Sabah merupakan negeri kedua paling besar di Malaysia dengan keluasan tanah 73,610 km persegi. Sabah kaya dengan sumber-sumber semulajadi seperti hutan, galian, fauna, flora hinggalah ke hidupan laut. Lebih kurang 60 peratus daripada tanahnya diliputi dengan hutan rimba manakala kawasan tanah pertanian merangkumi 30 peratus. Sumber perhutanan dan pertanian adalah penyumbang utama kepada sumber pendapatan negeri Sabah. Bahan mentah seperti minyak, tembaga, emas dan batu kapur juga didapati dinegeri ini.

Ekonomi negeri Sabah bergantung kepada ekspot komoditi utamanya seperti minyak kelapa sawit, koko, getah, petroleum, kayu balak dan papan lapis. Sektor pengekspotan membentuk 70 peratus daripada jumlah pengeluaran. Pada masa kini, negeri Sabah merupakan pengeluar utama minyak kelapa sawit dan koko diseluruh Malaysia. Selain daripada sektor kayu-kayan dan pertanian, sektor perkilangan dan pelancongan juga berkembang pesat dan bertambah penting sebagai sumber ekonomi negeri Sabah.

Hampir 1/7 daripada kawasan Sabah adalah sesuai untuk pertanian. Dari segi penggunaan tanah, 12.9% telah digunakan untuk pertanian; 42.9% adalah pemeliharaan hutan; 1.2% untuk perikanan; 2.6% hidupan liar; 3.6% taman-taman negara dan 36.8% untuk lain-lain.

Pertanian & perladangan sunting

Sektor pertanian merupakan tulang belakang utama kepada ekonomi negeri Sabah. 70 peratus daripda penduduk negeri Sabah menetap di luar bandar dimana mereka terlibat secara lansung dan tidak lansung dengan sektor pertanian. Daripada 2.1 juta hektar tanah yang dikenal pasti sesuai untuk pertanian, hanya 1.25 hektar sahaja yang telah dimajukan untuk tujuan tersebut. Sektor pertanian menyumbangkan 30 peratus daripada Jumlah Pengeluaran Dalaman Negeri dan menyediakan 33 peratus peluang pekerjaan dan 35 peratus jumlah pendapatan ekspot negeri. Tanaman utama pertanian adalah kelapa sawit, koko dan getah. Sabah merupakan pengeluar utama bagi minyak kelapa sawit dan koko di Malaysia. Kelapa Sawit adalah penyumbang terbesar kepada hasil pendapatan ekspot negeri.

Kelapa sawit sunting

Sektor ini menyumbangkan 30% daripada jumlah pendapatan melalui pengeksportan. Pada tahun 1998 pengeksportan sawit telah mencapai rekod sebanyak RM5 juta. Sabah adalah pengeluar sawit mentah Malaysia dan menyumbang kira-kira 25% daripada jumlah keluaran sawit negara.

Penanaman kelapa sawit meliputi lebih daripada 700,000 hektar di bahagian Pantai Timur Sabah. Kawasan ini adalah kawasan pertanian dan sesuai digunakan untuk tujuan tersebut. Antara semua negeri di Malaysia, Sabah mempunyai hasil sawit yang tertinggi per hektar berbanding dengan negeri-negeri lain. Faktor ini menyebabkan ramai pelabur yang berpotensi tertarik untuk melabur di Sabah.

Selalunya sektor kelapa sawit negeri akan menentukan kerja-kerja pemprosesan . Pada masa ini terdapat 58 buah kilang di Sabah yang memproses sawit mentah. Hasilnya adalah terdiri daripada palm kernel oil dan palm kernel cake. Keluaran lain daripada kelapa sawit adalah hanya dalam kuantiti kecil sahaja.

Koko sunting

Negeri Sabah adalah pengeluar terbesar Koko di Malaysia. Pada tahun 1998 lebih daripada 70% jumlah keluaran koko disumbangkan oleh negeri Sabah. Namun begitu, walaupun penanaman koko dilakukan secara besar-besaran di Sabah, terdapat penurunan dari segi pengeluaran koko. Ini adalah kerana penanaman pokok-pokok koko mula diganti dengan penanaman kelapa sawit pula.

Kebanyakan daripada empunya tanah yang menanam koko hanya melakukan penanaman secara kecil-kecilan. Bilangan peladang yang melakukan penanaman secara besar-besaran adalah masih ditahap yang rendah. Penanaman Koko di Sabah biasanya tertumpu di daerah Tawau dan kawasan-kawasan lain di bahagian pantai timur.

Sebahagian besar daripada keluaran koko di negeri Sabah dieksport dalam bentuk biji koko dan sebahagian yang lain pula akan diproses menjadi mentega koko dan serbuk koko sebelum dieksport. Keluaran koko yang utama yang dihasilkan di dalam negeri akan dihantar ke Semenanjung Malaysia untuk kerja pemprosesan selanjutnya, ini adalah untuk mengeluarkan barangan yang lebih bermutu tinggi. Antara barangan tersebut ialah coklat dan barangan lain yang berdasarkan coklat.

Getah sunting

Getah adalah barangan komersil yang ketiga pentingnya di negeri Sabah, selepas kelapa sawit dan juga koko. Pada tahun 1998, sumbangannya kepada eksport negeri ialah RM76 juta. Keluaran getah yang dieksport adalah terdiri daripada kepingan getah diasap dan latex. Keluaran ini kemudiannya dihantar ke Semananjung Malaysia untuk kerja pemprosesan seterusnya. Pemprosesan lanjut ini akan mengeluarkan keluaran atau barangan yang bermutu tinggi. Walau bagaimanapun pada masa ini penanaman getah hanya dijalankan secara kecil-kecilan sahaja.

