Besut

daerah Melayu Kelantan di Terengganu, Malaysia
(Dilencongkan dari Daerah Besut)

Besut ialah sebuah daerah di utara Terengganu, Malaysia. Daerah ini bersempadan negeri dengan daerah Pasir Puteh, Kelantan di utara manakala di selatan bersempadan dengan daerah Hulu Terengganu, Setiu dan Laut China Selatan di timur. Ibu daerah Besut ialah Jerteh sementara pusat pentadbiran ialah di Kampung Raja dan pusat pelabuhan ikan adalah di Kuala Besut. Daerah ini mempunyai keluasan 123,367.8 hektar (304,848 ekar)[1] dan penduduk seramai 154,168 pada tahun 2020.

Besut
Daerah Besut
Bendera Besut
Lokasi Daerah Besut di Terengganu
Lokasi Daerah Besut di Terengganu
NegaraMalaysia
NegeriTerengganu
Pihak berkuasa tempatanMajlis Daerah Besut
Kerajaan
 • Yang DipertuaAbdul Rasid bin Jusoh
Keluasan
 • Jumlah123,367.8 ha (304,848.5 ekar)
 • Kawasan majlis73.82 km2 (28.50 batu persegi)
Penduduk
 (2020)[3]
 • Jumlah154,168
 • Kepadatan120/km2 (320/batu persegi)
 • Kawasan majlis
154,168
 • Kawasan majlis density2,100/km2 (5,400/batu persegi)
Poskod
22+++
Laman sesawangMajlis Daerah Besut
Pejabat Daerah dan Tanah Besut

Nama sunting

Nama Besut ini dipercayai berasal daripada kata Siam yang bermaksud "Daerah Pengakhiran" iaitu BE bermaksud "daerah" dan SUT bermaksud "hujung" atau "pengakhiran" sesuai dengan namanya merupakan kawasan yang paling hujung pemerintahan Kerajaan Patani.

Versi lain pula menyatakan bahawa nama Besut daripada nama Ketua Lanun dari kalangan Orang Darat, mereka sangat ganas dan kejam sehingga tidak ramai yang tinggal di kawasan tersebut. Ketua Lanun itu bergelar "Besut" juga dikenali sebagai Raja Sang Nyana, setelah kematian beliau, kumpulan Orang Darat tersebut menggelar tempat tinggal mereka itu sempena nama Raja mereka. Ada juga yang mengatakan bahawa nama "Besut" berasal daripada nama Ketua kampung orang asli di kawasan tersebut.

Sejarah sunting

Sebahagian dari Kelantan sunting

 
Peta pemerintahan D' Jembal Kelantan pada tahun 1650 Masihi.

Besut pada asalnya merupakan tanah milik Kesultanan Kelantan-Patani. Hal ini dapat dibuktikan melalui zaman pemerintahan Raja Sakti I dari Kelantan yang mengabungkan Patani dibawah pengaruh pentadbirannya apabila Ratu Kuning dari Patani sudah wafat dan tidak memiliki waris manakala Terengganu pula bernaung dibawah Kelantan-Patani. Penguasaan Kelantan keatas Besut hanyalah berlama 161 tahun sahaja apabila Kesultanan Patani diserang oleh Siam pada 1785 yang menyebabkan Kelantan berpecah belah menjadi dua blok iaitu Kelantan Timur dan Kelantan Barat manakala Terengganu telah melarikan diri dan bernaung dengan Kesultanan Pahang dan Johor.

Bernaung di bawah Terengganu sunting

 
Pete Kerajaan Besut Darul Iman yang bernaung dibawah Terengganu

Setelah keruntuhan Negara Patani Besar, Terengganu telah mengunakan peluang untuk menguasai tanah Kelantan yang waktu itu berpecah belah. Pada tahun 1780, Sultan Mansur Riayat Syah telah berjaya menyelamatkan Besut daripada ancaman lanun dan akhirnya Besut menjadi sebuah negara kecil yang berasingan dengan Kelantan yang bernaung dengan Terengganu. Terengganu telah melantik Tengku Abdul Kadir bin al-Marhum Sultan Mansur Shah sebagai raja Besut yang pertama.

Sebahagian dari Terengganu sunting

 
Lokasi Besut dalam Terengganu kini setelah berpisah dengan sebahagian tanah yang kini menjadi tanah Setiu

Walaupun Terengganu telah berjaya menyelamatkan Besut namun Besut telah melakukan pemberontakan keatas Terengganu semasa Tengku Ali bin Tengku Abdul Kadir menaiki raja Besut ke-dua. Hal ini kerana perbezaan budaya Besut yang lebih mirip dengan Kelantan-Patani serta campur tangan masyarakat Besut yang menyebabkan Tengku Ali menjadi benci dan anti kepada Terengganu. Semasa pertabalan Tengku Ahmad sebagai Yang Dipertuan Muda Terengganu, Raja Besut tidak langsung menghadiri majlis tersebut sehingga menyebabkan Sultan Terengganu, Sultan Omar menggerakkan angkatan tenteranya ke Besut yang menyaksikan Tengku Ali membawa tenteranya yang berpangkalan di Jerteh yang disokong oleh masyarakat Besut dan Kelantan untuk menghalau Sultan Omar dari Besut namun tentera Tengku Ali tewas apabila Sultan Omar telah meminta bantuan dari Siam yang berpangkalan di Singgora (Songkhla kini). Untuk menyelesaikan konflik ini maka Terengganu melantik Tengku Ngah sebagai Raja Besut sehingga pentadbirannya tamat pada tahun 1899 dan akhirnya Besut digabungkan dengan Kesultanan Terengganu Darul Iman.

