Ejen Ali: The Movie

filem animasi Malaysia terbitan tahun 2019

Ejen Ali: The Movie (juga diberi tajuk kecil "Misi: NEO") merupakan filem animasi komputer bergenre aksi perisikan Malaysia keluaran tahun 2019 yang berdasarkan siri animasi Ejen Ali, mengikuti misi perisik kanak-kanak bernama Ejen Ali yang berusaha merungkai misteri di sebalik teknologi yang mengancam bandar Cyberaya, serta mempertaruhkan kesetiaan kepada agensinya iaitu M.A.T.A. Filem ini adalah filem cetera tayangan pawagam sulung yang diterbitkan oleh WAU Animation, diarahkan oleh Usamah Zaid Yasin dan dibintangi barisan pelakon suara seperti Ida Rahayu Yusoff, Shafiq Isa, Noorhayati Maslini Omar, Azman Zulkiply, dan Nabilah Rais, dan diedarkan oleh Primeworks Studios.

Ejen Ali: The Movie
PengarahUsamah Zaid Yasin[1]
PenulisUsamah Zaid Yasin
Shafiq Isa
Fuad Md Din
Faiz Hanafiah
Nazmi Yatim
Hilman Muhammad
Faqihin Muhd Fadzlin
Lakon layarUsamah Zaid Yasin
Hilman Muhammad
Faqihin Muhd Fadzlin
BerdasarkanEjen Ali oleh Usamah Zaid Yasin
Dihasilkan oleh
  • Faiz Hanafiah
  • Azi Shafian
  • Salina Salmee Mohd Ali
  • Aziemah Azman
  • Usamah Zaid Yasin (eksekutif)
  • Dato' Ahmad Izham Omar (eksekutif)
  • Airin Zanul (eksekutif)
DibintangiIda Rahayu Yusoff
Nabilah Rais
Azman Zulkiply
Noorhayati Maslini Omar
Shafiq Isa
Salina Salmee Mohd Ali
Abu Shafian Abd Hamid
Ahmad Sufian Mazilan
Megat Zahrin Megat Hisham
Altimet
Disunting olehReuben Singham
Nazmi Yatim
Usamah Zaid Yasin
Andi Abdul Ghani
Muzik olehAzri Yunus
Hakim Kamal
Syarikat
penerbitan
Diedarkan olehPrimeworks Studios
Tarikh tayangan
  • Malaysia November 28 2019
  • Singapura November 28 2019
  • Brunei November 28 2019
  • Vietnam Januari 1 2020
  • Amerika Syarikat November 28 2019
  • Mexico November 29 2019
  • Sepanyol November 30 2019
  • Kanada November 30 2019
  • Belanda Disember 3 2019
  • Denmark Disember 9 2019
  • Indonesia Januari 1 2020
  • Jepun Disember 31 2019
  • Mesir November 30 2019
  • Hungary November 30 2019
  • Poland Disember 5 2019
  • Lithuania November 28 2019
  • Sweden Disember 2 2019
  • Norway Disember 5 2019
  • Finland Januari 1 2020
  • Emiriah Arab Bersatu Januari 3 2020
  • India November 29 2019
  • Pakistan November 28 2019
  • Korea Selatan Disember 30 2019
  • Republik Rakyat China November 27 2019
  • Perancis November 30 2019
  • Jerman Disember 2 2019
  • Itali Disember 14 2019
  • Turki Januari 9 2020
  • Greece Januari 15 2020
  • Albania Januari 22 2020
  • Slovakia Januari 24 2020
  • Rusia Disember 16 2019
  • Brazil Disember 17 2019
  • Portugal Disember 18 2019
  • Turki Disember 19 2019
  • Romania Disember 20 2019
  • Slovakia Disember 22 2019
  • Latvia Disember 24 2019
  • Ukraine Disember 26 2019
  • Serbia Januari 5 2020
  • Slovenia Januari 6 2020
  • Croatia Januari 9 2020
  • Republik Czech Januari 11 2020
  • Belanda Januari 14 2020
Masa tayangan
96 minit
NegaraMalaysia
BahasaBahasa Melayu
BajetRM6.5 juta
Pecah panggungRM30.05 juta

Ejen Ali: The Movie telah ditayangkan di pawagam pada 28 November 2019 di Malaysia, Singapura dan Brunei.[2][1] Filem yang menelan sebanyak RM6 ini berjaya pulang modal dalam tiga hari pertama sahaja,[3] kemudian mencapai kedudukan filem animasi tempatan dengan kutipan pawagam tertinggi, filem tempatan tertinggi tahun 2019, dan filem tempatan ketiga tertinggi sepanjang sejarah tayangan pawagam Malaysia apabila mencecah RM30.05 juta.[4]

Ejen Ali: The Movie telah memenangi dua daripada 11 anugerah yang dipertanding iaitu Filem Animasi Terbaik dan Anugerah Box Office (selaku filem tempatan tertinggi tahun 2019) di Festival Filem Malaysia ke-31 yang diadakan pada tahun 2021.

Latar belakang

sunting

Ali seorang budak lelaki berumur 12 tahun yang telah menjadi ejen rahsia di M.A.T.A, iaitu sebuah agensi perisikan rahsia yang melindungi bandar Cyberaya. Semuanya berlaku selepas Ali tidak sengaja mengaktifkan gajet Infinity Retinal Intelligent System atau I.R.I.S, peranti ciptaan M.A.T.A. yang membolehkan pemakainya lebih berkuasa dalam misi. Ali sahaja yang mampu menguasai I.R.I.S. kerana ia telah diselaraskan dengan badannya. Ali dilatih sebagai perisik. Bersama dengan pakciknya Bakar dan ejen muda lain, mereka bekerjasama dalam misi M.A.T.A.

