Ekonomi Brunei
Mata wang 1 dolar Brunei = 100 sen
Tahun fiskal 1 April31 Mac (mulai dari April 2004)
Pertubuhan perdagangan APEC, ASEAN, WTO
Statistik [1]
Kedudukan KDNK Ke-139
KDNK AS$6.84 bilion (2003)
Pertumbuhan KDNK 3.2% (2003)
KDNK per kapita AS$23,600 (2003)
KDNK mengikut sektor Pertanian (5.0%), industri (45.0%), perkhidmatan (50.0%) (2001)
Inflasi 0.3% (2003)
Jumlah penduduk di bawah garis kemiskinan tiada maklumat
Tenaga buruh 158 juta (2002)
Tenaga buruh mengikut pekerjaan Kerajaan 48%, pengeluaran minyak, gas asli, perkhidmatan dan pembinaan 42%, pertanian, perhutanan dan perikanan (1999)
Pengangguran 3.2% (2004)
Industri utama Petroleum, penapisan petroleum, gas asli cecair, pembinaan
Rakan perdagangan [2]
Eksport AS$7.7 bilion f.o.b. (2004)
Komoditi utama Minyak mentah, gas asli cecair, keluaran petroleum
Rakan utama Jepun 37.8%, Korea Selatan 13.6%, Australia 11.1%, Amerika Syarikat 9%, Thailand 7.9%, Republik Rakyat China 5.9% (2004)
Import AS$5.2 bilion c.i.f. (2003)
Komoditi utama Jentera dan pelengkapan kenderaan, barang perkilangan, makanan, bahan kimia
Rakan utama Singapura 33.1%, Malaysia 21.5%, Jepun 7.3%, United Kingdom 6.8% (2004)
Kewangan awam [3]
Hutang awam tiada maklumat
Hasil AS$4.9 bilion (2003)
Perbelanjaan AS$4.2 bilion, termasuk AS$1.35 bilion perbelanjaan modal (2003)
Bantuan ekonomi tiada maklumat
sunting  

Brunei Darussalam ialah sebuah negara yang kecil dan kaya, dengan campuran keusahawanan asing dan dalam negeri, pengawalan kerajaan dan langkah-langkah kebajikan, serta tradisi kampung. Ekonominya hampir bergantung kepada eksport minyak mentah dan gas asli pada keseluruhannya, dengan hasil daripada sektor petroleum merupakan lebih daripada separuh Keluaran Dalam Negara Kasarnya (KDNK). Per kapita KDNK Brunei jauh mengatasi kebanyakan negara Dunia Ketiga, dengan pendapatan yang agak banyak daripada pelaburan luar negeri menambah pendapatan daripada pengeluaran dalam negeri.

Brunei ialah pengeluar minyak yang ketiga terbesar di Asia Tenggara, dengan pengeluaran sebanyak 180,000 tong (29,000 m³) sehari, serta juga pengeluar gas asli cecair yang keempat terbesar di dunia. KDNKnya melambung naik dengan kenaikan harga petroleum pada dekad 1970-an dan memuncak pada tahun 1980 dengan KDNK sebanyak AS$5.7 bilion. Bagaimanapun, KDNKnya merosot sedikit dalam tempoh lima tahun berturut-turut, dan kemudian jatuh hampir 30% pada tahun 1986. Kejatuhan KDNK ini diakibatkan oleh gabungan kejatuhan harga petroleum serta pemotongan pengeluaran secara rela oleh Brunei.

KDNK Brunei pulih sedikit sejak tahun 1986, dan bertumbuh sebanyak 12% pada tahun 1987, 1% pada tahun 1988, dan 9% pada tahun 1989. Pada tahun-tahun kebelakangan ini, pertumbuhan KDNK ialah 3.5% pada tahun 1996, 4.0% pada tahun 1997, 1.0% pada tahun 1998, dan anggaran 2.5% pada tahun 1999 (disebabkan oleh harga minyak yang lebih tinggi pada separuh kedua). Walaupun demikian, KDNK Brunei pada tahun 1999 sebanyak kira-kira AS$4.5 bilion masih jauh daripada KDNK puncak pada tahun 1980.