Geografi sunting

Petempatan-petempatan utama dalam daerah ini termasuklah Alor Lintah, Apal, Jabi, Jerteh, Kampung Raja, Kuala Besut dan Pasir Akar.[2]

Pentadbiran sunting

 
Peta daerah Besut

Besut ditadbir oleh sebuah kerajaan tempatan iaitu Majlis Daerah Besut. Majlis ini dipimpin oleh Yang Dipertua dan pada masa ini dijawat oleh Abdul Rasid bin Jusoh.[4] Kawasan di bawah majlis ini meliputi 73.82 kilometer persegi (18,240 ekar) iaitu 90 peratus keseluruhan kawasan daerah[2]; penduduk di bawahnya adalah seramai 154,168 orang pada tahun banci 2020.[5] Besut dirancang untuk dinaik taraf menjadi sebuah daerah perbandaran menjelang tahun 2022.[perlu rujukan]

Besut diwakili dalam Dewan Parlimen oleh sebuah kerusi iaitu Besut (P33). Bagi peringkat negeri, Besut diwakili dalam Dewan Undangan Negeri Terengganu oleh empat kerusi iaitu Jerteh, Kota Putera, Kuala Besut dan Hulu Besut.

Pecahan pentadbiran sunting

Daerah Besut dibahagikan kepada 15 mukim iaitu:[1]

Demografi sunting

Berdasarkan bancian Malaysia 2020, jumlah penduduk di Daerah Besut ialah seramai 154,168 orang dengan kepadatan penduduk 125 orang perkilometer persegi yang dikategorikan sebagai taburan penduduk padat. Majoriti penduduk di daerah Besut berbangsa Melayu, seramai 148,925 orang.[6][5]

Bilangan penduduk mengikut bangsa pada tahun 2020.[6]
Status Bangsa Jumlah
Warganegara Melayu 148,925
Bumiputera lain 261
Cina 1,300
India 97
Lain-lain 478
Bukan warganegara - 3,107
Jumlah 154,168

Agama sunting

Di daerah Besut, agama Islam merupakan agama paling ramai penganut dengan peratusan 98 peratus diikuti agama Buddha sebanyak satu peratus. Agama Kristian, Hindu dan lain-lain serta tidak beragama mencatatkan kurang satu peratus.[5]

Ekonomi sunting

Kegiatan ekonomi yang utama penduduk di daerah Besut ialah berniaga, mengusaha tanaman padi, sawit, getah dan perikanan.

Budaya sunting

Penduduk Besut kebanyakan berasal dari negeri Kelantan. Kebanyakan budaya di Besut dipengaruhi budaya Kelantan sama ada dari segi pakaian, bahasa serta makanan. Majoriti penduduk Besut bertutur dalam Bahasa Melayu Kelantan namun terdapat juga sebahagian kecil bertutur dalam Bahasa Melayu Terengganu terutama di bahagian sempadan daerah Besut dengan Setiu dan juga di sempadan daerah Hulu Terengganu.

Tempat menarik sunting

Besut terletak menghadap Laut China Selatan yang mana terdapat pantai dan juga beberapa pulau yang terkenal seperti Pulau Perhentian, Pulau Rhu, Pulau Rawa dan Pulau Redang.

Di Besut juga terdapat tempat perkelahan yang menarik lain seperti Lata Tembakah, Lata Kolam, Lata Belatan, La Hot Spring,Gunung Tebu, Bukit Keluang, Pantai Benting Lintang, Pantai Dendong, Pantai Bukit Bubus, Pantai Bukit Keluang, Pantai Air Tawar, dan beberapa lokasi lain yang sedang di majukan.

Tokoh-Tokoh Pengukir sunting

  • Allahyarham YM Tengku Ibrahim bin Tengku Wook (Tokoh Kraf Negara 1999)
  • Allahyarham Haji Abd Rahman bin Long
  • Allahyarham Haji Wan Su bin Othman (Adiguru Ukiran Kayu 1988, Asean Award 1993, Anugerah Seniman Negara 1997)
  • Mohd Saliza bin Abd Rahman
  • Norhaiza bin Nordin (Anugerah Seni Negeri Terengganu 2005 Kategori Karyawan Seni Tampak)[7]

Pautan luar sunting

Rujukan sunting

  1. ^ a b c "Sejarah Besut". pdtbesut.terengganu.gov.my. 18 April 2012. Dicapai pada 27 Mei 2018.
  2. ^ a b c "Latar Belakang". mdb.terengganu.gov.my. Dicapai pada 27 Mei 2018.
  3. ^ "Key Findings of Population and Housing Census of Malaysia 2020" (pdf) (dalam bahasa Bahasa Melayu dan Inggeris). Jabatan Perangkaan Malaysia. ISBN 978-967-2000-85-3.
  4. ^ "Profil YDP". mdb.terengganu.gov.my. Dicapai pada 27 Mei 2018.
  5. ^ a b c "Indikator Utama Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 Pihak Berkuasa Tempatan" (pdf) (dalam bahasa Bahasa Melayu dan Inggeris). Jabatan Perangkaan Malaysia. ISBN 978-967-253-697-0. Diarkibkan (PDF) daripada yang asal pada 2023-07-24. Dicapai pada 2023-07-24.
  6. ^ a b "MyCendash-Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020". dosm.gov.my. Jabatan Perangkaan Malaysia. Dicapai pada 2023-12-16.
  7. ^ Buku Terengganu Molek Doh sempena Ekspo Terengganu 2018