Sinopsis

sunting

Ejen Ali semakin cergas dengan misinya di M.A.T.A. Tetapi, konflik timbul apabila Ali tahu bukan lagi dia seorang sahaja yang mampu menguasai I.R.I.S. Kini M.A.T.A. telah menaiktarafkan I.R.I.S. kepada I.R.I.S. NEO yang akan dijadikan peranti asas bagi semua ejen. Ini membuatkan Ali persoalkan kebergunaannya dalam agensi M.A.T.A. Ketika ini, seorang individu bernama Niki mendekati Ali dan mendakwa dia tahu sebab kehilangan ibunya. Sekarang, Ejen Ali perlu lakukan misi aksi dan merungkai misteri ini yang mengancam bandar Cyberaya, serta mempertaruhkan kesetiaan kepada M.A.T.A. sebelum terlewat.

Cerita dimulai dengan dua wanita muda Aliya dan Niki menyelinap ke area kargo terlarang untuk mencuri jantung buatan tetapi dicegat oleh pemimpin inti M.A.T.A. yaitu Agen Ganz, Dayang, Zain dan Djin (yang saat itu berada di pihak mereka). Aliya dan Niki cuba melarikan diri tetapi dikepung. Aliya menyuruh Niki melarikan diri dengan barang curian sementara dia terus melawan.

15 tahun kemudian, Dato' Othman sebagai datuk bandar Cyberaya menaiki kapal terbang yang dirampas oleh empat penceroboh misteri. Dia segera meminta pertolongan dari M.A.T.A, maka tibalah Ali bersama Alicia, Bakar dan Comot untuk menyelamatkan. Semasa pertarungan, ketua penceroboh meletupkan bom dan merosakkan kapal. Dato' Othman dilarikan dan penceroboh melarikan diri. Pasukan Ali bertungkus lumus menangani keadaan; Ali cuba mengendalikan pesawat dengan M.A.T.A. tetapi gagal. Dua ejen baru, Bobby dan Fit tiba untuk membantu. Bobby menyelamatkan Dato' Othman, sementara Fit menstabilkan pesawat dengan mod Override peranti baru yang mirip I.R.I.S, membuat Ali terasa hairan. Setelah diberi taklimat oleh Dayang dan Ganz mengenai projek rahsia baru "I.R.I.S. NEO" yang akan diedarkan kepada semua ejen, Ali mula meragui I.R.I.S. asalnya dan memerlukannya di M.A.T.A, yang dijamin akan memiliki unit baru kepadanya.

Setibanya di rumah pada waktu malam, dia menjumpai peti muzik tinggalan ibunya yang berisi cenderamata kenangan dan mainan. Antara isi peti termasuk sebatang pemacu pen dengan simbol yang aneh. Ali cuba mengakses pemacu itu tetapi gagal. Keesokan paginya, Ali dipanggil oleh Alicia ke restoran 24 jam Mamak Maju, di mana mereka serta Bakar melalui jalan rahsia ke Markas M.A.T.A. dengan bantuan 'penjaga kedai' Rahul, Rajesh dan Razman (yang sebenarnya ejen M.A.T.A. dan sekutu Jeneral Rama) yang mengalihkan perhatian pelanggan dengan tarian dan muzik.

Kedatangan mereka di Markas M.A.T.A. disambut oleh Dato' Othman untuk membincangkan insiden rampasan kapal terbang dan mengingatkan ejen-ejen selaku orang bawahannya bahawa dia menubuhkan M.A.T.A. sewaktu membangunkan Cyberaya untuk melindungi keselamatan awam. Jeneral Rama turut hadir membentangkan hasil siasatan insiden bahawa bahan bakar utama yang diperoleh dari letupan bom itu adalah Azureum, malah senjata dan penceroboh terbabit tidak berasal dari Cyberaya. Berdasarkan hasil perisikan, Jeneral Rama mengesyaki Abang Bear terlibat dengan menyeludup senjata haram dan mengarahkan pasukan Ali menyerbu tempat perjumpaannya.

Semasa Bear berurusan dengan pelanggan, Bakar cuba menangkap Bear tetapi gagal, dan Bear melarikan diri dengan senjata. Ali pergi mengejar Bear tetapi tiba-tiba munculnya tiga orang menundukkan Bear. Ketua tiga orang itu, Niki, merampas senjata tetapi Bear melarikan diri. Ali menaiki skuter mengejar Niki yang menunggang moped sepanjang jalan raya sehingga memasuki kawasan setinggan di Pinggiran Cyberaya, di mana Ali terasa sesat. hilang kawalan kenderaannya dan tersungkur.

Ali sedar di dalam gudang di Pinggiran dalam keadaan cedera dan dirawat oleh Niki. Di situ, dia terjumpa simbol pada anting-anting Niki yang sama dengan pemacu pen lalu bertanya kepada Niki tentang hal itu. Maka Niki menyedari bahawa Ali ialah anak kepada Aliya, kawan lamanya yang pernah dikenalinya di Cyberaya sejak kecil dahulu, malah Niki dan Aliya membesar bersama-sama untuk membantu golongan Pinggiran memerangi pihak-pihak yang menindas mereka. Tambah Niki, Azureum merupakan bahan yang sangat berharga untuk warga Pinggiran. Ali terkejut kerana situasinya tidak ditujukan kepada pihak berkuasa Cyberaya, dan mereka tidak mendengar dan mempedulikannya. Dia juga diberitahu tentang kekurangan Azureum untuk memenuhi kebutuhannya. Ali ditemui oleh Alicia dan Bakar, dan diberitahu mengenai penangkapan Bear.

Dalam mesyuarat khas bersama pihak berkuasa Cyberaya, Dato' Othman membincangkan mengenai kemajuan projek baru kilang pintar dan menuntut kerja itu disiapkan tepat pada waktunya. Hasil soal siasat Bear menunjukkan bahawa dia berurusan dengan Vikram, pegawai operasi di Menara Beta, yang bekerjasama rapat dengan orang-orang penting dalam mengembangkan Cyberaya. Jeneral Rama menugaskan misi baharu kepada pasukan Ali bersama Bobby dan Fit untuk menyiasat secara diam-diam kegiatan haram di Menara Beta. Sewaktu menjalankan misi, mereka menemui jalan rahsia yang menjurus ke gudang rahsia di tingkat tersembunyi yang tersimpan senjata haram. Ali mengambil kesempatan untuk merisik bagi pihak Niki sementara mengumpul bahan bukti.

