Endau

Bandar di Mersing, Johor, Malaysia

Endau atau "Padang Endau" merupakan sebuah bandar kecil di Daerah Mersing, Johor, Malaysia. Tempat ini juga terkenal sebagai satu daripada pelabuhan-pelabuhan perikanan terbesar di pantai timur Semenanjung Malaysia.

Menara Jam Endau di Tanjung Gemok menjadi mercu tanda di bandar ini
Jambatan Endau yang menghubungkan dua negeri Johor dan Pahang berjaya menyelesaikan masalah perhubungan di pantai timur

Bandar Endau terletak di muara Sungai Endau yang juga merupakan sempadan negeri Johor-Pahang. Oleh itu Endau merupakan petempatan yang terletak di dua buah negeri Johor dan Pahang mewujudkan nama "Endau Johor" dan "Endau Pahang". Walau bagaimana pun dari segi pentadbiran, Endau sebenarnya adalah merupakan sebuah bandar dan mukim di negeri Johor.

Pada suatu ketika dahulu, terdapat masalah perhubungan untuk melintasi Sungai Endau. Jambatan Endau telah dibina pada awal 1970-an bagi mengatasi masalah perhubungan ini yang menggantikan perkhidmatan feri tunda. Menara Jam Endau dibina di tebing utara Sungai Endau berhampiran Jambatan Endau di sebelah negeri Pahang, yang lebih dikenali dengan nama Tanjung Gemok yang dahulunya merupakan "Endau Pahang". Di sini terletaknya jeti nelayan yang beroperasi di Laut China Selatan.

Ekonomi sunting

Dari segi ekonomi, kegiatan utama penduduk di Endau adalah perikanan dan pertanian. Sebagai pelabuhan utama perikanan di Pantai Timur, kegiatan perikanan amat penting. Kebanyakan hasil tangkapan laut dijual ke Singapura dan seluruh negeri Johor.

Pertanian adalah merupakan aktiviti penting di Endau. Terdapat kawasan sawah padi yang luas di "Sawah Labong" yang terletak di sepanjang petempatan di Kampung Semaloi, Bukit Pasir dan Labong dengan keluasan kira-kira 6,000 ekar. Penanaman padi cara moden telah lama dilakukan di sini semenjak awal kemerdekaan negara di mana penggunaan jentera moden sepenuhnya telah digunakan semenjak tahun 1960 lagi. Sawah padi ini mendapat bekalan air secara terkawal dan sistematik dari empangan di Tasik Labong yang juga menjadi sumber bekalan air bersih kepada penduduk di sekitar Endau.

Getah dan kelapa sawit juga diusahakan di sini di mana kebanyakannya meliputi kawasan felda dan felcra. Felda Endau yang merupakan petempatan felda tertua di Malaysia mengusahakan tanaman getah dan kelapa sawit.

Pelancongan sunting

Terdapat beberapa tarikan pelancongan di Endau. Di antaranya adalah pantai-pantai yang menarik seperti Pantai Pasir Lanun dan Teluk Gorek selain pemandangan kampung tradisi yang menawan.

Tasik Labong yang terkenal dengan ikan toman dan kelisa begitu juga Sungai Endau juga menyediakan lokasi dan cabaran kepada kaki pancing ikan air tawar. [[Sungai Endau✓✓ yang terkenal dengan udang galahnya sudah tentu akan memberikan pengalaman yang menarik kepada peminatnya. Bagi mereka yang suka memancing di laut pula, banyak kemudahan memancing boleh didapati di sini dengan kos yang berpatutan.

Endau, selain dari Mersing juga merupakan pengkalan utama untuk ke Pulau Tioman. Pengunjung boleh mendapatkan kemudahan feri di Jeti Tanjung Gemok yang beroperasi setiap hari.