Allahyarham Tun Datin Paduka Seri Endon Mahmood (24 Disember 1940 - 20 Oktober 2005) merupakan isteri pertama kepada mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdullah bin Haji Ahmad Badawi.


Endon Mahmood

SSM; SPMS (Selangor); SSAP (Pahang);
SPTJ (Negeri Sembilan)
Pasangan Perdana Menteri Malaysia ke-5
Dalam jawatan
31 Oktober 2003 – 20 Oktober 2005
(meninggal dunia)
Didahului olehTun Dr. Siti Hasmah Mohamad
Digantikan olehTun Jeanne Abdullah
Butiran peribadi
Lahir24 Disember 1940
Klang, Selangor, British Malaya (kini Malaysia)
Meninggal dunia20 Oktober 2005 (umur 64)
Putrajaya, Wilayah Persekutuan
Tempat persemadianTanah Perkuburan Islam Presint 20 Putrajaya
PasanganTun Abdullah Ahmad Badawi (1965-2005; kematiannya)
Anak-anakKamaluddin Abdullah
Nori Abdullah

Kehidupan awal

 
Endon berkahwin dengan Abdullah pada 19 April 1967. Di sebelah beliau ialah Sultan Selangor dan permaisuri serta Tun Abdul Razak

Endon dilahirkan dalam keluarga campuran Melayu - Jepun. Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Anglo Chinese (yang kini dikenali sebagai "Sekolah Kebangsaan Methodist"), Kampar, Perak, dan melanjutkan pelajaran pada peringkat menengahnya di St Mary’s Secondary Girls' School di Kuala Lumpur. Bapa Endon bekerja sebagai pembantu perlombongan di Jabatan Pertambangan, dan seterusnya dipindahkan ke Perak untuk mengawasi sekitar 60 lombong di daerah Kampar.

Perkahwinan

Endon mendirikan rumah tangga dengan Abdullah pada 4 September 1965 ketika mereka berdua masih berkhidmat sebagai kakitangan kerajaan di Jabatan Perkhidmatan Awam. Beliau bersara pilihan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam pada 1976.

Mendapat dua anak iaitu Kamaluddin dan Nori. Menantu mereka bernama Azrene Abdullah dan Khairy Jamaluddin serta empat cucu.

Sumbangan sosial

Endon terkenal atas sumbangan beliau kepada seni kain tradisional seperti batik dan songket. Contohnya, beliau melancarkan Kempen dan pameran seperti "Batik Extravaganza" yang diadakan pada awal Disember 2003 dan Pergerakan Batik Malaysia, "Ciptaan Untuk Dunia". Beliau juga seorang penaung teater.

Pencapaian

Ketika hayatnya, beliau amat aktif dalam kerja amal dan kemasyarakatan serta giat mempromosi seni fabrik warisan negara, termasuk batik dan kebaya nyonya. Endon telah dipilih "Tokoh Jarum Berlian Malaysia 2004" kerana daya usahanya memartabatkan seni warisan negara. Di persada antarabangsa, namanya begitu sinonim dengan kebaya nyonya, batik dan songket. Beliau memiliki kedai batik di Plaza Damansara.

Minat terhadap hasil seni tangan rakyat tempatan yang bersemi di jiwanya sejak zaman remaja mendorong Endon mengumpul dan menganjurkan pameran pelbagai jenis busana. Koleksinya dikumpul dan dirakamkan dalam sebuah buku berjudul "The Nyonya Kebaya" yang dihasilkan pada bulan November 2002. Ia disusuli pula dengan satu simposium dan pameran di Balai Seni Lukis Negara pada 2003. Buku itu diulang terbit pada Mac 2005 dengan tajuk baru, "A Century of Straits Chinese Costume".

Endon adalah pengasas dan pengerusi Yayasan Budi Penyayang Malaysia (PENYAYANG) serta turut dilantik sebagai Canselor pertama Universiti Terbuka Malaysia (OUM) sejak Disember 2004. Beliau juga menjadi Presiden Pertubuhan Kebajikan Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI).

Beliau juga berminat dalam bidang pertanian dan sebagai mengenang jasanya, Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian (Mardi) menamakan baka orkid baru dengan nama beliau, Orkid Mokara Datin Seri Endon.

Beliau turut mengabadikan diri dalam kegiatan antarabangsa seperti Tabung Kebajikan Bosnia, Tabung Kanak-Kanak Korea Utara, Tabung Kebajikan Kosovo dan Penaung Wanita ASEAN.

Dalam negara, beliau menerajui dan menjadi penaung beberapa persatuan termasuk:

  • Persatuan Pandu Puteri Islam Malaysia
  • Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM)
  • Persatuan Wanita Antarabangsa Kuala Lumpur
  • Pertubuhan Tindakan Wanita Islam Malaysia
  • Pertubuhan Kesihatan Kanak-Kanak Kebangsaan Malaysia
  • Persatuan Penulis Wanita Muda
  • Penaung Puspanita
  • Penaung Persatuan Wanita Kementerian Luar (Perwakilan).

Anugerah lain yang pernah diterima oleh Endon termasuklah Pingat Emas Tun Fatimah daripada "Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia" (NCWO) pada Ogos 2004 dan Ijazah Kehormat Doktor Kemanusiaan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada Ogos 2004.

Penghargaan Malaysia

Tempat dinamakan sempena beliau

Beberapa tempat telah dinamakan sempena beliau, ialah:

Kanser payudara

Pada 17 April 2002, Endon menjalani pembedahan membuang payu dara bersama noda-noda limfa dan otot-otot di ketiak berdekatan di St John's Medical Center, Los Angeles, California, Amerika Syarikat. Kakak kembarnya (Noraini Mahmood) yang lebih awal didiagnosiskan dengan penyakit yang sama telah meninggal dunia pada 4 Januari 2003. Doktor mengesahkan Endon mengidap kanser pada 2001 dan mengambil perubatan herba dari profesor pelawat dari China. Endon turut menjalani 33 sesi radiasi dan fisioterapi serta urutan limfa dan rawatan kemoterapi Abraxene. Setelah pulang dari AS, beliau dimasukkan ke Hospital Putrajaya.

Endon meninggal dunia pada 20 Oktober 2005 bersamaan dengan 16 Ramadhan 1426 Hijrah akibat kanser payudara, 18 hari selepas pengembaliannya ke Malaysia. Beliau yang meninggal dunia pada umur 64, menghembus nafas terakhir pada jam 7.50 pagi di depan keluarga:

  • Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi;
  • dua anaknya, Kamaluddin dan Nori;
  • menantu Azrene Abdullah dan Khairy Jamaluddin;
  • empat cucunya; serta
  • ibunya, Datin Mariam Abdullah.

Endon dikebumikan di Perkuburan Muslim Putrajaya di Taman Selatan, Presint 20, Putrajaya selepas solat Asar.[2]

Rujukan

  1. ^ "Senarai Penuh Penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan Tahun 2009" (PDF). Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2019-02-14. Dicapai pada 2017-07-19.
  2. ^ Cekal mengharung derita

Bacaan lanjut