Sekembali ke Pinggiran, Ali membongkar hasil risikan kepada geng Niki untuk menyerbu sarang Vikram pada waktu malam. Dalam memecah masuk, mereka terlanggar sistem keselamatan sehingga mendorong Vikram untuk bertindak, tetapi mod Override I.R.I.S. Ali membantu mereka melarikan diri. Di Pinggiran, Ali dijemput ke kenduri untuk meraikan kejayaan dan berkenalan dengan Mak Yah, yang mengecam Ali sebagai jelmaan Aliya. Ali meluangkan masa untuk berbual dengan Niki dan bercerita mengenai kehidupannya sebagai ejen sehinggalah diketepikan gara-gara ciptaan baharu.

Insiden pencerobohan oleh geng Niki menyebabkan Dato' Othman mengutuk M.A.T.A. kerana gagal mengambil tindakan sewajarnya. Pada masa yang sama, M.A.T.A. menerima hasil perisikan tentang senjata haram di Menara Beta dan memberikan tugas kepada ejen-ejen untuk menjalankan siasatan lanjut. Ali mengambil kesempatan untuk bersubahat dengan geng Niki dengan menyapu semua lubuk senjata haram sebelum sempat disiasat oleh M.A.T.A, sekaligus mensabotaj semua misi. Hal ini berlanjutan sehingga bangunan terakhir dibersihkan, apabila Alicia mengesyaki ada yang tidak kena pada Ali dan memanggilnya ke Mamak Maju untuk berbincang. Ali dengan marah menafikan sebarang salah laku dan membidas M.A.T.A. dalam perbualan yang diintip oleh penjaga kedai dan Bobby.

Dalam perjalanan pulang, Ali dikejar oleh ejen-ejen dan dipujuk oleh Bakar untuk mengikut mereka, tetapi Ali enggan dan melarikan diri hingga ke pusat beli-belah di mana dia terlibat dalam pergaduhan dengan Bobby dan Fit di mana Fit merampas I.R.I.S. daripada Ali. Kemudian, geng Niki tiba untuk menumpaskan ejen-ejen M.A.T.A. terbabit dan melarikan Ali. Ali mengutuk dan menyerang Niki kerana menggunakan kekerasan tetapi juga ditumpaskan oleh Niki.

Ali bersama Alicia dan Bakar terjaga dalam keadaan diikat dan digantung pada kabel kren di tempat Niki. Di situlah Ali menyedari bahawa perampas pesawat Dato' Othman adalah geng Niki, malah Niki baru mengubah suai sistem I.R.I.S. NEO yang dirampas daripada Fit dalam pertarungan tadi. Niki menceritakan bahawa sistem I.R.I.S. asal dicipta oleh Aliya, malah dia menyalahkan Aliya kerana mengkhianatinya dan warga Pinggiran dengan menyertai M.A.T.A. dengan membawa I.R.I.S. sekali. Malah, beberapa tahun selepas perpisahan mereka, Niki mencerobohi markas pertahanan rahsia Cyberaya dalam cubaan melancarkan misil untuk memusnahkan bandar tetapi dipatahkan oleh Aliya yang mengorbankan dirinya dengan mengaktifkan mod Override untuk kali pertama.

Vikram yang sudah mengenali identiti Niki sebagai penceroboh gudang senjatanya tiba di Pinggiran bersama konco-konconya dan mengalahkan semua yang menghalang dengan menggunakan I.R.I.S. NEO. Ali digesa oleh Bakar dan Alicia untuk mencari ikhtiar melarikan diri, tetapi berasa kecil hati kerana mudah diperdayakan oleh Niki. Dia dihampiri oleh Mak Yah yang memulangkan peranti I.R.I.S. dan memujuknya untuk menjalankan tugas. Geng Niki yang berpakaian serba perisai menyerbu majlis pelancaran projek kilang pintar baharu dan mengambil Dato' Othman sebagai tebusan, kemudian berhadapan dengan pasukan Ali yang dibantu oleh ejen-ejen lain yang memakai peranti-peranti I.R.I.S. NEO dan kumpulan Jeneral Rama. Peranti I.R.I.S. NEO yang dipakai Niki tercapai mod Override, membolehkan Niki mengawal semua pemakai lain. Ali terselamat kerana memakai I.R.I.S. lama dan cuba melawan Niki, tetapi dijatuhkan sampai pengsan oleh Niki dengan Ejen Ganz dan Ejen Dayang dalam kawalannya, sementara I.R.I.S-nya sendiri memasuki mod Override.

Dalam keadaan tidak sedarkan diri, Ali memasuki Dimensi I.R.I.S. di mana dia menemui susuk arwah ibunya Aliya yang menerangkan bahawa apabila I.R.I.S. tercapai mod Override, kesedahan pengguna I.R.I.S. memasuki dimensi ini dan segala memori tindak-tanduknya dalam mod ini tidak tersimpan dalam ingatan apabila peranti bertindak mengikut ketetapan data yang disimpan oleh Aliya. Ali meluahkan rasa kecewa atas ciptaan baharu M.A.T.A. tetapi dinasihati Aliya bahawa kejayaan bukannya datang dari peranti tetapi pengguna dan tekadnya, malah segala data Aliya akan terpadam apabila Ali mengakses mod Override sekali lagi. Ali enggan menerima kenyataan ini tetapi dipujuk supaya tabah.

Ali bangkit semula dengan mengaktifkan dan mengawal mod Override untuk melawan Niki dan memusnahkan senjata-senjata pada sut perisai Niki. Sebagai langkah akhir, Niki melakukan cubaan meletupkan diri dan semua orang di sekelilingnya dengan Azureum yang tersimpan dalam sutnya, tetapi data Aliya terpindah ke dalam I.R.I.S. Niki dan menceraikan I.R.I.S. daripada Niki, maka berakhirnya pertarungan.