Krisis Kewangan Asia pada tahun 1997 dan 1998, bersama-sama dengan naik turun harga minyak telah mewujudkan ketidakpastian serta ketakstabilan dalam ekonomi Brunei. Selain itu, kejatuhan Perbadanan AMEDEO, syarikat pembinaan Brunei yang terbesar yang projek-projeknya membantu merangsangkan ekonomi dalam negeri, mengakibatkan kemerosotan ekonomi yang sederhana.

Kerajaan Brunei telah mencapai kejayaan dalam dasarnya untuk mempelbagaikan ekonomi supaya tidak terlalu bergantung kepada minyak dan gas. Walaupun demikian, pemimpin-pemimpinnya berasa bimbang bahawa penyepaduan Brunei ke dalam ekonomi dunia akan menjejaskan kepaduan masyarakatnya walaupun Brunei telah mengambil langkah-langkah untuk memainkan peranan yang utama dalam forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dengan menjadi pengerusinya pada tahun 2000.

Arah aliran makroekonomi sunting

Yang berikut ialah jadual arah aliran Keluaran Dalam Negara Kasar Brunei Darussalam pada harga pasaran, sebagaimana yang dianggarkan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa, dengan semua angka dalam dolar Brunei.

Tahun KDNK Pertukaran Dolar Amerika Syarikat Indeks inflasi (2000=100)
1985 7,752 2.20 Dolar Brunei 76
1990 6,509 1.81 Dolar Brunei 82
1995 7,394 1.41 Dolar Brunei 95
2000 7,441 1.72 Dolar Brunei 100
2005 10,400 1.62 Dolar Brunei 100

Untuk pembandingan pariti kuasa beli, Dolar Amerika Syarikat ditukarkan pada kadar 1.52 Dolar Brunei sahaja.

Minyak dan gas asli merupakan hampir semua eksport Brunei. Oleh sebab tidak terdapat banyak keluaran selain daripada petroleum yang dikeluarkan di dalam negeri, berbagai-bagai barang harus diimport. Statistik Brunei menunjukkan bahawa Singapura ialah titik asal import yang terbesar, dan merupakan 25% daripada semua import pada tahun 1997. Bagaimanapun, angka ini termasuk sesetengah pengangkutalihan, kerana kebanyakan import Brunei melalui Singapura. Jepun dan Malaysia merupakan dua pembekalnya yang terbesar. Sebagaimana dengan banyak negara yang lain, keluaran-keluaran Jepun menguasai pasaran tempatan untuk kereta, pelengkapan pembinaan, barang elektronik dan alatan rumah. Amerika Syarikat ialah pembekal import Brunei yang ketiga terbesar pada tahun 1998.

Sektor minyak dan gas sunting

Sektor minyak sunting

Brunei Shell Petroleum (BSP), sebuah usaha sama yang dimiliki secara 50:50 oleh Kerajaan Brunei dan kumpulan syarikat Royal Dutch/Shell, ialah syarikat pengeluaran minyak dan gas yang terutama di Brunei serta pengendali loji penapis minyak yang tunggal di negara. Bersama-sama empat buah syarikat kembarnya, BSP merupakan majikan yang kedua terbesar di Brunei, selepas kerajaan. Loji penapis minyak BSP yang kecil berupaya menyuling sebanyak 10,000 tong (1,600 m³) sehari dan mencukupi memenuhi permintaan dalam negeri untuk kebanyakan keluaran petroleum.

ELF Aquitaine, syarikat minyak Perancis, menjadi aktif dalam cari gali petroleum di Brunei pada dekad 1980-an. Dikenali sebagai Elf Petroleum Asia BV, ia telah menemukan minyak dan gas pada jumlah yang dapat dieksploitasi secara komersil di tiga daripada empat telaga minyak yang digerudinya sejak dari tahun 1987, termasuk suatu penemuan yang ada harapan yang diumumkan pada awal 1990. Baru-baru ini, UNOCAL yang berkongsi dengan syarikat Fletcher Challenge dari New Zealand telah diberikan konsesi untuk cari gali minyak di Brunei. Brunei juga sedang menyediakan tender untuk konsesi-konsesi cari gali minyak dan gas laut dalam.

