Elvira Arul merupakan seorang penyanyi Malaysia bertaraf vokal soprano[1] yang terkenal dengan mempersembahkan lagu-lagu genre jazz, gospel, pop, R&B dan soul.

Elvira Arul
Nama asalElvira Carrie Olga Arul
Kelahiran1980?
GenreJazz

Pop
R&B

Soul
Tahun aktif1988? - kini

Biografi sunting

Elvira Carrie Olga Arul dilahirkan dalam keluarga yang berlatarbelakangkan persembahan muzik. Ibunya Patricia Row merupakan penyanyi koir gereja dan bapanya Clement Arul anggota kugiran Stillyards Corporation. Elvira sendiri mula menceburi bidang persembahan nyanyian dengan menyertai koir gereja sejak berumur lapan tahun. Usaha rakaman sulungnya berupa beberapa buah lagu dalam album karaoke. Kumpulan muzik pertama yang dianggotainya ialah koir Kristian bernama Canticle Singers.[2]

Setelah memasuki usia dewasa, Elvira menyelami bidang persembahan muzik dengan menganggotai kugiran Jerry Felix Band pada tahun 2004, menggantikan bekas vokalis Jaclyn Victor yang pergi menyertai Malaysian Idol ketika itu.[1] Di samping itu, beliau juga pernah menyertai kugiran sebagai penyanyi utama kumpulan Asiabeat di samping pemuzik terkenal dalam genre jazz tempatan, Lewis Pragasam. Semenjak itu, beliau telah menempa nama sebagai penyanyi jazz yang banyak melakukan persembahan di acara-acara muzik dan kelab hiburan. Beliau menjadi artis pembukaan di konsert Alicia Keys pada Oktober 2004.[2]

Selaku penyanyi acara, Elvira juga turut terlibat dalam drama muzikal pentas. Antara yang terawal ialah drama Refugees - Images yang diadakan oleh Canticle Singers di Panggung Bandaraya pada Ogos 2006.[3]

Elvira mula menyertai industri rakaman arus perdana sebagai penyanyi back-up untuk pelbagai artis tempatan lain seperti Sheila Majid, Reshmonu, Vince Chong, dan Misha Omar. Pada tahun 2009, beliau merakam dan mengeluarkan single pertamanya bertajuk "Simple Love" yang mencapai tangga kelima dalam carta radio Mix FM dan memenangkan anugerah pertamanya iaitu Vokalis Wanita Terbaik di Voize Independent Music Awards 2010.[4] Beliau juga pernah menubuhkan kugiran sendiri bernama Elvira Arul and the Acoustic Souls.[5]

Pada tahun 2018, Elvira menyertai pertandingan nyanyian Mentor Otai yang dianjurkan oleh TV3 di mana beliau mengasah dan mengadu bakat di bawah bimbingan Misha Omar. Setelah lebih kurang sebulan bertanding, akhirnya Elvira menjuarai pertandingan tersebut.[6] Semenjak menjuarai, beliau mengeluarkan single berbahasa Melayu pertama bertajuk "Berlayar".

Pada tahun 2021, Elvira menyumbangkan suara kepada watak Luisa Madrigal dalam filem animasi Disney Encanto versi bahasa Malaysia, di mana beliau turut menyanyikan lagu "Sekilas Pandang" secara solo di samping menyertai ensemble (nyanyian beramai-ramai) dalam "Wargaku".

Rujukan sunting

  1. ^ a b "Her true calling". The Sun. 6 Februari 2020. Diarkibkan daripada yang asal pada 25 Februari 2022. Dicapai pada 9 Mac 2022.
  2. ^ a b Nadaraj, Vanitha (6 Jun 2006). "A life built on song". The Star. Dicapai pada 9 Mac 2022.
  3. ^ Jayaraj, Jayagandi (22 Julai 2006). "Dentist to act in play about boat people". The Star. Diarkibkan daripada yang asal pada 19 Disember 2021. Dicapai pada 9 Mac 2022.
  4. ^ Chua, Dennis (23 Mac 2018). "Reality check for Elvira on TV3's Mentor Otai". New Straits Times. Dicapai pada 9 Mac 2022.
  5. ^ Goh, Daryl (11 November 2012). "Jazz with a twist". The Star – melalui PressReader.com.
  6. ^ Ardini Sophia Sina (1 Mei 2018). "Elvira sempurna!". Harian Metro. Diarkibkan daripada yang asal pada 27 Februari 2022. Dicapai pada 9 Mac 2022.

Pautan Luar sunting