Susulan daripada insiden itu, Ganz melaporkan bahawa Dato' Othman sedang pulih dari kecederaan dan menyelar Ali kerana bersubahat dengan penjenayah secara senyap. Ejen Dayang memuji Ali atas jasanya dalam pertarungan yang lepas, tetapi mengumumkan bahawa Ejen Ali akan diceraikan daripada I.R.I.S. sebagai hukuman atas kesalahannya, sementara Projek I.R.I.S. NEO dibatalkan atas kelemahan-kelemahan besar yang ditemui. Ali akur dengan keputusan itu dan berikrar untuk berusaha menjadi ejen yang lebih baik.

Atas nasihat Ejen Dayang, Bakar menunjukkan kepada Ali video yang mengandungi semua kenang-kenangan dan jasa Aliya sepanjang khidmatnya sebagai ejen M.A.T.A, diakhiri dengan babak Bakar menyoal Aliya mengapa dia mahu menjadi ejen, dan jawabnya kerana mahu berjasa kepada masyarakat. Keesokan harinya, Ali, bapanya Dr. Ghazali dan rakan-rakan melawat Pinggiran di mana Dr. Ghazali mengumumkan Projek Pembangunan Pinggiran untuk membela nasib golongan tidak bernasib baik secara pembangunan mampan untuk semua. Filem disudahi dengan babak Ali dan kalangannya berkenduri di Mamak Maju.

Adegan pertengahan kredit: Dayang ditunjukkan memberikan nama Ali kepada superdroid yang dijuluki untuk projek baru "Satria".

Adegan pasca-kredit: Setelah Ali meninggalkan restoran, Rizwan dan Dos ditunjukkan selalu ada di sana sepanjang masa, dan kemudian mengikutinya.

Latar, watak dan pelakon suara

sunting

Segala peristiwa yang berlaku dalam filem ini berlaku di bandar cereka Cyberaya (jangan disamakan dengan Cyberjaya), termasuk kawasan setinggan yang dikenali sebagai Pinggiran. M.A.T.A. (singkatan untuk Meta Advance Tactical Agency) merupakan badan perisikan rahsia bandar Cyberaya yang terdiri daripada empat teras iaitu NEURO (kuning), KOMBAT (biru), TEKNO (merah) dan INVISO (putih).

  • Ida Rahayu Yusoff sebagai Ali bin Ghazali, protagonis, budak berusia 12 tahun yang menghuni bandar Cyberaya dan menganggotai agensi M.A.T.A. sebagai perisik di bawah teras TEKNO; juga pengguna sistem I.R.I.S. yang asal.
    • Ida juga menyuarakan Comot, kucing belaan Ali dan ahli Teras INVISO.
  • Nabilah Rais sebagai Niki, antagonis, penghuni kawasan Pinggiran Cyberaya dan bekas kawan rapat Aliya iaitu ibu Ali.
  • Noorhayati Maslini Omar sebagai Alicia Kheng, budak perempuan sebaya Ali anak angkat Jeneral Rama dan ejen M.A.T.A. yang menganggotai teras NEURO.
  • Shafiq Isa sebagai Bakar, bapa saudara Ali dan adik kepada Aliya, ahli teras KOMBAT.
    • Shafiq juga menyuarakan Ejen Ganz, ketua teras KOMBAT; dan Rajesh dan Razman, dua orang sekutu Jeneral Rama dan anggota kumpulan Mamak Maju.[5][6]
  • Azman Zulkiply sebagai Jeneral Rama, anggota teras NEURO dan orang atasan kepada Ali, Alicia, Bakar dan Comot.
    • Azman juga menyuarakan Viktor Ong, rakan sekolah Ali.
  • Salina Salmee Mohd Ali sebagai Aliya, ibu kepada Ali yang sudah meninggal dunia kerana terkorban dalam tugas; susuk wajahnya terpelihara dalam bentuk data yang disimpan dalam I.R.I.S.
  • Abu Shafian Abd Hamid sebagai Dato' Othman, datuk bandar Cyberaya dan pengasas agensi M.A.T.A.
  • Ahmad Sufian Mazilan sebagai Bobby, anggota teras INVISO dan pengguna percubaan I.R.I.S. NEO yang digandingkan dengan Fit.
  • Megat Zahrin Megat Hisham sebagai Fit, anggota teras TEKNO dan pengguna percubaan I.R.I.S. NEO yang digandingkan dengan Bobby.
  • Aina Nadzir sebagai Ejen Dayang, ketua teras TEKNO.
  • Azuan Wanji Shamsir sebagai Vikram, penyeludup yang menyembunyikan senjata haram di tempat kerja.
  • Altimet sebagai Andik, konco-konco Niki.
  • Amir Mustaqim (Amir Bamer) sebagai Surya, konco-konco Niki.
  • Fadhli Shafian sebagai Abang Bear, penyeludup senjata dan sekongkol dengan Vikram.
  • Usamah Zaid Yasin sebagai Rahul, sekutu Jeneral Rama dan anggota kumpulan Mamak Maju.[7]
  • Peggie Ng sebagai Puan Ong,Ibu kepada Viktor.
    • Peggie juga menyuarakan watak Madam Koo,penjenayah dan pelanggan senjata haram Vikram.

Penerbitan

sunting

Filem ini dilaporkan menelan belanja RM6.5 juta termasuk kos promosi.[8] Pasukan pembuatan filem yang terdiri daripada 80 pereka animasi dan pelukis grafik tempatan. Penghasilan filem berkenaan menggunakan teknologi digital yang berkualiti tinggi.[9] Rata-rata kakitangan yang menghasilkan filem animasi ini berumur antara 25 hingga 28 tahun. Proses pembuatan filem mengambil masa lebih kurang satu setengah tahun untuk disiapkan.