Pengeluaran minyak Brunei memuncak pada tahun 1979 dengan melebihi 240,000 tong (38,000 m³) sehari. Sejak dari masa itu, ia telah mengurangkan pengeluaran minyak dengan sengaja untuk melanjutkan hayat simpanan minyaknya serta untuk memperbaik kadar pemulihan. Pengeluaran petroleumnya kini kira-kira 200,000 tong (32,000 m³) sehari pada puratanya. Secara tradisi, Jepun ialah pelanggan utama untuk minyak Brunei, dengan 45% daripada jumlah eksport petroleum Brunei pada tahun 1982. Bagaimanapun, bahagiannya telah jatuh sehingga 19% pada tahun 1998. Sebagai perbandingan, eksport minyak ke Korea Selatan telah naik daripada hanya 8% jumlahnya pada tahun 1982 sehingga 29% pada tahun 1998. Pelanggan-pelanggan utama yang lain termasuk Taiwan (6%), dan negara-negara ASEAN (27%). Eksport minyak Brunei ke Amerika Syarikat merupakan 17% daripada jumlah minyak yang dieksport oleh Brunei.

Sektor gas asli sunting

Hampir semua gas asli Brunei dicecairkan di Loji Gas Asli Cecair Shell Brunei yang dibuka pada tahun 1972 dan merupakan salah satu loji gas asli cecair (LNG) yang terbesar di dunia. Melebihi 82% daripada LNG Brunei dijual kepada Jepun di bawah sebuah perjanjian jangka panjang yang dibaharui pada tahun 1993. Perjanjian itu memerlukan Brunei membekalkan melebihi 5 juta tan LNG setiap tahun kepada tiga buah kemudahan Jepun. Mitsubishi ialah syarikat Jepun yang merupakan rakan usaha sama dengan Shell dan Kerajaan Brunei dalam Brunei LNG, Brunei Coldgas, dan Brunei Shell Tankers, yang mengeluarkan LNG untuk pembekalan kepada Jepun. Sejak dari tahun 1995, Brunei juga telah membekalkan melebihi 700,000 tan LNG kepada Perbadanan Gas Korea. Pada tahun 1999, pengeluaran gas asli Brunei mencapai 90 kargo setiap hari. Brunei ialah pengeksport LNG keempat terbesar di wilayah Asia Pasifik selepas Indonesia, Malaysia, dan Australia. Sedikit gas asli Brunei digunakan untuk penjanaan kuasa di dalam negara.

Simpanan terbukti minyak dan gas Brunei adalah cukup sehingga sekurang-kurangnya tahun 2015, dan cari gali laut dalam dijangka akan memberikan simpanan-simpanan baru. Kerajaan Brunei telah cuba mempelbagaikan ekonominya pada dekad yang lalu dengan kejayaan yang terhad. Minyak dan gas serta perbelanjaan kerajaan masih merupakan kegiatan-kegiatan ekonomi Brunei yang utama. Industri-industri Brunei bukan petroleum termasuk pertanian, perhutanan, perikanan, dan perbankan.

Pelaburan sunting

 
Bank Islam Brunei Darussalam

Kerajaan Brunei giat menggalakkan lebih banyak pelaburan asing ke negaranya. Syarikat-syarikat baru yang memenuhi syarat-syarat tertentu boleh menerima status perintis yang mengecualikan mereka daripada cukai pendapatan sehingga 5 tahun, bergantung kepada jumlah modal yang dilabur. Kadar cukai pendapatan korporat di Brunei ialah 30%, dengan tidak adanya cukai pendapatan perseorangan atau cukai laba modal di Brunei. Selain itu, kerajaan Brunei juga membekalkan semua perkhidmatan perubatan serta memberikan subsidi makanan dan perumahan kepada rakyatnya.

