Edward Frankland

British chemist

Sir Edward Frankland, KCB, FRS (18 Januari 1825 - 9 Ogos 1899) ialah seorang ahli kimia, antara yang paling ternama pada zamannya.[1] Beliau merupakan pakar dalam kualiti dan analisis air, dan memulakan konsep kuasa penggabungan, atau valens, dalam kimia. Beliau juga merupakan pengasas kimia organologam.

Edward Frankland

Biografi sunting

Edward Frankland telah dilahirkan di Lancaster, England. Setelah tamat belajar di Lancaster Royal Grammar School, beliau menghabiskan masa enam tahun sebagai perantis kepada seorang pembuat ubat di bandar itu. Pada tahun 1845, beliau menjadi pembantu di makmal kimia Tinjauan Geologi Britian di London. Makmal ini diarah oleh Lyon Playfair yang pernah menjadi pelajar kimia kepada Justus Liebeg di Jerman. Pada musim panas 1847, Frankland telah melawat Jerman dan bertemu dengan ahli-ahli kimia hubungan Playfair, termasuk Robert Bunsen. Pada bulan Ogos 1847, Frankland menerima tawaran sebagai sarjana sains di sebuah sekolah berasrama penuh di Hampshire, tetapi pada musim panas berikutnya beliau memilih untuk pulang ke Jerman dan menjadi pelajar sepenuh masa di Universiti Marburg. Robert Bunsen merupakan seorang guru yang berpengaruh di Marburg pada waktu itu, dan reputasi Bunsen menarik minat Frankland. Pada tahun berikutnya, Frankland menerima tawaran untuk berpindah ke makmal Justus Liebeg di Universiti Giessen. Ketika ini, Frankland telahpun mempunyai agenda kajiannya sendiri dan telah menerbitkan beberapa kajian asli dalam kimia.[2] Pada bulan Januari 1850, Lyon Playfair telah mendedahkan hasratnya untuk bersara daripada jawatan profesornya di Kolej Kejuruteraan Sivil Putney di London dan telah menguruskan untuk mengambil Frankland sebagai penggantinya. Oleh itu, Frankland menamatkan pengajiannya di Jerman secara tiba-tiba dan kembali ke England untuk mengambil jawatan asal Playfair. Setahun kemudian, Frankland menjadi profesor kimia di sekolah yang baru ditubuhkan yang kini dikenali sebagai Universiti Manchester. Pada 1857, beliau menjadi pensyarah dalam bidang kimia di Hospital St. Bartholomew, London, dan profesor kimia di Institusi Diraja, London pada 1863. Selama dua dekad Frankland turut mempunyai peranan pengajar di Sekolah Diraja Mines di London.[3]

Edward Frankland telah dipilih sebagai Fellow of the Royal Society pada 1853 dan dianugerahkan Pingat Diraja persatuan ini pada 1857, dan Pingat Copley pada 1894. Beliau telah dijadikan Knight Commander of the Order of the Bath pada 1897. Beliau meninggal dunia sewaktu bercuti di Norway dan dikebumikan berhampiran rumahnya di Reigate, Surrey.[4]

Anaknya, Percy Frankland, juga merupakan seorang ahli kimia yang terkenal dan ahli Fellow of the Royal Society.

Kajian saintifik sunting

 
Edward Frankland

Dari usia yang muda, Frankland telah terlibat dalam kajian-kajian asli dengan kejayaan besar. Masalah-masalah analitik, seperti pengasingan sesetengah radikal organik, menarik perhatiannya pada mulanya, tetapi beliau kemudiannya beralih kepada sintesis kimia. Beliau baru berumur 25 tahun ketika satu penyiasatan berkenaan kakodil menghasilkan penemuan sebatian-sebatian organologam yang menarik. Sekembalinya beliau ke England, beliau telah berjaya mensintesis dietilzink dan dimetilzink melalui tindak balas etil iodida dan metil iodida dengan logam zink.[5]


Kuliah sunting

Pada tahun 1862 hingga 1864, beliau telah dijemput untuk memberikan Kuliah Krismas Institusi Diraja berkenaan Udara dan Air, Kimia Arang Batu dan Kimia Gas-Gas.

Rujukan sunting

  1. ^ Russell, Colin A. (1986). Lancastrian Chemist: The Early Years of Sir Edward Frankland. Milton Keynes: Open University Press. ISBN 0-335-15175-2.
  2. ^ William A. Tilden (1921) Famous Chemists: The Men and Their Work.
  3. ^ Colin A. Russell (4 Disember 2003). Edward Frankland: Chemistry, Controversy and Conspiracy in Victorian England. Cambridge University Press. ISBN 978-0-521-54581-5. Dicapai pada 13 September 2011.
  4. ^ Russell, Colin A. (1996). Edward Frankland: Chemistry, Controversy and Conspiracy in Victorian England. Cambridge: Cambridge University Press. m/s. 508.
  5. ^ Dietmar Seyferth (2001). "Zinc Alkyls, Edward Frankland, and the Beginnings of Main-Group Organometallic Chemistry". Organometallics. 20: 2940–2955. doi:10.1021/om010439f.

Pautan luar sunting