Istilah diagostik (diagnostic) berasal dari bahasa Greek diagnostikos dan mula digunakan sekitar 1615-1625 (The Free Dictionary, 2014). Dalam bahasa Greek diagnōstikos bermaksud boleh dibezakan (able to distinguish) dari kata diagnostos; dari kata diagignōskein yang bermaksud beza atau banding (distinguish); dari kata nama diagnōstikē tekhnē seni untuk membezakan atau seni perbandingan (the art of distinguishing [disease]) (Dictionary.com, 2014 & The Free Dictionary, 2014). Merriam-Webster (2014) pula mengatakan istilah diagnostik mula digunakan pada 1625.

Istilah diagostik digunakan di dalam pelbagai bidang; contohnya, bidang perubatan, sains, biologi dan pendidikan. Ia tidak sama dengan diagnosis, namun mempunyai perkaitan yang hampir serupa; kerana diagnosis ialah “tindakan mengenal pasti sesuatu penyakit daripada tanda dan gejalanya” (Kamus Dewan, 2005). Oleh sebab itu, diagnostik boleh diertikan sebagai tindakan mengenal pasti sesuatu hal atau perkara, seperti hal yang berkaitan dengan pengujian (testing).

Diagnostik juga boleh diertikan dari sudut (The Free Dictionary, 2014 & Merriam-Webster, 2014) kata nama (noun) dan penyata kepada kata nama (adjectives). Dari sudut tersebut, diagnostik boleh diertikan sebagai ujian dan cara bagaimana ujian itu dijalankan.Oleh itu, istilah diagnostik memainkan 2 peranan iaitu sebagai alat atau tindakan; atau kedua-duanya sekali, iaitu, sebagai alat dan tindakan. Cara bagaimana ia dijalankan pula adalah bidang pedagogi pendidikan. Cara itu pula boleh dimaksudkan sebagai kaedah, pendekatan dan/atau strategi pengujian diagnostik.

Istilah diagnostik ini juga sebenarnya adalah kata pinjaman dari bahasa Inggeris diagnostic yang telah diMelayukan. Dari istilah kata diagnostik ini terbit berbagai perkataan dan istilah lain seperti mendiagnostik, prognostik, prediagnostik, prosedur diagnostik, teknik diagnostik, statistik diagnostik, kumpulan diagnostik dan juga ujian diagnostik. Ringkasnya, diagnostik adalah satu bentuk ujian, pengujian, atau sejenis penilaian atau pentaksiran.

Dalam bidang pendidikan, ujian diagnostik merupakan satu instrumen yang digunakan untuk mengukur daerah kelemahan (kekuatan) murid secara terperinci. Melalui ujian tersebut, guru boleh mengenal pasti apakah masalah sebenar murid di peringkat awal sebagai satu petanda (untuk penambahbaikan). Ujian ini boleh dibentukkan kepada 5 jenis/kategori: 1.Lisan 2.Tulisan 3.Amali-aktiviti fizikal 4.Pemerhatian (pengamatan) 5.Pendengaran

RUJUKAN:

Diagnosis (2005). Kamus Dewan (ed.4). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Diagnostic (2014). Dictionary.com. Dipetik pada 24hb Oktober 2014 daripada http://dictionary.reference.com/browse/diagnostic

Diagnostic (2014). Merriam-Webster: An Encyclopaedia Brittannica Company. Dipetik pada 24hb Oktober 2014 daripada http://www.merriam-webster.com/dictionary/diagnostic

Diagnostic (2014). Oxford Dictionaries: Language matters. Dipetik pada 24hb Oktober 2014 daripada http://www.oxforddictionaries.com/definition/english/diagnostic

Diagnostic (2014). The Free Dictionary by Farlex. Dipetik pada 24hb Oktober 2014 daripada http://www.thefreedictionary.com/diagnostic