Dewasa ini kerajaan juga menggalakan penghasilan getah untuk keluaran kayu getah. Kerajaan mempromosikan keluaran perabot kayu getah yang kini kepentingannya telah meningkat dipasaran dunia.

Balak sunting

Lebih daripada tiga dekad, industri pembalakan telah menjadi tulang belakang ekonomi negeri. Sumbangannya terhadap pendapatan negeri telah meningkat kepada 40% pada jumlah keseluruhan pendapatan 1997. Sektor pembalakan juga mempunyai peranan yang berkaitan dengan sektor ekspot negeri.

Industri pembalakan negeri dikuasai kerja-kerja pemprosesan balak. Keluaran kayu utama yang dihasilkan adalah kayu potong, papan lapis, veneer, wooden mouldings, laminated boards, particle boards dan block boards. Terdapat 425 kilang kayu yang telah direkodkan pada tahun 1996. Kerajaan pada masa kini juga giat mempromosikan keluaran bermutu tinggi daripada kayu-kayan, iaitu selari dengan objektif State’s Industrial Masterplan. Menyedari akan sumber hutan yang semakin pupus, kerajaan telah membuat beberapa rancangan untuk memulihkan semula hutan dan memastikan bahawa ianya dapat memberikan bekalan yang cukup kepada industri pembalakan negeri di masa akan datang.

Perikanan & sumber laut sunting

Lebih daripada tiga suku sempadannya diliputi oleh lautan telah menjadikan Sabah sebagai negeri yang kaya dengan sumber hidupan laut. Sabah dianggarkan mempunyai 251,500 tan metrik sumber ikan. Pada tahun 1997 sumbangan sektor perikanan kepada Keluaran Kasar Negeri pada tahap yang paling minima ialah 2%. Dalam aspek pekerjaan, sektor perikanan telah mewujudkan 22,000 jenis pekerjaan kepada negeri.

Aktiviti utama dalam sektor perikanan ialah penangkapan udang menggunakan pukat tunda. Penangkapan ikan di laut dalam masih kurang berkembang dan dengan demikian terdapat potensi yang tinggi untuk menerokai aktiviti ini. Sektor perlautan negeri berkembang dengan cepat terutamanya di kawasan pantai timur di mana penternakan udang adalah aktiviti utama. Penternakan ikan air tawar, ikan laut, tiram, mutiara dan tumbuhan laut juga semakin menjadi popular.

Dari segi pengeksportan, pembekuan udang segar adalah keluaran utama sektor perikanan negeri, menyumbangkan kira-kira RM150 juta daripada pendapatan tahunan eksport negeri.

Mutiara kultur sunting

Sebuah syarikat secara usahasama dengan pelabur Jepun yang dinamakan Syarikat Kaya Pearls Sdn. Bhd. telah ditubuhkan pada tahun 1963 untuk tujuan pemeliharaan permata ini di Pulau Bohey Dulang kira-kira 18km dari Pekan Semporna, Sabah. Projek tersebut mempunyai keluasan kira-kira 11.5 hektar.

Syarikat tersebut sedang menternak tiram dari jenis "Silver lip" (Pinctada_maxima) untuk pengkulturan mutiara. Adalah didapati spesis ini boleh mengeluarkan mutiara yang berkualiti baik.

Perkilangan sunting

Sumbangan sektor perkilangan kepada hasil keluaran negeri telah meningkat dengan banyak iaitu daripada 9% keluaran kasar negeri pada tahun 1990 kepada 15% pada tahun 1997. Walau bagaimanapun sektor perkilangan negeri masih di tahap awal, di mana proses perkilangan dikuasai oleh pemprosesan sumber semulajadi. Bilangan besar bagi keluaran pengilangan adalah termasuk balak yang dipotong, veneer, papan lapis, wooden mauldings, uncoated printings and writing paper, processed palm oil, methanol and Hot Briquetted Iron. Keluaran lain, seperti perabot dan barangan elektrik juga dihasilkan tetapi dalam kuantiti yang kecil. Sektor perkilangan negeri merangkumi industri besar, kecil dan sederhana.

Untuk menyebarkan proses industri negeri, kerajaan telah mengeluarkan satu rancangan perindustrian iaitu yang dikenali sebagai Sabah’s Industrial Masterplan. Pihak kerajaan juga telah membangunkan pelbagai kawasan industri seperti Kota Kinabalu Industrial Parks (KKIP), Timber Integrated Complexes and Parks, Palm Oil Industrial Cluster dan Rubber Industrial Cluster untuk menggalakkan sektor perkilangan negeri. Insentif bagi pelaburan khas juga diberi bagi sektor perkilangan yang dapat menarik pelabur berpotensi.

Cabaran sunting

Walaupun ia kaya dengan sumber semula jadi, kini Sabah adalah negeri yang termiskin di kalangan negeri-negeri Malaysia.[perlu rujukan] Pendapatan puratanya pada sekarang adalah di kalangan negeri Malaysia yang paling rendah, sedangkan kos sara hidupnya lebih tinggi[nyatakan menurut siapa?] daripada Semenanjung Malaysia.

.

Pautan luar sunting