Skor muzik

sunting

Skor muzik dihasilkan oleh Azri Yunus, ketua komposer, dibantu oleh pembantu komposer, Hakim Kamal. Azri Yunus berkata perbezaan skor muzik di dalam siri dengan filem ini adalah mereka ingin meletakkan lebih banyak nilai estetik dengan memasukkan lebih banyak perasaan emosi untuk membuat penonton di pawagam terasa bersambung dengan filem tersebut.[10]

Lagu tema

sunting

"Bukalah Matamu" adalah single pertama yang dikeluarkan daripada album soundtrack rasmi Ejen Ali: The Movie, dikeluarkan di YouTube dan semua platform streaming pada 20 September 2019.[11] Lagu ini memberi mesej kepada mereka yang ada segalanya untuk buka mata dan perbaiki diri mereka sendiri. Dalam filem ini, lirik lagu ini seolah-olah ditujukan kepada Dato' Othman, datuk bandar Cyberaya.

"Kita Jaga Kita" adalah single kedua daripada album runut bunyi rasmi.[12] Pada mulanya, mereka mendekati Altimet hanya untuk lakonan suara sahaja. Tetapi apabila mereka mencuba nasib dengan bertanya Altimet untuk buatkan lagu, beliau bersetuju untuk berbuat demikian. Lirik lagu ini datang dari perspektif orang-orang Pinggiran Cyberaya.

Keluaran

sunting

WAU Animation mengumumkan projek filem ini apabila mereka memuat naik teaser trailer pertama untuk filem ini pada 7 Ogos 2018.[13] Teaser trailer kedua dimuat naik pada 29 Mac 2019.[14] Treler rasmi pertama telah dikeluarkan pada 1 Ogos 2019[15] manakala treler rasmi kedua telah dikeluarkan pada 9 Oktober 2019.[16]

Pada 2 Oktober 2019, WAU Animation telah mengeluarkan secara rasmi poster pawagam rasmi untuk filem ini, yang juga telah mendedahkan tarikh keluaran rasmi untuk pawagam Malaysia. Ia ditayangkan di 146 buah pawagam di Malaysia, 8 di Singapura dan 7 di Brunei. Terdapat juga kemungkinan untuk ditayangkan di 50 buah negara tetapi Dato' Ahmad Izham Omar, CEO Primeworks Studios berkata ia masih dalam perbincangan.[17]

Ejen Ali The Movie ditayangkan di Vietnam sebagai perwakilan Malaysia dalam ASEAN Film Week 2020. Ia adalah satu-satunya filem animasi yang disertai untuk acara tersebut. Filem tersebut ditayangkan secara percuma untuk orang awam dalam bandar besar tuan rumah acara, termasuk ibu negeri Hanoi, Da Nang dan bandar Ho Chi Minh. Filem tersebut ditayangkan untuk pertama kalinya di Vietnam pada 21 Julai 2020, di Pusat Pawagam Kebangsaan (National Cinema Center) di Hanoi.

Filem ini berjaya ditayangkan di Brazil apabila mewakili Malaysia dalam Pertandingan Filem Animasi di Festival Fantaspoa 2021 bermula 9 hingga 18 Mac 2021. Pengarahnya, Usamah Zaid Yasin berkata, pencalonan itu semestinya cukup bermakna memandangkan ia datang dari sebuah festival berprestij.

"Kami berbesar hati atas peluang membawa filem sulung Ejen Ali the Movie ke penonton di Amerika Selatan dan pencalonan dalam kategori Pertandingan Filem Animasi di Fantaspoa. "Terima kasih atas sokongan setia semua dan kami bersyukur kerana dapat mewakili negara untuk mengharumkan nama Malaysia,"[18]

Sambutan

sunting

Kutipan pawagam

sunting

Filem ini bersama-sama WIRA terbitan bersama Primeworks Studios dan Pusaka terbitan Astro Shaw berada pada Top 10 Movies @ GSC direkodkan pada tahun 29 November 2019 di mana Ejen Ali: The Movie menduduki tempat pertama, WIRA menduduki tempat ketiga dan Pusaka di tempat kelima. Facebook Ejen Ali mengucapkan terima kasih kepada penonton kerana menyokong filem animasi Malaysia dan filem lakonan anak Malaysia.[25] WAUriors juga menyokong filem WIRA yang merupakan filem arahan Adrian Teh.

Dilaporkan bahawa Ejen Ali: The Movie mengutip sebanyak RM1.86 juta daripada 148,343 penonton pada hari pembukaannya pada 28 November 2019.[26] Pada hujung minggu pertamanya (berakhir 1 Disember), ia menjuarai carta pawagam Malaysia sekaligus menjatuhkan filem animasi Disney Frozen II dari kedudukan tertinggi carta filem mingguan Malaysia.[26][27]

Pada 14 hari tayangan, ia mencecah kutipan RM20 juta, mencapai sasaran yang diumumkan oleh pihak Wau Animation.[28] Pada hari ke-43 tayangan, filem ini mencecah RM 30 juta dan mengatasi BoBoiBoy Movie 2 sebagai filem tempatan tertinggi dalam kutipan pawagam tahun 2019, filem animasi tempatan tertinggi dan filem keluaran tempatan ketiga tertinggi dari segi kutipan dalam sejarah tayangan filem Malaysia. Filem ini juga menewaskan filem aksi ketenteraan arahan Adrian, PASKAL.[29]

Ulasan

sunting

Filem ini rata-rata diberi ulasan positif oleh pengkritik filem. Astro Gempak mengatakan tahun 2019 selayaknya digelar "Tahun Animasi Malaysia" (tahun bagi filem animasi Malaysia) kerana satu persatu karya kualiti dikeluarkan serta menyatakan tujuh sebab untuk menontonnya.[30]

Hans Hanis untuk laman web Rollo de Pelicula memberikan skor 10/10 mengulas bahawa filem Ejen Ali "telah meletakkan satu tahap yang sangat tinggi bukan sahaja buat para pencabarnya tetapi juga kepada produksi luar negara dimana Malaysia bukan sekadar mampu menghasilkan sebuah filem animasi semata tetapi ia dihasilkan dengan kualiti yang sangat hebat, jalan cerita yang menarik serta dipenuhi dengan pelbagai mesej positif yang mampu melengkapi keinginan serta keperluan penonton tidak kira dewasa mahu pun kanak-kanak."[31]

