menyertai NATO dan Kesatuan Eropah (EU) pada tahun 2004.

Seperti negara-negara Eropah yang lain, Republik Cekh juga mengalami krisis ekonomi pada tahun 2009. Namun, ekonomi Republik Cekh kian pulih dan semakin membangun. Pada tahun 2016, Czechia menjadi nama alternatif rasmi negara.

Politik sunting

Geografi sunting

Kawasan sunting

Kawasan geografi Republik Cekh merangkumi muka bumi yang berbeza-beza. Bohemia merupakan kawasan barat republik ini yang di lintasi sungai Elbe dan Vltara. Daratan ini dikelilingi oleh gunung-ganang yang rendah seperti Sudeten yang merupakan sebahagian kawasan Krkonoše. Di kawasan Krkonoše ini terletaknya puncak tertinggi negara ini iaitu Sněžka yang mencapai ketinggian 1,602 meter. Kawasan timur negara ini, Moravia, mempunyai muka bumi berhilir-hilir dan di lintasi Sungai Morava. Kawasan ini juga merupakan punca Sungai Oder. Sungai-sungai Republik Cekh mengalir ke arah tiga lautan iaitu Laut Hitam, Laut Utara an Laut Baltik. Suhu tempatan negara ini bertukar mengikut musimnya dan cuaca harian di pengaruhi oleh kawasan daratan dan lautan di sekelilingnya.

Daerah Ibu kota
Praha*  
Daerah Bohemia Tengah (Středočeský kraj) Pejabatnya terletak di Praha
Daerah Bohemia Selatan (Jihočeský kraj) České Budějovice
Daerah Plzeň (Plzeňský kraj) Plzeň
Daerah Karlovy Vary (Karlovarský kraj) Karlovy Vary
Daerah Usti nad Labem (Ústecký kraj) Ústí nad Labem
Daerah Liberec (Liberecký kraj) Liberec
Daerah Hradec Kralove (Královéhradecký kraj) Hradec Králové
Daerah Pardubice (Pardubický kraj) Pardubice
Daerah Olomouc (Olomoucký kraj) Olomouc
Daerah Moravia-Silesia (Moravskoslezský kraj) Ostrava
Daerah Moravia Selatan (Jihomoravský kraj) Brno
Daerah Zlin (Zlínský kraj) Zlín
Daerah Vysocina (Vysočina) Jihlava

Ekonomi sunting

Demografi sunting

Kebudayaan sunting

Nota sunting

  1. ^ Indulgensi ialah sebuah sijil atau dokumen. Jika seseorang membelinya, dosa-dosanya akan diampunkan
  2. ^ Golongan kaya Czech takut dan khuatir terhadap Taborite kerana mereka menentang perintah sosial yang sedia ada.

Rujukan sunting

  1. ^ "Population – CZSO". Czech Statistical Office. 23 March 2024.
  2. ^ Ralat petik: Tag <ref> tidak sah; tiada teks disediakan bagi rujukan yang bernama census2021
  3. ^ a b c d "World Economic Outlook Database, October 2023 Edition. (Czechia)". IMF.org. International Monetary Fund. 10 October 2023. Dicapai pada 11 October 2023.
  4. ^ "Gini coefficient of equivalised disposable income". Eurostat. Diarkibkan daripada yang asal pada 9 October 2020. Dicapai pada 21 Jun 2022.
  5. ^ "Human Development Report 2023/24" (PDF) (dalam bahasa Inggeris). United Nations Development Programme. 13 March 2024. Dicapai pada 13 Mac 2024.
  6. ^ a b c Rujuk:
  7. ^ Geipel, Matthias (1997). Latein als Vertragssprache innerhalb Europas: 2. "memores pacti, quod [anno 1992] res publicae foederatae et Germaniae et Cechiae Slovaciaeque de bona vicinitate et collaboratione familiari confecerunt"
  8. ^ "Czechia – the civic initiative". www.czechia-initiative.com. Dicapai pada 11 January 2022.
  9. ^ "Vláda schválila doplnení jednoslovného názvu Cesko v cizích jazycích do databází OSN" [The government has approved the addition of one-word Czech name in foreign languages to UN databases]. Ministerstvo zahraničních věcí České republiky (dalam bahasa Czech). 5 May 2016. Diarkibkan daripada yang asal pada 28 August 2018. Dicapai pada 28 August 2018.
  10. ^ European Union (5 July 2016). "Czechia". European Union. Diarkibkan daripada yang asal pada 25 December 2018. Dicapai pada 31 May 2021.
  11. ^ "Our Members". European Broadcasting Union. 17 February 2023. Dicapai pada 29 May 2023.
  12. ^ "Member countries". NATO. Dicapai pada 3 October 2022.

Lihat juga sunting