Kerajaan Brunei mengawal imigrasi buruh asing kerana bimbang akan kesannya pada masyarakat Brunei. Permit kerja untuk orang-orang asing diberikan hanya untuk tempoh yang singkat dan harus dibaharui secara berterusan. Walaupun terdapat sekatan-sekatan tersebut, para pekerja asing merupakan sebahagian besar tenaga buruh. Kerajaan Brunei melaporkan jumlah tenaga buruh sebanyak 122,800 orang pada tahun 1999, dengan kadar pengangguran sebanyak 5.5%.

Salah satu keutamaan kerajaan Brunei yang paling penting adalah untuk menggalakkan perkembangan Melayu Brunei sebagai pemimpin industri dan perdagangan. Tidak adanya sekatan yang khusus terhadap pemilikan ekuiti asing, tetapi penyertaan tempatan dari segi modal dan pengurusan digalakkan. Penyertaan sedemikan akan membantu ketika membuat tender untuk kontrak kerajaan atau Syarikat Brunei Shell Petroleum.

Syarikat-syarikat di Brunei harus diperbadankan di dalam negeri atau didaftarkan sebagai suatu cabang syarikat asing dengan Pendaftar Syarikat. Syarikat awam harus mempunyai sekurang-kurangnya tujuh orang pemegang saham, dengan sekurang-kurang separuh daripada pengarah-pengarahnya merupakan pemastautin Brunei.

Baru-baru ini, kerajaan Brunei telah mengumumkan rancangan untuk menjadikan Brunei sebagai sebuah Pusat Kewangan Luar Pesisir Antarbangsa, serta pusat untuk Perbankan Islam. Brunei juga minat akan pembangunan industri kecil dan sederhana dan sedang menyelidik kemungkinan untuk mengasaskan sebuah "taman siber" bagi mengembangkan industri teknologi maklumat di dalam negara. Brunei juga berharap untuk menggalakkan pelancongan melalui kempen "Lawat Brunei 2001".

Pelaburan kerajaan di luar negeri sunting

Pada dekad 1970-an, Brunei melaburkan hasilnya daripada eksport petroleum yang naik dengan ketara, dan mengekalkan perbelanjaan kerajaan pada kadar yang rendah dan tetap. Oleh itu, kerajaan Brunei dapat membina simpanan asing, dan melaburnya di sekitar dunia demi kepentingan generasi-generasi masa hadapan. Sebahagian daripada pendapatan simpanan dilaporkan juga dipergunakan untuk membiayai kurangan belanjawan tahunan yang dihadapi oleh kerajaan sejak tahun 1988; sejak tahun 1986, hasil daripada petroleum telah turun, dan perbelanjaan kerajaan telah naik. Kehilangan lebihan hasil telah menjadikan ekonomi Brunei lebih mudah terjejas oleh naik turun harga petroleum.

Simpanan asing Brunei yang besar diuruskan oleh Agensi Pelaburan Brunei (BIA), suatu cabangan Kementerian Kewangan. Prinsip yang menjadi pedoman BIA adalah untuk menaikkan nilai sebenar simpanan asing Brunei semasa mengejar berbagai-bagai strategi pelaburan. Kebanyakan pelaburan dan harta Brunei berada di Amerika Syarikat, Jepun, Eropah barat, dan negara-negara ASEAN.

Kerajaan Brunei memiliki sebuah ladang lembu di Australia yang membekalkan kebanyakan daging lembu di negara Brunei. Dengan luasnya sebanyak 2,262 batu persegi (5,859 km²), ladang itu adalah lebih besar daripada Brunei pada dirinya. Telur dan ayam dikeluarkan di dalam negara, tetapi kebanyakan keperluan makanan Brunei yang lain harus diimport. Pertanian dan perikanan adalah antara sektor-sektor perindustrian yang telah dipilih oleh kerajaan sebagai keutamaan teringgi dalam usaha-usahanya untuk mempelbagaikan ekonomi.