JY Tan untuk laman web DeconRecon menyifatkan Ejen Ali: The Movie sebagai filem yang "membuka mata" kepada kesan kemajuan kepada golongan kurang bernasib baik serta mengajar tentang akibat dari setiap tindakan. Antara aspek-aspek yang mendapat pujian Tan adalah terdapatnya interaksi sesama watak yang sejati yang membolehkan wira-wira untuk berbincang dan merenung atau menghadapi tentangan dalam setiap langkah yang diambil, di samping babak-babak aksi yang menarik mata dan dilakukan dengan kemas dan rapi.[32]

Intan Mawarni untuk MyGameOn mengulas bahawa filem Ejen Ali membawa kelainan dengan dialog yang "tidak berasa begitu janggal atau kebudak-budakan dan diselitkan dengan babak-babak lawak tak kering gusi," babak-babak aksi yang "memukau" dan "tampak realistik tanpa henti sejak minit pertama," malah membandingkan adegan klimaksnya dengan Avengers: Endgame. Tambahnya lagi, filem ini mudah difahami tanpa menonton siri animasinya terlebih dahulu.[33]

Khai Azfar untuk Murai.my menyifatkan "Sinematografinya dan penceritaan yang diatur dengan baik mungkin antara kekuatan Ejen Ali," ditambah pula dengan kepelbagaian yang ditonjolkan serta "grafik yang mantap, pemilihan lagu yang tepat serta nilai murni yang ditonjolkan cukup jelas."[34]

Perdana Menteri Mahathir Mohamad berbangga dengan karya filem ini. Menurut beliau kepada Astro Awani,

"(Karya animasi tempatan) Tidak nampak seperti dibuat di Malaysia. Nampak setaraf dengan teknologi dunia dan kita boleh berbangga kerana kita boleh keluar filem animasi yang setakat ini teknologi yang tinggi.

"Saya berpendapat bahawa ramai daripada orang kita cekap dalam buat lukisan dan animasi bermula dengan lukisan, karakter dan sebagainya dan untuk membuat cerita tak begitu mudah tambah pula kena ada 'background' muzik.

"Saya nampak yang ini semuanya lengkap. Daripada segi cerita, teknologi, muzik dan saya fikir ini boleh kata 'world standard',"[35]

Timbalan Perdana Menteri, Dato' Sri Wan Azizah Wan Ismail memuji potensi industri perfileman dan animasi tempatan yang mampu pergi jauh dan melahirkan karya berkualiti setanding dengan negara luar. Menurut beliau juga kepada Astro Awani,

"Saya berasa bangga bahawa potensi perfileman terutamanya di bawah bakat anak-anak bangsa negara kita telah digilapkan dan dibawa ke tahap sebegini hebat,"[36]

Anugerah dan pencalonan

sunting
Tahun Anugerah Kategori Penerima Keputusan Ruj.
2020 Anugerah Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur 2019 Filem Terbaik Ejen Ali: The Movie Menang
Pengarah Terbaik Usamah Zaid Yasin Menang
Lakon Layar Terbaik Usamah Zaid Yasin, Hilman Muhammad & Faqihin Muhd Fazlin Menang
Asian Academy Creative Award 2020 Pengarahan Terbaik (Fiksyen) Usamah Zaid Yasin Menang
Anugerah Cartoons on the Bay Pulcinella ke-24 Filem Cetera Animasi Terbaik Ejen Ali: The Movie[37] Tercalon [38]
Anugerah MeleTOP Era 2020 Filem MeleTOP Ejen Ali: The Movie Menang
2021 Festival Filem Malaysia ke-31 Filem Terbaik Ejen Ali: The Movie Tercalon [39]
Pengarah Terbaik Usamah Zaid Yasin Tercalon
Lakon Layar Terbaik Usamah Zaid Yasin, Hilman Muhammad dan Faqihin Muhd Fadzlin Tercalon
Cerita Asal Terbaik Usamah Zaid Yasin, Faiz Hanafiah, Fuad Md Din, Nazmi Yatim & Shafiq Isa Tercalon
Skor Muzik Asal Terbaik Azri Yunus & Hakim Kamal Tercalon
Penataan Seni Terbaik Ghazali Omar, Fuad Md Din & Faiz Hanafiah Tercalon
Penataan Bunyi Terbaik Fadhli Abu Shafian, Shafiq Isa & Hakim Kamal Menang
Lagu Tema Asal Terbaik 'Kita Jaga Kita' nyanyian Altimet, Cuurley & Malik Abdullah Tercalon
Pengarah Harapan Usamah Zaid Yasin Tercalon
Anugerah Box Office Ejen Ali: The Movie Menang

Trivia

sunting
  • Sebelum filem ini dilancarkan, BoBoiBoy menyerahkan baton kepada Ali menandakan 'Tahun Animasi Malaysia' yang berlaku pada tahun 2019[40]
  • Selepas 3 tahun, Ali menyerahkan baton filem AniMY kepada Mechamato sempena pelancaran Mechamato Movie pada 2022[41]
  • Filem ini bersama-sama WIRA dan Pusaka berjaya menjadi kejayaan komersial apabila ketiga-tiga filem ini mendapat kutipan kumulatif bergabung sebanyak hampir RM50 juta (Ejen Ali: The Movie - RM30.05 juta, WIRA - RM7.6 juta, Pusaka - RM13.7 juta)

Sekuel

sunting

Setakat ini, filem sekuel kedua sedang dalam proses pembikinan. Setelah setahun filem ini dilancarkan di pawagam, pengarah yang juga Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation, Usamah Zaid Yasin mendedahkan di laman media sosial beliau bahawa beliau bersama 3 orang penulis skrip lain iaitu Hilman Muhammad (juga penulis skrip filem ini), Khairul Anwar Suwandi (pelakon suara Ejen Khai) dan Shafiq Isa (pelakon suara Ejen Bakar) sedang membikin skrip filem sekuel dengan muka hadapan ditulis "Ejen Ali The Movie 2 (Title TBC)"[42][43]. Walau bagaimanapun, filem tersebut terpaksa diperap lama kerana pandemik COVID-19 yang tiada henti. Oleh kerana itu, Musim 3 telah diterbitkan terlebih dahulu dengan mengesahkan bahawa Disney+ Hotstar menjadi produksi dan pengedar bersama. Ini menyaksikan kumpulan Primeworks Studios menyertai Hotstar apabila filem J2: J Retribusi juga ditayangakan ekslusif di sana kerana salah satu penerbit filem ini, Dato' Ahmad Izham Omar telah berkhidmat di Disney+ Hotstar bahagian Asia Tenggara.[44]

