Dinasti Rashtrakuta

Empayar Rashtrakuta (Bahasa Kannada: ರಾಷ್ಟ್ರಕೂಟ) ialah dinasti diraja India yang memerintah sebahagian besar India selatan, tengah, dan utara antara abad ke-6 hingga abad ke-10. Sewaktu itu, raja-raja Rashtrakuta memerintah sebagai sebilangan kaum kerabat bersaudara yang berasingan.[perlu rujukan] Inskripsi Rashtrakuta terawal yang diketahui ialah geran plat kuprum dari Manpur yang menyebut pemerintahan raja-raja itu yang terletak di wilayah Malwa di Madhya Pradesh moden. Kaum kerabat pemerintah Rashtrakuta yang lain pada zaman itu yang juga disebut dalam inskripsi Rashtrakuta itu termasuk raja-raja dari Achalapur di Elichpur moden, Maharashtra, dan raja-raja dari Kannauj. Bagaimanapun, masih terdapat seberapa kontroversi terhadap asal-usul kaum kerabat Rashtrakuta yang awal, termasuk juga tempat asli dan bahasa mereka.

Dinasti Rashtrakuta di Manyakheta
ರಾಷ್ಟ್ರಕೂಟ
753–982
  Takat empayar Rashtrakuta Empire, 800 - 915 Masihi
StatusEmpayar
(di bawah kuasa Badami Chalukyas sehingga 753)
Ibu negaraManyakheta
Bahasa yang umum digunakanKannada, Sanskrit
Agama
Agama Hindu, Jainisme
KerajaanPemerintahan beraja
Raja 
• 735–756
Dantidurga
• 973 – 982
Indra IV
Sejarah 
• Rekod Rashtrakuta terawal
753
• Didirikan
753
• Dibubarkan
982
Didahului oleh
Diganti oleh
Dinasti Chalukya
Empayar Chalukya Barat

Kerajaan yang memerintah dari Elichpur ialah salah satu negeri lindungan Badami Chalukya dan sewaktu pemerintahan Dantidurga, ia menggulingkan Chalukya Kirtivarman II lalu mengasaskan sebuah empayar, dengan wilayah Gulbarga di Karnataka moden sebagai pangkalannya. Kaum kerabat ini yang kemudian dikenali sebagai Dinasti Rashtrakuta dari Manyakheta kemudian bangkit untuk berkuasa di India Selatan pada 753. Pada waktu yang sama, Dinasti Pala dari Bengal dan Dinasti Prathihara dari Malwa masing-masing memperoleh semakin banyak kuasa di India timur dan barat laut.

Zaman antara abad ke-8 hingga abad ke-10 memperlihatkan perjuangan tiga pihak untuk merampas sumber semula jadi yang kaya di dataran Indo-Ganges, dengan ketiga-tiga empayar itu masing-masing mengilhakkan pusat kuasa di Kannauj buat tempoh yang singkat. Pada kemuncak pemerintahannya, Dinasti Rashtrakuta dari Manyakheta memerintah sebuah empayar yang besar yang terbentang dari doab di antara Sungai Ganges dan Sungai Yamuna di utara sehingga Tanjung Comorin di selatan. Zaman itu juga merupakan zaman yang berhasil dalam peluasan politik, pencapaian seni bina dan sumbangan kesusasteraan yang termasyhur. Agama Hindu merupakan agama raja-raja terawal dinasti ini, manakala raja-raja yang kemudian sangat dipengaruhi oleh agama Jainisme.

Semasa pemerintahan Dinasti Rashtrakuta, ahli matematik dan sarjana Jain menyumbangkan karya-karya yang penting dalam bahasa Kannada dan Sanskrit. Amoghavarsha I, raja Dinasti Rashtrakuta yang termasyhur, menulis Kavirajamarga, suatu karya kesusasteraan yang penting dalam bahasa Kannada. Seni bina juga mencapai satu detik penting dalam gaya Dravidia, dengan contoh terunggul merupakan Kuil Kailasanath di Ellora. Sumbangan penting yang lain ialah arca-arca yang ditempatkan di Gua Elephanta di Maharashtra moden, serta juga kuil Kashivishvanatha dan kuil Narayana Jain yang terletak di Pattadakal di Karnataka moden, dengan kesemuanya kini merupakan Tapak Warisan Dunia UNESCO.