Dato' Sagor (Dato' Seri Agar DiRaja) ialah salah seorang Orang Besar Delapan di negeri Perak pada 1870-an mentadbir sekitar kawasan Kampong Gajah ke Pulau Tiga. Merupakan salah seorang pejuang yang menentang pengaruh Inggeris di negeri Perak. Bersama-sama Dato' Maharaja Lela, Pandak Endut, Sipuntum, dan lain-lain, Dato' Sagor terlibat dalam kematian Residen Inggeris pertama di Perak, J.W.W. Birch. Disebabkan penglibatannya, Dato Sagor ditangkap dan dihukum gantung pada 20 Januari 1877.

Lakaran dipercayai wajah Dato' Sagor Ngah Kamdin yang pada sekitar 1870-an

Sejarah

sunting

Dato' Sagor atau nama sebenarnya, Ngah Kamdin lahir di Kampong Gajah, Perak. Ngah Kamdin dianugerahkan gelaran 'Orang Kaya-Kaya Seri Agar DiRaja' oleh Sultan Jaafar, Sultan Perak ke-23. Gelaran ini berserta tanggungjawab di Kampong Gajah termasuklah hal ehwal pentadbiran dan pembinaan kapal untuk kegunaan Sultan Perak.

Kematian J.W.W. Birch

sunting

Perjanjian Pangkor pada 1874 menyaksikan campur tangan Inggeris dalam pentadbiran negeri Perak. Residen Inggeris pertama iaitu J.W.W. Birch dilantik dan telah mengganggu sistem pentadbiran negeri serta peranan pembesar negeri Perak. Selain itu, Birch semakin angkuh sebagai Residen tidak mempedulikan langsung cara hidup orang tempatan. Akhirnya, sebuah mesyuarat diadakan untuk menentukan nasib Birch. Pada pagi 2 November 1875, J.W.W. Birch yang sedang mandi di Pasir Salak telah direjam lembing dan ditetak.

Sipuntum dihukum gantung pada Mei 1876 manakala Dato' Maharaja Lela, Pandak Endut, dan Dato' Sagor dihukum gantung pada 20 Januari 1877.

Gelaran Orang Kaya-Kaya Seri Agar DiRaja

sunting

Mengikut sejarah awal Perak, 'Seri Agar DiRaja' merupakan gelaran kepada Tun Mahmud, seorang tokoh yang dijemput oleh Sultan Perak pertama untuk menjadi Bendahara Perak. Gelaran ini memaparkan satu tradisi Kesultanan Perak.

Selepas kematian Birch, pihak Inggeris telah memastikan gelaran 'Orang Kaya-Kaya Seri Agar DiRaja' ini dihapuskan, berkemungkinan sebagai satu pembalasan dendam terhadap kematian Residen Inggeris. Gelaran ini hanya dihidupkan oleh negeri Perak pada 1980-an dan kini disandang oleh Tan Sri Dato' Seri DiRaja Ramli Ngah Talib, iaitu seorang waris keturunan Dato' Sagor juga.

Pohon Salasilah Dato' Sagor 1875

Rujukan

sunting
  • Ramli Ngah Talib (1997) Pasir Salak: Sehamparan Sebuah Perjuangan
  • Abdullah Zakaria Ghazali (1993) Dato' Sagor: Peranannya dalam gerakan menentang British di Perak 1874-1876
  • Laman Web Rasmi Pejabat DYMM Paduka Seri Sultan Negeri Perak