Walau bagaimapun, terdapat berita baik setelah tayangan episod akhir Musim 3 apabila media melaporkan bahawa filem ini sedang dalam pembangunan awal.[45]

Rujukan

sunting
  1. ^ a b 'Ejen Ali The Movie' in the works. New Straits Times. Diterbitkan pada 23 September 2017.
  2. ^ "Filem Ejen Ali temui penonton tahun depan". Berita Harian. 13 Mac 2019.
  3. ^ a b "Ejen Ali The Movie kutip RM6.4 juta tiga hari". Berita Harian. 2 Disember 2019. Dicapai pada 2 Disember 2019.
  4. ^ a b @FilemKita (9 Mac 2020). "Kutipan akhir #EjenAliTheMovie yang diumumkan oleh Finas: RM30,054,301.53 Dalam masa 11 minggu (77 hari) tayangan di pawagam Malaysia (28 Nov 2019 hingga 12 Feb 2020)" (Twit). Dicapai pada 9 Mac 2020 – melalui Twitter.
  5. ^ "Rajesh". Ejen Ali Wiki (Fandom). Dicapai pada 27 Januari 2022.
  6. ^ "Razman". Ejen Ali Wiki (Fandom). Dicapai pada 27 Januari 2022.
  7. ^ "Rahul". Ejen Ali Wiki (Fandom). Dicapai pada 27 Januari 2022.
  8. ^ ""Altimet terbit lagu tema Ejen Ali The Movie". Berita Harian. 24 Mac 2019. Dicapai pada 24 Julai 2019.
  9. ^ ""Selami lebih mendalam dunia Ejen Ali". Harian Metro. 11 Julai 2019. Dicapai pada 24 Julai 2019.
  10. ^ "Misi: The Making Of Ejen Ali The Movie" YouTube. 25 November 2019. Retrieved on 29 November 2019.
  11. ^ "Bukalah Matamu - Aisyah Aziz, Bunga Lyrics Video (Ejen Ali The Movie OST)" YouTube. 20 September 2019. Dicapai pada 20 September 2019.
  12. ^ "Kita Jaga Kita - Altimet x Cuurley x Malik Abdullah Lyrics Video (Ejen Ali The Movie OST)" YouTube. 25 Oktober 2019. Dicapai pada 26 Oktober 2019.
  13. ^ "Ejen Ali : The Movie (Teaser Trailer)" YouTube. 7 Ogos 2018. Dicapai pada 24 Julai 2019.
  14. ^ "Ejen Ali The Movie - Official Teaser Trailer" YouTube. 29 Mac 2019. Dicapai pada 24 Julai 2019.
  15. ^ "Ejen Ali The Movie - Official Trailer #1" YouTube. 1 Ogos 2019. Dicapai pada 1 Ogos 2019.
  16. ^ "Ejen Ali The Movie - Official Trailer #2 | Di pawagam 28 November 2019" YouTube. 9 Oktober 2019. Dicapai pada 21 November 2019.
  17. ^ "#Showbiz: An updated spy kid" New Straits Times. 26 Julai 2019. Dicapai pada 31 Julai 2019.
  18. ^ Georgie Joseph (15 April 2021). "Ejen Ali The Movie ke Brazil". Berita Harian. Dicapai pada 12 Ogos 2023.
  19. ^ "(RM1.86 JUTA DALAM 1 HARI) Terima kasih Ejen! ❤ #EjenAliTheMovie berjaya mendapatkan kutipan pembukaan TERTINGGI BAGI FILEM ANIMASI TEMPATAN sebanyak RM1.86 JUTA di Malaysia, Brunei dan Singapura!" Facebook. 29 November 2019. Dicapai pada 29 November 2019.
  20. ^ "(RM13 JUTA DALAM 1 MINGGU) Terima kasih Ejen! ❤😭 #EjenAliTheMovie berjaya mendapatkan kutipan sebanyak RM13 JUTA di Malaysia, Brunei dan Singapura sepanjang minggu pembukaan! Terima kasih atas sokongan anda Ejen-ejen! Naisu! 🎉🎉🎉" Facebook. 4 Disember 2019. Dicapai pada 4 Disember 2019.
  21. ^ "(RM20 JUTA DALAM 2 MINGGU) Lebih 1.7 JUTA penonton telah menonton #EjenAliTheMovie di pawagam sekitar Malaysia, Brunei dan Singapura! Terima kasih Ejen! 🎉🎉🎉 Misi kami tidak mungkin akan berjaya tanpa sokongan anda! 🤜🏻💥🤛🏻" Facebook. 12 Disember 2019. Dicapai pada 12 Disember 2019.
  22. ^ "(RM25 JUTA DALAM 3 MINGGU) Lebih 2 JUTA Ejen telah menonton #EjenAliTheMovie di pawagam sekitar Malaysia, Brunei dan Singapura! Terima kasih atas sokongan padu anda, Ejen! 🎉🎉🎉 🤜🏻💥🤛🏻" Facebook. 19 December 2019. Retrieved on 19 December 2019.
  23. ^ "(RM28.5 JUTA DALAM 30 HARI) Lebih 2.3 JUTA penonton untuk #EjenAliTheMovie! Terima kasih Ejen! 🎉🎉🎉 Jangan ketinggalan! Tamatkan tahun 2019 anda dengan salah satu filem animasi Top 3 di Malaysia! Jumpa di pawagam! 🤜🏻💥🤛🏻" Facebook. 28 December 2019. Retrieved on 28 December 2019.
  24. ^ "❗ RM30 JUTA DALAM 6 MINGGU❗ Sebuah permulaan yang hebat untuk tahun 2020! Terima kasih Ejen kerana menjayakan misi ini! 😍🎉🎉🎉. 🤜🏻💥🤛🏻" Facebook. 10 January 2020. Retrieved on 10 January 2020.
  25. ^ Ejen Ali (29 November 2019). "❗ Perhatian Ejen ❗ Terima kasih Ejen, kerana menyokong filem-filem Malaysia! Dari animasi ke filem tempatan dan lakonan anak Malaysia di dalam filem antarabangsa, kita berjaya menguasai Top 5 di dalam carta box office! Teruskan sokongan anda dan jangan lupa untuk terus menonton filem #1 - #EjenAliTheMovie di pawagam berhampiran! BERTINDAK SEGERA! 🤜🏻💥🤛🏻 ❗ Attention Ejens ❗ Thank you Ejens for supporting Malaysian films! From animation to live action films and even international films with Malaysian actors, we have managed to dominate the Top 5 in the box office chart! Continue to support the industry and don't forget to watch the #1 film - #EjenAliTheMovie in the cinemas now! ACT IMMEDIATELY! 🤜🏻💥🤛🏻 #KitaJagaKita #MisiSerbuPawagam #MisiTontonEATM #aniMY #Wira #Pusaka #LastChristmas". Facebook. Dicapai pada 12 Ogos 2023.
  26. ^ a b "EJEN ALI Pungut Lebih RM1.8 Juta Dalam Masa Sehari, Pecah Rekod & Siap Kalahkan Frozen 2!". SAYS. 30 November 2019. Diarkibkan daripada yang asal pada 25 Januari 2022. Dicapai pada 27 Januari 2022.
  27. ^ "Week of 28 November 2019-01 December 2019". Cinema Online. Diarkibkan daripada yang asal pada 3 Januari 2022. Dicapai pada 27 Januari 2022.
  28. ^ "Sasaran RM20 juta untuk Ejen Ali The Movie". Harian Metro. 24 Mac 2019. Diarkibkan daripada yang asal pada 25 Januari 2022. Dicapai pada 27 Januari 2022.
  29. ^ "'Ejen Ali' reaches historic milestone of RM30m in just six weeks". Malay Mail. 11 January 2020. Dicapai pada 12 January 2020.
  30. ^ Hanafis Hanis (21 November 2019). "Filem Animasi Paling Hebat 2019? Ini 7 Sebab Mengapa Ejen Ali The Movie Wajib Ditonton!". Astro Gempak. Dicapai pada 12 Ogos 2023.
  31. ^ Hanis, Hans (2019-11-30). "Review Filem Ejen Ali The Movie". Rollo de Pelicula. Diarkibkan daripada yang asal pada 2022-01-24. Dicapai pada 27 Januari 2022.
  32. ^ Tan, JY (23 Disember 2019). "Ejen Ali opened my eyes to what franchise-based movies can do". DeconRecon (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 24 Januari 2022. Dicapai pada 27 Januari 2022.
  33. ^ Mawarni, Intan (1 Disember 2019). "Review: Ejen Ali The Movie Berjaya Meningkatkan Taraf Kualiti Animasi Malaysia Setaraf Hollywood!". MyGameOn. Diarkibkan daripada yang asal pada 25 Januari 2022. Dicapai pada 27 Januari 2022.
  34. ^ Azfar, Khai (29 November 2019). "[REVIEW] Filem Ejen Ali : The Movie 'Sumpah Best!'". Murai. Diarkibkan daripada yang asal pada 25 Januari 2022. Dicapai pada 27 Januari 2022.
  35. ^ Bernama (10 Disember 2019). "Animasi tempatan kini bertaraf dunia - PM Tun Mahathir". Astro Awani. Dicapai pada 12 Ogos 2023.
  36. ^ Bernama (11 Januari 2020). "Wan Azizah puji kualiti karya industri perfileman animasi tempatan". Astro Awani. Dicapai pada 12 Ogos 2023.
  37. ^ "Ejen Ali the Movie".
  38. ^ "Ejen Ali the Movie Flying High to Represent Malaysia on a Global Level". The Rakyat Post. 18 Julai 2020.
  39. ^ Ariffin, Fatin Farhana (10 Disember 2021). "Ejen Ali The Movie raih Anugerah Khas : Box Office FFM31". Berita Harian. Dicapai pada 2021-12-11.
  40. ^ Ejen Ali (26 Oktober 2019). "Terima kasih BoBoiBoy ! Jumpa di garisan penamat nanti! 🤜💥🤛 #aniMY #EjenAliTheMovie #KitaJagaKita". Facebook. Dicapai pada 12 Ogos 2023.
  41. ^ Ejen Ali (17 November 2022). "Uncle Amato, semoga berjaya dalam misi #animy tahun ini! 🏃🏻‍♀️💨 Tahniah buat Uncle dapat tempat ke-3 di antara 100 anime terbaik di Tokyo Anime Award Festival 2022 hari tu. 🥳🎉 Ali tak sabar nantikan Uncle dekat wayang 8 Disember 2022 ini! Ganbatte!! 💪🏻💪🏻 Bertindak Segera! #ejenali #mechamato #passbaton #animy". Facebook. Dicapai pada 12 Ogos 2023.
  42. ^ Aman (28 November 2020). "FIlem Animasi Ejen Ali The Movie 2 Kini Dalam Pembangunan". Amanz. Dicapai pada 12 Ogos 2023.
  43. ^ @ejen_ali (28 November 2020). "😉😉😉" (Twit). Dicapai pada 12 Ogos 2023 – melalui Twitter.
  44. ^ @DisneyPlusMY (28 Mei 2021). "Did you catch that? We're just sprinkling a little ✨magic✨ across Malaysia before we arrive! It's less than a week left to the launch of #DisneyPlusHotstarMY" (Twit). Dicapai pada 12 Ogos 2023 – melalui Twitter.
  45. ^ Maira (31 Januari 2023). "Berita Baik! Ejen Ali The Movie 2 Kini Dalam Pembangunan Awal!". GamerSantai. Dicapai pada 12 Ogos 2023.

Pautan luar

sunting